Arkib Tag: smarttag

Syarikat pengendali berbeza, lorong SmartTag dan RFID perlu diasingkan

TEMPOH percubaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) adalah penting bagi memastikan kelancaran sistem berkenaan.

Menteri Kanan Kerja Raya berkata, sesi percubaan dilaksanakan bagi mengelak sebarang masalah seperti dihadapi kebanyakan pengguna sebelum ini.

Jelas Datuk Seri Fadillah Yusof, pihaknya memandang serius isu dihadapi pengguna dan berharap penyelesaian dapat dilakukan segera.

“Kita mengenal pasti daripada segi teknologi, pentadbiran, perundangan serta kelancaran ataupun efisiensi sistem yang ada itu dan tidak akan membebankan rakyat.

“Itulah yang sedang kita lihat dan perincikan di peringkat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Kementerian Kerja Raya,” katanya.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof. – Foto ihsan Malay Mail

Fadillah menjawab soalan Senator Datuk Razali Idris yang ingin tahu sama ada Kementerian Kerja Raya bercadang untuk sistem SmartTag dan RFID disatukan dalam lorong sama.

Tambahnya, pembekal perkhidmatan bagi kedua-dua sistem pembayaran tol itu adalah berbeza dan teknologi serta ‘reader’ (pengesan tekonologi) juga tidak sama.

“Sekiranya diletakkan dalam satu lorong, ia akan menyebabkan kecelaruan untuk mengenal pasti sistem tag yang digunakan,” katanya lagi.

Mengenai harga RFID, Fadillah berkata nilai RM35 itu merangkumi kos tag, pemasangan tag, sistem dan pengoperasian.

Namun, kerajaan telah mengarahkan pihak Touch ‘n Go Sdn Bhd mengkaji semula kos itu bagi tujuan mengurangkan harga jualan.

Monopoli Touch n Go di tol akan dihentikan, pilihan bayar guna kad debit dan kredit

Buat masa ini, pengguna lebuh raya hanya ada pilihan pembayaran tol menggunakan kad Touch ‘N Go atau melalui PayDirect dan RFID yang dihubungkan ke aplikasi Touch ‘n Go eWallet.

Namun kerajaan Malaysia akan menghentikan monopoli ini apabila mengumumkan bahawa orang ramai boleh menggunakan mana-mana penyedia pembayaran digital untuk membayar tol. Tidak lagi terhad kepada Touch ‘n Go.

Perkara ini diumumkan Menteri Kerja Raya, Dato’ Seri Fadillah Yusof dalam satu wawancara eksklusif bersama Free Malaysia Today.

Tambah beliau, tidak lama lagi ia terpulang kepada orang ramai untuk menggunakan e-wallet Touch ‘n Go atau kad debit, kad kredit, Visa, Mastercard atau mana-mana sistem pembayaran (elektronik) selagi ia tersedia di lebuh raya (tertentu).

Walau apa jua isu melibatkan penggunaan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), ia diharap dapat diselesaikan dengan bijak demi kepentingan pengguna. – Foto ihsan PLUS

Pengumuman ini berkaitan dengan tag RFID yang mula diperkenal di Lebuhraya Utara-Selatan kendalian PLUS pada 15 Januari 2022.

Tag RFID yang digunakan sekarang bakal boleh dihubungkan dengan mana-mana pembayaran digital berbanding hanya dengan aplikasi Touch ‘n Go eWallet.

Bagaimanapun, pelaksanaan ini bergantung kepada kadar penembusan penggunaan RFID yang memuaskan serta kesediaan syarikat konsesi lebuh raya menghubungkan penyedia tambahan bayaran dalam talian.

Beliau juga berkata, syarikat konsesi terbabit telah diarahkan bersedia melaksanakan Sistem Aliran Bebas Berbilang Laluan (MLFF) menjelang 2025.

Fadillah juga mengesahkan bahawa kad Touch ‘N Go untuk pembayaran tol akan dimansuhkan pada 2025 dan laluan SmartTag dimansuhkan secara berperingkat.

RFID: Pakar cadang berhenti guna palang tol, contohi Singapura

ISU Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) menjadi perbualan hangat di negara ini terutama bagi kalangan pengguna lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Bhd (PLUS).

Rata-rata mengeluarkan komen kurang enak terhadap pelaksanaan sistem itu sekaligus mengundang kritikan hebat kepada PLUS.

Platform media sosial menjadi sasaran pelbagai pihak melontarkan pandangan selain meluahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap pelaksanaan RFID.

Bagaimanapun, sampai bila isu ini harus dipanjangkan? Tidakkah kita memerlukan satu penyelesaian tuntas menyelesaikan permasalahan ini?

Berdasarkan pandangan pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), RFID sepatutnya lebih efisyen berbanding sistem sebelumnya.

Prof Madya Dr Sawal Hamid Md Ali berkata, RFID misalnya boleh mengetengahkan konsep tanpa palang sekaligus melancarkan aliran trafik di plaza tol.

“Sistem tol berpalang menyebabkan kenderaan masih perlu memperlahan ketika melalui pondok tol.

“Selain itu, apabila sistem tidak dapat mengesan tag atau pincang tugas, palang tidak dapat dinaikkan, sama sahaja dengan yang kerap dialami pengguna SmartTAG.

“Jika masalah SmartTAG yang pada masa ini digunakan oleh kira-kira lima juta orang turut dihadapi oleh pengguna RFID, akan timbul persoalan apa perlunya bertukar kepada RFID,” katanya.

Sawal Hamid berkata demikian ketika diwawancara secara eksklusif oleh Bernama.

Tanggal 15 Januari, berlaku kesesakan luar biasa di beberapa plaza tol yang berpunca daripada RFID.

Ia dikatakan berlaku susulan daripada kegagalan RFID berfungsi dengan baik selain penutupan sebahagian besar lorong SmartTAG.

Cadangan batal penggunaan palang tol

Sistem ERP lebih berkesan bagi mengelak kesesakan trafik. Foto ihsan Wikipedia

Terdahulu, Sawal Hamid turut mencadangkan agar sistem pungutan tol negara ini mencontohi negara jiran, Singapura.

Sistem dinamakan Electronic Road Pricing (ERP) ternyata berkesan sejak ia diperkenalkan di negara itu lebih 24 tahun lalu.

“Sistem ERP memerlukan peranti yang beroperasi dengan kuasa bateri, sama seperti SmartTAG serta mempunyai kad seperti kad ‘Touch ‘n Go’.

“Kad ini boleh merekodkan baki duit dalam peranti tersebut integrasi e-dompet dan Touch ’n Go bagi membolehkan pengguna menukar lorong tol dengan mudah.

“Sekiranya tol berpalang masih digunakan, palang perlu dinaikkan walaupun baki duit dalam e-dompet tidak mencukupi.

“Baki bayaran tol boleh diambil balik secara automatik semasa pengguna membuat tambah nilai kad.

“Perkara-perkara ini perlu ditambah baik bagi memastikan penggunaan sistem RFID ini mempunyai manfaat dan dapat mengatasi masalah kesesakan,” katanya lagi.

Setakat ini, pengguna lebuh raya masih diberi pilihan oleh kerajaan sama ada mahu menggunakan RFID, Touch ’n Go atau SmartTAG.

Harga pelekat RFID didakwa mahal, kerajaan minta PLUS kaji semula

ISU harga pelekat Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang menjadi rungutan ramai sehingga tular di media sosial mendapat perhatian kerajaan.

Terbaharu, Plus Malaysia Berhad (PLUS) dan Touch ‘n Go diminta mengemukakan justifikasi berhubung harga pelekat tersebut.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof. – Foto ihsan Malay Mail

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihaknya akan melakukan penilaian terhadap perincian kos sebenar pelekat RFID tersebut.

“Sekarang ini KKR bersama Kementerian Kewangan akan menilai segala kos struktur yang mereka buat itu.

“Kita akan pastikan sama ada untuk dikurangkan atau apakah kos yang munasabah yang boleh dikenakan pada pengguna,” katanya.

Fadillah ditemui pemberita ketika meninjau tapak projek seliaan KKR dan Jabatan Kerja Raya di tapak projek Kuala Terengganu Bypass, Bukit Bayas pada Isnin.

Lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) didakwa tidak begitu mendapat sambutan daripada pengguna lebuh raya. – Foto ihsan Plus

Ketika ini, harga bagi seunit pelekat RFID adalah RM35 sekaligus mendapat reaksi kurang memuaskan daripada pengguna jalan raya.

Rata-rata pengguna menganggap harga tersebut agak tinggi dan perlu dikurangkan sedikit bagi mengurangkan beban kewangan mereka.

Kebelakangan ini, isu RFID menjadi ‘hangat’ setelah menerima banyak rungutan daripada pengguna.

Selain harganya, pengguna turut mempersoalkan tahap kelancaran sistem tersebut jika dibandingkan dengan SmartTAG.

Bagaimanapun, pihak PLUS segera bertindak termasuk membuka semula lorong SmartTAG yang ditutup bagi melancarkan aliran trafik.

Pada masa sama, PLUS juga berjanji tidak mengenakan sebarang bayaran bagi penukaran pelekat RFID yang rosak.

Teruk kena kecam, Plus buat ‘pusingan U’ buka semula lorong SmartTAG

PLUS Malaysia Berhad (Plus) membuat ‘pusingan U’ dengan mengaktifkan semula lorong SmartTAG yang ditutup di beberapa plaza tol sebelum ini.

Langkah dibuat ada kaitan dengan rungutan orang ramai berhubung isu penggunaan sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Memetik kenyataan Plus, pihaknya mengambil maklum akan kesulitan pengguna lebuh raya apabila lorong SmartTAG ditutup di beberapa plaza tol.

Foto ihsan Malay Mail

“Plus komited mengembalikan semula 19 lorong SmartTAG di 16 plaza tol sebelum 25 Januari depan untuk kelancaran trafik sempena Tahun Baharu Cina.

“(Bagaimanapun) pada 19 Februari depan, 24 lorong SmartTAG akan diaktifkan di 18 plaza tol,” memetik kenyataan itu.

Terdahulu, Plus memaklumkan proses mengaktifkan semula 19 lorong SmartTAG di 16 plaza tol akan dilakukan sebelum Selasa depan.

Sebelum ini, orang ramai meluahkan rasa tidak puas hati apabila lorong SmartTAG ditutup sekaligus menyebabkan kesesakan lalu lintas luar biasa.

Isu tersebut tersebut turut mendapat perhatian kerajaan yang menggesa masalah berbangkit diselesaikan dengan kadar segera.

RFID: Plus sedia bantu pengguna

Foto ihsan Malay Mail

Dalam perkembangan sama, Plus turut menempatkan petugasnya di semua 158 lorong RFID di 74 plaza tol kendaliannya.

Langkah itu diambil bagi membantu pengguna yang berdepan masalah menggunakan peranti RFID tersebut.

Antara inisiatif lain diambil Plus termasuk meningkatkan kadar pengesanan tag RFID dan proses penukaran percuma jika berlaku kerosakan.

“Palang tol berganda yang lebih pantas akan dipasang di plaza tol. Ia demi memastikan kenderaan dapat melalui lorong RFID dengan lebih pantas.

“Selain itu, lokasi zon pengesanan RFID akan ditandakan pada permukaan jalan bagi membolehkan pengguna memastikan kedudukan kenderaan mereka dengan lebih baik,” tambah Plus.

RFID LEMAH? Ini contoh kutipan tol elektronik negara lain

KECOH semalam di media sosial berkenaan kesesakan trafik luar biasa di tol Bandar Seri Putra, Bangi yang dikatakan berpunca dari penggunaan Radio Frequency Identification (RFID).

Gambar oleh: suara.tv

Keadaan sesak dilaporkan berlaku seawal jam 7 pagi ketika orang ramai sibuk hendak ke tempat kerja. Difahamkan orang ramai mengambil masa kira-kira 30 minit untuk melepasi tol berkenaan.

Sementara itu, keadaan sama juga dilaporkan berlaku di Tol Sungai Besi dengan trafik sesak sepanjang 10 kilometer menghala ke pusat bandar Kuala Lumpur.

Rata-rata netizen di laman-laman berita dan portal di media sosial meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan pembukaan lorong-lorong RFID itu.

Lebih memburukkan keadaan, sistem RFID itu juga gagal mengesan pelekat yang ditampal menyebabkan ada pemandu terpaksa mengundurkan kenderaan mereka.

Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) terdahulu mengumumkan akan beralih kepada sistem pembayaran RFID secara berperingkat di semua plaza tol bermula 15 Januari 2022.

Walaupun pada mulanya ada menimbulkan keraguan kepada orang awam, PLUS mengeluarkan kenyataan susulan bahawa pembayaran tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih akan ditawarkan.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, transaksi tol menggunakan RFID ketika ini adalah pilihan tambahan kepada platform kad Touch ‘n Go dan SmartTAG sedia ada.

Transaksi menggunakan RFID juga langkah awal kepada pelaksanaan pembayaran tol tanpa kehadiran plaza tol (Sistem Laluan Terus Pelbagai Lorong – MLFF) pada masa depan.

Bagaimana negara lain melakukan kutipan tol

Jika benar aspirasi dan sasaran Datuk Azman Ismail mengenai sistem pembayaran tanpa plaza tol, bolehlah kita melihat dahulu bagaimana negara lain melakukannya.

Jepun sebagai contoh telah menggunakan sistem kutipan tol secara elektronik hampir sama seperti RFID dimana masih ada palang tetapi kereta tidak perlu berhenti. Semasa menghampiri tol, terdapat skrin yang memaparkan had laju agar mudah sistem itu membuat pengesanan.

Di New Zealand pula, mereka langsung tidak mempunyai plaza tol dengan lorong-lorong dan palang, sebaliknya hanya menggunakan sistem gantri (seperti palang di atas yang melintasi jalan).

Kenderaan tidak perlu berhenti dan kamera pengesan pada gantri akan mengesan identiti kenderaan yang dilalui, malah dapat membezakan sama ada kenderaan itu kereta, motosikal atau lori besar.

Macam mana nak bayar kalau tak berhenti?

Mudah sahaja, setiap kenderaan dan nombor pendaftarannya akan didaftar dengan satu akaun, jadi segala pembayaran akan dikutip terus dari akaun itu.

Dan sekiranya baki tidak mencukupi, tak perlu kita tebalkan muka untuk undur kereta sambil dihon oleh pemandu belakang, kita tetap boleh melepasi tol, tetapi nilai dalam akaun akan jadi negatif.

Bila buat isian semula nanti, barulah nilai akan ditolak.

Jika lewat bayar, boleh kenakan denda, atau jika sampai satu tempoh tidak berbayar, pengoperasi tol boleh keluarkan saman kepada pengguna.

Mudah, bukan?

Kalau mudah, kenapa tak buat?

Sebenarnya perkara ini bukanlah terlalu susah untuk difikirkan. Malah negara jiran kita di Singapura pun sudah lama buat sistem sebegini, tak perlu tengok terlalu jauh sampai ke Jepun malah Amerika Syarikat dan Eropah.

Akar kepada masalah ini ialah sistem nombor pendaftaran kita yang masih belum distandardkan.

Kita harus ingat, kita tinggal di Negara Pasir Berdengung, bukan negara maju. Jika hal nombor plat pendaftaran pun belum selesai, macam mana nak beralih kepada sistem tol digital tanpa palang?

Nanti lingkuplah kedai aksesori!

Touch n Go dan SmartTag dimansuh terus atau boleh guna lagi? PLUS beri penjelasan

PLUS kelmarin mengumumkan bahawa mereka akan mula mengadaptasi RFID di semua plaza tol di Lebuhraya Utara-Selatan laluan Skudai-Juru bermula 15 Januari 2022.

Kenyataan itu walaubagaimanapun menimbulkan persoalan dan kekeliruan di kalangan orang awam sama ada pembayaran menggunakan Touch ‘n Go dan SmartTag masih boleh dibuat selepas 15 Januari.

Ada berpendapat selepas tarikh itu, hanya pembayaran tol menggunakan RFID boleh dilakukan kerana PLUS berkata bahawa Touch ‘n Go dan SmartTag akan dimansuhkan secara berperingkat.

Jadi, PLUS hari ini telah mengeluarkan kenyataan susulan berkenaan isu ini. Menurut PLUS, pembayaran tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih ditawarkan walaupun transaksi RFID diperkenalkan di laluan Juru-Skudai di Lebuhraya Utara-Selatan bermula 15 Januari 2022

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, transaksi tol menggunakan RFID ketika ini adalah pilihan tambahan kepada platform kad Touch ‘n Go dan SmartTAG sedia ada.

Transaksi menggunakan RFID juga langkah awal kepada pelaksanaan pembayaran tol tanpa kehadiran plaza tol (Sistem Laluan Terus Pelbagai Lorong – MLFF) pada masa depan.

Azman berkata; “Kami mendengar dan faham kebimbangan yang disuarakan sesetengah pengguna lebuh raya tentang penutupan torong Touch ‘n Go dan SmartTag dan ingin menjelaskan bahawa kedua-duanya akan tetap beroperasi dan hanya satu lorong RFID akan disediakan di plaza-plaza tol di laluan Juru-Skudai kelak.

“Dengan pembukaan lorong RFID bermula 15 Januari 2022 nanti, pengguna akan mempunyai lebih banyak pilihan platform pembayaran tol bagi melengkapkan transaksi tol mereka.”

PLUS bagaimanapun menggalakkan orang ramai beralih kepada sistem transaksi RFID kerana ia lebih pantas dan akan memudahkan perjalanan di plaza tol.

Tag pelekat RFID boleh diperoleh di 39 pusat pemasangan di seluruh Semenanjung Malaysia.

Pengguna juga boleh mendapatkan tag Touch ‘n Go RFID secara atas talian menerusi Touch ‘n Go eWallet atau portal Touch ‘n Go untuk memasangnya sendiri.

Transaksi tol menggunakan RFID di lebuh raya sistem tertutup seperti PLUS sudah diuji terlebih dahualu di laluan Hutan Kampung-Sungai Dua di Kedah dan Pulau Pinang sejak Julai tahun lalu dan kadar penerimaan semakin meningkat sejak mula diperkenalkan.

RFID untuk semua tol PLUS, tiada lagi Touch n Go dan SmartTag?

TEKNOLOGI Radio Frequency Identification (RFID) akan mula didapati untuk pembayaran tol untuk kenderaan persendirian Kelas 1 di lebuh raya PLUS bermula 15 Januari 2022.

Menteri Kerja Raya berkata kementeriannya sedang bersedia ke arah memansuhkan penggunaan Touch ‘n Go dan SmartTag.

“Akan terdapat satu lorong RFID sepanjang lebuh raya di pantai barat untuk membantu mengurangkan kesesakan trafik, dan ini sejajar dengan pembangunan pesat teknologi,” kata kementerian itu.

Menurutnya lagi, pembayaran tol menggunakan Touch ‘n Go dan SmartTag masih boleh dibuat. Tetapi kedua-duanya akan dimansuhkan secara berfasa kerana lorong-lorong RFID akan dibina menggunakan Intelligent Transport System (ITS) untuk Multi-Lane Free Flow (MLFF).

RFID, berserta dengan MLFF, akan memberikan lebih kelancaran dan pembayaran tanpa-sentuh (contactless) kepada pengguna jalan raya.

Sistem ini akan diperkukuhkan dengan Touch ‘n Go eWallet dan kebolehan menambah nilai secara digital yang juga mengurangkan interaksi di kaunter.

Apa pendapat anda mengenai langkah ini?

RFID di semua lebuh raya PLUS menjelang Februari 2022

PLUS dilaporkan akan mengadaptasi sistem RFID di semua lebuh raya kendalian mereka sebelum Februari 2022 dengan sekurang-kurangnya satu lorong di setiap plaza tol.

Perkara ini sudah dalam perancangan untuk beberapa ketika sebelum terpaksa ditangguh salah satu sebabnya akibat pandemik Covid-19.

Menurut CEO Teras Teknologi Sdn. Bhd. TnG RFID akan diaktifkan bersama-sama Automated Number Plate Recognition (ANPR) bagi melancarkan perjalanan pengguna-pengguna lebuh raya di Malaysia.

Imej: Soya Cincau

Bila berfungsi dengan sebetulnya, pengguna mampu melalui plaza tol dengan lebih laju, sehingga 30km/j berbanding SmartTag yang mempunyai had laju 20km/j.

Lebuh raya kendalian PLUS di Lembah Klang adalah satu-satunya lokasi yang tidak menyokong RFID sedangkan semua lebuh raya utama lain sudahpun menyokongnya.

Dulu kami pernah melaporkan yang terdapat konflik antara PLUS dan pihak Touch ‘n Go pada segi solusi RFID siapakah yang akan digunakan.

Kalau benar, nampaknya kata putus sudahpun dicapai antara kedua belah pihak.

Namun, ciri yang paling diharapkan pengguna adalah untuk menambah nilai ke dalam kad Touch ‘n Go melalaui aplikasi TnG eWallet yang sehingga kini masih sepi.