fbpx

RFID: Pakar cadang berhenti guna palang tol, contohi Singapura

Walau apa jua isu melibatkan penggunaan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), ia diharap dapat diselesaikan dengan bijak demi kepentingan pengguna. - Foto ihsan PLUS
Walau apa jua isu melibatkan penggunaan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), ia diharap dapat diselesaikan dengan bijak demi kepentingan pengguna. - Foto ihsan PLUS

ISU Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) menjadi perbualan hangat di negara ini terutama bagi kalangan pengguna lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Bhd (PLUS).

Rata-rata mengeluarkan komen kurang enak terhadap pelaksanaan sistem itu sekaligus mengundang kritikan hebat kepada PLUS.

Platform media sosial menjadi sasaran pelbagai pihak melontarkan pandangan selain meluahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap pelaksanaan RFID.

Bagaimanapun, sampai bila isu ini harus dipanjangkan? Tidakkah kita memerlukan satu penyelesaian tuntas menyelesaikan permasalahan ini?

Berdasarkan pandangan pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), RFID sepatutnya lebih efisyen berbanding sistem sebelumnya.

Prof Madya Dr Sawal Hamid Md Ali berkata, RFID misalnya boleh mengetengahkan konsep tanpa palang sekaligus melancarkan aliran trafik di plaza tol.

“Sistem tol berpalang menyebabkan kenderaan masih perlu memperlahan ketika melalui pondok tol.

“Selain itu, apabila sistem tidak dapat mengesan tag atau pincang tugas, palang tidak dapat dinaikkan, sama sahaja dengan yang kerap dialami pengguna SmartTAG.

“Jika masalah SmartTAG yang pada masa ini digunakan oleh kira-kira lima juta orang turut dihadapi oleh pengguna RFID, akan timbul persoalan apa perlunya bertukar kepada RFID,” katanya.

Sawal Hamid berkata demikian ketika diwawancara secara eksklusif oleh Bernama.

Tanggal 15 Januari, berlaku kesesakan luar biasa di beberapa plaza tol yang berpunca daripada RFID.

Ia dikatakan berlaku susulan daripada kegagalan RFID berfungsi dengan baik selain penutupan sebahagian besar lorong SmartTAG.

Cadangan batal penggunaan palang tol

Sistem ERP lebih berkesan bagi mengelak kesesakan trafik. Foto ihsan Wikipedia
Sistem ERP lebih berkesan bagi mengelak kesesakan trafik. Foto ihsan Wikipedia

Terdahulu, Sawal Hamid turut mencadangkan agar sistem pungutan tol negara ini mencontohi negara jiran, Singapura.

Sistem dinamakan Electronic Road Pricing (ERP) ternyata berkesan sejak ia diperkenalkan di negara itu lebih 24 tahun lalu.

“Sistem ERP memerlukan peranti yang beroperasi dengan kuasa bateri, sama seperti SmartTAG serta mempunyai kad seperti kad ‘Touch ‘n Go’.

“Kad ini boleh merekodkan baki duit dalam peranti tersebut integrasi e-dompet dan Touch ’n Go bagi membolehkan pengguna menukar lorong tol dengan mudah.

“Sekiranya tol berpalang masih digunakan, palang perlu dinaikkan walaupun baki duit dalam e-dompet tidak mencukupi.

“Baki bayaran tol boleh diambil balik secara automatik semasa pengguna membuat tambah nilai kad.

“Perkara-perkara ini perlu ditambah baik bagi memastikan penggunaan sistem RFID ini mempunyai manfaat dan dapat mengatasi masalah kesesakan,” katanya lagi.

Setakat ini, pengguna lebuh raya masih diberi pilihan oleh kerajaan sama ada mahu menggunakan RFID, Touch ’n Go atau SmartTAG.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved