Arkib Tag: Smart #3

Pandu uji awal smart #3 sebelum kemunculan rasmi pada 21 Mei, ini pendapat kami

SMART Malaysia baru-baru ini mengadakan sesi pratonton bagi model terbaharunya, smart #3 secara eksklusif di ibu pejabat Pro-Net.

Kami juga sempat melihat dengan lebih dekat malah memandu uji smart #3 ini di litar ujian Proton, Shah Alam. Sebelum itu, sedikit latar belakang.

Latar belakang smart #3

Untuk yang belum tahu, smart kini dimiliki oleh Geely dan Mercedes-Benz, mereka hanya memfokus menghasilkan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) buat masa ini.

Smart #3 bukanlah sekadar versi coupe lebih sporti dari #1. Banyak juga perbezaan teknikal. Pertamanya, ia dibina pada pelantar Sustainable Experience Architecture (SEA) yang dikongsi dengan #1 dan beberapa model di bawah kumpulan Geely.

Secara kasar, smart #3 lebih panjang dan lebar berbanding #1, tetapi lebih rendah. Perbezaan kira-kira 80mm antara keduanya. Jadi secara teori, smart #3 mempunyai pengendalian lebih mantap, betul? Nanti kami ceritakan.

Ciri unik smart #3 ialah bumbung melengkung coupe padanya, berbeza dari bumbung #1 yang lebih lurus. Bumbung smart #3 ini mempunyai permainan warna khas pada tiang-A dan tiang-C, memberikannya kesan ‘bumbung terapung’.

Ciri lain termasuklah lampu LED depan dan belakang, pemegang pintu flush, tingkap tanpa bingkai, dan logo menyala. smart #3 juga lebih aerodinamik berbanding #1, dengan pekali seretan 0.27 (0.29 untuk #1).

Perincian spesifikasi

Penawaran varian adalah mirip dengan smart #1, iaitu Pro, Premium dan Brabus. Varian Pro mempunyai bateri berkapasiti 49kWh manakala Premium dan Brabus adalah 66kWh.

Varian Pro dan Premium mempunyai motor elektrik tunggal di belakang dengan output 272hp dan 343Nm tork, memberikan pecutan 0-100 dalam 5.8 saat.

smart #3 Brabus pula mendapat dua motor di gandar depan dan belakang, dengan kuasa keseluruhan 428hp dan 543Nm tork. Disebabkan #3 Brabus menjadi jentera AWD, pecutan 0-100 adalah jauh lebih pantas, sekitar 3.7 saat sahaja.

Kelajuan maksima kesemua varian adalah 180km/j. Jarak pemanduan pula sekitar 455km untuk Pro dan Premium, dan 415km untuk Brabus.

Tanggapan pertama

Jadi, bagaimana pemanduan awal smart #3 ini? Apa yang boleh kami simpulkan, di litar bujur kelajuan separa-tinggi milik Proton ini, smart #3 memecut dengan bersahaja.

Varian Premium dengan pecutan ke 100km/j dalam 5.8 saat lebih dari mencukupi. Penulis membayangkan kita memandu smart #3 ini memasuki susur lebuh raya. Pecutan mantap bermakna susur masuk lebih mudah, dan aliran trafik lorong utama lebih lancar. Setuju?

Kami juga sempat menguji di bahagian dinamik yang disediakan oleh pihak Pro-Net seperti figure-8, slalom, dan pecutan jalan lurus.

Jelas terasa casis smart #3 ini lebih tegar dan lincah. Ini kerana #3 menggunakan spring, penyerap hentak, dan bar anti-oleng lebih keras berbanding #1, memberikan karakter lebih sporti. Penulis juga rasakan perubahan teknikal ini sangat penting dan sepadan dengan rupa luaran sporti #3 ini.

Menukar arah di figure-8 terasa stabil, malah pengeluaran tork juga lancar di kelajuan rendah. Ini pasti menjadikannya sesuai dipandu oleh pemandu biasa di dalam bandar.

Penulis paling suka di slalom kerana dapat menguji kestabilan casis, had cengkaman tayar, dan penghantaran kuasa.

smart #3 mudah mencapai had cengkaman kerana torknya yang cepat sepantas kilat. Ia mengikut terus kaki kanan anda. Tetapi segala sistem keselamatan dan pembinaan casis lebih tegar memastikan kereta dalam kawalan dan membantu kita sebagai pemandu mengemudi kenderaan melepasi laluan.

Body roll atau olengan badan juga jelas berkurang, menjadikan smart #3 lebih tangkas dan lincah menukar haluan sambil memecut dan membrek.

Secara keseluruhan, jelas smart #3 menunjukkan perbezaan karakternya berbanding #1 dan penulis rasa ia sesuai untuk pembeli muda yang mahukan sebuah EV mengujakan untuk dipandu secara harian.

Nantikan laporan pandu uji penuh kami secara harian dalam bandar dan jarak jauh bila kami mendapat unit pandu uji smart #3 tidak lama lagi.

Sementara itu, anda boleh berkunjung ke Malaysia Autoshow 2024, yang akan berlangsung dari 22 hingga 26 Mei 2024 kerana smart #3 akan membuat penampilan sulung di situ. Wakil smart Malaysia akan berada di Dewan A2 (Dewan Premium), MAEPS, Serdang.

smart #3 buat penampilan di sambutan Hari Bumi Sedunia bersama DBKL

SEMPENA Hari Bumi Sedunia baru-baru ini, telah diadakan acara KL Car Free Morning (KL Pagi Bebas Kenderaan) di dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

smart Malaysia turut menyertai program ini dan bukan sahaja membawakan kenderaan elektrik #1, tetapi juga #3.

Ianya merupakan penampilan pertama smart #3 di Malaysia yang akan menjadi model kedua jenama itu. smart #3 boleh dikatakan sebagai versi coupe bagi #1.

Dari segi ukuran, smart #3 lebih panjang, lebih lebar, dan lebih rendah berbanding #1. Jarak rodanya juga lebih panjang.

SUV coupe ini mempunyai pakej bateri dan janaan kuasa yang sama dengan #1, dan difahamkan akan terdapat juga versi Brabus untuk model ini.

Kerjasama smart Malaysia dengan DBKL ini membuktikan usaha berterusan smart dalam meningkatkan kelestarian mobiliti bandar.

Dengan mengubah jalan yang sesak menjadi zon bebas kenderaan, kedua-dua rakan kongsi menjemput komuniti untuk membayangkan semula perjalanan harian mereka serta mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

Inisiatif ini tidak hanya memberi manfaat kepada penduduk tempatan tetapi juga sejajar dengan cita rasa warga asing atau pelancong yang mencari pilihan perjalanan yang mesra alam.

“Selaras dengan Strategi Kelestarian smart Global, kerjasama kami dengan DBKL mewakili satu langkah penting ke hadapan dalam mempromosikan pembangunan lestari secara kolaboratif untuk masyarakat dan alam sekitar,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif smart Malaysia.

“Dengan mempamerkan kenderaan smart #1 dan #3, kami berhasrat untuk meningkatkan kesedaran tentang alternatif pengangkutan mesra alam dan menekankan kepentingan mengurangkan pelepasan karbon dalam melindungi alam sekitar.”

Di samping itu, inisiatif ini bertujuan sebagai penyelesaian untuk mencapai bandar lestari dan bebas karbon menjelang tahun 2030.

smart #3 didedahkan dengan 268hp, sehingga 455km jarak pemanduan

SELEPAS mempertontonkan kepada dunia model #1 beberapa bulan lepas, smart kini mendedahkan model #3 yang lebih besar.

smart #3 dibekalkan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 268hp, tetapi terdapat juga versi lebih berkuasa dengan dua motor iaitu smart #3 Brabus, mampu menjana 422hp.

smart #3 mampu memecut ke 100km/j dalam masa 5.8 saat, manakala versi Brabus boleh melakukan pecutan yang sama dalam masa 3.7 saat.

Dari segi jarak pemanduan, model #3 mempunyai jarak sehingga 455km (menurut kitaran WLTP) sementara model Brabus boleh dipandu sehingga 435km setiap kali cas. Jarak bagi model Brabus adalah sedikit rendah kerana ia lebih menekankan aspek kuasa dan prestasi pecutan.

Pengecasan bagi smart #3 adalah sehingga 150kW untuk DC, membolehkannya dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam masa 30 minit.

Sempena pameran IAA Mobility 2023 yang baru berlangsung, smart akan turut menyambut ulang tahun ke-25 jenama itu. Jadi, satu edisi khas 25th Anniversary Edition akan diperkenalkan, berasaskan smart #3 Brabus.

Versi ulang tahun ini bakal didatangkan dengan lampu LED dinaik taraf, kemasan merah, warna dwi-tona khas, dan tempat duduk hitam putih bersama perehat kepala.

Ciri standard pada smart #3 termasuklah paparan skrin sesentuh infotainmen 12.8-inci dan paparan instrumen 9.2-inci, bersama head up display (HUD) 10-inci dan sistem audio Beats dengan 13 pembesar suara.

SUV elektrik ini akan mula djual di pasaran Eropah menjelang hujung tahun ini, belum dipastikan sama ada ia akan memasuki pasaran Malaysia. Kita masih menunggu harga rasmi dan tarikh pelancaran bagi smart #1.

@engear.tv Cara Sebut Nama Kereta EV Ini “Smart Hashtag One” #engeartv #smart #1 #ev #electric #cara #smarthashtag1 #review #reels #tiktok #fyp #malaysia ♬ original sound – Engear TV

Smart #3 didedahkan di Auto Shanghai, akan dilancarkan di Malaysia kelak

PAMERAN Industri Automobil Antarabangsa Shanghai ke-20 atau Auto Shanghai 2023 menyaksikan kemunculan Smart #3 sebagai Sports Utility Coupe pertama jenama itu.

Menurut Proton, yang mengimport dan mengedar kenderaan jenama smart di Malaysia dan Thailand melalui anak syarikatnya PRO-NET, model terbaru ini akan menuju ke Malaysia selepas ia dilancarkan di China dan Eropah.

Buat masa ini, Proton masih dalam persiapan untuk pelancaran Smart #1 di Malaysia pada suku keempat tahun ini.

“Proton akan memasuki pasaran NEV di Malaysia tidak lama lagi menyahut seruan kerajaan untuk memajukan negara menjadi hab serantau untuk kenderaan generasi akan datang (NxGV),” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton, dan Pengerusi, PRO-NET.

Setakat ini, spesifikasi Smart #3 masih samar-samar namun menurut laporan, ia dibina berasaskan platform Sustainable Experience Architecture (SEA) milik Geely yang turut digunakan oleh Smart #1.

Ia lebih panjang, lebar dan rendah berbanding Smart #1, dengan ukuran panjang 4,400 mm, lebar 1,844 mm, tinggi 1,556 mm, serta tapak roda 2,785 mm.

Bentuk kedua-dua model ini tidak jauh berbeza namun Smart #3 mempunyai profil fastback yang menjadikan ia lebih menonjol.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan lampu LED Cybersparks, gril berbentuk A dan bumbung hitam yang boleh dipadankan dengan pilihan warna baharu termasuk Photon Orange Metallic dan Electric Blue Matte.

Ruang dalaman pula menampilkan reka bentuk sporty dengan motif bujur yang diinspirasikan daripada intake turbin. Jika diperhatikan dengan teliti, rekaan papan pemukanya yang bujur tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan model Mercedes-Benz.

Antara kelengkapan yang disertakan pada Smart #3 adalah skrin tengah berukuran 12.8 inci, sistem audi Beats dengan 13 pembesar suara dan pencahayaan ambien pelbagai warna.

Maklumat mengenai motor elektrik dan bateri juga masih belum didedahkan, namun tidak mustahil jika ia ditawarkan dengan pilihan motor elektrik tunggal pada gandar belakang dan motor elektrik berkembar.

Untuk perbandingan, Smart #1 didatangkan dengan motor elektrik gandar belakang dengan 268 hp dan 343 Nm, serta bateri 66 kWh yang memberikan jarak pemanduan antara 535 km hingga 560 km. Bateri itu menyokong pengecasan DC 150 kW.