Arkib Tag: Shah Alam

Kilang Goodyear Shah Alam ditutup Jun 2024, 550 pekerja bakal terjejas

GOODYEAR bakal menutup operasinya di Malaysia dengan penutupan kilang pengeluaran di Shah Alam, bermula 30 Jun 2024 dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang hujung tahun.

Perkara itu diumumkan oleh Nathaniel Madarang, Presiden Goodyear Asia Pacific dalam satu pengumuman.

Menurut siaran itu, Goodyear sedang dalam usaha mengurangkan kos tahunan sebanyak USD1 bilion (RM4.73 bilion) menjelang 2025.

“Goodyear Forward ialah satu program transformasi direka untuk mengoptimakan portfolio kami, memberi pertambahan keuntungan dan meningkatkan nilai untuk pemegang saham.

“Sebagai sebahagian dari usaha ini, Goodyear telah mengambil keputusan yang sukar tetapi diperlukan dengan menutup kilang pengeluaran di Shah Alam, Malaysia, berkuat kuasa 30 Jun 2024,” tulis siaran itu.

Seperti mana penutupan fasiliti-fasiliti lain, akan terdapat kesan dan dalam kes ini, kira-kira 550 pekerja di Malaysia akan terjejas.

“Kami komited untuk menguruskan pekerja kami dengan baik dan telus dalam proses ini.”

MBSA sedia 10 pengecas EV percuma di Shah Alam

MAJLIS Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan 10 pengecas kenderaan elektrik (EV) secara percuma di beberapa lokasi di bawah kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Datuk Bandar Shah Alam Nor Fuad Abdul Hamid berkata perkhidmatan berkenaan boleh didapati di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Wisma MBSA dan di pejabat cawangan MBSA.

 

“Setakat ini MBSA sudah ada 10 pengecas EV dengan kerjasama Kementerian Tenaga Teknologi Hijau Dan Air (KeTTHA) sebelum ini.

“Sekarang sudah banyak syarikat swasta berminat untuk bekerjasama dengan MBSA bagi membina pengecas EV,” katanya.

“Kami sedang selaraskan dengan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) sebab garis panduannya baru dilancarkan, begitu juga dari Kementerian Pengangkutan. Dari segi teknikal pemasangan ia akan disahkan oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST),” tambah Fuad.

Beliau berkata demikian selepas persidangan antarabangsa Eastern Asia Society For Transportation Studies (EASTS) ke-15 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Hasbollah di Pusat Konvensyen MBSA, semalam.

Mengulas lanjut Nor Fuad berkata pihaknya kini sedang mengenal pasti lokasi bersesuaian mengikut keperluan serta permintaan dan antara lokasi sasaran untuk penambahan pemasangan pengecas itu adalah di pusat bandar serta pusat beli-belah di Shah Alam.

Julai lalu, kerajaan negeri merancang menyediakan kira-kira 1,000 pengecas EV di kawasan 12 PBT di negeri ini menjelang akhir tahun ini terutamanya di Shah Alam; Petaling Jaya; Subang Jaya; Klang; Kajang serta Ampang Jaya.

Volvo bawa kenderaan lebih selamat untuk Malaysia sejak 1966

HANYA sedekad setelah mencapai kemerdekaan, Malaysia ketika itu dalam rangka mengukuhkan kemunculan industrinya ke pentas dunia.

Ia termasuklah sebuah polisi automotif bagi mempercepatkan industrialisasi kebangsaan melalui kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan pembuatan komponen automobil.

Volvo Car Manufacturing Malaysia (dahulunya dikenali sebagai Swedish Motor Assemblies Sdn. Bhd.) merupakan antara yang pertama bertindak balas terhadap panggilan kerajaan Malaysia ke seluruh dunia untuk perpindahan teknologi, pembangunan kemahiran tempatan, dan pelaburan asing.

Mereka kemudiannya menjadi jenama kereta antarabangsa pertama yang membangunkan kilang pemasangan automotif di Malaysia.

Terletak di tengah-tengah Shah Alam, ia merupakan antara kilang pembuatan kereta pertama di Malaysia.

Kilang pemasangan Volvo memulakan operasinya pada Mac 1967 dengan pengeluaran Volvo 144 – kereta pertama yang dipasang di Malaysia, dan ia juga telah menandakan sebuah langkah besar untuk industri automotif negara.

Memandangkan Shah Alam juga merupakan lokasi pertama kilang Volvo di luar negara asalnya iaitu Sweden, hal ini merupakan sesuatu perkara yang bermakna untuk Malaysia.

Pemasangan tempatan Volvo 144 tersebut pantas diikuti oleh banyak lagi model seterusnya, menampilkan ciptaan-ciptaan hebat Volvo seperti tali pinggang keledar tiga mata dan Blind Spot Information System (BLIS) – ciri-ciri keselamatan yang kini merupakan piawaian dalam semua kereta moden pada hari ini.

Pada tahun 2016, Volvo Car Malaysia merupakan jenama kereta mewah pertama yang memperkenalkan kenderaan hibrid plug-in pemasangan tempatan (PHEV) melalui model Volvo XC90 Recharge – sebuah usaha yang menyokong cita-cita kerajaan untuk mentransformasikan Malaysia ke arah sebuah hub ASEAN untuk Kenderaan Jimat Tenaga ataupun Energy Efficient Vehicles (EEV).

Pada masa itu, Malaysia merupakan satu-satunya negara selain Sweden yang menjalankan pemasangan model serba baharu Volvo XC90 Recharge tersebut.

Pada tahun 2021, Volvo Car Malaysia telah pun menjadi pembuat kereta automotif pertama di Malaysia yang menawarkan rangkaian lengkap hibrid plug-in.

Pada tahun 2022, Volvo Car Malaysia menandakan sebuah titik perubahan untuk industri automotif Malaysia dengan pelancaran model Volvo XC40 Recharge Pure Electric, kereta elektrik penuh (EV) pertama yang melalui CKD di Malaysia.

Melalui kemampuan kilang pemasangan tempatannya, Volvo terus memacu landskap kenderaan elektrik bagi menyokong Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dalam mencepatkan penggunaan EEV dalam kalangan rakyat Malaysia.

Malaysia juga menjadi hub Volvo untuk mengeksport model Pure Recharge ke seluruh rantau ASEAN melalui rangkaian eksport sedia adanya.

Walaupun Volvo merupakan jenama kelahiran Sweden, ia juga telah bertapak di Malaysia selama 57 tahun, kini menyambung misinya untuk memberikan para pemilik kereta kebebasan untuk bergerak dengan cara peribadi, mampan dan selamat.

Sejak pengumuman agenda elektrifikasinya pada tahun 2022, Volvo Car Malaysia bercita-cita untuk menawarkan kereta elektrik sepenuhnya menjelang tahun 2030 dan menjadi syarikat iklim neutral menjelang tahun 2040.

Volvo Car Malaysia ingin memperingati 57 tahunnya bersama Malaysia dengan promosi untuk kedua-dua rangkaian elektrik sepenuhnya dan hibrid semasa Hari Merdeka dan Hari Malaysia.

Bermula sekarang hingga 30 September 2023, pelanggan yang membeli model Volvo Recharge Pure Electric baharu (XC40 Recharge Pure Electric atau C40 Recharge Pure Electric) dengan Perkhidmatan Kewangan Kereta Volvo akan menikmati faedah pengurangan harga akhir serta-merta bernilai RM20,000 dengan penjimatan tambahan melalui kaedah pengurangan prinsipal.

Terdapat juga faedah daripada tempoh pembiayaan yang lebih pendek, iaitu tiada bayaran keluar selepas penyelesaian awal.

Promosi ini juga terpakai apabila anda memesan Volvo XC40 Pure Recharge atau Volvo C40 Pure Recharge dalam talian di https://shop.digitalvolvo.com/my/shop-online.

Pelanggan yang membeli mana-mana kenderaan elektrik hibrid Volvo dalam tempoh masa yang sama juga akan menikmati tawaran insurans kereta percuma dan VSP (Pelan Perkhidmatan Volvo 5 tahun) bernilai hampir RM20,000.

VSP ialah pakej servis kereta komprehensif bernilai RM12,900 yang meliputi lima sesi servis kereta pertama anda, termasuk barangan haus dan lusuh serta kos buruh, kemas kini perisian percuma dan pemeriksaan kesihatan kenderaan, manakala insurans kereta percuma untuk tahun pertama pula bernilai RM7,000.

Pesawat ringan terhempas di Shah Alam, 3 dilaporkan maut termasuk seorang penunggang motosikal

POLIS mengesahkan sebuah pesawat ringan dari Langkawi ke Subang terhempas di bandar Elmina, Shah Alam, petang ini, lapor Berita Harian.

Berdasarkan video dan gambar yang disebarkan menerusi aplikasi Whatsapp dan media sosial, kelihatan sebuah bangkai kapal terbang dalam keadaan terbakar telah terhempas di jalan raya.

Dalam rakaman video tersebut juga turut memaparkan sebuah motosikal dalam keadaan terbakar dipercayai akibat dirempuh pesawat itu.

Difahamkan, setakat ini tiga individu terkorban dalam insiden berkenaan.

Sementara itu, Harian Metro melaporkan tiga mangsa yang maut adalah juruterbang dan penumpang pesawat, serta penunggang motosikal tersebut.

Difahamkan model pesawat itu adalah jenis Fouga CM-170 Magister dan kejadian berlaku tidak jauh daripada landasan Lapangan Terbang Subang.

Perodua selesai baiki lebih 300 kenderaan rosak akibat banjir

INISIATIF Baucar Diskaun Automotif diumum kerajaan baru-baru ini mendapat reaksi positif ramai pihak.

Perodua antara yang memuji langkah itu yang disifatkan membantu meringankan bebanan mangsa banjir.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, langkah itu juga membuktikan keprihantinan kerajaan membantu rakyat dalam kesusahan.

Jelasnya, Perodua telah menerima ribuan kenderaan yang rosak akibat banjir dan bantuan dihulur kerajaan sudah pasti melancarkan segala proses pembaikan.

Presiden dan Ketua Pegawai Operasi (CEO) Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana membantu mangsa banjir. – Foto oleh Engear

“Perodua berterima kasih kepada pihak kerajaan atas tindakan pantas dan keprihatinan dalam membantu mangsa.

“1,987 kenderaan Perodua telah ditunda ke 200 pusat servis untuk penilaian dan setakat ini 323 unit telah dibaiki,” kata Zainal Abidin.

Minggu lalu, kerajaan telah mengumumkan inisiatif baucar bernilai RM1,000 bagi membantu mangsa banjir yang mengalami kerosakan kenderaan.

Baucar boleh digunakan bagi membuat tuntutan terhadap pembaikan serta penggantian kenderaan persendirian yang rosak.

Pemilik kenderaan boleh menebus baucar tersebut di pusat servis Perodua yang sah seluruh negara sehingga 31 Mac 2022.

Kelihatan sebuah kenderaan ditenggelami banjir dalam insiden tahun lalu. – Foto ihsan Malay Mail

Dalam perkembangan sama, Perodua juga telah melancarkan Program Bantuan Banjir Perodua pada 19 Disember 2021 selain menyediakan hab khas pembaikan banjir di Shah Alam.

Program Bantuan Banjir Perodua merangkumi diskaun 50 peratus alat ganti standard selain kos upah dan perkhidmatan tunda percuma.

Jemu lumba di litar? Jom cuba trek RC aras bumbung pertama di Malaysia

ADAKAH anda peminat kereta kawalan jauh dan tidak tahu di mana lokasi menarik untuk bermain alat itu?

Jika ya, ini berita baik untuk anda terutama yang menetap di Lembah Klang.

Semalam, sebuah trek kereta kawalan jauh secara rasmi dibuka di SACC Mall Shah Alam sebagai usaha mempromosikan aktiviti sukan dan rekreasi terbuka.

Memetik laporan Selangor Kini, ia merupakan trek kereta kawalan jauh aras bumbung pertama di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate (PREC) berkata, pembukaan trek itu juga diyakini dapat menarik minat semua golongan terutama anak muda.

“Kami percaya penganjuran bersama SACC Mall dan Bazaarlokal ini menjadi aktiviti luar yang hebat kerana menepati cita rasa semua generasi terutama golongan muda,” katanya.

Orang ramai kini boleh menyertai aktiviti perlumbaan kereta kawalan jauh di SACC Mall, Shah Alam. – Foto ihsan RC Planet Malaysia

Kereta kawalan jauh merupakan antara hobi yang diminati ramai bukan sahaja di negara ini malah, di serata dunia.

Antara kejohanan terkemuka dunia termasuk Kejohanan Dunia International Federation of Model Auto Racing (IFMAR) yang menawarkan hadiah lumayan.

Terdahulu, syarikat RC Planet turut menganjurkan pertandingan RC Car Tamiya pada semalam sebagai tanda simbolik pembukaan trek tersebut.

Ia disertai lebih 80 peserta bermula 10 pagi hingga enam petang.

Orang ramai berminat menggunakan fasiliti trek kereta kawalan jauh SACC Mall boleh berbuat demikian dengan membayar caj RM20 sehari.

Cadangan kurang kadar tol masih dalam kajian, kata menteri

KERAJAAN masih mengkaji langkah terbaik berhubung cadangan pengurangan kadar tol seluruh negara.

Menteri (Kanan) Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kajian meliputi pelbagai aspek termasuk bebanan kewangan kerajaan serta impak kepada ekonomi.

Memetik laporan Berita Harian,kerajaan turut mengadakan perbincangan bersama syarikat konsesi lebuh raya bagi mencapai keputusan terbaik.

“Kerajaan bersama syarikat konsesi lebuh raya sedang mengkaji pelbagai inisiatif dan kaedah boleh dipertimbangkan bagi mengurangkan kadar tol lebuh raya di negara ini.

“Kementerian Kerja Raya juga membenarkan syarikat konsesi lebuhraya mencadangkan kaedah penstrukturan semula kewangan bagi tujuan pengurangan kadar tol,” katanya.

Turut terlibat dalam perbincangan termasuk Kementerian Kewangan, Unit Kerjasama Awam dan Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri dan beberapa agensi berkaitan.

Fadillah berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, semalam.

Menteri (Kanan) Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof. – Foto ihsan Malay Mail

Sebelum ini, kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol di tiga lebuhraya tahun depan.

Konsesi lebuhraya yang dimaksudkan adalah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

Penangguhan kenaikan kadar tol selepas mengambil kira kesan ekonomi akibat daripada pandemik Covid-19.

Ulasan: Hanya hukuman keras ‘ajar’ pemandu tidak bertanggungjawab

KECUAIAN di jalan raya sehingga menyebabkan kemalangan maut bukan suatu yang baharu di negara ini.

Terdapat pelbagai kes dicatatkan dengan terbaharu melibatkan kematian dua remaja dalam satu kemalangan di Lebuhraya Persekutuan pada 12 September lalu.

Pada penulis, insiden itu bukan sahaja menimbulkan rasa marah dan geram tetapi turut melahirkan emosi teramat sedih.

Berdasarkan laporan media, kemalangan berlaku susulan tindakan seorang lelaki memandu secara melawan arus kerana di bawah pengaruh dadah.

Mengapa masih ada manusia yang tidak bertanggungjawab seperti ini? Apakah yang ada dalam benak fikiran ketika itu?

Walau apa jua jawapan yang diberikan, nasi sudah menjadi bubur. Dua nyawa telah melayang angkara tindakan tidak bertanggungjawab itu.

Kemalangan jalan raya boleh dielak jika semua pihak memandu dengan penuh rasa tanggungjawab. – Foto ihsan Unsplash/Krzysztof Kowalik

Hukuman berat jika bersalah

Hari ini, sebaik penulis membaca laporan akhbar bahawa tertuduh telah didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Shah Alam membuktikan masih ada sinar keadilan di negara ini.

Berdasarkan Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tertuduh jika didapati bersalah berdepan hukuman mati.

Mungkin ada yang mempersoalkan tidakkah hukuman ini terlalu berat?

Jawapannya sampai bila kita mesti berdepan dengan sikap pemandu tidak bertanggungjawab di jalan raya?

Jika undang-undang keras tidak dilaksanakan maka, selagi itu akan wujud pemandu bersikap sambil lewa sehingga mengancam keselamatan nyawa orang ramai.

Sudah pasti kita tidak ingin lebih banyak kemalangan berlaku di masa depan angkara sikap lalai dan tidak bertanggungjawab pemandu.

Anggota keselamatan sedang melakukan pemeriksaan jalan raya. – Foto fail oleh Shafwan Zaidon

Fakta kes kemalangan

Tanggal 12 September lalu, dua remaja maut selepas kereta jenis Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Mitsubishi Triton dipandu seorang lelaki secara melawan arus.

Insiden berlaku di Kilometer 8.6 Lebuhraya Persekutuan arah Klang ke Kuala Lumpur sekitar jam 1.20 pagi.

Kemalangan menyebabkan Nur Afiqah Abdul Karim, 18, dan Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19, meninggal dunia.

Siasatan mendapati tertuduh iaitu K. Devaaswin, 24, dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.

Bagaimanapun, masih tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Majistret Nur Faizah Abdul Sani menetapkan 21 Oktober untuk sebutan semula kes.