Ulasan: Hanya hukuman keras ‘ajar’ pemandu tidak bertanggungjawab
KECUAIAN di jalan raya sehingga menyebabkan kemalangan maut bukan suatu yang baharu di negara ini.
Terdapat pelbagai kes dicatatkan dengan terbaharu melibatkan kematian dua remaja dalam satu kemalangan di Lebuhraya Persekutuan pada 12 September lalu.
Pada penulis, insiden itu bukan sahaja menimbulkan rasa marah dan geram tetapi turut melahirkan emosi teramat sedih.
Berdasarkan laporan media, kemalangan berlaku susulan tindakan seorang lelaki memandu secara melawan arus kerana di bawah pengaruh dadah.
Mengapa masih ada manusia yang tidak bertanggungjawab seperti ini? Apakah yang ada dalam benak fikiran ketika itu?
Walau apa jua jawapan yang diberikan, nasi sudah menjadi bubur. Dua nyawa telah melayang angkara tindakan tidak bertanggungjawab itu.
Hukuman berat jika bersalah
Hari ini, sebaik penulis membaca laporan akhbar bahawa tertuduh telah didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Shah Alam membuktikan masih ada sinar keadilan di negara ini.
Berdasarkan Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tertuduh jika didapati bersalah berdepan hukuman mati.
Mungkin ada yang mempersoalkan tidakkah hukuman ini terlalu berat?
Jawapannya sampai bila kita mesti berdepan dengan sikap pemandu tidak bertanggungjawab di jalan raya?
Jika undang-undang keras tidak dilaksanakan maka, selagi itu akan wujud pemandu bersikap sambil lewa sehingga mengancam keselamatan nyawa orang ramai.
Sudah pasti kita tidak ingin lebih banyak kemalangan berlaku di masa depan angkara sikap lalai dan tidak bertanggungjawab pemandu.
Fakta kes kemalangan
Tanggal 12 September lalu, dua remaja maut selepas kereta jenis Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Mitsubishi Triton dipandu seorang lelaki secara melawan arus.
Insiden berlaku di Kilometer 8.6 Lebuhraya Persekutuan arah Klang ke Kuala Lumpur sekitar jam 1.20 pagi.
Kemalangan menyebabkan Nur Afiqah Abdul Karim, 18, dan Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19, meninggal dunia.
Siasatan mendapati tertuduh iaitu K. Devaaswin, 24, dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.
Bagaimanapun, masih tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Majistret Nur Faizah Abdul Sani menetapkan 21 Oktober untuk sebutan semula kes.
Wartawan yang masih menabung demi sebuah Aventador