Arkib Tag: setel

Setel tawar TreatPoints dan pulangan tunai hingga 8 peratus untuk pengguna kad Maybank Petronas

Aplikasi pembayaran petrol di Malaysia iaitu Setel mengumumkan ganjaran TreatsPoints dan pulangan tunai untuk pelanggan yang membuat pembayaran petrol menggunakan kad kredit Maybank Petronas Visa melalui aplikasi itu.

Menurut Setel, inisiatif ini bukan sahaja memberikan pengalaman pengisian petrol yang terbaik, tetapi juga menggalakkan penjimatan perbelanjaan petrol.

Mulai 1 September 2023, pengguna Maybank Petronas Visa Platinum dan Gold dapat menikmati 5x TreatsPoints pada hari bekerja dan 8x TreatsPoints pada hujung minggu. Mereka hanya perlu memautkan kad kredit mereka dan membuat pembayaran petrol melalui aplikasi Setel.

Sementara itu, pengguna Maybank Islamic Petronas Ikhwan Visa Platinum dan Gold Credit Card-i yang membuat pembayaran petrol menggunakan kad kredit yang dipautkan di aplikasi Setel pula akan mendapat pulangan tunai.

Pengguna kini akan menerima sebanyak 8 peratus pulangan tunai dengan setiap pembayaran petrol yang dilakukan pada hujung minggu, dan sebanyak satu peratus pulangan tunai pada hari bekerja. Tawraan pulangan tunai ini terhad kepada RM50 setiap bulan.

“Kerjasama ini bukan sahaja membantu para pelanggan untuk mendapatkan lebih banyak penjimatan petrol, tetapi juga membuktikan usaha pihak kami dalam memastikan perjalanan dan pengalaman pelanggan kami di jalan raya menjadi lebih mudah dan senang,” kata Mazlin Erawati Ab Manan, Ketua Pegawai Eksekutif Setel.

Untuk maklumat lanjut mengenai ganjaran di atas dan ganjaran menarik yang lain, layari laman sesawang Maybank dan laman sesawang Setel.

Belia dan pelajar Malaysia layak tuntut kredit eBeliaRahmah bernilai RM200 dalam Setel

SETEL baru-baru ini dilantik oleh Kementerian Kewangan untuk salah satu penyedia perkhidmatan e-Dompet untuk program eBeliaRahmah. Usaha itu merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban kewangan serta membudayakan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan belia.

Jadi, mulai 26 Jun hingga 31 Ogos 2023, belia Malaysia berumur 18 hingga 20 tahun atau pelajar Malaysia sepenuh masa yang berdaftar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia layak menuntut kredit eBeliaRahmah RM200 secara ‘one-off’ melalui aplikasi Setel.

Cara memohon

Untuk memohon RM200 kredit e-tunai mulai 26 Jun 2023, belia yang layak perlu memuat turun atau mengemas kini kepada versi terkini aplikasi Setel dan melengkapkan pengesahan akaun melalui e-KYC.

Insentif ini akan dikreditkan ke e-wallet eBeliaRahmah pengguna dalam aplikasi selepas permohonan berjaya, dan akan dimaklumkan melalui notifikasi semerta dan mesej peti masuk aplikasi.

eBeliaRahmah perlu digunakan sebelum 31 Ogos 2023 dan tidak boleh dipindahkan ke akaun e-wallet lain.

“Setel berbesar hati untuk menyokong program eBeliaRahmah, selari dengan tujuan kami untuk memupuk budaya masyarakat tanpa tunai dan mempromosikan transaksi kewangan yang lebih selamat dan efisien,” kata Mazlin Erawati Ab Manan, Ketua Pegawai Eksekutif Setel.

“Diperkasa dengan penerimaan di lebih 1.6 juta kedai runcit di seluruh negara dan di rangkaian stesen minyak terbesar Malaysia yang merangkumi lebih 1,000 stesen Petronas di seluruh negara, belia yang layak memohon eBeliaRahmah melalui aplikasi Setel boleh membeli-belah di kedai runcit yang memaparkan kod QR Setel, DuitNow, dan di mana-mana stesen Petronas.

Setel berharap dapat membantu meringankan beban kewangan belia melalui insentif tambahan kami dan seterusnya menyumbang kepada perkembangan ekonomi bagi perniagaan tempatan dan menyokong peralihan mereka ke arah pembayaran tanpa tunai dengan lancer,” tambahnya.

Pengecaj pantas DC 180kW di R&R Gambang kini beroperasi semula

BERITA baik untuk pemandu kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) yang menghala ke Kuantan atau Pantai Timur. Pengecaj pantas DC Fast Charger 180kW di Petronas hentian Gambang arah Timur kini kembali beroperasi.

Stesen pengecaj itu sebelum ini tidak boleh digunakan kerana menjalani kerja-kerja pembinaan sehingga 19 April. Jadi, ia kini beroperasi semula lebih awal dari tarikh jangkaan. Semasa dalam tempoh pembinaan, pengecaj mudah-alih DC Kempower 22kW digunakan buat sementara.

Pengecaj DC itu adalah di bawah rangkaian Gentari dan mempunyai dua nozel berkapasiti 90kW setiap satu dengan kos penggunaan RM2.20 seminit. Pengecaj-pengecaj ini boleh diaktifkan dengan aplikasi Setel atau JomCharge (kedua-duanya boleh didapati di Google Play Store dan Apple App Store).

Sementara itu, untuk mereka yang memandu pulang ke Kuala Lumpur, Petronas hentian Gambang arah Barat juga mempunyai pengecaj DC 50kW. Pengecaj ini mempunyai kadar RM1.20 seminit dan hadir dengan nozel jenis AC (Type 2) dan DC (CCS dan CHAdeMO).

Aplikasi Setel kini sokong pembayaran menggunakan DuitNow QR

DALAM usahanya untuk menawarkan pengalaman pembayaran yang lebih mudah, aplikasi Setel kini melancarkan fungsi DuitNow QR yang meluaskan lagi penerimagunaan kaedah bayaran tanpa tunai dalam kalangan penggunanya.

Dengan pelancaran ini, aplikasi Setel kini boleh digunakan untuk mengimbas dan membuat pembayaran di mana-mana kedai yang menyediakan kod DuitNow QR.

Bukan itu sahaja, pengguna juga boleh menghantar dan menerima dana melalui DuitNow QR serta menjana kod DuitNow QR mereka sendiri bagi memudahkan pemindahan dana ke e-dompet mereka.

Fungsi ini boleh diakses dengan mudah melalui tab ‘Bayar’ yang terletak di laman utama aplikasi Setel. Pengguna hanya perlu mengetik butang ‘Imbas kod QR’, dan setelah fungsi pengimbas muncul di skrin, imbas kod DuitNow QR yang disediakan. Kemudian, mereka perlu tetapkan jumlah bayaran dan hantar.

Bersempena dengan pelancaran ini, pengguna Setel yang membuat bayaran melalui DuitNow QR akan dapat mengumpul mata ganjaran Mesra bagi setiap transaksi. Mata ganjaran tersebut boleh ditebus untuk pembelian petrol serta pelbagai ganjaran menarik yang lain. Promosi ini sah sehingga 31 Mei 2023.

Mazlin Erawati Ab Manan, Ketua Pegawai Eksekutif Setel berkata, “Integrasi dengan DuitNow QR jelas sekali membuktikan komitmen kami untuk menawarkan perkhidmatan yang terbaik, khususnya bagi demografik pelanggan kami yang paling utama, iaitu pengguna kenderaan.

Sambil itu, kami terus berusaha untuk menjadikan Setel lebih inklusif dan mudah diakses oleh ramai lagi pelanggan bagi kegunaan runcit dan lain-lain.”

Setel kini tawar ciri bantuan auto – penukaran bateri dan tayar, jump-start dan lain-lain

APLIKASI Setel kini tidak lagi terhad kepada pengisian petrol sahaja. Terbaru, pengguna aplikasi itu boleh mendapatkan perkhidmatan bantuan auto seperti menukar bateri, ‘jump-start’, menukar tayar, bantuan mengisi minyak kecemasan, membuka kenderaan terkunci serta menunda.

Menurut Setel, kemudahan ini boleh diakses oleh pengguna pada bila-bila masa dan bantuan akan dihulurkan dalam kadar segera.

Lebih menarik lagi, bagi setiap transaksi ini, pengguna Setel juga dapat memperoleh mata ganjaran Mesra yang boleh digunakan untuk menebus petrol dan pelbagai ganjaran menarik yang lain.

Mazlin Erawati Ab Manan, Ketua Pegawai Eksekutif Setel berkata, “Kemudahan bantuan kenderaan ini menyenangkan pengguna kenderaan dengan akses ke atas pelbagai aneka keperluan di hujung jari mereka. Usaha sama dengan Bateriku.com ini dapat mempercepatkan usaha pemberian bantuan kepada pengguna Setel yang terkandas, mengurangkan stres yang dialami oleh mereka.”

Untuk menggunakan perkhidmatan bantuan auto, pengguna hanya perlu menekan butang ‘Auto Assistance’ di laman utama aplikasi Setel. Selepas menekan butang ini, pengguna akan dapat melihat semua jenis bantuan yang ditawarkan berserta harga.

Selepas memilih bantuan yang dikehendaki, pengguna perlu memasukkan lokasi, info tambahan seperti mercu tanda dan warna kenderaan,nombor pendaftaran serta jenama dan mode kenderaan. Bantuan akan dihantar ke lokasi selepas pengesahan dilakukan.

Azarol Faizi bin Zakaria Ansari, Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku.com menambah, “Pertambahan bilangan kenderaan di jalan raya semakin meningkat. Justeru itu, sebagai pembekal perkhidmatan bantuan tepi jalan nombor 1 di negara, misi kami adalah untuk menjadikan perkhidmatan kami lebih mudah dimanfaatkan oleh semua pengguna kenderaan di Malaysia, melalui inisiatif integrasi API dengan pelbagai aplikasi mobil seperti Setel.

Setakat ini, Bateriku.com telah memberi khidmatnya kepada hampir satu juta pelanggan di seluruh negara dan kejayaan ini ditunjangi oleh ekosistemnya yang inklusif yang terdiri daripada juruteknik gig (Bhero), usahawan (BPpreneur), rakan bengkel (BBuddy) dan 130 buah outlet fizikal Bateriku.com di seluruh negara. Kami berbesar hati untuk menawarkan solusi bantuan tepi jalan kami secara langsung buat pengguna Setel, dan kami juga komited untuk membekalkan pengalaman kepenggunaan yang terbaik.”

Setel kini dengan fungsi pengisian satu ketik ‘One-Tap Fuelling’

BAGI menaik taraf pengalaman mengisi petrol, Setel telah memperkenalkan fungsi ‘One-Tap Fuelling’ yang membolehkan pengguna mengaktifkan pam petrol dengan satu ketik sahaja di mana-mana stesen Petronas seluruh negara.

Solusi yang pertama seumpamanya ini disediakan sekarang untuk 1,000 pengguna Setel pertama yang berdaftar di seluruh negara, dan ketersediaannya akan diperluaskan secara berperingkat sepanjang dua bulan yang akan datang.

Mazlin Erawati Ab Manan, Ketua Pegawai Eksekutif Setel berkongsi, “Sejak empat tahun yang lalu, para pengguna setia kami telah menikmati pengalaman mengisi petrol yang lebih memudahkan di stesen-stesen Petronas. Dan kini, pengguna yang biasanya harus membuat beberapa ketikan sebelum dapat mengisi minyak, boleh berbuat demikian dengan satu ketik sahaja menerusi aplikasi Setel.”

 

Pengguna Setel yang berminat juga boleh mendapatkan akses awal dengan memuat naik halaman “Dah Setel So Far” masing-masing dalam bentuk Instagram Story atau Tweet dengan kapsyen: “I want One-Tap Fuelling now”, di samping men-tag @setel dan sertakan tanda pagar #SetelOneTapFuelling.

Mulai hari ini hingga 4 Oktober 2022, pengguna Setel juga berpeluang memenangi kotak hadiah edisi terhad oleh Setel apabila mereka memuat naik video mereka yang paling kreatif di Instagram atau Twitter yang menunjukkan pengalaman mereka menggunakan fungsi ‘One-Tap Fuelling’, berserta dengan tag @setel dan tanda pagar yang sama.

Melalui fungsi tersebut, pengguna Setel dapat menetapkan kuantiti petrol yang ingin diisi – mengikut liter atau tangki penuh, di laman ‘Keutamaan’ semasa mengkonfigurasi fungsi ‘One-Tap Fuelling’.

Pengguna juga boleh menetapkan kaedah pembayaran pilihan masing-masing termasuk CardTerus untuk pembayaran terus atau melalui kad debit atau kredit, serta Setel Share, iaitu kemudahan yang membolehkan pengguna berkongsi Setel Wallet atau CardTerus mereka dengan dua individu lain bagi membuat bayaran sambil bersama-sama meraih mata ganjaran Mesra.

Anda kini boleh caj kenderaan elektrik (EV) guna aplikasi Setel

SEBAGAI langkah ke arah mobiliti yang  lebih inklusif dan lestari, Setel telah memperkenalkan fungsi terbaharunya yang membolehkan serta memudahkan pengguna mengecas kenderaan elektrik (EV) mereka melalui aplikasi Setel.

Pengguna EV dapat menemukan stesen pengecasan pilihan mereka berserta jenis pengecas, dan pengecas tersebut dapat diaktifkan dengan mudah hanya menggunakan aplikasi Setel.

Pembayaran akan dibuat melalui Setel Wallet, lalu pengguna akan menerima mata ganjaran Mesra untuk setiap transaksi.

Mazlin Erawati Ab Manan, Ketua Pegawai Eksekutif Setel berkongsi, “Didorong oleh penerimagunaan EV yang kian berkembang di Malaysia, kami berhasrat untuk meluaskan akses ke atas infrastruktur pengecasan awam di samping memudahkan proses pengecasan bagi pengguna EV, setanding dengan pengalaman mengisi petrol yang ditawarkan oleh Setel kepada para pengguna kenderaan.”

Setel telah bekerjasama dengan JomCharge sebagai pihak penyedia yang pertama, dengan rancangan untuk bekerjasama dengan lebih ramai penyedia EV dalam tempoh terdekat, termasuk Energise oleh Petronas.

Dalam fasa pertamanya, pengguna EV boleh menggunakan aplikasi Setel untuk mengecas kenderaan elektrik mereka di lima lokasi rintis: Lotus’s Tesco Kepong, EV Connection Workshop di Petaling Jaya, Carsome PJ Automall, Rasa Sayang Resort milik Shangri-La di Pulau Pinang serta ibu pejabat ACO Group di Johor Bahru – dan banyak lagi lokasi yang akan menyusul secara berperingkat.

Aplikasi Setel boleh dimuat turun secara percuma di iOS dan Android melalui Apple Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.