fbpx

Hyundai Ioniq 5 mendarat di Malaysia, crossover elektrik dengan kuasa hingga 305PS, harga dari RM199,888

hyundai ioniq 5 thumb 02

SATU lagi kenderaan elektrik (EV) dilancarkan oleh Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) hari ini, iaitu Ioniq 5.

Crossover yang telah memenangi banyak anugerah antarabangsa itu ditawarkan di Malaysia dalam tiga varian dengan harga seperti berikut:

Ioniq 5 Lite: RM199,888 (58.2kW)
Ioniq 5 Plus: RM229,888 (58.2kWh)
Ioniq Max: RM259,888 (72.6kWh)

Macam pernah dengar nama-nama varian ini? Ya, selain seperti iPhone, penamaan varian ini juga sama seperti Hyundai Kona EV yang dilancarkan beberapa bulan lepas.

Harga di atas adalah termasuk jaminan kenderaan 2-tahun atau 50,000km dan jaminan bateri EV untuk 8-tahun atau 160,000km (yang mana dahulu).

Bergantung kepada varian, Hyundai Ioniq 5 hadir dengan dua pilihan pakej bateri iaitu 58kWh (untuk Lite dan Plus) dan 72.6kWh (untuk Max).

Varian dengan 58kWh mendapat satu motor di gandar belakang berkuasa 170PS (125kW) dan 350Nm, menjadikannya sebuah kenderaan rear-wheel drive.

Powertrain ini cukup untuk membantu Ioniq 5 memecut dari pegun ke 100km/j dalam 8.5 saat dan memberikan jarak pemanduan 384km (mengikut kitaran WLTP).

Sementara itu, varian Max yang lebih berkuasa dibekalkan dengan pek bateri 72.6kWh yang menghasilkan 305PS (225kW) dan 605Nm, dan ia mampu mencapai 100km/j dalam hanya 5.2 saat.

Varian ini dilengkapi dua motor elektrik (satu di depan dan satu di belakang) menjadikannya all-wheel drive. Jarak pemanduan pula ialah sehingga 430km untuk setiap caj penuh.

Kelajuan maksima untuk kesemua varian adalah 185km/j.

Bercerita mengenai pengecasan, Hyundai Ioniq 5 boleh dicaj dengan pengecaj pantas DC 350kW yang mampu mencapai tahap bateri dari 10 hingga 80 peratus dalam hanya 18 minit.

Untuk pengecaj AC biasa seperti di rumah pula, masa diambil adalah sekitar lima jam untuk 58kWh dan enam jam untuk 72.6kWh.

Hyundai Ioniq 5 dibina di atas platform E-GMP (Electric-Global Modular Platform) yang khas untuk kenderaan-kenderaan EV Hyundai.

Walaupun nampak seperti sebuah hatchback VW Golf dalam gambar, ia sebenarnya agak besar di depan mata.

Ioniq mempunyai panjang 4,635mm, lebar 1,890mm dan jarak roda 2,828mm iaitu 3mm lebih panjag dari jarak roda Toyota Camry.

SUV elektrik ini didatangkan dengan rim 20-inci untuk Max manakala 19-inci untuk Lite dan Plus.

Dari segi ruang kargo pula, Ioniq 5 mempunyai kapasiti sekitar 527 liter dan boleh diperbesarkan sehingga 1,587 liter. Ia juga mempunyai satu lagi ruang simpanan di depan bersaiz 54 liter.

Untuk kabin, menurut Hyundai, Ioniq 5 menggunakan bahan-bahan yang boleh diperolehi secara mapan, yang juga telah melalui proses-proses mesra alam.

Kelengkapan lain pada Ioniq 5 termasuklah pakej keselamatan Hyundai SmartSense, lampu LED, tempat duduk kulit berkuasa, dan sistem audio Bose dengan tujuh pembesar suara.

Apa pendapat anda dengan EV terbaharu Hyundai ini? Pemilikan kenderaan elektrik semakin realistik?

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved