Arkib Tag: Sepang

Ducati Lenovo Team kembali di Sepang untuk ujian pra-musim 2024

SELEPAS acara Campioni di Pista dan pengenalan pasukan di Campiglio, Itali, kini Francesco Bagnaia dan Enea Bastianini akan beraksi pula di Litar Sepang selama tiga hari untuk ujian pra-musim 2024. Sesi ujian itu akan dijalankan bermula hari ini, 6 Februari hingga Khamis, 8 Februari.

Penunggang ujian, Michele Pirro terlebih dahulu telah membuat sesi ujian pada 1 hingga 3 Februari lepas. Dengan cuaca yang stabil, Pirro dapat membuat ujian terhadap Desmosedici GP, cuba beberapa komponen, dan memulakan kerja pembangunan R&D.

“Semasa sesi ‘shakedown’ yang dijalankan, kami menyempurnakan sebahagian besar pembangunan. Hari pertama kering sepenuhnya, manakala dua hari berikutnya hujan di sebelah petang,” kata Pirro.

“Cuaca panas di Sepang membolehkan kami menjalankan beberapa ujian spesifik. Kami mencuba pakej aerodinamik baharu, enjin baharu, dan membuat kerja asas untuk tiga hari akan datang yang penunggang-penunggang akan jalani,” katanya.

Sementara itu, Bagnaia teruja untuk kembali ke Sepang untuk ujian pertama 2024. “Kami mempunyai tiga hari penting menanti. Diharapkan cuaca membolehkan kami menggunakan sepenuhnya masa yang ada.”

Bastianini pula berkata: “Saya tak sabar untuk kembali beraksi. Sepanjang musim sejuk, saya mempersiapkan diri untuk ujian di Sepang.

“Di Valencia, saya mendapat maklum balas positif, dan terus menyukai jentera baharu. Di sini, kami akan mencuba beberapa komponen baharu, tetapi secara keseluruhan, saya yakin.”

Acara ujian itu akan dijalankan bermula jam 10 pagi hari ini, dengan slot masa selama lapan jam.

Petronas mahu bawa semula F1 ke Sepang pada 2026?

SYARIKAT minyak dan tenaga negara, Petronas, telah menafikan berita berkenaan mereka akan membawa semula Formula Satu (F1) ke Litar Antarabangsa Sepang pada 2026.

Dalam satu kenyataan rasmi, syarikat itu menjelaskan, “Petronas merujuk kepada laporan-laporan berita yang disiarkan pada 31 Januari 2024 berkenaan kemungkinan kembalinya Grand Prix Formula Satu ke Sepang, Malaysia, pada 2026.”

“Kami ingin mengesahkan tiada perbincangan dalam membawa semula sukan itu ke Petronas Sepang International Circuit.”

CEO Sepang International Circuit, Azhan Shafriman Hanif juga menafikan ura-ura itu semalam.

F1 di Malaysia tidak lagi dianjurkan selepas 2017 (kali terakhir) berikutan kenaikan kos penganjuran dan penurunan jualan tiket.

Litar Sepang merupakan litar pertama rekaan Hermann Tilke yang berjaya memasuki kalendar F1. Ia menjadi kegemaran para pemandu disebabkan rekaannya yang mencabar, laju, selain cuaca yang sukar dijangka menjadi penentu semasa perlumbaan.

Ura-ura berkenaan kembalinya F1 ke Malaysia telah timbul hampir setiap tahun sejak 2018, tetapi tiada yang menjadi kenyataan setakat ini.

MotoGP: Marc Marquez yakin akan kemalangan di Sepang

Gresini Racing menjadi pasukan pertama untuk memperkenalkan skuad baharu menjelang Kejuaraan Dunia MotoGP musim 2024 yang akan membuka tirai pada Mac. 

Bagaimanapun, sebelum itu para pelumba akan ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Februari bagi sesi Sepang Shakedown pada 1 hingga 3 Februari dan ujian rasmi pada 6 hingga 8 Februari. 

Fokus ujian kali ini pastinya terarah pada lapan kali juara dunia Marc Marquez yang bakal menguji kemampuan jentera Ducati selepas meninggalkan pasukan Honda pada penghujung musim lalu.

Sehubungan itu, Marquez dalam satu kenyataan selepas perasmian pasukan satelit Ducati itu pada Ahad mengakui tidak sabar untuk menguji jentera Desmosedici GP di Sepang. 

“Ketika (ujian) di Valencia, gaya tunggangan saya agak lancar tetapi saya belum pasti sama ada itu adalah gaya saya bersama Ducati. Pada masa sama, ketika itu saya belum bersedia untuk menunggang secara agresif. 

“Jadi saya tidak sabar untuk menguji jentera di Malaysia dan Qatar yang sememangnya litar sukar bagi saya setiap tahun,” jelasnya. 

Marquez sememangnya terkenal dengan gaya menunggang yang agresif sehinggakan musim lalu, enam kali juara dunia MotoGP itu jatuh 29 kali. 

“Saya perlu mengambil risiko untuk mencari had sebenar jentera dan ini adalah gaya saya. Pada masa sama, untuk menjadi lebih pantas saya perlu mengambil risiki besar. 

“Oleh itu saya yakin akan merekodkan kemalangan pertama di Malaysia atau Qatar. Lebih baik kemalangan ketika sesi ujian berbanding perlumbaan sebenar!” tambah Marquez. 

Pelumba Sepanyol itu akan bersama-sama adiknya, Alex (Marquez) di kem Gresini Racing musim ini. 

Kadar sewa Litar Antarabangsa Sepang naik bermula 1 April

LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) mengesahkan mereka akan menaikkan kadar sewa litar tersebut sebanyak 45 peratus berkuat kuasa 1 April.

Dengan kadar baharu itu, sewaan trek pada hari biasa untuk sesi siang akan meningkat 27 peratus daripada RM55,000 kepada RM70,000, manakala hari hujung minggu naik 32 peratus daripada RM60,500 kepada RM80,000.

Untuk sesi malam pula, kadar sewa pada hari biasa meningkat 41 peratus daripada RM55,000 kepada RM78,000, manakala hari hujung minggu naik 45 peratus daripada RM60,500 kepada RM88,000.

Harga-harga yang disebutkan termasuk bantuan pegawai teknikal dan perubatan, ambulans dan kenderaan pemadam kebakaran, pencuci dan kakitangan keselamatan serta akses kepada kemudahan yang berkaitan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, kenaikan harga itu adalah bagi memastikan litar bertaraf gred satu FIA itu terus beroperasi dengan “standard tertinggi”.

“Sebagai sebahagian daripada komitmen SIC untuk mengekalkan standard tertinggi dalam kemudahan dan perkhidmatan, kami telah mengumumkan pelarasan harga sewa litar dan kemudahan kami yang akan berkuat kuasa pada 1 April 2024,” kata Shafriman.

“Keputusan ini adalah penting untuk mempertahankan kualiti kemudahan kami, meningkatkan perkhidmatan dan memudahkan penambahbaikan berterusan yang akan menyumbang kepada pengalaman pelanggan yang lebih baik,” tambah beliau.

Kenaikan harga ini sudah dijangka sejak Januari tahun lalu apabila Shafriman menyatakan bahawa ia tidak dapat dielakan berikutan peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan. SIC tidak pernah menaikkan harga sewaannya sejak 2013.

SIC anjur MotoGP sehingga 2024, Petronas penaja utama

LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) kekal dalam kalendar Kejohanan Dunia FIM MotoGP sehingga tahun 2024.

Perkara itu disahkan Dorna Sports yang pada masa tidak menolak kemungkinan perjanjian akan dilanjutkan sehingga 2026.

Dorna Sports turut mengesahkan Petronas sebagai penaja utama Grand Prix (GP) Malaysia bagi tiga musim berturut-turut.

Justeru, perlumbaan musim ini di Sepang bakal dinamakan Petronas Grand Prix Malaysia sekaligus memastikan jenama itu terus signifikan dalam sukan permotoran.

Perlumbaan MotoGP mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia. – Foto ihsan Facebook / MotoGP

Kehadiran Petronas dalam bidang sukan permotoran bukan suatu yang asing malah, merupakan pembekal bahan api bagi kelas Moto2 dan Moto3.

Dalam perkembangan sama, SIC berharap para peminat MotoGP kembali memberi sokongan dengan kembali ke litar bagi menyaksikan perlumbaan secara langsung.

Sebelum ini, Malaysia terkeluar daripada kalendar MotoGP selama dua tahun susulan penularan virus Covid-19 yang mengancam seluruh dunia.

Susulan itu, tema GP Malaysia pada tahun ini adalah #WelcomeHome yang menjadi simbolik kepada kebangkitan semula sukan permotoran antarabangsa.

Jadi, kepada semua peminat MotoGP ayuh kita sama-sama memberi sokongan untuk GP Malaysia tahun ini!

MotoGP Sepang Winter Test 2022: Bestianini catat masa terpantas dengan jentera Ducati

PENUNGGANG Ducati Lenovo, Frencesco Bagnaia atau lebih dikenali sebagai ‘Pecco’ mencatatkan masa ke-6 terpantas iatu 1 minit 58.265 saat semasa acara MotoGP Winter Test yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini.

Setelah dua hari beraksi (5 dan 6 Februari 2022) beliau mencatatkan 110 pusingan manakala rakan sepasukan, Jack Miller melengkapkan sebanyak 92 pusingan, berada pada kedudukan yang ke-14 dengan catatan masa 1 minit 58.645 saat.

Sementara itu, catatan masa terpantas keseluruhan diperolehi oleh Enea Bestianini dari Gresini Racing Team dengan 1 minit 58.131 saat.

Jentera Desmoseddici serba baharu dengan kod GP22 pasukan Ducati dijangka memberikan saingan sengit buat pasukan lain memandangkan mereka menjadi juara pengeluar pada musim lepas dengan 433 mata, dan ‘Pecco’ di tempat ke-2.

Sama-sama kita nantikan pelancaran rasmi pasukan Ducati Lenovo bagi musim 2022 yang dijadualkan berlangsung pada hari ini 7 Februari 2022, 11 malam waktu Malaysia. Buat peminat tempatan, anda boleh menyaksikan pelancaran tersebut di ducati.com serta laman Facebook rasmi Ducati.

Seterusnya, mereka akan berada di Litar Mandalika, Lombok, Indonesia pada hujung minggu ini bagi meneruskan jelajah MotoGP ‘Winter Test’.

Marquez ‘si budak nakal’ kian pulih, sedia ke SIC untuk ujian pramusim

PELUMBA pasukan MotoGP Repsol Honda Marc Marquez sedia menghadapi ujian pramusim yang dijadualkan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada bulan depan.

Pelumba kelahiran Sepanyol membuat kenyataan itu seusai ujian jenteranya di Litar Portimao, Portugis.

Jelas Marquez, dirinya kini lebih bersemangat dan tidak lagi menghadapi masalah penglihatan akibat kemalangan sebelum ini.

Pelumba MotoGP Marc Marquez. – Foto ihsan Facebook/Marc Marquez

“Selesai melengkapkan lebih 65 pusingan di Portimao saya yakin telah berada pada tahap terbaik dan bersedia untuk ke Sepang.

“Penglihatan saya kini telah beransur pulih sepenuhnya dan tidak lagi berdepan kesukaran ketika mengendalikan jentera,” katanya.

Sebelum ini, Marquez disahkan mengalami masalah diplopia atau gegaran otak berikutan kemalangan ketika sesi latihan pada tahun lalu.

Ia menyebabkan Marquez mengalami masalah penglihatan yang mana objek yang dilihat kelihatan berganda.

Keadaan menyebabkan Marquez terpaksa menarik diri dalam beberapa siri perlumbaan yang memaksa pasukannya mencari pelumba sementara bagi mengantikan tempatnya.

Sesi ujian rasmi pramusim di SIC akan berlangsung pada 5 sehingga 6 Februari depan.