Arkib Tag: rapidkl

RapidKL sedia bas khas untuk ke MotoGP

BERITA baik bagi anda yang akan ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini untuk menonton acara Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) tetapi tidak mahu memandu, Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) akan menyediakan perkhidmatan bas khas.

Pengendali pengangkutan itu, Rapid KL berkata dalam satu siaran media, bas khas akan disediakan untuk ke SIC dari 10 hingga 12 November ini.

Menurut kenyataan itu lagi, perkhidmatan bas khas itu disediakan di tiga lokasi iaitu Pasar Seni, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan hab bas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.

Tiket bas akan dijual di stesen LRT terpilih iaitu KLCC, Masjid Jamek, Pasar Seni, KL Sentral serta kaunter kad konsesi MyRapid di hab bas Pasar Seni dan kaunter 10 Hab Pengangkutan KLIA Terminal 2.

“Selain itu, pembelian tiket juga boleh dibuat secara dalam talian mulai 28 Okt (Sabtu) di laman shop.myrapid.com.my. Para pengunjung dinasihatkan untuk membeli tiket lebih awal bagi menggelakkan beratur panjang ketika hendak ke SIC,” menurut kenyataan itu.

Rapid Bus turut memaklumkan pihaknya akan menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma di dalam kawasan SIC ketika berlangsungnya MotoGP itu.

Laluan bas di Lembah Klang akan diintegrasikan, bilangan ditambah – Anthony Loke

KEMENTERIAN Pengangkutan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan menyelaraskan laluan perkhidmatan bas di Lembah Klang supaya lebih berintegrasi pada masa depan.

Gambr oleh: Facebook Rapid KL

Menterinya, Anthony Loke berkata ketika ini, terdapat tiga operator berlainan yang mengendalikan perkhidmatan bas di Lembah Klang iaitu Rapid Bus, bas percuma GoKL oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan bas Smart Selangor oleh kerajaan Selangor.

“Kita perlu selaraskan supaya laluan-laluan (bas) itu lebih berintegrasi, tidak overlap (bertindih) antara satu sama lain.

“Kita berharap bahawa integrasi dan kerjasama ini dapat membantu menyediakan mutu perkhidmatan bas yang lebih lancar, efisien dan bilangan penumpang juga dapat ditambah,” katanya.

Loke berkata buat masa ini, sebanyak 724 bas beroperasi di Lembah Klang setiap hari, iaitu satu jumlah yang kecil, berbanding keperluan hampir 4,000 bas bagi perkhidmatan yang efisien.

Bagaimanapun, beliau berkata Rapid Bus akan terus berusaha menambah bilangan itu dan dianggarkan 1,000 bas akan dapat beroperasi setiap hari menjelang akhir tahun ini.

“Sekarang ada 150 buah bas Rapid KL yang masih diselenggarakan dan boleh kembali untuk perkhidmatan.

“Selain itu, kita juga sedang melantik operator bas baharu, umpamanya laluan yang tidak mencukupi bas kita akan outsource kepada operator lain,” tambahnya.

Mengenai operasi lorong bas yang telah dimulakan sejak Julai lepas itu, Loke berkata terdapat peningkatan jumlah penumpang sebanyak 12 peratus, iaitu daripada 12,936 kepada 14,523 penumpang setiap hari dengan penjimatan masa perjalanan kira-kira 20 minit berbanding penggunaan kereta persendirian.

“Dari segi pengamatan saya, walaupun ada lorong bas, masih banyak kereta yang mengikuti lorong bas, mereka pada permulaannya terpaksa keluar dari lorong bas itu kerana ada anggota penguat kuasa di depan untuk masuk lorong kanan.

“Tetapi banyak kereta persendirian selepas melalui kira-kira 500 meter, mereka masuk kembali ke kiri (lorong bas) dan itu kadangkala menyusahkan bas kerana masih ada kereta.

“Perkara ini akan dibincangkan lagi pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet atasi kesesakan jalan raya pada bulan depan,” terangnya.

Pada 3 Julai lepas, DBKL dengan kerjasama Rapid Bus melaksanakan projek percubaan lorong bas iaitu Laluan 300 dari Pandan Indah hingga Lebuh Ampang dan Laluan 303 membabitkan laluan dari Taman Mulia Jaya hingga Lebuh Ampang.

Lorong bas yang beroperasi dari Isnin hingga Jumaat bermula 6 pagi hingga 9 pagi itu memberi manfaat kepada komuniti di sekitar koridor Jalan Ampang yang ingin memasuki pusat bandar raya untuk bekerja.

Laluan LRT Kelana Jaya ditutup hingga 15 November, RapidKL sediakan bas perantara percuma

RapidKL, pengurus perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang pagi ini mengumumkan bahawa mereka terpaksa menutup operasi 16 stesen LRT laluan Kelana Jaya. Ia akibat masalah yang timbul sejak hari Sabtu, 5 November lepas dan tidak dapat diselesaikan lagi.

RapidKL menetapkan tarikh penutupan selama seminggu, bermula hari ini 9 November sehingga hari Selasa, 15 November 2022. 16 stesen yang terlibat dalam penutupan operasi ini adalah:

Ampang Park
KLCC
Kampung Baru
Dang Wangi
Masjid Jamek
Pasar Seni
KL Sentral
Abdullah Hukum
Bangsar
Kerinchi
Universiti
Taman Jaya
Asia Jaya
Taman Paramount
Taman Bahagia
Kelana Jaya

Selain ini, LRT masih boleh beroperasi iaitu dari stesen Putra Heights (KJ37) sehingga stesen Lembah Subang (KJ25). Serta dari Stesen Damai (KJ8) sehingga stesen Gombak (KJ1). Bagaimanapun, masa perkhidmatan untuk stesen yang masih beroperasi ditamatkan lebih awal, iaitu dari 6 pagi sehingga 11 malam.

Untuk membantu warga kota bergerak, RapidKL akan menyediakan bas perantara percuma melalui 5 laluan iaitu:

Stesen Ara Damansara (KJ26) ke Stesen Pasar Seni (KJ14)
Stesen Ara Damansara (KJ26) ke Stesen Kelana Jaya (KJ24)
Stesen Kelana Jaya (KJ24) ke Stesen Pasar Seni (KJ14)
Stesen Pasar Seni (KJ14) ke Stesen Masjid Jamek (KJ13)
Stesen Masjid Jamek (KJ13) ke Stesen Damai (KJ8)

Buat sementara ini, pengguna dinasihatkan untuk mencari alternatif untuk bergerak di bandar. Anda boleh menyemak laluan bas kendalian RapidKL di sini, untuk merancang perjalanan.

Dalam kenyataan RapidKL semalam, masalah di LRT laluan Kelana Jaya ini berpunca daripada sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) yang tidak stabil, pertama kali berlaku pada hari Sabtu lepas. Pada waktu itu, tren terpaksa dipandu secara manual di antara Stesen KLCC dan Stesen Ampang Park serta tren berhenti lebih lama di platform.

Masalah ini telah diselesaikan pada awal pagi Ahad, 6 November tetapi ia kembali terjadi pada hari Isnin, 7 November 2022. RapidKL telah mendapatkan bantuan pihak Thales Group di Kanada selaku pengilang peralatan asal (OEM) untuk menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar gangguan tersebut.

Tambang percuma selama sebulan untuk LRT, MRT – PM

RAKYAT Malaysia akan dapat menikmati tambang percuma selama sebulan untuk semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL.

Ini merangkumi MRT, Transit Aliran Ringan (LRT), Bas Rapid Transit (BRT), monorel dan bas RapidKL.

Berita gembira itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini Menteri sempena pembukaan rasmi Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu.

“Kita memahami tentang kesusahan rakyat terutama dengan peningkatan harga barang yang membebankan, dan kos sara hidup meningkat,” katanya.

“Oleh itu, sempena pembukaan rasmi MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu, saya dengan sukacitanya mengumumkan pemberian perkhidmatan percuma bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL iaitu MRT, LRT, BRT, Monorel serta bas RapidKL selama sebulan bermula hari ini.

Gambar oleh: Malay Mail

“Saya berharap Keluarga Malaysia yang terlibat mengambil kesempatan mencuba perkhidmatan pengangkutan awam ini dan meletakkan kenderaan masing-masing di Park N Ride dan #JomNaikMRT,” tambah Ismail.

Mengulas lanjut, melalui penyediaan kemudahan laluan MRT Putrajaya, Perdana Menteri berkata ia akan terus menjadi pemangkin ke arah mengeratkan hubungan antara komuniti penduduk terutamanya yang tinggal berdekatan dengan jajaran.

“Melalui pembukaan laluan ini, kerajaan yakin kawasan sepanjang jajaran seperti Jinjang, Sungai Buloh, Kepong dan Bandar Sri Damansara akan membangun lebih pesat, setara dengan kawasan-kawasan di bandar lain.

“Laluan ini juga dijangka mencetus dan merancakkan semula pembangunan di kawasan-kawasan yang lama atau yang belum dibangunkan sebelum ini,” katanya.

MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu sepanjang 17.5 kilometer (km) meliputi 12 stesen termasuk tiga stesen yang pada asalnya sebahagian daripada MRT Laluan Kajang dibuka kepada orang ramai mulai jam 3 petang ini.

RapidKL perjelas isu gerabak LRT lama Ampang dan Sri Petaling terbiar di Ulu Yam

PERNAH terfikir apa terjadi pada gerabak LRT lama Ampang dan Sri Petaling yang digantikan lima tahun dulu? Nampaknya kebanyakan darinya ditinggalkan dan terbiar di satu kawasan lapang di Ulu Yam.

Youtuber Heart Patrik merakamkan video ‘tanah perkuburan’ LRT itu dengan dron yang dimuatnaik kira-kira dua minggu lalu. Menurut keterangan, Heart Patrick ternampak satu pemandangan menyedihkan selepas sejam memandu di sekitar ladang sayur dan tasik.

Kemudian, semakin ramai orang menjumpai lokasi itu dan beberapa video dimuatnaik baru-baru ini. Dikatakan 73 gerabak ditinggalkan di tapak itu.

Dari video-video tersebut, dapat dilihat bahawa gerabak-gerabak itu telah ditinggalkan agak lama hingga terdapat pokok-pokok yang tumbuh di sekelilingnya.

Selepas video-video itu tular, Rapid KL mengeluarkan satu kenyataan bagi menjelaskan status gerabak lama itu.

Mereka mengesahkan bahawa LRT lama itu bukan lagi milik Prasarana dan hak milik telah dipindahkan kepada CSR-ZhuZhou pada 2014 yang merupakan sebahagian dari program beli-semula bagi menggantikan tren laluan Ampang dan Sri Petaling.

Ia menambah bahawa CSR-Zhuzhou telah melupuskan dan menjual tren-tren itu pada 2016 kepada satu lagi pihak ketiga yang meletakkannya di kawasan persendirian di Ulu Yam.

Prasarana Malaysia Berhad tidak mengeluarkan sebarang komen lanjut disebabkan ianya bukan lagi aset atau tanggungjawab mereka. Tidak disebutkan juga siapa pemilik baharu tetapi memasuki tanah persendirian itu tanpa kebenaran dikira sebagai menceroboh.

Sumber: UniKL

Jika anda mahu lihat sebuah gerabak LRT jenis Adtranz-Walkers itu dalam keadaan baik, sebenarnya terdapat satu unit yang kini dipamerkan di Asia Rail Centre, Universiti Kuala Lumpur (UniKL). Unit itu diserahkan pada Januari 2018 sebagai satu program kerjasama industri oleh kerajaan Malaysia.

Sumber: Berita Harian

Kenderaan rel ringan (LRV) buatan Adtranz dikeluarkan oleh Walkers Limited, Australia dan ia berkhidmat di laluan Ampang dan Sri Petaling (dikenali sebagai STAR LRT) dari 1996 hingga 2016.

RapidKL mula ujian bas mini Hino Poncho sekitar KL

RAPID Bus dan Hino Motor Sales bekerjsama memulakan percubaan dengan bas mini Hino Poncho di laluan lebih mencabar sekitar Kuala Lumpur (KL). Ini susulan dari percubaan pertama selama dua bulan pada 2019.

Bas mini Hino Poncho dengan pajang 7 meter dan berlantai rendah itu sesuai untuk akses ke jalan-jalan sempit dan sesak.

Percubaan kedua ini akan berjalan hingga April 2022 dengan laluan T180 (Taman Dato’ Senu – Chow Kit) dan 302 (Titiwangsa – KLCC).

Di Jepun, lebih 2,000 unit Hino Poncho beroperasi di jalan-jalan sibuk serta kawasan perumahan yang lebih senyap.

Selain panjang cuma 7 meter, bas mini ini dengan overhang depan dan belakang yang pendek memudahkannya membuat pusingan tajam di jalan-jalan sempit.

Lantai rendah pula menjadikan Hino Poncho ini mesra kepada warga emas, kanak-kanak dan penumpang berkerusi roda. Ketinggiannya juga boleh dilaras sebanyak 50mm untuk memudahkan penumpang turun dan naik.

Hino Poncho dikuasakan oleh enjin cekap Euro-V dengan sistem suntikan bahan api common-rail dan kotak gear automatik 5-kelajuan.

Enjin ini juga tidak memerlukan cecair tambahan seperti AdBlue, manjadikan kos operasi dan penyelenggaraannya lebih rendah.