fbpx

Rapid KL dan DBKL mula projek percubaan lorong bas

rapid kl dbkl bas 01

RAPID Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan projek perintis percubaan (pilot project) penguatkuasaan lorong bas di sekitar bandaraya Kuala Lumpur.

Bakal berlangsung selama dua bulan bermula 1 Mac hingga 30 April depan, inisiatif berkenaan adalah untuk mengurangkan masa perjalanan dan menilai tahap pengalaman perjalanan penumpang bas Rapid KL.

Gambr oleh: Facebook Rapid KL

Ia juga akan menilai keselamatan penumpang melalui kebolehlaksanaan penggunaan laluan bas berkenaan.

Lorong bas ini akan beroperasi setiap hari bermula jam 6:00 pagi hingga 8:00 malam (kecuali hari minggu dan cuti umum).

Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh operator bas berkenaan, antara jalan-jalan yang terlibat adalah Jalan Raja Laut, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Dang Wangi.

Bagi projek perintis percubaan ini, laluan bas Rapid KL yang beroperasi dan terlibat di jalan-jalan terbabit adalah seperti berikut:

  1. Laluan 171: Hab Wira Damai – Lebuh Ampang via Sentul.
  2. Laluan 173: Taman Jasa Utama – Lebuh Ampang.
  3. Laluan 180: Taman Dato’ Senu – Hab Pasar Seni.
  4. Laluan 190: Hab Desa Sri Hartamas – Lin Jo Jalan Lekiu.
  5. Laluan 191: Terminal Sri Segambut – Monorel Chow Kit.

“Projek perintis percubaan ini adalah usahasama bagi memudahkan pergerakan bas Rapid KL untuk tiba ke destinasi dengan lebih cepat tanpa perlu bersesak dengan kenderaan lain, sekali gus menjimatkan masa para penumpang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Encik Mohammad Yazurin Sallij.

“Ia juga dapat menjamin keselamatan pengguna perkhidmatan bas Rapid KL ketika menaiki atau turun dari bas kerana dapat berhenti di perhentian bas yang dikhaskan; tanpa kemungkinan ada kenderaan persendirian berhenti atau meletakkan kenderaan mereka di perhentian bas atau bahu jalan.

“Ini juga dapat mengurangkan risiko kemalangan yang melibatkan pengguna perkhidmatan bas dengan kenderaan persendirian apabila bas terpaksa berhenti di tengah jalan bagi menurunkan atau mengambil penumpang,” tambah Mohammad.

Beliau berharap sepanjang tempoh projek printis percubaan ini dilaksanakan, para pengguna jalan raya lain akan mematuhi peraturan dan tidak menggunakan lorong berkenaan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved