Arkib Tag: Puspakom

JPJ akan buka permohonan servis pemeriksaan kenderaan, tiada lagi monopoli Puspakom?

BERMULA Jun depan, mereka yang mahu membuat servis pemeriksaan kenderaan boleh memohon lesennya dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Katanya, ia adalah usaha memupuk persaingan dalam industri ini.

Anthony Loke. Gambar oleh: Malay Mail

“Dengan membuka industri ini, kita berharap dapat menarik minat pelabur, memacu pertumbuhan teknologi baharu dalam industri, dan mencipta persaingan sihat yang akan memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Loke kemudiannya berkongsi garis panduan dan keperluan terbaharu untuk VISP (Vehicle Inspection Service Provider). Antaranya adalah had lokasi VISP yang akan ditetapkan oleh kementerian, kata Loke.

“VISP ini pada awalnya akan dibuat di dua lokasi, satu di kawasan bandar dan satu lagi di luar bandar.

“VISP ini kemudiannya akan dikehendaki untuk membangunkan dan beroperasi di kedua-dua lokasi secara serentak.

“Dengan ini, matlamat utama adalah bagi memastikan setiap negeri, dan sebolehnya setiap kawasan, ada sekurang-kurangnya satu VISP,” tambahnya.

Loke berkata VISP akan memerlukan sekurang-kurangnya modal RM10 juta dan kos operasi RM5 juta bagi memastikan kelancaran perniagaan itu.

Beliau turut menambah bahawa VISP tidak akan dibenarkan untuk menawarkan khidmat baik pulih, modifikasi, jualan alat ganti, atau jualan kenderaan.

Mereka yang berminat boleh membuat pendaftaran di sini: https://bit.ly/pemeriksaankenderaan.

PUSPAKOM perkenal program PAR untuk cegah manipulasi orang tengah

DALAM usaha untuk memperkukuhkan integriti dan mengekalkan tahap amalan tertinggi di dalam semua urusan perniagaan, PUSPAKOM Sdn Bhd telah melancarkan program Wakil Pelanggan Yang Diluluskan oleh PUSPAKOM atau PUSPAKOM Approved Customer Representative (PAR).

Syarikat itu berkata, lazimnya ramai pelanggan mereka menggunakan khidmat orang tengah atau runner bagi urusan pemeriksaan kenderaan.

Bagaimanapun, ada segilintir runner yang memanipulasi, mengenakan caj perkhidmatan yang tinggi dan memberi maklumat palsu kepada pelanggan.

Pelanggan kemudiannya membuat aduan dan ini telah memberi persepsi buruk terhadap imej PUSPAKOM.

Menerusi pengenalan PAR, syarikat itu berharap dapat mengatasi isu-isu negatif dan amalan tidak beretika oleh sesetengah runner ini.

Dengan kerjasama pihak berkuasa, PUSPAKOM akan menjalankan saringan latar belakang bagi semua runner dan hanya mereka yang lulus saringan akan didaftar sebagai PAR.

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Shukor Ismail berkata, “Program PAR ini adalah satu inisiatif bagi mewujudkan suatu persekitaran yang positif dan situasi yang telus dan beretika bagi pihak-pihak yang berurusan di PUSPAKOM.

Walau bagaimanapun, beliau masih mengalu-alukan orang ramai untuk hadir sendiri ke pusat pemeriksaan PUSPAKOM kerana inisiatif ini tidak berniat untuk menafikan hak pelanggan untuk hadir sendiri.

Pelanggan yang ingin menggunakan khidmat orang tengah digalakkan untuk mendapatkan khidmat PAR melalui senarai PAR di www.puspakom.com.my.

Nak balik kampung? Periksa dulu kenderaan anda di Puspakom, percuma je!

PUSAT Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) menganjurkan kempen Pemeriksaan Kenderaan Sukarela Secara Percuma kepada semua pemandu dan pemilik kenderaan persendirian bermula esok hingga 20 April.

Inisiatif ini adalah sebagai langkah memastikan keselamatan pemanduan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohammed Shukor Ismail berkata: “Pemilik kenderaan yang ingin mendapatkan pemeriksaan percuma boleh hadir secara terus ke mana-mana cawangan Puspakom di seluruh negara kecuali Shah Alam (Selangor), Taman Bukit Maluri (Kuala Lumpur) dan Pasir Gudang (Johor) dari 8 pagi hingga 5 petang.”

Beliau berkata Unit Pemeriksaan Bergerak juga ditawarkan bagi pemeriksaan percuma di beberapa lokasi terpilih yang disenaraikan dalam laman web www.puspakom.com.my atau Facebook, Puspakom Sdn Bhd.

Foto oleh: Facebook/Puspakom Sdn Bhd

Menurut Mohammed Shukor pemeriksaan secara sukarela itu tertumpu kepada aspek keselamatan termasuk pemeriksaan brek, pelincir sisi, tayar, asap, lampu, bahagian bawah dan atas kenderaan serta cermin gelap.

“Kempen ini bertujuan membantu pemilik kenderaan mengetahui kondisi kenderaan mereka melalui pemeriksaan yang menggunakan peralatan komputer, yang seterusnya maklumat ini mereka boleh gunakan sebagai rujukan untuk melakukan penyelenggaraan yang sewajarnya,” katanya.

Tiada lagi monopoli PUSPAKOM bermula September 2024 – Menteri Pengangkutan

PERKHIDMATAN pemeriksaan berkala kenderaan motor yang diwajibkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) selepas ini tidak akan dihadkan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) sahaja.

Gambar: Facebook/Puspakom Sdn Bhd

Sebaliknya, ia akan dibuka kepada pihak berkelayakan dan memenuhi syarat ditetapkan selepas konsesi semasa kepada PUSPAKOM tamat pada 31 Ogos 2024.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata: “Perkara yang diputuskan Jemaah Menteri 17 Mac lalu menyaksikan tiada lagi monopoli PUSPAKOM sebagai penyedia pemeriksaan berkala kenderaan motor berkuat kuasa 1 September 2024.”

Tambahnya, proses pelawaan kepada pihak yang berminat dalam menyediakan perkhidmatan akan dibuka selewat-lewatnya suku pertama 2024.

“Keputusan ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan persekitaran perkhidmatan yang berdaya saing serta memudahkan seluruh rakyat.

“Serentak itu kami turut mempelawa pihak yang berminat dan memenuhi syarat untuk membuat permohonan yang bermula selewatnya suku pertama tahun depan, jadi tiada lagi soal monopoli,” katanya.

Loke berkata, bagi melaksanakan keputusan itu, kementeriannya bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membangunkan syarat kelayakan, peraturan pengoperasian, skop perkhidmatan, penetapan lokasi pemeriksaan dan garis panduan bagi pihak lain yang berminat menyediakan perkhidmatan pemeriksaan itu.

Menurutnya, bagi memastikan keseragaman peraturan dan keadilan dalam aspek persaingan, pihak yang berminat akan diwajibkan untuk memenuhi semua syarat dan peraturan sama yang telah dikenakan kepada PUSPAKOM di bawah Perjanjian Konsesi.

Puspakom umum jadual perkhidmatan unit bergerak bagi Mac

Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) telah mengeluarkan jadual perkhidmatan unit bergeraknya bagi bulan Mac.

Menerusi poster dikeluarkan, unit berkenaan akan berada di beberapa negeri termasuk Perak, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Selain negeri di Semenanjung Malaysia, beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak juga bakal menerima perkhidmatan unit bergerak Puspakom.

Antara kawasan berada dalam senarai Puspakom termasuk Ranau, Kudat, Kota Belud, Kunak, Kapit, Limbang dan Marudi.

Perkhidmatan bergerak ini bertujuan memberi perkhidmatan kepada pelanggan menetap di kawasan pendalaman serta jauh dari cawangan Puspakom.

Pelanggan boleh menikmati pelbagai perkhidmatan disediakan termasuk pemindahan pemilikan dan pemeriksaan kenderaan rutin.

Terdahulu, Puspakom memaklumkan pelanggan boleh berkunjung terus ke lokasi dinyatakan tanpa perlu membuat temu janji dalam talian.

Operasi akan berjalan bermula jam 8 pagi sehingga 6 petang.

Justeru, para pelanggan diminta untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini.

Moratorium lesen, cukai jalan dilanjutkan sehingga 31 Disember

MENTERI Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengesahkan lanjutan tempoh moratorium pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM).

Jelas Wee, ia dilanjutkan hingga 31 Disember 2021 selepas mengambil kira maklum balas orang ramai.

Kementerian Pengangkutan juga bersetuju membuka semula kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dengan kapasiti 100 peratus bermula 6 September.

“JPJ akan menghentikan sistem janji temu dalam talian. Pelanggan yang ingin berurusan di kaunter mesti telah mendapat vaksinasi lengkap,” katanya.

Wee ditemui pemberita pada sidang media di Kementerian Pengangkutan dekat Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Wee berkata pemilik LKM yang telah tamat tempoh sah perlu memastikan kenderaan masing-masing dilindungi insurans sah.

Pemilik hendaklah menunjukkan sijil perlindungan insurans jika diarahkan pihak berkuasa bagi tujuan pemeriksaan.

Pada masa sama, orang ramai juga digalakkan menggunakan perkhidmatan dalam talian bertujuan mengelakkan kesesakan di kaunter JPJ.

Puspakom Glenmarie, Johor Bahru ditutup sementara

ORANG ramai berhasrat menggunakan perkhidmatan Puspakom Sdn Bhd cawangan Glenmarie dan Johor Bahru diminta menangguhkan terlebih dahulu niat tersebut.

Ini kerana kedua-dua cawangan itu ditutup seketika bagi pelaksanaan proses sanitasi dan disenfeksi.

Penutupan sementara turut melibatkan perkhidmatan bergerak di Johor sehingga tempoh diberitahu kelak.

Pelanggan telah membuat temujanji pemeriksaan di cawangan terlibat akan menerima pembayaran semula secara automatik.

Puspakom turut mencadangkan pelanggan yang ingin juga mendapatkan perkhidmatan mereka ke cawangan terdekat lain.

“Pelanggan telah membuat temujanji di cawangan Glenmarie dibenarkan hadir pemeriksaan secara walk-in di Puspakom Padang Jawa atau Petaling Jaya.

“Manakala, bagi cawangan Johor Bahru pelanggan boleh hadir ke cawangan alternatif iaitu Puspakom Pasir Gudang, Senai atau Kluang.

“Pelanggan perlu menunjukkan bukti slip temujanji pemeriksaan cawangan yang terlibat dengan penutupan,” memetik kenyataan Puspakom.

Terdahulu, Puspakom berkata walaupun pemeriksaan secara walk-in dibenarkan namun, pelanggan tetap digalakkan membuat temujanji bagi mengelak berlaku kesesakan.

Pelanggan juga diminta untuk mengabaikan Peringatan Temujanji MyPUSPAKOM jika menerimanya sepanjang tempoh penutupan cawangan.

Puspakom seluruh Selangor, Lembah Klang mula operasi

PERKHIDMATAN Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) seluruh Selangor mula beroperasi, hari ini.

Pengoperasian pusat itu termasuk perkhidmatan bergerak Puspakom seluruh Lembah Klang dan melibatkan semua jenis pemeriksaan kenderaan.

Puspakom dalam satu kenyataan berkata, pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan perlu membuat temu janji secara dalam talian.

“Pelanggan yang ingin menjalani pemeriksaan kenderaan wajib membuat janji temu secara dalam talian sebelum hadir ke Puspakom.

“Pemeriksaan secara jumpa terus tidak dibenarkan.

“Pelanggan yang hadir pemeriksaan disarankan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” memetik satu kenyataan, semalam.

Bagaimanapun, Puspakom memaklumkan perkhidmatan di Batu Caves masih belum dibuka pada hari ini.

Pihak Puspakom menjangkakan cawangan Batu Caves akan mula beroperasi pada 21 Julai ini.

Sebelum ini, Puspakom telah menutup semua cawangannya di Selangor berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Lanjutan percuma satu tahun untuk kenderaan perkhidmatan awam – MOT

KEMENTERIAN Pengangkutan Malaysia (MOT) akan memberi pelanjutan selama satu tahun secara automatik kepada mana-mana kenderaan perkhidmatan awam yang telah mencapai had usia maksima penggunaan seperti ditetapkan di dalam syarat lesen/permit kenderaan.

Gambar oleh: Malaymail

Inisiatif ini adalah demi membantu pemain-pemain industri pengangkutan awam khususnya pemilik teksi, bas sekolah dan bas persiaran dalam mengharungi waktu sukar akibat pandemik Covid-19.

Lanjutan ini juga adalah termasuk kepada yang telah mendapat lanjutan dalam tahun 2020 sebelum ini.

Pelanjutan ini tertakluk kepada kenderaan terlibat menjalani dan lulus pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM, serta mencapai had usia maksima penggunaan untuk tempoh bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2021.

Keputusan ini diambil susulan sesi perbincangan antara MOT bersama persatuan dan pengendali termasuklah Persekutuan Persatuan-persatuan Bas Sekolah Malaysia, Pan Malaysia Bus Operators Association (PMBOA), Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Semenanjung Malaysia (PPBPSM), Gabungan Teksi Semenanjung Malaysia (GTSM), Koperasi Melayu Teksi Pulau Pinang, Persatuan Teksi India Wilayah Persekutuan dan Persatuan Kereta Sewa Hulu Selangor.

Diharapkan dengan pelanjutan had usia penggantian kenderaan selama setahun secara automatik ini dapat memberi kelegaan kepada industri pengangkutan awam seterusnya kembali pulih serta terus berdaya saing untuk tempoh panjang demi manfaat rakyat serta negara secara keseluruhannya.

PKPD: Puspakom seluruh Selangor ditutup kecuali di Sungai Besar

PUSAT Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) seluruh Selangor ditutup sehingga 16 Julai berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Puspakom dalam satu kenyataan berkata, penutupan meliputi perkhidmatan bergerak di Lembah Klang.

“Bagi pelanggan yang telah membuat janji temu di cawangan Puspakom yang tidak beroperasi, bayaran janji temu akan dikembalikan secara automatik,” memetik kenyataan itu.

Bagaimanapun, Puspakom cawangan Sungai Besar tidak terlibat dengan proses penutupan sementara itu.

Semua pusat pemeriksaan Puspakom seluruh negara termasuk perkhidmatan bergerak yang tidak berada dalam kawasan PKPD kekal beroperasi seperti biasa.

Namun, tiada pemeriksaan secara “walk-in” di pusat pemeriksaan sebaliknya hanya pelanggan mempunyai janji temu  dibenarkan melakukan pemeriksaan kenderaan mengikut tarikh, masa dan tempat dipilih.

Mereka yang hadir semasa pemeriksaan disaran mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ia termasuk mengimbas aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis.

Segala maklumat mengenai operasi Puspakom bergantung kepada pengumuman terkini kerajaan.

Orang ramai boleh mengikuti Facebook Puspakom Sdn Bhd atau melayari www.puspakom.com.my untuk maklumat terkini.

PKPD: Operasi Puspakom Seremban ditutup

PARA pelanggan ingin mendapatkan perkhidmatan Puspakom Sdn Bhd cawangan Seremban diminta menangguhkan niat tersebut buat seketika.

Ini kerana Puspakom cawangan itu ditutup sementara berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Memetik kenyataan Puspakom, cawangan itu akan ditutup sepanjang tempoh tersebut.

“Semua bayaran temujanji yang telah dibuat akan dikembalikan secara automatik,” memetik kenyataan Puspakom.

Daerah Seremban dikenakan PKPD bermula hari ini hingga 22 Julai 2021.

Sebarang maklumat sila layari laman web www.puspakom.com.my.

Foto ihsan Facebook/Puspakom Seremban

Puspakom KK ditutup, kakitangan positif Covid-19

PUSPAKOM Sdn Bhd (Puspakom) cawangan Kota Kinabalu (KK) mengambil keputusan menutup sementara operasinya bermula hari ini.

Ia susulan seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19.

Memetik kenyataan Puspakom, penutupan operasi adalah bagi memberi laluan untuk kerja-kerja sanitasi dan pembersihan.

Setakat ini, proses pengesanan kontak sedang dijalankan dan mereka yang berhubung secara langsung dengan kakitangan berkenaan menjalani kuarantin.

“Proses pengesanan kontak sedang dijalankan dan semua kakitangan cawangan akan menjalani ujian saringan Covid-19.

“Mereka yang berhubung secara langsung dengan kakitangan tersebut diarahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Puspakom memaklumkan akan memulangkan semula wang pelanggan yang telah membuat temu janji pemeriksaan kenderaan.

Selain itu, Puspakom akan mendapatkan nasihat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkaitan kenderaan tamat tarikh pemeriksaan dalam tempoh penutupan tersebut.

Penularan Covid-19 terus mencatatkan peningkatan membimbangkan dengan lebih 7,478 kes seluruh negara pada semalam.

Berdasarkan laporan dikeluarkan Kementerian Kesihatan, Sabah mempunyai 229 kes sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan di negeri itu, 61,057.