Arkib Tag: ps5

Michelin PS5 bukti tayar lebih tahan, tapi prestasi boleh dikekalkan

DALAM penghasilan tayar, anda harus berkompromi antara prestasi dan ketahanan. Anda mahu tayar berprestasi tinggi, gunakan kompaun lebih lembut, maka ia akan cepat habis. Dan begitulah sebaliknya.

Namun, Michelin membuktikan mereka mampu menambah ketahanan tayar tetapi masih mengekalkan prestasi tinggi tayar itu. Sudah tentulah dengan penggunaan teknologi.

Jadi, baru-baru ini mereka telah menganjurkan acara Michelin Brand Experience 2023 di Litar Antarabangsa Sepang dan kami para pengamal media telah dijemput merasai sendiri prestasi dan teknologi yang ditawarkan oleh produk terbaharu mereka.

Dua tayar yang diuji dalam sesi ini adalah Michelin Pilot Sport 5 dan Primacy SUV+.

Michelin PS5 – Performance Made to Last

Performance made to last, atau prestasi yang direka tahan lama. Jadi dengan kereta rasmi Mercedes-Benz pelbagai model (C300, E200, A-Class dan GLA-Class) serta tayar Michelin PS5 baharu, kami dibawakan untuk beberapa aktiviti dan eksesais.

Aktiviti-aktiviti ini direka untuk menonjolkan ciri dan prestasi yang ditawarkan oleh PS5. Antara aktiviti tersebut adalah gymkhana course dimana terdapat slalom, pusingan-U, pecutan, dan brek sambil menukar lorong.

Di sini kami memandu Mercedes E200 yang dipasang dengan tayar Michelin PS5 dan tayar pesaing. Di slalom, jelas terasa respon PS5 lebih tangkas dan tepat. Malah di ujian brek kecemasan sambil menukar lorong juga jelas PS5 membrek dengan jarak lebih pendek setiap kali.

Aktiviti kedua ialah brek di permukaan basah. Di sini, kami membrek dengan tayar keadaan baharu dan botak, untuk Michelin PS5 dan tayar pesaing. Jadi ada empat pusingan kesemuanya, menggunakan model-model Mercedes A-Class sedan dan GLA.

Anda boleh lihat sendiri keputusan dalam gambar di bawah, iaitu purata dari data-data yang dikutip dari setiap pemandu iaitu para media.

Secara kesimpulan, Michelin PS5 membrek dengan jarak lebih pendek di permukaan basah berbanding tayar pesaingnya. Lebih mengagumkan lagi, PS5 dengan keadaan baharu dan botak adalah lebih konsisten jaraknya, berbanding tayar pesaing yang memerlukan jarak lebih ketara jauhnya berbanding dalam keadaan baharu.

Aktiviti terakhir bagi Michelin PS5 ialah sesi ujian di litar, dengan memandu C300 di North Circuit. Di kawasan seperti Turn 2, dapat dirasakan PS5 lebih tangkas menukar arah dimana pemandu perlu ‘membalas’ cepat dari selekoh kanan masuk ke kiri.

Kemudian di Turn 5 dan Turn 6 yang merupakan selekoh S berkelajuan tinggi, dirasakan Michelin PS5 memberikan lebih kestabilan dan ‘feel’, berbeza dengan tayar pesaingnya yang terasa ‘lembut’ bila diasak di selekoh pada kelajuan tinggi beberapa saat.

Michelin Primacy SUV+

Para media juga dijemput merasai sendiri tayar Michelin Primacy SUV+ untuk dibandingkan dengan tayar pesaing. Untuk ini, kami memandu Toyota Fortuner di jalan raya sekitar kawasan luar Litar Sepang, dimana ianya merupakan jalan awam dengan permukaan sebenar.

Sebaik masuk ke dalam Toyota Fortuner yang dipasang dengan Primacy SUV+, terus jelas terasa beza kesenyapan kabin, walaupun baru mula memandu pada kelajuan perlahan. Perbezaan ini cukup ketara dan dipersetujui oleh juruvideo kami.

Ini juga dibuktikan apabila kadar bunyi direkodkan oleh alat khas, dimana Michelin Primacy SUV+ merekodkan bacaan lebih rendah berbanding tayar pesaing walaupun dipandu pada jalan yang sama dan kelajuan yang sama.

Pengarah Urusan Michelin Malaysia, Singapura dan Brunei, Prichapakorn Dangrojana berkongsi: “Menerusi acara Michelin Brand Experience 2023, kami ingin menonjolkan dua komponen yang menunjangi DNA Michelin – inovasi dan kelestarian, seperti yang dicerminkan oleh produk-produk tayar baharu kami, Pilot Sport 5 dan Primacy SUV+ yang hadir dengan jangka hayat serta prestasi maksimum.”

“Sesungguhnya, nilai-nilai teras Michelin yang membezakan jenama ini dalam industri tayar global, sedang kami menujukan untuk meminimumkan impak ke atas planet ini dan memaksimumkan nilai buat para pelanggan menerusi setiap produk, perkhidmatan dan inisiatif yang kami tawarkan,” ujar Dangrojana.

Gran Turismo 7 dapat sokongan PS VR2, kereta dan litar baharu

PERMAINAN video Gran Turismo 7 telah menerima kemas kini terbaharu yang menawarkan pelbagai kandungan menarik untuk para pemain.

Pertama sekali, permainan video yang popular di kalangan kaki kereta itu mendapat sokongan untuk set kepala realiti maya (VR) baharu iaitu PS VR2.

Bakal dilancarkan hari ini (22 February 2023), set kepala PS VR2 boleh digunakan untuk semua perlumbaan dan mod permainan kecuali mod dua pemain iaitu 2P Split Screen.

Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai ciri VR Showroom di dalam Garage yang membolehkan pemain melihat kereta dengan lebih dekat dalam realiti maya.

Kemas kini ini turut membawakan lima kereta baharu iaitu Honda RA272 (1965), Citroen DS 21 Pallas (1970), Porsche 911 Carrera RS (1973), serta Italdesign Exeneo Vision Gran Turismo dalam mod Street dan Off-Road.

Untuk mereka yang dahagakan cabaran baharu, Gran Turismo 7 kini mempunyai litar Grand Valley dengan dua pilihan layout iaitu Highway 1 dan South.

Turut disertakan bersama kemas kini ini adalah ejen perlumbaan kecerdasan buatan (AI) bernama Sophy yang hanya tersedia hingga penghujung bulan Mac.

Hanya tersedia untuk PS5, pemain boleh “memaksimumkan keseronokan berlumba” dengan memilih untuk bersaing dengan Sophy dalam mod Race Together atau 1vs1. Pihak pembangun akan menggunakan maklum balas dari pemain untuk menambahbaik mod ini pada masa hadapan.

Akhir sekali, Gran Turismo 7 menambah latar belakang Drift Stage untuk membolehkan pemain mengambil gambar kereta mereka sambil melakukan aksi drift.

EV keluaran Sony/Honda mungkin didatangkan dengan PS5

BAGI mereka yang ‘tertinggal bas’, pada Mac tahun ini Sony dan Honda mengumumkan bahawa mereka akan bekerjasama untuk membangunkan kenderaan elektrik di bawah syarikat baharu iaitu Sony Honda Mobility.

Setakat ini, perincian mengenai model EV yang akan dihasilkan masih belum diketahui namun terdapat laporan yang mengatakan bahawa Sony mungkin akan meletakkan PS5 di dalam model berkenaan.

Dalam satu temubual bersama Financial Times, Izumi Kawanishi, presiden dan ketua pegawai operasi Sony Honda Mobility berkata dari segi teknologi, PS5 boleh diintegrasikan ke dalam EV yang akan dibangunkan bersama Honda.

Konsol permainan generasi baharu itu, serta perkhidmatan-perkhidmatan lain yang disediakan oleh Sony merupakan sebahagian daripada visi bagi menjadikan EV tersebut kenderaan berfokuskan hiburan untuk menyaingi EV lain seperti Tesla.

“Sony mempunyai kandungan, perkhidmatan dan teknologi hiburan yang menggerakkan orang. Kami menyesuaikan aset-aset ini kepada mobiliti, dan ini adalah kekuatan kami berbanding Tesla,” kata Kawanishi.

Namun Sony bukan hanya ingin memasukkan permainan ke dalam kereta seperti Tesla. Menurut pengerusi Sony Honda Mobility, Yasuhide Mizuno, syarikat itu merancang untuk “membangunkan sebuah kereta sebagai perkakasan (hardware) yang akan memenuhi hiburan dan rangkaian yang kami ingin tawarkan.”

Sebahagian daripada rancangan tersebut adalah untuk membangunkan teknologi pemanduan autonomi. Bagaimanapun, Kawanishi mengakui bahawa ia akan mengambil masa yang lama untuk merealisasikannya.

Sony Honda Mobility mensasarkan untuk melancarkan EV pertama mereka di Amerika Syarikat pada 2025.

Michelin Pilot Sport 5 kini di Malaysia, harga dari RM700 hingga RM1,900 seunit

MICHELIN hari ini melancarkan Pilot Sport 5 (PS5) untuk pasaran Malaysia. Tayar berprestasi tinggi itu menggantikan PS4 sebelumnya dan disasarkan kepada peminat kereta sports dan sedan prestasi.

Michelin Malaysia berkongsi tiga manfaat utama tayar terbaharu mereka ini, iaitu:

1. Tahap cengkaman tayar yang tahan lama

Dengan teknologi Dual Sport Tread Design, Michelin PS5 ini menampilkan rekaan dua bunga berbeza yang diambil dari pengalaman mereka dalam sukan perlumbaan.

Bahagian dalam mendapat alur lebih besar untuk cengkaman jalan basah manakala bahagian luaran dibina dengan blok keras untuk cengkaman permukaan kering.

2. Pemanduan sporti untuk jangka hayat lebih lama

Dengan teknologi Dynamic Response dan MaxTouch Construction, tayar ini menjanjikan tindakbalas lebih baik dan jangka hayat lebih lama walaupun melalui pelbagai keadaan seperti memecut, membrek dan mengambil selekoh.

3. Menampakkan gaya

Premium Touch Sidewall pastinya memberikan penampilan cukup sporti untuk tayar ini. Selain itu, Wear2Check pula memastikan anda dapat memeriksa keadaan bunga tayar dengan mudah bagi memastikan prestasinya sentiasa dalam keadaan optima.

Michelin Pilot Sport 5 boleh didapat dalam 26 dimensi berbeza dengan saiz antara 17- hingga 19-inci di negara ini. Harga adalah bermula pada RM700 hingga RM1,900 sebiji.

Menurut Michelin Malaysia, 21 lagi dimensi tambahan untuk saiz 17- hingga 21-inci akan didapati menjelang hujung tahun ini.

Beli Toyota Yaris GR Sport GT7 Edition, miliki PS5 secara percuma!

TERDAPAT pelbagai kaedah serta teknik pemasaran dilakukan oleh peniaga dalam usaha melariskan produk jualan masing-masing.

Terbaharu, para pembeli berpeluang memiliki Sony PlayStation 5 (PS5) apabila membeli sebuah Toyota Yaris GR Sport GT7 Edition.

Foto ihsan Toyota

Menariknya, pembeli juga bakal menerima alat kawalan DualSense, langganan percuma PS Plus selama tiga bulan dan salinan percuma permainan Gran Turismo 7.

Bagaimanapun, promosi hanya terhad kepada 100 pembeli terawal sahaja memandangkan jumlah PS5 yang terhad di pasaran.

Sebelum ini, Sony mendedahkan pihaknya juga turut terkesan dengan masalah kekurangan cip semikonduktor sehingga menjejaskan pengeluaran PS5 seluruh dunia.

Foto ihsan Toyota

Sementara itu, Yaris GR Sport GT7 Edition merupakan antara model mendapat perhatian ramai seluruh dunia.

Edisi terhad ini merupakan model hibrid dikuasakan oleh enjin 1.5 liter kitaran Atkinson.

Ia dipadankan dengan motor elektrik 80 kuasa kuda (hp) dengan output keseluruhan 114 hp.

Foto ihsan Toyota

Antara ciri menarik Yaris GR Sport GT7 Edition adalah ia didatangkan dengan warna Gris Dynamique, kunci pintar kustom dan set rim size 18 inci.

Paling mahal, model ini juga mempunyai logo hiasan Gran Turismo!

Setakat ini, masih belum dapat dipastikan harga jualan sebenar bagi model ini dan promosi hadiah PS5 hanya terhad kepada mereka berada di Sepanyol sahaja.

Memang anti-klimaks betul!

­­­­­Michelin Pilot Sport 5 diperkenal dengan beberapa teknologi baharu

MICHELIN telah melancarkan tayar baharu iaitu Michelin Pilot Sport 5 khas bagi kegunaan kenderaan berprestasi tinggi.

Tayar generasi baru ini menggunakan Dynamic Response Technology yang mana ia terdiri daripada gabungan antara Aramid Fibre dan lapisan Nylon.

Pembuat tayar dari Perancis itu memperkenalkan MaxTouch Construction Technology yang mampu memberikan jangka hayat yang lebih panjang bagi setiap penggunaan. Teknologi ini mampu mengimbangi daya pecutan, membrek mahupun ketika mengambil selekoh tajam.

Apa yang menarik, Michelin juga memperkenalkan Dual Sport Tread Design Technology yang mana tayar ini mempunyai dua jenis bunga tayar bagi memberikan kawalan serta cengkaman yang maksima ketika keadaan jalan basah mahupun kering.

Di sebelah dalam, tayar ini mempunyai bunga dengan alur yang besar bagi memberikan lebih kawalan ketika jalan basah. Sementara itu di sebelah luar, bunga tayar lebih keras bagi memberikan lebih cengkaman ketika kering.

Premium Touch Sidewall Design dari Michelin memberikan gaya serta rupa yang lebih kemas sepadan dengan penggunaan di kereta berprestasi tinggi.

Apa yang lebih menarik, Pilot Sport 5 ini didatangi dengan Wear2Check Indicator bagi memudahkan para pengguna memantau tahap penggunaan bunga tayar.

Menurut Michelin, tayar ini mempunyai varian saiz dari 17- hingga 21-inci dengan 50 jenis spesifikasi yang berlainan. Ia dikhabarkan bakal berada di pasaran pada awal Mac 2022.