Arkib Tag: prestasi jualan

Proton catat jualan 12,230 unit kenderaan pada September 2023

PROTON telah mengumumkan prestasi jualannya bagi bulan September 2023, yang menyaksikan pengeluar kenderaan nasional itu berjaya menjual sebanyak 12,230 unit kenderaan dalam pasaran domestik dan eksport.

Menurut Proton, ini menjadikan jumlah jualan bagi tiga suku pertama tahun ini 116,832 unit, 14.1 peratus lebih tinggi berbanding tahun 2022. Ia juga bermakna Proton berada pada landasan yang betul untuk melepasi pencapaian tahun lalu iaitu 141,432 unit.

Jika dibandingkan dengan bulan Ogos, angka jualan September merosot sebanyak 1,725 unit manakala jumlah volum industri (TIV) turut menurun ke bawah ambang 70,000 unit.

Bagaimanapun, pertumbuhan jualan Proton masih kekal mendahului pertumbuhan industri sebanyak lebih 3.7 peratus. Pegangan pasaran pula berada pada 20.5 peratus atau 0.7 peratus lebih daripada tahun sebelumnya.

Menuju ke suku akhir tahun 2023, empat model Proton terus menerajui segmen masing-masing. Persona mengakhiri bulan September sebagai sedan segmen B kedua paling popular dengan 2,053 unit terjual.

X90 pula terjual sebanyak 491 unit walaupun berdepan isu kelewatan dalam pengeluaran berikutan proses kemas kini. Dengan 3,435 unit terjual setakat ini, SUV segmen D itu kekal sebagai peneraju dalam segmennya.

Dua lagi peneraju segmen daripada Proton ialah X50 dan Exora, masing-masing mencatat jualan sebanyak 2,210 unit dan 367 unit pada bulan lalu.

“September merupakan bulan yang tenang bagi industri automotif, yang membawa kepada penurunan dalam jualan berbanding bulan Ogos. Ramai pembeli juga mengambil langkah untuk menunggu dan lihat dengan menjangkakan pembentangan belanjawan negara 2024 pada 13 Oktober dan ini membawa kepada beberapa kesan jangka masa pendek,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.

Jualan Proton lepasi angka 100,000 unit untuk 2023

PROTON mengumumkan bahawa jualannya telah melepasi 100,000 unit untuk tahun kelima berturut-turut, dengan 13,955 unit kenderaan terjual pada Ogos 2023, menjadikan jumlah jualan tahun sehingga kini (YTD) kepada 104,602 unit.

Menurut pengeluar kereta nasional itu, angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 17,12 unit atau 19.6 peratus berbanding jumlah yang dicatatkan untuk lapan bulan pertama tahun lalu.

Dengan jumlah volum industri (TIV) yang dianggarkan sebanyak 74,200 unit, pegangan pasaran Proton diramalkan pada 18.8 peratus untuk bulan Ogos, dengan angka pegangan pasaran YTD sebanyak 20.8 peratus. Bagaimanapun, pertumbuhan volum syarikat kekal mendahului TIV, yang kini dianggarkan sebanyak 12.2 peratus untuk 2023.

Pertumbuhan jualan ini dijana oleh empat model yang menerajui jualan YTD untuk segmen masing-masing. X90 mendahului jualan bulanan dan YTD untuk SUV segmen-D dengan jualan 719 unit pada bulan Ogos dan jumlah terkumpul sebanyak 2,944 unit setakat ini.

X50 terus menerajui pasaran SUV segmen B dengan 2,558 unit dijual bulan lepas, menyumbang kepada angka YTD sebanyak 22,750 unit. Exora terus menetapkan standard untuk jualan MPV segmen C dengan 409 unit terjual pada bulan lalu, menghasilkan jualan YTD sebanyak 3,150 unit.

Persona mencapai jualan lebih 2,000 unit untuk kali keenam bagi tahun 2023 dengan 2,028 unit diserahkan pada bulan lepas.

Saga adalah model Proton paling laris pada bulan Ogos, mencapai angka bulanan tertinggi bagi tahun 2023 dengan 6,585 unit dijual. Ini meletakkannya di tempat kedua jualan keseluruhan kenderaan di Malaysia untuk bulan ketiga berturut-turut.

Iriz juga mengalami peningkatan jualan. 654 unit dijual pada bulan Ogos meletakkannya di tempat keempat dalam segmennya. X70 mengakhiri bulan Ogos dengan 1,002 unit dijual, melonjakkan jualan YTD-nya kepada 7,999 unit.

Jualan suku pertama 2023 Proton meningkat 50.9 peratus

BAGI suku pertama tahun 2023, Proton merekodkan jualan sebanyak 40,287 unit kenderaan, bersamaan peningkatan sebanyak 50.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Angka berkenaan disumbangkan oleh prestasi kukuh pada bulan Mac, di mana pengeluar kenderaan nasional itu berjaya menjual sebanyak 14,573 unit kenderaan bagi pasaran domestik dan eksport. Ia mewakili peningkatan sebanyak 3.8 peratus berbanding Februari dan 11.9 peratus berbanding Mac 2022.

Sementara itu, pegangan pasaran untuk Mac 2023 dianggarkan pada kadar 18.7 peratus. Ini membolehkan syarikat itu mengekalkan kedudukan kedua dari segi jualan dengan pegangan pasaran sekitar 21.2 peratus setakat suku pertama tahun ini.

Pencapaian ini menjadikan Proton jenama dengan peningkatan angka pegangan pasaran suku pertama tertinggi dengan penambahan 4.5 peratus berbanding tahun lalu.

Menurut Proton, jualan kenderaan pada bulan Mac mencapai rekod baharu dengan jumlah volum industri (TIV) dianggarkan sebanyak 78,000 unit, sekaligus memecahkan rekod lama iaitu 76,657 unit yang dicatatkan pada Disember 2022.

Tambah syarikat itu lagi, prestasi memberangsangkan ini dipacu oleh tiga modelnya yang menjadi peneraju segmen masing-masing.

Persona merekodkan jualan sebanyak 2,421 unit pada Mac, menjadikan ia sedan segmen-B terlaris untuk tiga bulan berturut-turut dengan jualan terkumpul sebanyak 6,773 unit untuk suku pertama 2023. Angka ini bersamaan dengan pertumbuhan 79.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sementara itu, X50 kekal sebagai SUV terlaris di Malaysia dengan 3,414 unit terjual pada Mac. Ini menjadikan jualan suku pertama model itu sebanyak 9,668 unit, menunjukkan peningkatan 34.4 peratus berbanding tahun 2022.

Pendahulu jualan segmen ketiga adalah Exora, yang muncul sebagai MPV segmen-C terlaris dengan 426 unit berjaya dijual pada bulan lalu.

Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton berkata, ““Proton menunjukkan prestasi yang sangat baik pada suku pertama 2023 dan kami bangga dengan pencapaian jualan melebihi 40,000 unit.”

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa jualan pada tiga bulan pertama tahun ini meningkat kerana semua jenama tergesa-gesa untuk menghantar kereta yang ditempah semasa insentif PENJANA yang berakhir pada 31 Mac 2023, sekaligus menjelaskan mengapa TIV dianggarkan sebanyak 78,000 unit pada bulan ini.

“Gambaran sentimen pasaran yang lebih tepat mungkin akan muncul pada akhir suku kedua, tetapi kami yakin mampu mengekalkan momentum jualan. Proton X90 akan dilancarkan tidak lama lagi dan kami juga akan ada penambahan ke barisan model lewat tahun ini.

“Pada masa yang sama, kami juga telah membuat pengumuman tentang komitmen untuk mengembangkan barisan model Kenderaan Tenaga Baru (NEV) yang mampu membawa jenama Proton ke segmen yang baru untuk pertumbuhan jualan jangka panjang,” katanya lagi.

Proton jual 14,033 unit kenderaan pada Februari 2023, naik 52 peratus

PROTON mengumumkan bahawa mereka berjaya mencatat jualan sebanyak 14,033 unit kenderaan pada Februari tahun ini bagi pasaran domestik dan import.

Menurut pengeluar kereta nasional itu, angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 52 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu dan 20.1 peratus lebih tinggi daripada bulan Januari 2023.

Dengan pencapaian ini, volum tahun sehingga kini (YTD) telah meningkat sebanyak 88 peratus kepada 25,714 unit.

Pegangan pasaran Proton untuk Februari dianggarkan mencapai 22.7 peratus, meletakkannya di tempat kedua dalam pasaran, dan mencatatkan peningkatan sebanyak 7.3 peratus berbanding Februari 2022.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata jualan kereta di Malaysia terus melonjak untuk bulan kedua berturut turut dengan anggaran jumlah keseluruhan volum industri (TIV) sebanyak 62,300 unit.

Ini kerana industri automotif berkejar untuk memenuhi tempahan semasa tempoh pengecualian cukai jualan sebelum tarikh akhir 31 Mac.

Persona muncul sebagai peneraju jualan bulan kedua berturut-turut bagi sedan segmen B dengan catatan sebanyak 2,313 unit. Ia menembusi sasaran 2,000 unit untuk bulan ketiga berturut-turut, kali pertama ia mencapai prestasi itu sejak melakukannya selama lima bulan berturut-turut dari Jun hingga Oktober 2020.

Sementara itu, X50 mencapai jualan sebanyak 3,247 unit, sekaligus mengekalkan statusnya sebagai peneraju pasaran SUV segmen B dan SUV paling popular secara keseluruhan.

Exora menikmati kebangkitan semula apabila jualan peneraju MPV segmen C itu telah meningkat sebanyak 216 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2022.

“Sama seperti pesaing kami, banyak volum didorong oleh pemenuhan tempahan yang dikecualikan cukai, tetapi nombor tempahan baharu kami kekal sihat, jadi kami berharap dapat meneruskan trajektori pertumbuhan jualan kami untuk sepanjang tahun ini,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

Menurut beliau lagi, Proton juga akan membuat beberapa pengumuman dalam beberapa bulan akan datang untuk membentuk hala tuju syarikat untuk tahun 2023 dan seterusnya.

“Ini merupakan tahun yang sibuk kerana kami mewujudkan kehadiran kami dalam segmen baharu, memasuki pasaran kenderaan tenaga baharu (NEV) dan melangkah ke depan dalam usaha EV kami apabila jualan pintar #1 bermula,” katanya.