fbpx

Jualan suku pertama 2023 Proton meningkat 50.9 peratus

proton persona 2021 24

BAGI suku pertama tahun 2023, Proton merekodkan jualan sebanyak 40,287 unit kenderaan, bersamaan peningkatan sebanyak 50.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Angka berkenaan disumbangkan oleh prestasi kukuh pada bulan Mac, di mana pengeluar kenderaan nasional itu berjaya menjual sebanyak 14,573 unit kenderaan bagi pasaran domestik dan eksport. Ia mewakili peningkatan sebanyak 3.8 peratus berbanding Februari dan 11.9 peratus berbanding Mac 2022.

Sementara itu, pegangan pasaran untuk Mac 2023 dianggarkan pada kadar 18.7 peratus. Ini membolehkan syarikat itu mengekalkan kedudukan kedua dari segi jualan dengan pegangan pasaran sekitar 21.2 peratus setakat suku pertama tahun ini.

Pencapaian ini menjadikan Proton jenama dengan peningkatan angka pegangan pasaran suku pertama tertinggi dengan penambahan 4.5 peratus berbanding tahun lalu.

Menurut Proton, jualan kenderaan pada bulan Mac mencapai rekod baharu dengan jumlah volum industri (TIV) dianggarkan sebanyak 78,000 unit, sekaligus memecahkan rekod lama iaitu 76,657 unit yang dicatatkan pada Disember 2022.

Tambah syarikat itu lagi, prestasi memberangsangkan ini dipacu oleh tiga modelnya yang menjadi peneraju segmen masing-masing.

Persona merekodkan jualan sebanyak 2,421 unit pada Mac, menjadikan ia sedan segmen-B terlaris untuk tiga bulan berturut-turut dengan jualan terkumpul sebanyak 6,773 unit untuk suku pertama 2023. Angka ini bersamaan dengan pertumbuhan 79.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sementara itu, X50 kekal sebagai SUV terlaris di Malaysia dengan 3,414 unit terjual pada Mac. Ini menjadikan jualan suku pertama model itu sebanyak 9,668 unit, menunjukkan peningkatan 34.4 peratus berbanding tahun 2022.

Pendahulu jualan segmen ketiga adalah Exora, yang muncul sebagai MPV segmen-C terlaris dengan 426 unit berjaya dijual pada bulan lalu.

Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton berkata, ““Proton menunjukkan prestasi yang sangat baik pada suku pertama 2023 dan kami bangga dengan pencapaian jualan melebihi 40,000 unit.”

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa jualan pada tiga bulan pertama tahun ini meningkat kerana semua jenama tergesa-gesa untuk menghantar kereta yang ditempah semasa insentif PENJANA yang berakhir pada 31 Mac 2023, sekaligus menjelaskan mengapa TIV dianggarkan sebanyak 78,000 unit pada bulan ini.

“Gambaran sentimen pasaran yang lebih tepat mungkin akan muncul pada akhir suku kedua, tetapi kami yakin mampu mengekalkan momentum jualan. Proton X90 akan dilancarkan tidak lama lagi dan kami juga akan ada penambahan ke barisan model lewat tahun ini.

“Pada masa yang sama, kami juga telah membuat pengumuman tentang komitmen untuk mengembangkan barisan model Kenderaan Tenaga Baru (NEV) yang mampu membawa jenama Proton ke segmen yang baru untuk pertumbuhan jualan jangka panjang,” katanya lagi.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved