Strategi eksport Proton mula membuahkan hasil, jualan meningkat 13.6% pada Mei
PROTON telah mengumumkan prestasi jualannya untuk Mei 2024, yang menyaksikan pengeluar kereta nasional itu merekodkan jualan sebanyak 12,522 unit bagi pasaran domestik dan eksport.
Angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 13.6% berbanding bulan sebelumnya, serta membawa jumlah jualan untuk lima bulan pertama kepada 62,697 unit.
Pencapaian ini membolehkan Proton mengukuhkan kedudukan tempat kedua dalam keseluruhan jualan automotif nasional dengan pegangan pasaran dianggarkan pada 19%.
Dalam satu kenyataan, Proton berkata pertumbuhan jualan itu adalah selaras dengan trend jumlah volum industri (TIV) yang dianggarkan meningkat sebanyak 20.7% kepada kira-kira 70,000 unit pada bulan Mei.
Secara kumulatif, angka tahun sehingga kini (YTD) untuk TIV dianggarkan pada 330,236 unit, bersamaan dengan peningkatan 8.8% berbanding tahun 2023.
Rancangan Proton untuk mengembangkan dan membina semula jenamanya di Trinidad dan Tobago, Bangladesh dan Iraq tahun ini telah terbukti membuahkan hasil apabila jualan eksportnya mencapai 509 unit pada bulan Mei, penghantaran tertinggi yang dicatatkan untuk 2024 setakat ini.
Sejak Februari tahun ini, model eksport paling laris ialah Saga, yang sekali lagi mendahului model yang lain dengan 360 unit dieksport dalam bulan Mei.
Kebanyakan model juga mencatatkan peningkatan jualan eksport, menjadikan jualan eksport kumulatif kepada 1,344 unit sejak Januari tahun ini berbanding 820 unit untuk tempoh masa yang sama pada tahun 2023. Ini bersamaan dengan peningkatan 63.9% dalam jualan eksport YTD.
Di Malaysia, X90 merampas kembali gelaran SUV segmen-D paling popular dengan 364 unit terjual. Jualan S70 pula meningkat 23% kepada 2,011 unit, naik daripada 1,635 unit yang direkodkan pada bulan April.
Sementara itu, jualan Saga meningkat 21.6% kepada 6,119 unit di bulan Mei, dengan jualan tahun sehingga kini meningkat sebanyak 8% ke 29,397 unit.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.