Arkib Tag: porsche cayenne

Porsche Cayenne GTS 2025 kini lebih berkuasa, 493 hp, 660 Nm!

Tanpa kehadiran model SUV Cayenne, Porsche mungkin sukar untuk bernafas dengan hanya bergantung kepada model-model sports seperti 718 Cayman dan 911.

Siapa sangka, Cayenne sudah pun berusia lebih 20 tahun sejak generasi pertama dilancarkan pada tahun 2002.

Generasi ketiga pula diperkenalkan pada tahun 2017, dibina berdasarkan platform VW Group MLB dan berkongsi dengan model-model seperti VW Touareg, Audi Q7, Bentley Bentayga dan Lamborghini Urus.

 

Untuk memenuhi keperluan yang pelbagai, Porsche sendiri menawarkan beberapa varian khusus untuk model Cayenne, termasuklah varian pantas Turbo S E-Hybrid, Turbo GT dan GTS (Gran Turismo Sport).

Versi yang baru dilancarkan oleh Porsche ini merupakan Cayenne GTS, membawakan nadi kuasa yang lebih bertenaga, konfigurasi suspensi yang lebih responsif, dan tidak ketinggalan elemen penampilan yang sporti.

 

1. Nadi V8 lebih berkuasa

Porsche Cayenne GTS membawakan nadi bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar yang kini menghasilkan kuasa setinggi 493 hp dan 660 Nm, peningkatan kuasa sebanyak 40 hp dan 40 Nm berbanding Cayenne GTS terdahulu.

Nadi tersebut dipadankan dengan kotak gear automatik Tiptronic S lapan nisbah kelajuan, dan menyalurkan kuasa yang terhasil kepada sistem pacuan semua roda menerusi sistem Porsche Traction Management (PTM).

 

2. Pecutan lebih pantas

Dengan peningkatan kuasa yang signifikan, pecutan 0-96 km/j kini sepantas 4.2 saat, sebelum mencapai kelajuan tertinggi 275 km/j.

 

3. Sistem suspensi ditambah baik

Secara standard, Cayenne GTS membawakan sistem suspensi udara two-chamber dengan tetapan spesifik untuk model GTS, di mana ia lebih rendah 10 mm berbanding tetapan biasa.

Selain itu, Porsche turut menggunakan komponen galas pivot daripada model Turbo GT untuk menambah baik aspek pengendalian.

Menyumbang kepada pengendalian yang lebih baik ialah sistem Porsche Torque Vectoring Plus, dan sistem penstabilan olengan aktif Porsche Dynamic Chassis Control yang ditawarkan secara pilihan.

 

4. Penampilan agresif

Porsche Cayenne GTS 2025 membawakan beberapa perubahan, seperti rekaan bampar spesifik, unit lampu LED matriks tinta gelap, kemasan emblem GTS pada pintu penumpang dan pintu belakang, serta tip ekzos warna gangsa gelap.

Penampilan sporti pula disumbangkan oleh kit Sport Design Package berwarna hitam berkilat, set rim RS Spyder Design bersaiz 21 inci, angkup brek berwarna merah, dan tidak ketinggalan penambahan ciri spoiler belakang adaptif untuk model Coupe.

 

5. Kemasan kabin minimalis

Susun atur papan pemuka Cayenne GTS tidak banyak membawakan perubahan, melainkan skrin kluster digital yang telah dikemas kini, diikuti skrin infohibur dan tambahan skrin untuk penumpang hadapan.

Upholsteri Cayenne GTS pula banyak bergantung kepada bahan Race Tex yang digandingkan dengan balutan kulit serta kemasan jahitan merah.

Tempat duduk hadapan pula kini menampilkan bolster yang lebih tebal untuk sokongan yang lebih baik semasa melayan selekoh.

Akhir sekali, terdapat sistem pencahayaan ambien serta sistem bunyi keliling Bose.

 

Porsche Cayenne facelift 2023 dilancar – CKD, ciri standard dipertingkat, RM600k

PORSCHE Cayenne facelift 2023 dilancarkan di Malaysia, setelah tempahannya dibuka sejak bulan lepas. Cayenne ini merupakan model CKD yang dipasang di kilang mereka di Kulim, Kedah, dan berharga RM599,999.

Untuk pasaran Malaysia, Porsche Cayenne 2023 boleh didapati dalam tiga warna iaitu Chromite Black Metallic, Carrara White Metallic dan Quarzite Grey Metallic, dengan pilihan upholsteri kulit hitam atau hitam dan merah.

Cayenne  menampilkan casis yang dinaik taraf, serta lebih banyak ciri standard dan kelengkapan baharu.  Antara ciri yang disertakan secara standard termasuk Adaptive Cruise Control, pintu soft-close dan pakej Sport Chrono. Menariknya, ciri-ciri ini ditawarkan sebagai aksesori tambahan bagi pasaran-pasaran lain.

Di dalam, terdapat tempat duduk dengan pelarasan 14 arah dan pakej memori, logo Porsche pada perehat kepala dan tirai elektrik untuk tingkap belakang.

Jika dibandingkan dengan model sebelum ini, Cayenne facelift CKD mendapat lebih banyak ciri standard. Ini termasuk lampu Matrix LED, Porsche Active Suspension Management (PASM), Power Steering Plus, rim Cayenne Design 20 inci, Park Assist dengan Surround View, sistem audio Bose dan pengecas wayarles 15W.

Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan kluster instrumen digital melengkung berukuran 12.6-inci dan paparan Porsche Communication Management (PCM) 12.3-inci yang diintegrasikan secara harmoni pada papan pemuka.

Pelanggan yang inginkan penampilan lebih menonjol boleh mendapatkan pelbagai aksesori Tequipment termasuk rim Cayenne Exclusive Design berukuran 21-inci, rim Sport Design 22-inci dan sistem hiburan tempat duduk belakang.

Akhir sekali, Cayenne 2023 CKD ini dikuasakan oleh enjin 3.0-liter turbo V6 yang menjana 353PS dan 500Nm. Ia dipadankan dengan transmisi dwi-klac PDK 8-kelajuan yang memacu keempat-empat roda.

250 pelanggan pertama yang membuat tempahan akan menerima kunci dalam warna yang sama dengan warna luaran. Menurut Porsche Malaysia, penghantaran dijangka bermula menjelang akhir tahun ini.

Porsche Cayenne CKD ‘buatan Malaysia’ capai unit pengeluaran ke-1000

PORSCHE Malaysia meraikan pencapaian bermakna mereka dengan pengeluaran Cayenne CKD yang ke-1,000. Ya, sebanyak 1,000 unit SUV ‘buatan Malaysia’ itu telah ‘lahir’ dari kilang pemasangan Inokom di Kulim, Kedah itu. Porsche mula memasang Cayenne CKD pada Mac 2022 lepas.

“Kami sangat gembira dengan pencapaian Cayenne pemasangan tempatan ini, mengesahkan lagi bahawa SUV Porsche menjadi kegemaran pelanggan kami,” kata Christopher Hunter, CEO Sime Darby Auto Performance.

“Kilang pemasangan tempatan kami di Inokom terus menyokong perkembangan kami, memenuhi permintaan dari peminat kereta sports di Malaysia.

“Pertambahan dalam permintaan ini juga menunjukkan kualiti kami – bukti bahawa Porsche dibina pada standard tertinggi,” tambahnya.

Dari segi luaran, Cayenne CKD dilengkapi lampu LED Porsche Dynamic Light System (PDLS), lampu belakang LED, dan rim RS Spyder bersaiz 21-inci. Tiga pilihan warna badan ditawarkan, dengan kemasan kontra hitam berkilat.

Di bahagian kabin pula, Porsche Cayenne ini didatangkan dengan dua pilihan balutan kulit, BOSE Surround Sound System, tempat duduk dengan pelarasan 14-arah dan tirai untuk tingkap belakang.

Sebagai sebuah SUV yang sporti untuk pemandu tegar, terdapat Porsche Advanced Cockpit untuk maklumat pemanduan serta stereng sports dengan paddleshifters dan Direct Touch Control.

Ia juga dilengkapi Comfort Access, Porsche Communication Management System dengan paparan 12-inci, bantuan parkir ParkAssist, serta sambungan Porsche Connect dan Apple CarPlay.

Porsche Cayenne ini dikuasakan oleh enjin 3.0-liter V6 yang menghasilkan 340hp pada 5,300-6,400rpm dan 450Nm tork pada 1,340-5,300rpm.

Porsche Cayenne Malaysia ini juga mendapat personalisasi khas dari aksesori Tequipment yang merangkumi sistem pengangkutan bumbung dengan rak basikal, jaring bagasi, pengalas ruang bagasi, tikar lantai semua-cuaca, dan bekas penjagaan kereta.

Anda yang mahukan lebih eksklusiviti boleh memilih Porsche Exclusive Manufaktur Package. Ini terdiri dari pakej SportDesign, sistem ekzos sports, lampu belakang LED, projektor pintu LED dengan logo Porsche, dan kunci sepadan dengan kereta.

Porsche Cayenne 2023: Kabin baharu, lebih power, Turbo GT 650hp!

SELEPAS beberapa kali imej acah didedahkan, Porsche Cayenne dan Cayenne Coupe 2023 kini muncul secara rasmi. Kemas kini untuk 2023 termasuklah rupa luaran facelift, rekaan papan pemuka baharu, dan naik taraf untuk janaan kuasa.

Cayenne 2023 mengekalkan penampilan yang kita kenali, tetapi ada perubahan kecil seperti lampu LED Matrix sebagai standard, lampu berbentuk lebih tajam, hud dan bentuk baharu pada fender, dan lampu belakang baharu.

Tiga warna baharu diperkenalkan: Algarve Blue Metallic, Montego Blue Metallic, dan Arctic Grey. Untuk Cayenne Coupe, akan terdapat pilihan Lightweight Sport Package yang dikatakan 72 pound lebih ringan.

Papan pemuka menerima rombakan terbesar. Pemandu kini mendapat skrin instrumen melengkung 12.6-inci, dan tombol baharu di kiri stereng untuk mengawal sistem bantuan pemandu. Lane Change Assist dan Lane Keep Assist kini standard.

Konsol tengah pula mendapat skrin 12.3-inci, manakala tombol gear diletakkan di antara dua skrin tengah. Butang-butang kawalan pendingin hawa kini adalah jenis haptik, dan terdapat juga pengecas tanpa-wayar 15 watt.

Jika tidak cukup, anda boleh pilih untuk menambah satu lagi skrin di hadapan penumpang depan. Panel 10.9-inci ini boleh mengawal fungsi tertentu seperti sistem navigasi dan multimedia.

Akhir sekali, untuk aspek mekanikal. Cayenne model asas kekal dengan 3.0-liter V6 turbo, tetapi output kini pada 348hp dan 500Nm. Cayenne E-Hybrid juga dikuasakan oleh turbo V6 tetapi mendapat gandingan motor elektrik lebih berkuasa. Output keseluruhannya kini mencecah 463hp.

Kemudian, Cayenne S pula dipacu enjin 4.0-liter V8,menggantikan V6 sebelumnya. Enjin ini menghasilkan 468hp dan 600Nm, membolehkan model ini memecut ke 100km/j dalam hanya 4.4saat. Kelajuan maksima ialah 272km/j.

Akhir sekali, model prestasi Cayenne Coupe Turbo GT, dikuasakan enjin 4.0-liter V8 dengan 650hp. Cayenne Coupe ini mampu memecut ke 100km/j dalam 3.1saat, dan mempunyai kelajuan maksima 300km/j.

Cayenne Turbo GT ini juga hadir dengan ciri prestasi seperti stereng roda belakang, suspensi udara, brek komposit seramik, dan ekzos titanium.

Cayenne, S, dan E-Hybrid menerima penyerap hentak dua-injap baharu, dan Porsche Active Suspension Management (PASM) sebagai standard.

Untuk Turbo GT pula, sistem suspensi udara baharu padanya mempunyai perbezaan lebih ketara untuk setiap mod pemanduan (Normal, Sport, dan Sport Plus).