fbpx

Porsche Cayenne GTS 2025 kini lebih berkuasa, 493 hp, 660 Nm!

Porsche Cayenne GTS 2025 20

Tanpa kehadiran model SUV Cayenne, Porsche mungkin sukar untuk bernafas dengan hanya bergantung kepada model-model sports seperti 718 Cayman dan 911.

Siapa sangka, Cayenne sudah pun berusia lebih 20 tahun sejak generasi pertama dilancarkan pada tahun 2002.

Generasi ketiga pula diperkenalkan pada tahun 2017, dibina berdasarkan platform VW Group MLB dan berkongsi dengan model-model seperti VW Touareg, Audi Q7, Bentley Bentayga dan Lamborghini Urus.

 

Untuk memenuhi keperluan yang pelbagai, Porsche sendiri menawarkan beberapa varian khusus untuk model Cayenne, termasuklah varian pantas Turbo S E-Hybrid, Turbo GT dan GTS (Gran Turismo Sport).

Versi yang baru dilancarkan oleh Porsche ini merupakan Cayenne GTS, membawakan nadi kuasa yang lebih bertenaga, konfigurasi suspensi yang lebih responsif, dan tidak ketinggalan elemen penampilan yang sporti.

 

1. Nadi V8 lebih berkuasa

Porsche Cayenne GTS membawakan nadi bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar yang kini menghasilkan kuasa setinggi 493 hp dan 660 Nm, peningkatan kuasa sebanyak 40 hp dan 40 Nm berbanding Cayenne GTS terdahulu.

Nadi tersebut dipadankan dengan kotak gear automatik Tiptronic S lapan nisbah kelajuan, dan menyalurkan kuasa yang terhasil kepada sistem pacuan semua roda menerusi sistem Porsche Traction Management (PTM).

 

2. Pecutan lebih pantas

Dengan peningkatan kuasa yang signifikan, pecutan 0-96 km/j kini sepantas 4.2 saat, sebelum mencapai kelajuan tertinggi 275 km/j.

 

3. Sistem suspensi ditambah baik

Secara standard, Cayenne GTS membawakan sistem suspensi udara two-chamber dengan tetapan spesifik untuk model GTS, di mana ia lebih rendah 10 mm berbanding tetapan biasa.

Selain itu, Porsche turut menggunakan komponen galas pivot daripada model Turbo GT untuk menambah baik aspek pengendalian.

Menyumbang kepada pengendalian yang lebih baik ialah sistem Porsche Torque Vectoring Plus, dan sistem penstabilan olengan aktif Porsche Dynamic Chassis Control yang ditawarkan secara pilihan.

 

4. Penampilan agresif

Porsche Cayenne GTS 2025 membawakan beberapa perubahan, seperti rekaan bampar spesifik, unit lampu LED matriks tinta gelap, kemasan emblem GTS pada pintu penumpang dan pintu belakang, serta tip ekzos warna gangsa gelap.

Penampilan sporti pula disumbangkan oleh kit Sport Design Package berwarna hitam berkilat, set rim RS Spyder Design bersaiz 21 inci, angkup brek berwarna merah, dan tidak ketinggalan penambahan ciri spoiler belakang adaptif untuk model Coupe.

 

5. Kemasan kabin minimalis

Susun atur papan pemuka Cayenne GTS tidak banyak membawakan perubahan, melainkan skrin kluster digital yang telah dikemas kini, diikuti skrin infohibur dan tambahan skrin untuk penumpang hadapan.

Upholsteri Cayenne GTS pula banyak bergantung kepada bahan Race Tex yang digandingkan dengan balutan kulit serta kemasan jahitan merah.

Tempat duduk hadapan pula kini menampilkan bolster yang lebih tebal untuk sokongan yang lebih baik semasa melayan selekoh.

Akhir sekali, terdapat sistem pencahayaan ambien serta sistem bunyi keliling Bose.

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved