fbpx

Porsche Cayenne facelift dibuka untuk tempahan – CKD, harga bermula RM599,999

Porsche Cayenne facelift CKD 01

BERITA baik untuk anda yang menunggu Porsche Cayenne facelift yang diperkenalkan kepada dunia pada April lalu. Hari ini, Porsche Malaysia mengumumkan bahawa tempahan untuk model itu sudah pun dibuka secara rasmi.

Dipasang secara tempatan (CKD) di Kulim, Kedah, Cayenne baharu dijual pada harga bermula dari RM599,999. Ia menampilkan casis yang dinaik taraf, serta lebih banyak ciri standard dan kelengkapan baharu.

Untuk pasaran Malaysia, Cayenne boleh didapati dalam tiga warna iaitu Chromite Black Metallic, Carrara White Metallic dan Quarzite Grey Metallic, dengan pilihan upholsteri kulit hitam atau hitam dan merah.

Antara ciri yang disertakan secara standard termasuk Adaptive Cruise Control, pintu soft-close dan pakej Sport Chrono. Menariknya, ciri-ciri ini ditawarkan sebagai aksesori tambahan bagi pasaran-pasaran lain.

Di dalam, terdapat tempat duduk dengan pelarasan 14 hala dan pakej memori, logo Porsche pada perehat kepala dan tirai elektrik untuk tingkap belakang.

Jika dibandingkan dengan model sebelum ini, Cayenne facelift CKD mendapat lebih banyak ciri standard. Ini termasuk lampu Matrix LED, Porsche Active Suspension Management (PASM), Power Steering Plus, rim Cayenne Design 20 inci, Park Assist dengan Surround View, sistem audio Bose dan pengecas wayarles 15W.

Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan kluster instrumen digital melengkung berukuran 12.6 inci dan paparan Porsche Communication Management (PCM) 12.3 inci yang diintegrasikan secara harmoni pada papan pemuka.

Pelanggan yang inginkan penampilan lebih menonjol boleh mendapatkan pelbagai aksesori Tequipment termasuk rim Cayenne Exclusive Design berukuran 21 inci, rim Sport Design 22 inci dan sistem hiburan tempat duduk belakang.

Akhir sekali, Cayenne menampilkan enjin 3.0-liter turbo V6 yang menjana 353 PS dan 500 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang memacu keempat-empat roda.

Cayenne facelift boleh ditempah menerusi platform digital baharu mycayenne.online. Untuk lebih eksklusif, 250 pelanggan pertama yang membuat tempahan akan menerima kunci dalam warna yang sama dengan warna luaran. Menurut Porsche Malaysia, penghantaran dijangka bermula menjelang akhir tahun ini.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved