Arkib Tag: Polis Diraja Malaysia

PDRM bakal terima 20 unit BMW R 1250 RT untuk iringi PM, TPM

Menerusi satu hantaran yang dikongsikan oleh laman Facebook Armorblaze, pihak Polis Diraja Malaysia nampaknya akan menerima 20 unit motosikal jenis BMW R 1250 RT baharu.

Menurut Armorblaze, motosikal-motosikal itu akan digunakan sebagai kenderaan pengiring Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Armorblaze merupakan sebuah pusat perincian (detailing) kenderaan dari Ampang yang ditanggungjawabkan untuk menghasilkan livery untuk projek tersebut.

Seperti yang boleh dilihat, kesemua unit R 1250 RT ini menampilkan tema warna biru-putih yang sinonim dengan PDRM serta set pelekat pemantul cahaya yang dihasilkan oleh pusat perincian tersebut.

Bukan itu sahaja, motosikal-motosikal ini juga kelihatan mempunyai lampu tambahan berwarna biru pada bahagian depan dan belakang.

R 1250 RT dikuasakan oleh enjin boxer dua silinder bersesaran 1,249 cc yang mampu menghasilkan 136 hp dan 143 Nm, membolehkan ia memecut melebihi kelajuan 200 km/j.

Antara ciri utama motosikal ini termasuklah sistem suspensi Telelever dan Paralever, sistem ABS Pro, Adaptive Cruise Control, Dynamic Traction Control, tiga mod tunggangan dan skrin TFT 10.25 inci.

Polis Sabah terima 8 unit Harley-Davidson Low Rider ST

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) Sabah telah menerima sumbangan sebanyak lapan motosikal berkuasa tinggi jenis Harley-Davidson daripada kerajaan negeri.

Kesemua motosikal tersebut diserahkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor  kepada Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Bin Dikun dalam satu majlis penyerahan di Lobi Utama Blok A, Menara Kinabalu pada 3 Oktober.

Menurut hantaran di laman Facebook Polis Sabah, sumbangan ini mampu mengatasi masalah kekurangan aset terutama motosikal dalam penugasan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) bagi Kontinjen Sabah.

Selain penugasan khas, motosikal ini juga akan digunakan untuk penugasan pengiring prestige di Sabah.

Motosikal jenis Harley-Davidson Low Rider ST itu dikuasakan oleh enjin V-Twin berkapasiti 1,923 cc yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 105 hp pada 5,020 rpm dan 168 Nm pada 3,500 rpm.

Secara keseluruhannya, sumbangan daripada kerajaan negeri Sabah ini adalah bernilai RM1.076 juta dan akan diagihkan dalam dua fasa.

PDRM dapat kumpulan pertama empat juruterbang wanita!

EMPAT inspektor mencatat sejarah apabila menjadi kumpulan pertama juruterbang wanita bagi Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak unit itu ditubuhkan pada tahun 1979.

Inspektor Wan Aulia Hami Fariheen Wan Azulkefeli, 31; Inspektor Yeoh Yee Chee, 31; Inspektor Siti Nabila Abdullah, 33, dan Inspektor Nur Hidayah Mohd. Aisa, 33, merupakan antara 12 juruterbang PGU yang berjaya menamatkan kursus Private Pilot’s Licence (PPL) No 19, Siri 01/2021.

Gambar oleh: Facebook Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police )

Mereka dianugerahkan lencana sayap juruterbang yang dipakaikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay sempena Hari Ulang Tahun PGU ke-44 di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) baru-baru ini.

Nur Hidayah yang juga menerima Anugerah Peserta Kursus PPL Terbaik berkata beliau terpanggil untuk menjadi juruterbang wanita bagi unit berkenaan kerana mahu mencabar kebolehan dirinya.

“Kami (juruterbang wanita) harus menunjukkan kami juga mempunyai kebolehan yang sama seperti golongan lelaki, bukan sahaja dari segi akademik malah dalam bidang penerbangan.

“Jika saya tidak sertai sekarang, saya mungkin tidak berpeluang untuk pengambilan seterusnya, sebab itu saya tidak mahu lepaskan peluang ini,” katanya.

Sementara itu, Yee Chee turut berkongsi semangat yang sama bagi membuktikan pegawai polis wanita juga mampu mengemudi pesawat.

“Sebelum ini unit PGU tidak mempunyai juruterbang wanita dan kami mahu menjadi yang pertama, agar ia dapat memberi inspirasi kepada masyarakat dan golongan wanita dalam pasukan.

“Dalam bidang penerbangan, golongan wanita dilihat agak minoriti kerana penglibatannya agak kurang,” tambahnya.

Dalam pada itu, Komander PGU, Datuk Noor Sham Md Jani berkata, empat pegawai polis wanita tersebut dipilih menyertai kursus PPL selepas tapisan ketat dilakukan ke atas 36 peserta.

“Mereka ini kumpulan pertama untuk juruterbang kapal terbang, insya-Allah bulan depan ada enam lagi juruterbang wanita untuk helikopter.

“Pertama kali dalam sejarah PLPGU melatih enam juruterbang berpangkat inspektor wanita. Ini satu perkembangan terbaik untuk generasi akan datang,” katanya.

Tambah beliau, PDRM memang menggalakkan pegawai polis wanita yang berkebolehan dan berkelayakan untuk menyertai PGU bagi memantapkan lagi keberkesanan operasi.

Perodua serah lima unit Myvi untuk polis Selangor

ANDA pasti ada terlihat beberapa gambar Perodua Myvi dengan liveri polis yang tular beberapa minggu lepas. Pagi ini, Perodua secara rasmi menyerahkan lima unit Myvi 1.5 Advance kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor.

Majlis penyerahan itu dibuat di ibu pejabat pengeluar tersebut di Rawang, dan turut dihadiri oleh pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin dan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.

Kelima-lima Perodua Myvi yang diserahkan adalah dari generasi pra-facelift, dalam varian tertinggi 1.5 AV, dan ianya sebahagian dari inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat itu. Serahan ini juga hadir dengan sokongan servis dan penyelenggaraan percuma selama dua tahun oleh Perodua.

Menurut Arjunaidi, Perodua Myvi tersebut akan digunakan untuk tugas-tugas rasmi PDRM selain rondaan harian dalam pencegahan jenayah.

Tiga unit akan ditempatkan di balai-balai di Serendah, Rasa dan Ulu Yam, manakala baki dua akan ditempatkan di ibu pejabat polis daerah Hulu Selangor.

Myvi PDRM ini adalah standard, dengan liveri PDRM biasa iaitu biru dan kuning, dan sedikit warna hijau di sisi. Ia menggunakan keretas asal berwarna perak, dan bukan putih.

Terdapat tulisan ‘POLIS’ di hud dan pintu depan, manakala bahagian belakang mendapat tulisan kecil di kiri. Kemudian terdapat juga nama balai yang menerima Myvi ini, iaitu Serendah, Rasa, dan Ulu Yam Bharu.

Lampu beacon di atasnya menampilkan unit LED biru biasa, tetapi tiada lampu suluh berwarna putih yang cerah di bahagian sisinya. Kemudian pelengkap kepada Myvi PDRM ini adalah siren dengan beberapa mod bunyi, serta pembesar suara (loud hailer).

Enjin juga standard, jadi Myvi PDRM ini dikuasakan oleh enjin 1.5-liter dengan 102hp dan 136Nm tork, serta kotak gear automatik 4-kelajuan. Apa pun, hati-hati semua, King kini sudah menjadi polis!

PDRM tawar diskaun saman trafik 50% sempena Peringatan Hari Polis ke-215

BERITA baik untuk pengguna jalan raya yang mempunyai saman trafik tertunggak. Bersempena dengan sambutan Peringatan Hari Polis ke-125 Tahun 2022, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan pengurangan bayaran saman trafik sehingga 50% bagi kesalahan-kesalahan terpilih.

Menurut hantaran yang dimuat naik ke laman Facebook rasmi PDRM, orang ramai boleh membuat pembayaran di program ‘Road March’ yang akan berlangsung pada 30 Julai ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Kaunter pembayaran akan dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang.

Tawaran diskaun ini bagaimanapun tidak tertakluk bagi kesalahan-kesalahan seperti kemalangan, saman tidak boleh kompaun (NC), kesalahan berstatus perbicaraan, saman berstatus waran tangkap dan kesalahan berkaitan kenderaan berat.

Selain itu, kesalahan-kesalahan seperti ubahsuai ekzos, memotong di garisan berkembar, melanggar lampu isyarat merah, memotong secara berbahaya serta menggunakan lorong kecemasan juga tidak layak untuk diskaun ini.

Program ‘Road March’ 2022

Program Road March yang akan diadakan di Dataran Merdeka esok (30 Julai 2022) akan menyajikan pelbagai persembahan menarik untuk pengunjung. Ia termasuk persembahan dari Unit Tiger Platoon Pasukan Gerakan Am, Unit Anjing Pengesan (K9) dan juga Pasukan Pancaragam Polis Diraja Malaysia.