Polis Sabah terima 8 unit Harley-Davidson Low Rider ST
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) Sabah telah menerima sumbangan sebanyak lapan motosikal berkuasa tinggi jenis Harley-Davidson daripada kerajaan negeri.
Kesemua motosikal tersebut diserahkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor kepada Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Bin Dikun dalam satu majlis penyerahan di Lobi Utama Blok A, Menara Kinabalu pada 3 Oktober.
Menurut hantaran di laman Facebook Polis Sabah, sumbangan ini mampu mengatasi masalah kekurangan aset terutama motosikal dalam penugasan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) bagi Kontinjen Sabah.
Selain penugasan khas, motosikal ini juga akan digunakan untuk penugasan pengiring prestige di Sabah.
Motosikal jenis Harley-Davidson Low Rider ST itu dikuasakan oleh enjin V-Twin berkapasiti 1,923 cc yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 105 hp pada 5,020 rpm dan 168 Nm pada 3,500 rpm.
Secara keseluruhannya, sumbangan daripada kerajaan negeri Sabah ini adalah bernilai RM1.076 juta dan akan diagihkan dalam dua fasa.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.