fbpx

PDRM dapat kumpulan pertama empat juruterbang wanita!

juruterbang wanita pdrm

EMPAT inspektor mencatat sejarah apabila menjadi kumpulan pertama juruterbang wanita bagi Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak unit itu ditubuhkan pada tahun 1979.

Inspektor Wan Aulia Hami Fariheen Wan Azulkefeli, 31; Inspektor Yeoh Yee Chee, 31; Inspektor Siti Nabila Abdullah, 33, dan Inspektor Nur Hidayah Mohd. Aisa, 33, merupakan antara 12 juruterbang PGU yang berjaya menamatkan kursus Private Pilot’s Licence (PPL) No 19, Siri 01/2021.

Gambar oleh: Facebook Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police )

Mereka dianugerahkan lencana sayap juruterbang yang dipakaikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay sempena Hari Ulang Tahun PGU ke-44 di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) baru-baru ini.

Nur Hidayah yang juga menerima Anugerah Peserta Kursus PPL Terbaik berkata beliau terpanggil untuk menjadi juruterbang wanita bagi unit berkenaan kerana mahu mencabar kebolehan dirinya.

“Kami (juruterbang wanita) harus menunjukkan kami juga mempunyai kebolehan yang sama seperti golongan lelaki, bukan sahaja dari segi akademik malah dalam bidang penerbangan.

“Jika saya tidak sertai sekarang, saya mungkin tidak berpeluang untuk pengambilan seterusnya, sebab itu saya tidak mahu lepaskan peluang ini,” katanya.

Sementara itu, Yee Chee turut berkongsi semangat yang sama bagi membuktikan pegawai polis wanita juga mampu mengemudi pesawat.

“Sebelum ini unit PGU tidak mempunyai juruterbang wanita dan kami mahu menjadi yang pertama, agar ia dapat memberi inspirasi kepada masyarakat dan golongan wanita dalam pasukan.

“Dalam bidang penerbangan, golongan wanita dilihat agak minoriti kerana penglibatannya agak kurang,” tambahnya.

Dalam pada itu, Komander PGU, Datuk Noor Sham Md Jani berkata, empat pegawai polis wanita tersebut dipilih menyertai kursus PPL selepas tapisan ketat dilakukan ke atas 36 peserta.

“Mereka ini kumpulan pertama untuk juruterbang kapal terbang, insya-Allah bulan depan ada enam lagi juruterbang wanita untuk helikopter.

“Pertama kali dalam sejarah PLPGU melatih enam juruterbang berpangkat inspektor wanita. Ini satu perkembangan terbaik untuk generasi akan datang,” katanya.

Tambah beliau, PDRM memang menggalakkan pegawai polis wanita yang berkebolehan dan berkelayakan untuk menyertai PGU bagi memantapkan lagi keberkesanan operasi.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved