Arkib Tag: phsam

Pelan Pengiktirafan Audi beri ketenangan minda kepada pemilik model ‘grey import’

PEMILIK kenderaan import terpakai (parallel import) jenama Audi tidak perlu risau lagi kerana PHS Automotive Malaysia (PHSAM) telah melancarkan Pelan Pengiktirafan Audi.

Menurut syarikat itu, pelan berkenaan akan menyokong para pemilik Audi dengan pelbagai manfaat seperti Audi Plus, Pelan Insurans Audi (Audi Insurance Plan), Pakej Pembaikan Audi (Audi Repair Package) dan Sokongan Pembaikan Melangkaui Kos (Beyond Economic Repair Support).

Pelan-pelan tersebut merangkumi penggunaan alat ganti tulen, penyelenggaraan, pembaikan dan servis untuk memberi pengalaman lebih baik kepada pelanggan, pada masa sama memastikan prestasi serta keselamatan kenderaan Audi.

Kenderaan yang dibeli daripada pengimport parallel terlebih dahulu perlu dinilai secara percuma menerusi Pemeriksaan Kondisi Audi (ACC) 300 poin Audi yang terperinci di mana-mana Audi Centre yang layak untuk mengendalikan pelan berkenaan.

Bergantung kepada keputusan pemeriksaan, para pemilik kemudian boleh mendaftar dengan Pelan Pengiktirafan Audi yang merangkumi perkara-perkara berikut:

  • Pakej Audi Plus menawarkan penjimatan ke atas servis, pembaikan, alat ganti dan penyelenggaraan untuk kenderaan yang berusia lima tahun dan ke atas. Selepas mendaftar, pemilik akan menerima tiga baucar yang boleh digunakan dalam tempoh tiga tahun. Ini melayakkan mereka untuk mendapat potongan sebanyak 10 peratus ke atas servis penyelenggaraan serta Bantuan Tepi Jalan selama 12 bulan dari tempoh penebusan baucar tersebut.
  • Pelan Insurans Audi menawarkan kelebihan seperti keutamaan dalam kelulusan tuntutan, Bantuan Tepi Jalan Audi secara percuma selama 12 bulan untuk kereta berusia lebih 5 tahun serta jaminan bahawa kerja-kerja pembaikan akan dibuat di pusat badan dan cat sah Audi oleh juruteknik bertauliah. Semua ini dilakukan selari dengan standard pembaikan global Audi dan hanya alat ganti tulen Audi digunakan. Rakan-rakan penginsurans terdiri daripada Allianz General Insurance Berhad, MSIG Insurance (M) Berhad, Etiqa General Takaful Berhad dan Zurich General Takaful Malaysia Berhad.
  • Pakej Pembaikan Audi menawarkan diskaun sebanyak 30 peratus ke atas beberapa barangan seperti set brek, penyerap hentak, galas dan tali sawat pemasaan untuk kenderaan berusia enam tahun dan ke atas.
  • Sokongan Pembaikan Melangkaui Kos menawarkan diskaun sebanyak 20 peratus ke atas alat-alat ganti terplih yang rosak teruk akibat insiden tidak diingini.

Audi juga akan melancarkan aplikasi peranti pintarnya tidak lama lagi untuk menawarkan akses kepada pelbagai ciri yang direka untuk membuatkan pengalaman pemilikan lebih baik kepada semua pemilik kenderaan Audi (termasuk kenderaan import terpakai).

Ciri yang dimaksudkan termasuk mencari stesen pengecasan EV terdekat, membuat temu janji servis atau menerima berita dan kemas kini terbaharu. Mereka yang berminat boleh mendaftar di https://myaudiworldapp.com.my/pre-launch.

PHSAM panggil semula 2,767 unit kenderaan Audi

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) telah mengumumkan panggilan semula sukarela ke atas 2,767 unit kenderaan Audi.

Ia melibatkan model-model seperti Audi A4 Sedan, A5 Sportback, A6 Sedan, Q5 dan TT Coupe yang dikilangkan di antara tahun 2008 hingga 2017 yang dipasang dengan beg udara Takata atau generator gas pada beg udara bahagian pemandu, penumpang dan tirai.

Berdasarkan kemas kini terbaharu daripada pengeluar, wujud kemungkinan perumah generator gas tersebut itu rosak sekiranya beg udara diaktifkan. Ini akan menyebabkan serpihan kecil melayang daripada perumah tersebut dan boleh mengakibatkan risiko keselamatan yang serius.

PHSAM menggesa pemilik yang terlibat supaya menghubungi pusat Audi Centre berhampiran untuk mendapatkan temu janji pemeriksaan serta penggantian jika perlu terhadap beg udara dan alat ganti berkaitan secepat mungkin.

“Di Audi, keselamatan menjadi keutamaan kami. Ia akan terus menjadi salah satu faktor penting dalam usaha berterusan kami untuk menambah baik aspek perkhidmatan selepas jualan. Kami mengenal pasti bahawa antara sebab utama pelanggan memilih Audi adalah kerana prestasi dan ciri keselamatannya. Jadi, standard tinggi ini akan kami laksanakan dengan penuh bertanggungjawab,” kata Pengarah Urusan PHSAM, Erik Winter.

Pemilik Audi tak usah pening kepala dengan adanya program servis Audi Plus

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) hari ini mengumumkan program kesetiaan baharu Audi Plus, disasarkan untuk memberi manfaat kepada pemilik-pemilik Audi berusia lebih lima tahun.

Prgoram Audi Plus menawarkan pemilik Audi tiga baucar servis 10 peratus yang boleh digunakan dalam tempoh tiga tahun selepas tahun servis kelima. Sebagai tambahan, Audi menyediakan bantuan tepi jalan sehingga 12 bulan dari penebusan baucar.

Program ini khas untuk pemilik Audi dengan kenderaan berusia lebih lima tahun, termasuk kenderaan import terus dan parallel. Pemilik hanya perlu melawati mana-mana pusat servis Audi Centre terdekat untuk melanggannya.

Audi Plus juga merangkumi alat ganti tulen yang diperbuat dari bahan berkualiti tinggi yang akan digunakan dalam servis kenderaan. Ini termasuklah minyak, penapis udara, pengecaj bateri, bilah penggilap cermin, hinggalah kepada palam pencucuh dan pelapik brek.

“Pemilik-pemilik boleh menjangkakan servis komprehensif dan lancer di pusat servis kami melalui program ini. Juruteknik kami juga adalah terlatih dengan penilaian dan pensijilan oleh Audi,” kata Erik Winter, Pengarah Urusan PHSAM.

“Selain kepakaran yang betul, mereka (juruteknik) juga dilengkapi dengan alatan yang tepat untuk memeriksa dan menyelenggara kenderaan berdasarkan garis panduan Audi,” tambahnya.

PHS Automotive Malaysia perkenal Audi Assurance Package untuk pemilik baharu

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) baru-baru ini mengumumkan pelarasan harga atas jalan untuk keseluruhan rangkaian model Audi, serta melancarkan Audi Assurance Package (AAP).

Sah untuk semua kenderaan baharu yang dibeli bermula 1 Januari 2023, AAP menawarkan pembeli penambahan berupa penyelenggaraan percuma selama tiga tahun dan waranti pengeluar selama tiga tahun, menjadikan jumlah perlindungan kepada lima tahun.

Menurut PHSAM, AAP ditawarkan pada harga serendah RM8,000 hingga RM24,000, bergantung kepada model yang dipilih. Pemilik Audi baharu boleh memilih untuk mendapatkan pakej perlindungan tersebut sebelum atau selepas membuat pembelian.

Erik Winter, Pengarah Urusan PHSAM berkata, “Pemilik Audi mahukan pengalaman pemilikan yang luar biasa, dan ia bermula dengan pembelian. Program ini direka untuk memberikan pemilik lebih nilai dan fleksibiliti pada harga runcit baharu, sambil memberikan mereka ketenangan minda.”

Tambah beliau lagi, cawangan Audi Centre juga bersedia untuk memberikan sokongan kepada pemilik menerusi perkhidmatan selepas jualan yang lebih baik dan pakej yang sesuai untuk gaya hidup mereka.

“Inisiatif ini adalah tambahan kepada siri program penjagaan pelanggan bagi menjadikan Audi pilihan mereka yang mahukan pengalaman pemanduan berkelas tinggi,” katanya.

Audi RS e-tron GT mendarat di Malaysia – 590hp/830Nm, dibuka untuk tempahan, tidak lebih RM769k

TAHUKAH anda kereta apa yang dinobatkan sebagai World Performance Car of the Year 2022? Ianya bukan jentera dengan enjin V10 atau V12, sebaliknya sebuah EV. Ya, kereta elektrik, iaitu Audi RS e-tron GT.

Dan hari ini menyaksikan perasmian RS e-tron GT ke pasaran Malaysia. EV berprestasi tinggi dengan badan sedan-fastback ini dibina dari pelantar J1 yang juga dikongsi dengan Porsche Taycan.

Dengan dua motor elektrik di gandar depan dan belakang, Audi RS e-tron GT ini mempunyai output berjumlah 590hp dan 830Nm tork. Dan apabila dalam mod Boost, output dilonjakkan menjadi 637hp.

Secara efektifnya, dengan dua motor elektrik, Audi RS e-tron GT ini merupakan kereta AWD. Ini membolehkannya memecut dari pegun ke 100km/j dalam hanya 3.3 saat, hingga ke kelajuan maksima 250km/j.

Kuasa dibekalkan oleh bateri lithium 85kW dan dengan caj penuh, e-tron GT ini boleh dipandu sehingga 487km. Ia menyokong pengecasan pantas DC 800volt, membolehkan ia dicaj dari 5 hingga 80 peratus dalam hanya 22.5 minit. Pengecasan AC Type 2 disokong sehingga 22kW.

Selain RS e-tron GT, PHS Automotive Malaysia (PHSAM) juga menawarkan e-tron GT standard, juga dengan konfigurasi dua motor. Output bagi model ini adalah 469hp dan 630Nm tork (523hp dalam mod Boost).

Pecutan 0-100 bagi e-tron GT ini ialah 4.1 saat, dengan kelajuan maksima sedikit rendah, pada 245km/j.

Sebagai tambahan, PHSAM juga memperkenalkan bahawa barisan model-model Q8 e-tron turut akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Harga adalah seperti berikut:

Q8 e-tron (SUV dan Sportback): RM369k hingga RM476k
e-tron GT quattro: RM559k hingga Rm643k
RS e-tron GT: RM749k hingga RM769k

Untuk tempoh terhad, Audi RS e-tron GT boleh dilihat dengan lebih dekat di bilik pameran Audi di Glenmarie, Juru dan Setia Alam. Ia juga akan dipamerkan pada acara Audi Showcase di 1Utama Shopping Centre hujung bulan ini iaitu bermula 22 hingga 26 Februari 2023.

Tempahan boleh dibuat di mana-mana Audi Centre. Maklumat lanjut, sila layari laman web Audi Malaysia.

PHS Automotive Malaysia kini pengedar rasmi kenderaan Audi

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) hari ini mengumumkan kehadirannya ke negara ini sebagai pengedar rasmi kenderaan Audi.

Ianya dimiliki sepenuhnya oleh Porsche Holding Salzburg (PHS) Eropah, dan akan terlibat dalam operasi jualan, pemasaran, serta selepas-jualan untuk Audi di Malaysia.

Dua pengarah urusan PHSAM adalah Erik Winter dan Kurt Leitner, yang juga memegang jawatan sama di Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM).

Kedua-duanya terlibat dalam kejayaan dan hala tuju jenama Volkswagen di Malaysia, termasuklah pengembangan model-model CKD.

Erik berkata, “Landskap automotif premium sangat kompetitif, dan kami ada banyak perlu dilakukan dan cabaran yang perlu dihadapi, tetapi kami komited untuk perkembangan jenama Audi.

“Audi ialah salah satu jenama premium utama di dunia dan mempunyai mengikut tegar berlapis generasi, jadi terdapat potensi di pasaran Malaysia.

Tambah Erik, “Fokus kami akan melibatkan pengukuhan rangkaian SUV, S Line dan Quattro, di samping elektrifikasi yang memainkan peranan penting dalam masa depan syarikat.”

“Dengan kekuatan pengalaman pasukan kami berserta kepakaran global PHS, kami yakin dengan pertumbuhan mapan jenama Audi (di Malaysia),” tambahnya.

Barisan produk Audi pada masa ini termasuklah sedan, sportback, dan SUV seperti A5, A7, Q3, Q5, dan Q8, selain model-model prestasi RS.

Proses pengurusan telah selesai, kini PHSAM dalam fasa mengembangkan khidmat selepas jualan dan mengukuhkan rangkaian pengedar sedia ada.

Kenderaan-kenderaan Audi yang dibeli bermula 1 Julai 2022 akan disertakan dengan penyelenggaraan percuma 3 tahun, jaminan 5 tahun tanpa had perbatuan, dan bantuan tepi jalan 5 tahun.

Pengedar-pengedar yang boleh anda lawati adalah Audi Centres di Juru dan Glenmarie, serta pusat servis sah di Ipoh. Audi Centre Setia Alam pula akan kembali beroperasi pada 1 Ogos 2022.