fbpx

Pelan Pengiktirafan Audi beri ketenangan minda kepada pemilik model ‘grey import’

Pelan Pengiktirafan Audi

PEMILIK kenderaan import terpakai (parallel import) jenama Audi tidak perlu risau lagi kerana PHS Automotive Malaysia (PHSAM) telah melancarkan Pelan Pengiktirafan Audi.

Menurut syarikat itu, pelan berkenaan akan menyokong para pemilik Audi dengan pelbagai manfaat seperti Audi Plus, Pelan Insurans Audi (Audi Insurance Plan), Pakej Pembaikan Audi (Audi Repair Package) dan Sokongan Pembaikan Melangkaui Kos (Beyond Economic Repair Support).

Pelan-pelan tersebut merangkumi penggunaan alat ganti tulen, penyelenggaraan, pembaikan dan servis untuk memberi pengalaman lebih baik kepada pelanggan, pada masa sama memastikan prestasi serta keselamatan kenderaan Audi.

Kenderaan yang dibeli daripada pengimport parallel terlebih dahulu perlu dinilai secara percuma menerusi Pemeriksaan Kondisi Audi (ACC) 300 poin Audi yang terperinci di mana-mana Audi Centre yang layak untuk mengendalikan pelan berkenaan.

Bergantung kepada keputusan pemeriksaan, para pemilik kemudian boleh mendaftar dengan Pelan Pengiktirafan Audi yang merangkumi perkara-perkara berikut:

  • Pakej Audi Plus menawarkan penjimatan ke atas servis, pembaikan, alat ganti dan penyelenggaraan untuk kenderaan yang berusia lima tahun dan ke atas. Selepas mendaftar, pemilik akan menerima tiga baucar yang boleh digunakan dalam tempoh tiga tahun. Ini melayakkan mereka untuk mendapat potongan sebanyak 10 peratus ke atas servis penyelenggaraan serta Bantuan Tepi Jalan selama 12 bulan dari tempoh penebusan baucar tersebut.
  • Pelan Insurans Audi menawarkan kelebihan seperti keutamaan dalam kelulusan tuntutan, Bantuan Tepi Jalan Audi secara percuma selama 12 bulan untuk kereta berusia lebih 5 tahun serta jaminan bahawa kerja-kerja pembaikan akan dibuat di pusat badan dan cat sah Audi oleh juruteknik bertauliah. Semua ini dilakukan selari dengan standard pembaikan global Audi dan hanya alat ganti tulen Audi digunakan. Rakan-rakan penginsurans terdiri daripada Allianz General Insurance Berhad, MSIG Insurance (M) Berhad, Etiqa General Takaful Berhad dan Zurich General Takaful Malaysia Berhad.
  • Pakej Pembaikan Audi menawarkan diskaun sebanyak 30 peratus ke atas beberapa barangan seperti set brek, penyerap hentak, galas dan tali sawat pemasaan untuk kenderaan berusia enam tahun dan ke atas.
  • Sokongan Pembaikan Melangkaui Kos menawarkan diskaun sebanyak 20 peratus ke atas alat-alat ganti terplih yang rosak teruk akibat insiden tidak diingini.

Audi juga akan melancarkan aplikasi peranti pintarnya tidak lama lagi untuk menawarkan akses kepada pelbagai ciri yang direka untuk membuatkan pengalaman pemilikan lebih baik kepada semua pemilik kenderaan Audi (termasuk kenderaan import terpakai).

Ciri yang dimaksudkan termasuk mencari stesen pengecasan EV terdekat, membuat temu janji servis atau menerima berita dan kemas kini terbaharu. Mereka yang berminat boleh mendaftar di https://myaudiworldapp.com.my/pre-launch.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved