Arkib Tag: parkir

Individu buat kerja gila bina bangsal parkir kereta di tengah jalan

KETIADAAN ruang tempat letak kereta yang mencukupi di kawasan perumahan bukanlah suatu masalah baharu. Mungkin kerana inilah seorang penduduk di taman perumahan Seri Mahkota, Kuantan bertindak untuk membina sebuah bangsal di tengah jalan.

Bagaimanapun, perbuatan itu mengundang padah apabila bangsal haram itu berjaya dikesan oleh anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuatan (MBK) ketika menjalankan pemeriksaan di kawasan itu.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi, MBK menganggap perbuatan itu sebagai tindakan luar biasa.

“Lagi kes luar biasa. Bangsal diletakkan di tengah jalan bagi tujuan parkir. Kejadian berlaku di Seri Mahkota. Notis arahan pengalihan telah dikeluarkan. Atas kegagalan mematuhi notis, tindakan penguatkuasaan akan diambil,” tulis MBK.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata notis arahan pengalihan telah dikeluarkan selama tujuh hari ke atas pemilik kenderaan terbabit.

“Jika pihak pemilik kenderaan atau pihak berkaitan gagal mematuhi notis tersebut, tindakan sitaan bakal diambil.

“Kadar sitaan kita kenakan sebanyak RM100 sehari sehingga pemilik atau pihak berkaitan menebus kenderaan ini,” katanya.

Lelaki ini tidur dalam Proton Satria di hospital untuk mudah melawat anak sakit

RAMAI yang berkata kasih sayang ibu tiada batasannya, tetapi begitu juga dengan kasih seorang ayah.

Adi Saifullizam Abdul Sani yang berusia 40 tahun telah menjadikan keretanya sebagai rumah sejak Jumaat lalu. Dia meletakkan keretanya di perkarangan Hospital Raja Permaisuri Bainun agar berada dekat dengan anaknya yang sedang menjalani rawatan tumor otak.

Gambar-gambar Proton Satria milik Adi dengan khemah di belakangnya telah tular di media sosial.

Anaknya yang berusia lapan tahun disahkan menghidap penyakit itu pada Jumaat lepas, menurut laporan New Straits Times. Dia kemudiannya dimasukkan ke wad dan menjalani pembedahan untuk mengambil sampel sel.

Adi berkata bahawa anaknya kini stabil, tetapi masih memerlukan rawatan di hospital. Menurutnya, walaupun isterinya berada di sisi anak mereka di wad, dia masih perlu tinggal berdekatan dengan mereka.

Dengan tinggal di dalam kereta, dia akan dapat berjalan kaki sahaja untuk melawat anaknya.

“Isteri saya di wad dengan anak kami. Tetapi saya tidak boleh berjauhan. Jika apa-apa berlaku, sekurang-kurangnya saya sudah di sini,” kata Adi.

Beliau yang bekerja di sebuah kilang di Bidor berkata dia telah mengambil cuti tanpa gaji untuk berada dekat dengan anaknya.

Dua lagi anak mereka kini dalam jagaan saudara mereka buat masa ini.

“Tidur dalam kereta tidak begitu selesa tetapi tidak mengapa, asalkan saya sudah berada berdekatan jika berlaku apa-apa,” tambah Adi.

“Beberapa kawan di Ipoh juga ada menawarkan tempat tinggal tetapi saya terpaksa menolak kerana jaraknya kira-kira sejam dari hospital.”

Sama-sama kita doakan agar anaknya sembuh seperti sedia kala dan urusan keluarga ini dipermudahkan semuanya.

Pembayaran parkir digital sepenuhnya di Selangor mulai 1 April

SELANGOR bakal menguatkuasakan sepenuhnya pembayaran parkir secara digital bermula 1 April depan.

Langkah itu dibuat bagi memudahkan orang ramai selain lebih efektif dan efisyen.

Orang ramai boleh memuat turun aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) di Google Play Store, Apple App Store atau Huawei AppGallery.

Sementara itu, orang ramai boleh memindahkan baki nilai kupon kepada kredit SSP mulai 26 Mac.

Perkara itu secara tidak langsung mengelak pengguna daripada berdepan kerugian kerana masih mempunyai baki kredit pada kupon dibeli sebelum ini.

Sejak diperkenalkan pada 2018, aplikasi SSP telah menjimatkan penggunaan lebih 1,041,221 kilogram kertas.

Setakat ini, SSP mempunyai 1,963,241 pengguna berdaftar.

Alkisah parkir bertingkat, sejak 1905 lagi!

ISU kekurangan ruang parkir sebenarnya bukan satu masalah baharu, malah ia sudah menjadi satu kesulitan sejak awal abad ke-20 apabila kereta baru hendak mula menjadi mod pengangkutan pilihan terutamanya di bandar-bandar besar.

Jadi apakah tindakan yang diambil untuk mengatasi masalah ini? Ya, percaya atau tidak, pihak berkuasa pada zaman itu mengambil keputusan untuk membina garaj parkir bertingkat.

Keputusan ini didorong oleh dua faktor utama iaitu keperluan untuk mempunyai ruang parkir yang mencukupi dan kekurangan kawasan atau tanah yang luas untuk membina ruang parkir.

Pembinaan garaj parkir bertingkat yang pertama dikesan seawal 1905 di bandaraya Paris, Perancis.

Garaj yang dinamakan Rue de Ponthieu itu menampilkan struktur konkrit bertingkat dan lif untuk mengangkut kereta ke tingkat-tingkat atas. Setibanya di atas, kereta akan diparkir oleh atendan yang bertugas.

Sekitar tahun 1920an, sistem parkir menegak yang dikenali sebagai sistem paternoster menjadi popular disebabkan ia mampu memuatkan sehingga lapan buah kereta di dalam ruang yang kebiasaannya digunakan untuk meletak dua buah kereta sahaja.

Bukan itu sahaja, sistem ini juga lebih kompak dan ringkas dari segi mekanikal, sekaligus menjadikan ia lebih mudah untuk dibina di pelbagai jenis lokasi termasuk bahagian dalam bangunan.

Secara ringkasnya, sistem parkir jenis ini beroperasi seperti ‘Ferris wheel’ di mana kereta diletakkan di dalam ‘sangkar’ tergantung yang disambungkan dengan tali sawat. Sangkar-sangkar ini akan berpusing dan pelanggan yang ingin mengambil kereta mereka perlu tunggu sehingga sangkar kereta mereka tiba di tingkat paling bawah.

Dikuasakan oleh motor elektrik atau pam hidraulik, sistem parkir jenis ini dikatakan mempunyai kos operasi yang lebih rendah untuk setiap ruang parkir kerana ia tidak memerlukan tanah yang luas dan struktur yang kompleks.

Di Amerika Syarikat, sistem parkir ini mula muncul di bandar-bandar utama seperti Los Angeles, New York dan Chicago pada zaman 1920an. Dari situ, ia terus berevolusi dan menjadi semakin canggih.

Pada acara Centry of Progress World’s Fair 1933, Nash Motor Company memperlihatkan sistem parkir bertutup yang pertama di dunia. Selain itu, Kent Automatic Garages pernah memperkenalkan sistem parkir automatik yang mempunyai kapasiti mencecah 1,000 buah kereta pada satu-satu masa.

Pada 1951, Washington D.C. menyaksikan pembukaan garaj parkir tanpa pemandu “Park-o-Mat” namun ia ditutup tidak lama kemudian dipercayai akibat masalah mekanikal.

Selepas itu, beberapa sistem parkir yang sama turut dibuka termasuk Bowser, Pigeon Hole dan Roto Park namun kebanyakannya telah berhenti operasi kerana pelanggan perlu menunggu lama untuk mendapatkan kenderaan mereka.

Ini mengakibatkan populariti sistem parkir automatik menjadi semakin pudar. Namun, ada yang masih digunakan di bandar-bandar lain terutamanya di benua Asia sehingga ke hari ini. Masih ingat babak Twinkie mengambil Volkswagen Touran ‘Hulk’ dalam Tokyo Drift?

Wanita terkejut dicaj RM5,800 untuk parkir satu jam!

TIDAK kira betapa canggih pun sesuatu teknologi itu, ia tidak kebal, pasti ada kelemahan yang boleh timbul. Kelemahan ini boleh jadi dari segi sistem atau dalaman yang kita tidak tahu.

Sebagai contoh, apa yang berlaku kepada wanita ini dimana dia dicaj lebih RM5,800 kerana memarkir kenderaan di sebuah pasaraya. Dan yang hairannya, itu ialah caj untuk parkir hanya satu jam!

Gambar oleh: The Rakyat Post

Wanita itu memuatnaik videonya di akaun Tiktok bernama @mommyjlo2. Menurutnya, dia sangat terkejut memandangkan baru sahaja parkir di situ kira-kira sejam lepas.

@mummyjlo2bapak la mhl😂😂♬ These Days – Nico

 

Disebabkan amaun caj parkir itu tidak munasabah, dia bertemu dengan pihak pengurusan yang nampaknya percaya bahawa dia baru sahaja parkir dalam tempoh itu.

Dia sempat menerangkan kira-kira sejam dengan pihak pengurusan untuk menyelesaikan masalah itu. Kemudian, mereka meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk memastikan kesahihan.

Mereka akhirnya menemui bukti yang dicari dan wanita itu hanya dicaj RM3 sahaja disebabkan masalah teknikal itu.

Myvi KING

Sementara itu, netizen agak terkejut dengan insiden itu. Mereka juga bertanya kepada pemilik akaun berkenaan lokasi parkir untuk lebih berhati-hati.

Ada yang berseloroh menyuruh dia melanggar sahaja palang itu memandangkan dia memandu sebuah Perodua Myvi.

Parkir percuma di KL, rakyat ucap “terima kasih”

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak menghalang usaha murni Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengecualikan bayaran parkir sekitar ibu kota.

Perkara itu diumum Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, semalam.

Jelas Annuar, ia berkuatkuasa bermula hari ini sehingga 31 Ogos nanti.

“Saya bersetuju mulai esok sehingga 31 Ogos, semua tempat letak kereta bahu jalan dalam kawasan bandar raya Kuala Lumpur adalah percuma,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata usaha dijalankan pihaknya diharap dapat mengurangkan beban orang ramai.

Semalam, kerajaan mengumumkan beberapa lokaliti sekitar Kuala Lumpur akan dikenakan PKPD.

PKPD itu berkuatkuasa bermula 3 hingga 16 Julai 2021.

Orang ramai di kawasan terlibat tidak dibenarkan meninggalkan rumah jika tiada urusan mustahak.

Kerajaan menetapkan hanya seorang daripada isi rumah dibenarkan keluar bagi tujuan mendapatkan barangan keperluan.

Terdahulu di media sosial, pelbagai reaksi diberi orang ramai terhadap usaha kerajaan tidak mengenakan caj parkir di Kuala Lumpur.

Mohd Nizam misalnya mengucapkan terima kasih kepada Annuar yang peka terhadap masalah dihadapi rakyat.

“Terima kasih Tan Sri. Sampai mengenai parkir pun Tan Sri fikirkan.

“Itu masalah saya selalu hadapi bila ke Kuala Lumpur,” katanya.

Situasi semasa ketika ini menyaksikan ramai kalangan rakyat berdepan kesusahan.

Justeru, parkir percuma diberikan ini diharap dapat meringankan beban rakyat.