fbpx

Alkisah parkir bertingkat, sejak 1905 lagi!

parkir bertingkat thumb

ISU kekurangan ruang parkir sebenarnya bukan satu masalah baharu, malah ia sudah menjadi satu kesulitan sejak awal abad ke-20 apabila kereta baru hendak mula menjadi mod pengangkutan pilihan terutamanya di bandar-bandar besar.

Jadi apakah tindakan yang diambil untuk mengatasi masalah ini? Ya, percaya atau tidak, pihak berkuasa pada zaman itu mengambil keputusan untuk membina garaj parkir bertingkat.

Keputusan ini didorong oleh dua faktor utama iaitu keperluan untuk mempunyai ruang parkir yang mencukupi dan kekurangan kawasan atau tanah yang luas untuk membina ruang parkir.

Pembinaan garaj parkir bertingkat yang pertama dikesan seawal 1905 di bandaraya Paris, Perancis.

Garaj yang dinamakan Rue de Ponthieu itu menampilkan struktur konkrit bertingkat dan lif untuk mengangkut kereta ke tingkat-tingkat atas. Setibanya di atas, kereta akan diparkir oleh atendan yang bertugas.

Sekitar tahun 1920an, sistem parkir menegak yang dikenali sebagai sistem paternoster menjadi popular disebabkan ia mampu memuatkan sehingga lapan buah kereta di dalam ruang yang kebiasaannya digunakan untuk meletak dua buah kereta sahaja.

Bukan itu sahaja, sistem ini juga lebih kompak dan ringkas dari segi mekanikal, sekaligus menjadikan ia lebih mudah untuk dibina di pelbagai jenis lokasi termasuk bahagian dalam bangunan.

Secara ringkasnya, sistem parkir jenis ini beroperasi seperti ‘Ferris wheel’ di mana kereta diletakkan di dalam ‘sangkar’ tergantung yang disambungkan dengan tali sawat. Sangkar-sangkar ini akan berpusing dan pelanggan yang ingin mengambil kereta mereka perlu tunggu sehingga sangkar kereta mereka tiba di tingkat paling bawah.

Dikuasakan oleh motor elektrik atau pam hidraulik, sistem parkir jenis ini dikatakan mempunyai kos operasi yang lebih rendah untuk setiap ruang parkir kerana ia tidak memerlukan tanah yang luas dan struktur yang kompleks.

Di Amerika Syarikat, sistem parkir ini mula muncul di bandar-bandar utama seperti Los Angeles, New York dan Chicago pada zaman 1920an. Dari situ, ia terus berevolusi dan menjadi semakin canggih.

Pada acara Centry of Progress World’s Fair 1933, Nash Motor Company memperlihatkan sistem parkir bertutup yang pertama di dunia. Selain itu, Kent Automatic Garages pernah memperkenalkan sistem parkir automatik yang mempunyai kapasiti mencecah 1,000 buah kereta pada satu-satu masa.

Pada 1951, Washington D.C. menyaksikan pembukaan garaj parkir tanpa pemandu “Park-o-Mat” namun ia ditutup tidak lama kemudian dipercayai akibat masalah mekanikal.

Selepas itu, beberapa sistem parkir yang sama turut dibuka termasuk Bowser, Pigeon Hole dan Roto Park namun kebanyakannya telah berhenti operasi kerana pelanggan perlu menunggu lama untuk mendapatkan kenderaan mereka.

Ini mengakibatkan populariti sistem parkir automatik menjadi semakin pudar. Namun, ada yang masih digunakan di bandar-bandar lain terutamanya di benua Asia sehingga ke hari ini. Masih ingat babak Twinkie mengambil Volkswagen Touran ‘Hulk’ dalam Tokyo Drift?

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved