Arkib Tag: nissan gtr

Nissan Hyper Force ibarat GT-R R35 elektrik dengan 1,341hp

BOLEH anda bayangkan sebuah Nissan GT-R R35 ditransformasi menjadi elektrik (EV) dengan 1,341hp? Mungkin bayangan paling tepat ialah konsep terbaharu Nissan ini, iaitu Hyper Force.

Ia didedahkan buat pertama kali kepada umum di Japan Mobility Show yang sedang berlangsung. Nissan Hyper Force menampilkan rekaan ultra-agresif dengan spoiler belakang besar gedabak dan pintu rama-rama.

Nissan tidak berkata bahawa ini sebagai pratonton R35, tetapi bentuk keseluruhan dan empat lampu belakang bulat menunjukkan DNA GT-R padanya.

Malah, bahagian menyala berwarna putih merah di gril depan memberikan klu kereta sports flagship Nissan masa depan. Dari jauh, ia kelihatan seperti logo “GT-R” yang dikaburkan. Kami tidak pasti pula kenapa ia pelru dikaburkan.

Bahagian badannya yang dramatik diberikan canards dan rongga kemasukan udara yang dikawal secara elektronik di fender depan. Sementara itu, spoiler belakangnya memang tak mahu kalah, boleh nampak dari sebatu jauhnya.

Pintu besar dibuka ke atas, dan diffuser yang agresif pastinya membuatkan Hyper Force ini melekat ke jalan semasa di kelajuan tinggi. Rim pula adalah jenis karbon yang diperkukuh.

Ruang dalam pula kelihatan seperti anda duduk dalam bilik komputer permainan video dengan lambakan lampu LED. Memandangkan Nissan berkata kereta ini akan menjadi jentera fokus litar, ia mendapat penggilap cermin yang diletakkan di tengah-tengah.

Hyper Force dilaporkan mempunyai bateri solid-state 1,000kW yang mampu menghamburkan 1,341hp. Menurut Nissan, ia bakal mendapat sistem pacuan semua-roda e-4ORCE dengan konfigurasi dwi-motor. Kelajuan maksima pula sekitar 320km/j jika dilihat pada paparan HUD.

Adakah ini akan menjadi GT-R R36? Sama-sama kita nantikan.

Mustang dan AMG bukan kategori supercar – Aliff Awang

MUSTANG dan AMG bukan dalam kategori supercar, begitulah yang diperkatakan oleh Aliff Awang, yang kami pun tidak pasti siapa. Cuma kenyataannya dalam satu video telah membuatkan video itu dikongsi di platform-platform media sosial.

Menurut hasil kaji selidik ringkas kami, Aliff merupakan suami kepada pelakon Fatin Afeefa, dan juga merupakan seorang usahawan.

Berbalik kepada kenyataannya, beliau berkata: “Hari ini kita gather dalam 100 buah supercar. Mustang dikecualikan.

“Bila kita sebut supercar ni, Mustang bukan dalam kategori supercar. Mustang, kereta-kereta AMG, Honda pekak, itu semua bukan supercar.

“Supercar ni paling bang*ng pun GT-R. Itu entry level.”

Katanya, ada beberapa buah Mustang cuba masuk, tetapi telah dihalang oleh mereka. Kami tidak pasti atau video ini hanya gurauan/parodi, atau beliau memang serius.

Kami setuju Ford Mustang bukanlah supercar walaupun kereta sports itu sering berada dalam komuniti pemilik-pemilik supercar di Malaysia.

Tetapi kami tertarik berkenaan AMG. Untuk mengatakan semua AMG bukan supercar adalah satu kenyataan pukul rata. Ya, AMG A45 atau A35 mungkin bukan supercar, tetapi bagaimana dengan Mercedes-AMG GT atau AMG GT63 S sedan?

Kedua-dua ini dikuasakan oleh enjin 4.0-liter V8 twin turbo (AMG GT) dan biturbo (AMG GT63 S) dengan output melebihi 510hp dan 650Nm tork. Harga juga bermula pada RM1,125,888, bukan supercar ya?

Anda boleh tonton video itu di bawah untuk membantu beliau menaikkan jumlah tontonan. Video itu difahamkan dalam satu acara dimana beliau telah ‘membeli’ empat panggung wayang di Pavilion Kuala Lumpur untuk tayangan filem Fast X.