Arkib Tag: moto guzzi

Moto Guzzi V7 Stone baharu kini di Malaysia – harga bermula RM62,900

DIDI Group telah melancarkan Moto Guzzi V7 Stone baharu di acara Art of Speed 2023 yang berlangsung hujung minggu lalu di MAEPS, Serdang.

Seperti model V85 TT, V7 Stone dikuasakan oleh enjin 853 cc dengan silinder V-berkembar. Ia menghasilkan 65 hp pada 6,800 rpm, iaitu 25 peratus lebih tinggi berbanding enjin sebelum ini.

Jumlah tork turut menunjukkan peningkatan yang ketara iaitu dari 60 Nm sebelum ini kepada 73 Nm pada 5,000 rpm. 80 peratus daripada jumlah tersebut tersedia pada 3,000 rpm untuk prestasi pecutan yang lebih hebat.

Jika dibandingkan dengan versi yang terdahulu, V7 Stone dilihat mempunyai penampilan yang lebih menggoda dengan panel sisi yang direka semula, mudguard belakang yang lebih pendek serta paip ekzos baharu.

Ia juga didatangkan standard dengan sistem lampu LED, lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk burung helang Moto Guzzi, kluster instrumen digital bulat dengan rekaan minimalis dan rim aluminium dengan ukuran yang lebih lebar (150/70) untuk bahagian belakang.

Selain itu, kerangka V7 Stone juga dipertingkatkan menerusi penambahan elemen keluli pada bahagian headstock. Aspek keselesaan pula ditambah baik dengan penggunaan sepasang penyerap hentak Kayaba dengan pergerakan (travel) yang lebih besar, serta pelana dan tempat letak kaki baharu.

Di Malaysia, V7 Stone dijual pada harga bermula dari RM62,900, manakala V7 Stone Special Edition pula berharga RM66,900. Kedua-dua model kini boleh didapati di semua pengedar rasmi Moto Guzzi di seluruh Malaysia.

V7 Stone Special Edition didatangkan dalam warna Shining Black, dengan trim merah pada bahagian tangki, pelana dan spring belakang. Ia juga cermin sisi jenis bar end dan penutup tangki aluminium billet.

Moto Guzzi V100 Mandello pertama di dunia dengan aero aktif, dari RM100k

DIDI Group selaku pengedar rasmi motosikal Moto Guzzi di Malaysia hari ini memperkenalkan V100 Mandello untuk pasaran negara ini.

Menariknya, Moto Guzzi V100 Mandello ini merupakan motosikal pertama di dunia dengan aerodinamik aktif. Dalam mod Rain, dua bilah di kiri dan kanan tangki minyak akan terbuka untuk memantulkan air hujan ke luar dan tidak mengenai penunggang.

V100 ini juga menjadi model pertama dalam barisan Moto Guzzi yang dilengkapi dengan suspensi semi-aktif, platform intertial, Cornering ABS, dan Quickshifter.

Moto Guzzi V100 dipacu oleh enjin V-twin baharu bersesaran 1,042cc yang mampu menjana 115hp dan 105Nm tork. Enjin menggunakan suntikan elektronik, throttle body berkembar, dan sistem ride-by-wire.

Harus diketahui juga enjin baharu ini menggunakan pelincir yang sama untuk enjin dan kotak gear, tidak seperti enjin sebelumnya yang perlu menggunakan pelincir berasingan. Hasilnya – menurut wakil Moto Guzzi – adalah lebih kuasa dapat dihasilkan.

Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui kotak gear 6-kelajuan dengan klac basah multi-plat hidraulik. Dari segi mod tunggangan, V100 Mandello didatangkan dengan empat tetapan, iaitu Tour, Rain, Road, dan Sport.

V100 Mandello dibina dengan kerangka bingai tubular besi, dan dipasang dengan suspensi teleskopik 41mm boleh-laras di depan, sementara belakang menggunakan lengan ayun tunggal aluminium dengan preload boleh-laras.

Varian V100 Mandello S mendapat penyerap hentak Ohlins Smart 2.0 semi-aktif untuk depan dan belakang.

Dari segi ukuran, Moto Guzzi V100 mempunyai panjang 2,125mm, lebar 835mm, tinggi tempat duduk 815mm, dan jarak roda 1,475mm. Tangki minyak pula berkapasiti 17 liter.

Brek dibekalkan oleh cakera berkembar Brembo 320mm di depan, manakala brek dari jenama sama di belakang tetapi berukuran 280mm. Tayar pula bersaiz 12/70 R17 di depan, dan 190/55 R17 di belakang.

Moto Guzzi V100 boleh didapati dengan dua varian untuk pasaran Malaysia iaitu Mandello dengan harga RM99,900 dan Mandello S yang berharga RM117,900.

MotoPlex Butterworth jadi hab jenama Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi

DIDI Group baru-baru ini merasmikan pembukaan MotoPlex Butterworth, bilik pameran pertama yang menempatkan empat jenama premium di bawah kumpulan ini; Piaggio, Vespa, Aprilia, dan Moto Guzzi.

MotoPlex Butterworth merupakan bilik pameran konsep dinamik dan akan menampilkan barisan produk yang lengkap dan pusat servis, menjadikannya destinasi ideal untuk para peminat jentera dua roda.

Hab motosikal iniakan dikendalikan oleh GB Motorcycles Sdn Bhd iaitu pengedar rasmi Piaggio, Aprilia, Vespa dan Moto Guzzi di negara ini.

Memasuki fasiliti MotoPlex Butterowrth, anda akan disambut dengan suasana berkonsepkan Itali. Ianya mempunyai keluasan 2,600 kaki persegi untuk ruang pameran, sementara 600 kaki persegi untuk pusat servis.

Ruangan servis akan menempatkan peralatan diagnostik canggih serta mekanik dan juruteknik terlatih, menjanjikan khidmat dan alat ganti terbaik untuk pelanggan.

Rewi Hami Bugo, Pengerusi Didi Group berkata: “Pembukaan MotoPlex akan membantu kami memperkukuhkan lagi kehadiran kami di Malaysia.”

Sementara itu, Kheoh Hock Seng, Pengarah GB Motorcycles berkata, “Kami berbangga dapat menghimpunkan semua jenama premium Didi Group iaitu Vespa, Aprilia, Moto Guzzi dan Piaggio bawah satu bumbung di MotoPlex Butterworth.

“Kami juga komited untuk memberikan servis terbaik kepada para peminat di sini. Kami bukan sahaja menghasilkan kenderaan, tetapi juga mengubah cara orang bergerak,” tambahnya.

MotoPlex PJ dibuka, himpun jenama Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi

PIAGGIO Group baru-baru ini mengumumkan pembukaan Motoplex Petaling Jaya iaitu bilik pameran pertama yang menempatkan empat jenama premium di bawahnya – Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi.

Dikenali sebagai stor konsep dinamik, MotoPlex PJ membawakan rangkaian produk meluas serta pusat khidmat pelanggan, menjadikannya destinasi ideal untuk peminat dan pemilik jentera dua roda.

Motoplex PJ akan diselia oleh Goh Brothers Motorcycles Sdn Bhd iaitu pengedar rasmi yang dilantik oleh Didi Group yang bertanggungjawab membawa kesemua empat jenama tadi ke Malaysia.

Dengan rekaan berinspirasikan Itali, fasiliti berkeluasan 540 meter persegi ini dibahagikan kepada 285 meter persegi untuk ruang pameran dan 255 meter persegi untuk pusat servis.

Bahagian servisnya dilengkapi alatan diagnostik canggih dan juruteknik serta mekanik motosikal terlatih, memberikan khidmat dan alat ganti berkualiti.

“Motoplex ialah ‘rumah’ untuk jenama-jenama ikonik Piaggio. Menempatkan kesemuanya bawah satu bumbung membolehkan kami memberikan lebih banyak pilihan kepada bakal pelanggan yang mahukan pengalaman tunggangan jentera Itali,” kata Simone Niccolai, naib presiden senior Piaggio Group Asia Pasifik.

MotoPlex Pj terletak di Tower B, Pacific Towers, Jalan 13/6, Seksyen 13, 46200 Petaling Jaya, Selangor.

Moto Guzzi V7 Stone Centenario Edition tiba di Malaysia, edisi khas 100 tahun

DIDI baru-baru ini merasmikan ketibaan Moto Guzzi V7 Stone Centenario Edition ke Malaysia. Ia dijual pada harga RM72,900 dan model edisi khas ini diperkenalkan sempena ulang tahun ke-100 jenama itu.

Edisi istimewa ini juga boleh didapati sepanjang tahun 2021 sahaja.

V7 Stone Centenario Edition mengekalkan penggunaan enjin 850cc berkuasa 65hp pada 6,800rpm dan 73Nm tork pada 5,000rpm. Menurut Moto Guzzi, enjin ini mempunyai 25 peratus lebih kuasa dan pada masa yang sama lebih cekap.

Motosikal ini juga menampilkan ekzos lebih besar yang direka semula, dan pemandangan dari belakang yang mengetengahkan drivetrain belakang, tayar lebih lebar serta penyerap hentak Kayaba.

Ciri lain adalah lampu depan LED baharu dengan DRL berbentuk Eagle Moto Guzzi, dan kluster instrumen minimalis dengan dail digital tunggal.

Unik untuk Centenario Edition ini adalah skema warna khas yang menggambarkan warisan asal motosikal ini dan mengambil inspirasi 350 Bialbero, salah satu jentera paling berjaya dalam World Championship GP Motorcycle Racing. Ia pernah memenangi sembilan kejuaraan dunia (lima penunggang dan empat pengeluar) dari 1953 hingga 1957.

Sementara itu, warna hijau pula menunjukkan kemasan pertama digunakan Moto Guzzi pada Normale iaitu model pertama mereka.

Warna ini dipadankan pula dengan warna-warna semula jadi seperti coklat kulit, menggambarkan perincian tipikal jenama Itali. Perincian lain adalah kemasan emas dan logo khas 100 tahun Moto Guzzi.