Arkib Tag: model

Kami bina sendiri Lego Technic Yamaha MT-10 SP skala 1:5 ini! – Pasang Engear

KAMI di Engear sama juga seperti anda, sukakan jentera-jentera seperti kereta dan motosikal. Jadi bila dapat tawaran dari pihak Lego Malaysia untuk mengalami sendiri pengalaman memasang model terbaharu mereka iaitu Yamaha MT-10 SP, kami cukup teruja.

Oleh itu, video dan artikel reviu kali ini menggunakan subjek sedikit berbeza dari kebiasaan, iaitu sebuah motosikal dalam skala 1:5.

Lego mempunyai banyak barisan produk seperti Classic, City, Creators, dan DC Comic Super Heroes, meliputi pelbagai peringkat umur. Lego Technic ialah siri yang lebih kompleks, realistik, teknikal, dan sesuai untuk mereka yang berumur mungkin 14 tahun ke atas.

Set Lego Technic Yamaha MT-10 SP terdiri dari 1,478 keping Lego dan apabila siap, akan mempunyai ukuran 25cm tinggi, 44cm panjang, dan 15cm lebar.

Ia menampilkan ciri utama dari motosikal Hyper Naked itu yang sebenar seperti enjin 4-silinder dan kotak gear yang berfungsi. Komponen kotak gear seperti dram penukar, fork, gegelung, dan racet semuanya dihasilkan dengan realistik dan teliti.

Buka kotak

Di dalam kotak set ini terdapat sampul berisi manual dan pelekat, serta bungkusan plastik berisi blok-blok dan komponen Lego.

Manualnya seperti biasa dari buku tebal jenis kertas berkilat, dan sudah tentu berwarna. Buku ini menampilkan gambar-gambar motosikal sebenar, model siap, dan cara pemasangan. Ia juga berbaloi disimpan dijadikan koleksi atau untuk diletakkan di meja kopi.

Bungkusan plastik agak banyak, dan setiap satu dikumpulkan dalam enam kumpulan. Jadi setiap kumpulan dari satu hingga enam ini menunjukkan segmen dan langkah pemasangan. Sebagai contoh beberapa beg 1 untuk komponen rangka, dan beberapa beg 3 untuk enjin.

Mari ‘main’ Lego

Kami pun memulakan proses pemasangan, melalui kesemua 307 muka surat dari buku manual. Beg-beg berlabel nombor 1 paling panjang prosesnya, iaitu 89 muka surat.

Selebihnya adalah beg 2 hingga 6. Dan kami mengambil masa lebih kurang lapan jam keseluruhan, gabungan dari dua hari penggambaran.

Hasilnya, sebuah replika Yamaha MT-10 SP dalam skala 1:5 yang cukup cantik. Ia juga nampak realistik, yang mana kami rasa jika tiada logo Yamaha pun, peminat motosikal pasti boleh cam model ini.

Ciri paling menarik pada Lego Technic Yamaha MT-10 SP bagi penulis ialah enjin dan kotak gear 3-kelajuan yang berfungsi. Anda boleh masuk gear 1, neutral, 2, dan 3 dengan menekan penukar gear seperti motosikal sebenar. Cuma Lego tidak buatlah kotak gear 6-kelajuan, nanti tak muat pula. Cukup 3-kelajuan untuk kita nampak asas binaan transmisi itu.

Ia disambungkan kepada rantai yang menggerakkan roda belakang. Anda dapat lihat empat silinder dalam enjin bergerak jika anda dalam gear dan memusingkan roda belakang, dan begitu juga sebaliknya.

Terdapat juga perincian komponen lain seperti suspensi depan dan belakang yang berfungsi, cermin sisi yang boleh digerakkan, hos brek depan dan belakang, serta hos radiator.

Susah? Berbaloi?

Susah atau senang untuk bina model ini, bergantung kepada pengalaman anda. Macam penulis sendiri, tidak pernah memasang sebarang model Lego Technic bersaiz besar, dan sebarang model motosikal. Tetapi penulis pernah memasang banyak set Lego sebelum ini.

Anda perlu membiasakan diri dan mengenal blok serta komponen yang banyak digunakan di awal pembinaan, kemudian bila masuk beg 2 dan seterusnya, jadi lebih lancar.

Anda perlu teliti di beg 2 dan 3 kerana di sini kita membina blok enjin dan kotak gear. Semua komponen perlu betul, termasuklah jajaran drum penukar gear. Betul semua ini, maka kotak gear anda berfungsi dengan sempurna.

Bagi penulis, set ini sememangnya berbaloi dibeli kerana anda dapat sebuah build yang memuaskan. Anda dapat belajar banyak mengenai mekanikal dan kejuruteraan motosikal khasnya Yamaha MT-10 SP ini. Bila siap, model ini juga pasti gah menghiasi ruang tamu atau ruang pejabat anda. Jangan biarkan anak buah yang masih kecil sentuh!

Oh ya, set Lego Technic ini juga datang dengan fungsi AR (augmented reality) dimana anda boleh muat turun aplikasinya dan berinteraksi dengan model ini dengan cara unik di telefon pintar anda.

Jemput tonton video kami berseronok memasang model ini di bawah. Jika anda berminat membelinya, boleh terus ke pautan ini.

Hot Wheels Proton Saga akan dapat pakej dengan karya seni pertama dunia

ANDA biasa lihat kad pada bungkusan Hot Wheels dengan biasa dari syarikat Mattel itu. Tetapi selepas ini, Hot Wheels akan mengeluarkan pakej bungkusan dengan karya seni, buat pertama kalinya di dunia.

Dan ianya lebih bermakna dengan penglibatan Malaysia, dimana seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dipilih menjadi pemenang untuk rekaan karya seni itu. Kad istimewa itu juga akan digunakan untuk Hot Wheels Proton Saga! Ini sangat mengujakan.

Saw Jane Harn, dari Pulau Pinang menjadi juara pertandingan Hot Wheels x PROTON Kids Design Competition 2023. Upacara penyampaian hadiah untuknya dan lima pemenang saguhati lain dijalankan di acara Art of Speed 2023 yang diadakan pada 29 dan 30 Julai di MAEPS, Serdang.

Hot Wheels Proton Saga akan mula dijual pada 2024. Ianya merupakan kolaborasi antara pengeluar mainan terkemuka itu dengan syarikat automotif negara yang dimeterai pada 2022. Proton Saga menjadi model Proton pertama diabadikan sebagai model die-cast skala 1:64.

Hot Wheels Proton Saga akan turut dijual ke peringkat antarabangsa sebagai koleksi singles, dimana Mattel Malaysia merupakan satu-satunya pengeluar.

Pertandingan Hot Wheels x PROTON Kids Design Competition menjemput kanak-kanak seluruh negara untuk menghasilkan rekaan dengan tema “A Malaysian National Car”. Sebanyak 386 penyertaan diserahkan dari kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun.

“Selama lebih 50 tahun, Hot Wheels dikenali sebagai pencetus dan penggalak semangat daya saing dalam diri kanak-kanak untuk mendedahkan potensi sebenar mereka, kata Murat Ariksoy, pengurus besar, Mattel South Asia.

“Kami berbesar hati bekerjasama dengan Proton untuk pertandingan rekaan ini yang meraikan generasi masa depan untuk menyahut cabaran,” katanya.

Rekaan Saw membawakan pelbagai elemen sinonim dengan Malaysia dari burung enggang, bunga raya, dan Tugu Negara.

Menurut Azlan Othman, ketua rekaan Proton yang menjadi salah satu juri dalam pertandingan itu, “Elemen Malaysia dalam rekaan Saw merupakan satu maksud untuk negara kita yang cantik.”

Enam pemenang teratas pertandingan ini memperoleh hadiah produk Hot Wheels, barangan edisi terhad, dan peluang berjumpa Matt Gabe, ketua rekaan pakej Hot Wheels, yang turut hadir dari El Segundo, Amerika Syarikat.

Sementara itu, Roslan Abdullah, timbalan ketua pegawai eksekutif Proton berkata: “Serentak dengan Mattel Malaysia menyambut ulang tahun ke-40 tahun ini, Proton juga menyambut ulang tahun ke-40 pada 7 Mei tahun ini.”

“Saga pula berusia 38 tahun pada 9 Julai 2023, jadi Hot Wheels Proton Saga merupakan satu cara meraikan pencapaian ini.”

Peminat kereta dan Hot Wheels boleh menunggu pada Disember 2023 nanti dimana model Proton Saga ini akan mula dijual di lebih 150 negara.

Tamiya Monster Beetle saiz sebenar yang boleh dipandu – siap dengan tayar off-road, suspensi tinggi dan lampu spotlight!

SAMA ada anda mahu mengaku atau tidak, anda pasti pernah rasa mahu memandu apa-apa kereta mainan yang anda pernah miliki. Mungkin kereta die-cast Hot Wheels dan Matchbox, model skala seperti Maisto, atau kereta kawalan jauh (RC).

Begitu juga dengan Harunobu Otani, dia pernah memiliki kereta RC Tamiya Monster Beetle semasa kecil. Bezanya, Otani telah berjaya memandu kereta itu kerana dia membinanya dengan saiz sebenar!

Otani merupakan seorang mekanik di Garage Aichi dan bertugas membina kereta-kereta kustom. Katanya, “Saya telah mengubah impian masa kecil menjadi suatu raliti!”

“Mengapa saya membuatnya? Semasa kecil, ayah saya pernah membelikan kereta RC Tamiya Monster Beetle.

“Tetapi baru-baru ini saya terfikir, hey, saya ada kemahiran untuk membuat versi yang besar,” tambahnya.

Jika dilihat Monster Beetle sebenar ini, sangat mirip dengan versi RC Tamiya skala 1/10 yang mula dikeluarkan pada 1986.

Kereta sebenar ini dibina lengkap dengan tayar off-road besar, suspensi tinggi dengan spring kuning, warna badan merah dengan pelekat-pelekat, dan lampu spotlight di depan. Malah terdapat juga bar besi di depan dan antena dengan bendera di belakang untuk lebih perincian.

“Bila dipandu keluar, kereta ini memang mendapat perhatian orang. Mereka bertanya bermacam soalan,” terang Otani lagi.

Monster Beetle dua tempat duduk ini dipacu oleh enjin petrol 1.8-liter 4-silinder DOHC yang mampu menjana 125hp dan 170Nm tork.

Ia menggunakan kotak gear manual 5-kelajuan dan mempunyai sistem pacuan empat-roda (4WD) separuh masa, bermakna ia boleh ditukar kepada mod 2WD.

Monster Beetle ini juga mempunyai tangki bahan api berkapasiti 40 liter, menggunakan rim 15-inci dan mempunyai radius belokan minima 4.9 meter.

Untuk menjadikannya mudah dipandu, Monster Beetle ini dilengkapi dengan beberapa kamera untuk melihat ke luar, sistem pendingin hawa, port USB, dan pembaca kad tol.

Idea menukar kereta mainan masa kecil menjadi realiti ini bagi kami sangat cool. Silap-silap rasa macam kanak-kanak semula apa memandu kereta sebegini.

Adakah anda mempunyai apa-apa kereta masa membesar dulu yang teringin anda jadikan kereta sebenar yang boleh dipandu?

Hias ruang tamu rumah anda dengan Lego Technic McLaren Formula 1 ini, RM799.90 sahaja

LEGO Technic melancarkan kit terbaharu yang pastinya mengujakan para peminat Formula 1 (F1) iaitu McLaren Formula 1 Race Car.

Seperti juga kit-kit Lego Technic sebelum ini, model baharu ini padat dengan elemen rekaan dan fungsi-fungsi mirip kereta sebenar.

Model Lego Technic ini telah direka bersama dengan pakar kejuruteraan dari pasukan Lego Group dan McLaren Racing. Ia mendapat warna livery dari jentera F1 McLaren musim 2021 tetapi menampilkan beberapa elemen yang akan didapati pada kereta musim 2022.

Antara aspek mekanikal yang menarik pada model Lego Technic ini adalah enjin V6 dengan silinder-silinder bergerak, stereng yang boleh dikawal dari kokpit, sistem suspensi, dan pengunci differential.

Lego Technic McLaren Formula 1 Race Car ini merupakan model pertama seumpamanya dari Lego dan ia memberikan gambaran kepada peminat mengenai teknologi dan kejuruteraan yang penting di litar.

Model ini terdiri dari 1,432 keping Lego dan pastinya memberikan kepuasan selepas siap membinanya.

Apabila siap, ia akan berukuran 65cm panjang, 13cm tinggi dan 27cm lebar, lengkap dengan pelekat penaja untuk menjadikannya satu model yang boleh dipamerkan dengan bangganya di meja atau alamari anda.

“Kami tidak pernah berhenti untuk mengujakan dan memberi inspirasi kepada peminat-peminat kami dengan meneroka had kemungkinan menerusi teknologi dan rekaan yang kami hasilkan,” kata Niels Henrik Horsted, ketua produk Lego Technic.

Lego Technic McLaren Formula 1 Race Car boleh mula didapati pada 1 Mac 2022 ini menerusi semua cawangan Lego Certified Stores, Lego Official Store di Lazada dan Shopee, Legoland, serta di semua kedai-kedai utama seluruh Malaysia. Harganya? RM799.90 sahaja.

Misi cari ‘jajan’, ini tips penting beli-belah dalam talian

RAMAI mengakui sudah mulai bosan dengan kehidupan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Bagi ‘kaki’ kereta dan motosikal, banyak aktiviti terpaksa dilupakan terutama ‘misi’ mencari ‘jajan’ di bengkel dan kedai menjual aksesori.

Memahami naluri dan sanubari anda, artikel ini kami ingin kongsikan tips membeli ‘jajan’ kereta secara shopping online!

Lima tips beli ‘jajan’ secara dalam talian

Tidak dinafikan sejak Malaysia dibadai pandemik Covid-19, perniagaan dalam talian mendapat permintaan sangat tinggi.

Barangan yang dijual sebilangannya mempunyai harga berpatutan dan berbaloi untuk dibeli.

Namun, perlu diingat ada beberapa tips penting yang perlu diikuti ketika membeli-belah ‘jajan’ kereta secara dalam talian.

Apakah ia? Jom semak!

1. Kenal pasti ‘jajan’ yang ingin dibeli

Ramai antara kita terlalu mengikut nafsu ketika membeli secara dalam talian.

Maklumlah banyak masa terluang di rumah, kalau boleh semua ‘jajan’ pun nak dibeli.

Bagaimanapun, kadang kala ada ‘jajan’ yang tak perlu pun dibeli. Nasihat kami, simpan duit untuk masa kecemasan.

2. Lakukan research sebelum membeli

Penting untuk anda mengkaji ‘jajan’ yang ingin dibeli.

Ketahui fungsi, kualiti dan paling penting kaedah pemasangan ‘jajan’ di kereta anda.

Jangan sudah beli tapi tidak tahu bagaimana nak gunakan pula!

3. Semak review pelanggan

Anda dinasihati membaca dan menyemak komen pembeli lain sebelum melakukan pembelian.

Perkara yang perlu diberi perhatian adalah adakah penjual itu genuine seller. Ini penting bagi mengelak anda ditipu pihak tidak bertanggungjawab.

4. Bandingkan harga

Ada ribuan seller yang memasarkan ‘jajan’ di alam maya sama ada menerusi media sosial atau aplikasi membeli belah.

Apa yang anda harus lakukan adalah bandingkan harga ‘jajan’ yang ingin dibeli sebelum membuat pilihan.

Tidak dinafikan, ada seller yang sering melakukan promosi. Menjimatkan bukan?

5. Semak model ‘jajan’

Jangan lupa semak model atau jenis ‘jajan’ yang ingin dibeli.

Ketika ini, banyak ‘jajan’ yang copy ori yang dijual di pasaran.

Cara mudah untuk mengetahui tahap ketulenan sesuatu produk, lihat pada harganya.

Jika terlalu murah maka sahlah ia adalah barangan tiruan!

Akhir kata, semoga artikel ini bermanfaat untuk anda ketika melakukan pembelian secara dalam talian.

Jika ada sebarang pandangan atau tips lain, tak payah segan untuk kongsi bersama kami!

Chiow!!!

*’Jajan’ membawa maksud aksesori atau komponen bagi kenderaan.