fbpx

Pasang dan pandu McLaren Senna anda sendiri dengan kit Tamiya ini

tamiya mclaren senna rc 13

TAMIYA baru-baru ini telah melancarkan model terbaharu dalam siri RC (radio control) skala 1/10 mereka iaitu McLaren Senna.

Seperti kebanyakan model RC Tamiya, ianya datang dengan kit yang anda perlu pasang dan bina sendiri. Untuk McLaren Senna ini, ianya berdasarkan casis TT-02 dengan nombor kit 58711.

Badannya direka dengan penuh terperinci dan realistik dari polycarbonate, lengkap dengan lampu depan dan panel sisi 3D yang dihasilkan semula dengan pelekat.

Perincian ini ditingkatkan dengan splitter, dan panel-panel plastik untuk cermin sisi, dan spoiler belakang. Bahagian belakang menempatkan louvres untuk enjin lengkap dengan diffuser dua-tingkat.

TT-02 merupakan antara casis permulaan Tamiya yang mudah untuk dipasang, menampilkan 4WD pacuan shaf, bateri di sebelah kiri, sementara motor dan elektronik di sebelah kanan untuk keseimbangan dan kestabilan.

Lengan suspensi kiri dan kanan adalah serupa agar mudah dipasang, manakala kotak gear depan dan belakang mudah diselenggara. Hab roda direka agar menyerupai cakera brek, melengkapkan rupa pada rim dan tayar.

Penyerap hentak pada kit ini adalah jenis geseran, tetapi anda boleh menaik taraf dengan set yang diisi minyak dari pilihan Hop Ups.

Kit ini berukuran 466mm panjang, 195mm lebar, 118mm tinggi, dan mempunyai jarak roda 257mm. Casisnya dilengkapi dengan differential plastik, stereng tie-rod 3-bahagian, dan hadir dengan motor 540 dengan nisbah gear 8.27:1.

Bagaimanapun, untuk melengkapkan kereta RC ini bagi membolehkannya ‘dipandu’ anda harus mendapatkan Electronic Speed Controller (ESC), bateri dan sistem radio 2-saluran secara berasingan.

McLaren Senna dilancarkan pada 2018 di Geneva International Motor Show, dimana namanya diambil dari pelumba legenda, mendiang Ayrton Senna. Ia direka dengan badan yang penuh dengan komponen gentian karbon serta pakej aerodinamik dan penyejukan dari F1.

Kuasa sebanyak 800hp dibekalkan dari enjin 4.0-liter V8 twin-turbo, dan hanya 500 unit dihasilkan seluruh dunia.

Jika anda tidak mampu atau tidak sempat memiliki kereta sebenar, inilah peluang paling sesuai untuk anda ‘memandu’ McLaren Senna anda sendiri.

Jika tidak ‘dipandu’ sekalipun, ia nampak cukup cantik untuk dipamerkan di ruang tamu atau bilik tidur anda.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved