Arkib Tag: malaysia airlines

Letusan Gunung Ruang: MAS, AirAsia batal penerbangan laluan KL ke Sabah, Sarawak

Syarikat penerbangan tempatan mengumumkan pembatalan beberapa penerbangan domestik antara Kuala Lumpur dengan Malaysia Timur, susulan letusan gunung berapi Ruang, Indonesia, baru-baru ini.

Menurut laporan Astro Awani, Malaysia Airlines membatalkan 11 penerbangan antara Sabah dan Kuala Lumpur, diikuti lapan penerbangan melibatkan laluan Sarawak dan Kuala Lumpur.

“Antara penerbangan Sabah dan Kuala Lumpur adalah MH7420 (KUL-TWU), MH7421 (TWU-KUL), MH2612 (KUL-BKI), MH2621 (BKI-KUL), MH2710 (KUL-SDK), MH2711 (SDK-KUL), MH2610 (KUL-BKI), MH2611 (BKI-KUL), MH7404 (KUL-BKI), MH7405 (BKI-KUL) dan MH2613 (BKI-KUL).

“Manakala penerbangan Sarawak dan Kuala Lumpur yang dibatalkan adalah MH2520 (KUL-KCH); MH2513 (KCH-KUL); MH2542 (KUL-KCH); MH2543 (KCH-KUL); MH2574 (KUL-MYY); MH2575 (MYY-KUL); MH2742 (KUL-BTU) dan MH2473 (BTU-KUL).

Malaysia Airlines akan terus memantau secara dekat sebarang perkembangan terkini, di mana maklumat lanjut akan dikemaskini dan dimaklumkan secara terus kepada penumpang yang terjejas.

Sementara itu, syarikat AirAsia turut membatalkan 16 penerbangan melibatkan laluan yang sama.

Syarikat itu turut menawarkan perubahan tarikh perjalanan baharu dalam tempoh 30 hari dari tarikh berlepas asal tanpa kos tambahan, bergantung kepada ketersediaan tempat duduk.

 

Malaysia Airlines perkenal perkhidmatan pemindahan terminal dengan BMW i7

MALAYSIA Airlines, dengan kerjasama BMW Group Malaysia menerusi wakil pengedarnya Ingress Auto Sdn Bhd, telah memperkenalkan perkhidmatan pemindahan terminal berciri peribadi dan eksklusif bagi memudahkan perjalanan penumpang antara Bangunan Terminal Utama dan Bangunan Satelit di KLIA Terminal 1.

Mulai 1 Februari 2024, penumpang Enrich Platinum, Business Suite, dan Business Class yang terbang bersama Malaysia Airlines akan dapat menikmati khidmat pemindahan menerusi jentera elektrik tulen BMW i7.

Perkhidmatan yang beroperasi 24 jam ini menawarkan satu pilihan yang lebih lestari dan premium buat penumpang Malaysia Airlines, di samping perkhidmatan Bas Premium yang disediakan oleh operator lapangan terbang ini susulan penggantungan sementara sistem aerotrain.

Semasa fasa permulaan ini, barisan i7 akan dikerahkan untuk mengambil penumpang yang akan berlepas di Pintu G1 Bangunan Terminal Utama.

Kelak, syarikat penerbangan ini juga akan mengerahkan beberapa unit kenderaan tambahan untuk mengambil penumpang yang tiba ke lapangan terbang tersebut, susulan penyempurnaan balai singgah ketibaan di Bangunan Satelit.

Ahmad Luqman Mohd Azmi, Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan dari Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) berkata pihaknya berharap dapat menaik taraf pengalaman penerbangan buat pelanggan segmen atasan dengan perkhidmatan eksklusif ini.

“Sebagai satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan perkhidmatan khas ini berlatarkan penggantungan sementara sistem aerotrain di KLIA Terminal 1, ia menekankan dedikasi kami untuk menaik taraf standard perkhidmatan demi pengalaman penerbangan yang lebih eksklusif, sementara kami juga memperkukuhkan komitmen kami dalam menerapkan amalan kelestarian, kali ini menerusi jentera elektrik tulen BMW i7 Series.

Kami berharap untuk memperkayakan lagi perkhidmatan ini buat para penumpang atas sebahagian daripada usaha berterusan kami dalam menjamin pengalaman yang lancar dan mengujakan, didukung oleh Hospitaliti Malaysia yang tiada bandingannya,” katanya.

MAS terima unit pertama Boeing 737-800

MALAYSIA Aviation Group (MAG), syarikat penaung kepada Malaysia Airlines semalam telah menyambut ketibaan pesawat Boeing 737-8 (737-800) pertama mereka.

Pesawat dengan nombor pendaftara 9M-MVA itu berlepas dari Seattle Delivery Centre milik Boeing pada 13 November 2023 jam 10:20 pagi waktu tempatan ke Honolulu. Ia kemudian terbang ke Guam sebelum tiba ke Malaysia.

Penerbangan MH5041 itu diterbangkan oleh Kapten Mohd. Ezaddin Roslan, kapten Izahariman Ibrahim, dan Kapten Arian Syazwara Adenan, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10:30 pagi. Penerbangan itu mengambil masa keseluruhan 21 jam 45 minit.

Pesawat itu dengan megahnya membawa livery bendera Malaysia dengan logo bermotifkan songket dan wau baharu, dan disambut dengan tabik air (water salute) semasa ketibaannya.

Boeing 737-8 baharu ini dijadualkan membuat penerbangan komersial pertamanya ke Kota Kinabalu pada 20 November depan.

Perolehan Boeing 737-8 adalah Sebagian dari strategi pemodenan syarikat penerbangan itu bagi meningkatkan pengalaman pelanggan, kecekapan operasi, dan menepati keperluan perkembangan di masa depan.

737-8 ini dilengkapi dengan sistem hiburan dalam penerbangan tanpa-wayar yang canggih, menghidangkan pelbagai kandungan bagi penumpang. Ia mempunyai konfigurasi 12 tempat duduk kelas perniagaan dan 162 tempat duduk ekonomi.

MAG telah memesan 25 unit 737-8 keseluruhannya dan penghantara dijangka dibuat secara berperingkat hingga 2026.

Penumpang cetus ‘gangguan’, pesawat MAS MH122 berpatah balik ke Sydney

SEORANG penumpang ditahan Polis Persekutuan Australia (AFP) selepas didakwa mencetuskan ‘gangguan’ di dalam pesawat Malaysia Airlines MH122 semasa dalam penerbangan.

Dalam kenyataan media, AFP berkata penumpang lelaki berusia 45 tahun itu ditahan tanpa sebarang insiden, dan dijangka didakwa lewat malam ini.

“Penumpang itu sudah dipindahkan dari pesawat. Tiada ancaman besar kepada orang ramai,” menurut kenyataan itu.

Menurut AFP pihaknya tidak akan mendedahkan butir-butir mengenai operasi, tetapi berkata pelan tindak balas kecemasan sudah dilaksanakan dan tindakan memindahkan lelaki itu dibuat sebaik sahaja pelaksanaannya dianggap selamat untuk penumpang lain dan anak kapal.

Sementara itu, Malaysia Airlines dalam kenyataannya berkata MH122 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney menuju ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik pada pertengahan penerbangan kerana ‘gangguan’ yang dicetuskan oleh seorang penumpang.

“Demi kepentingan keselamatan, komander penerbangan membuat keputusan untuk kembali ke Sydney. Penerbangan yang membawa 194 penumpang dan lima anak kapal itu mendarat dengan selamat pada pukul 3.47 petang waktu tempatan,” kata.

Satu klip video dipaparkan di aplikasi X (Twitter) oleh seorang individu yang mendakwa berada dalam penerbangan itu menunjukkan beberapa anak kapal cuba mententeramkan seorang lelaki selepas lelaki itu dilihat mula menjerit ke arah penumpang lain.

Selamat jalan! Enam pesawat Airbus A380 Malaysia Airlines mula dihantar pulang

SYARIKAT penerbangan negara, Malaysia Airlines telah mula menghantar semula pesawat Airbus A380 miliknya ke tempat simpanan jangka masa panjang di Tarbes, Perancis.

Malaysia Airlines mempunyai enam unit pesawat model itu dan difahamkan, penghantaran pulang dibuat secara berperingkat mulai 14 November 2022.

Pesawat A380 akan disimpan di ‘kubur’ pesawat Airbus di Perancis. Sumber: Facebook

Berdasarkan laporan Avian Source dan Harian Metro, pesawat pertama yang dihantar ke Tarbes mendarat pada 3:12 petang waktu tempatan (Perancis).

Air France adalah syarikat penerbangan pertama yang mengumumkan penamatan operasi pesawat A380 pada 2020.

Syarikat lain yang menghentikan penggunaan pesawat itu adalah Emirates, Etihad, Hi Fly dan Lufthansa.

Bagaimanapun, terdapat syarikat penerbangan di Asia yang kembali menggunakan pesawat komersial terbesar dunia itu berikutan peningkatan permintaan.

Gambar oleh: Malay Mail

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia Airlines akan memulangkan semua enam pesawat A380 miliknya kepada Airbus yang mana adalah sebahagian daripada perjanjian pembelian 20 pesawat A330neo (A330-900) pada Ogos lalu.

Terdahulu, syarikat penerbangan itu mengumumkan akan menghentikan operasi kesemua enam pesawat A380 pada akhir tahun.

Berkemungkinan besar, pesawat itu akan dilupuskan sekiranya masih belum ada pihak berminat untuk membeli selepas setahun Malaysia Airlines mengeluarkan notis tender menjual.

A380 Malaysia Airlines pernah membuat lintas hormat bersama Sukhoi Su-30 MKM milik TUDM di acara LIMA, Langkawi.

Malaysia Airlines menerima pesawat pertama A380 pada Oktober 2012. Bagi rakyat negara ini, pesawat dua tingkat yang diberi jolokan nama Dugong Malaysia itu bukan sekadar kapal terbang biasa.

Selain penerbangan tanpa henti ke destinasi seperti London, Seoul, Tokyo, Hong Kong dan Australia, A380 juga sudah membawa ribuan jemaah ke Madinah serta Jeddah menunaikan haji dan umrah.

Petron, Malaysia Airlines serah hadiah pemenang kempen TENtu Happy Ohsem Treats

PETRON dan Malaysia Airlines hari ini mengadakan majlis penyampaian hadiah untuk 20 pemenang pertama kempen TENtu Happy Ohsem Treats yang dilancarkan pada Jun lalu.

Bagi memastikan setiap wilayah mempunyai set pemenang sendiri, pemenang TENtu Happy diambil dari Utara, Selatan, Tengah, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.

Semua pemegang kad Petron Miles layak untuk mendapat kemasukan automatik dengan setiap pembelian bahan api bernilai sekurang-kurangnya RM50. Untuk mengambil bahagian, pelanggan hanya perlu meleratkan kad Petron Miles mereka semasa membuat pembelian bahan api.

Untuk mendapatkan peluang kemenangan yang lebih tinggi, pelanggan juga boleh menukarkan mata ganjaran Petron Miles mereka kepada mata ganjaran Enrich.

Kempen TENtu Happy Ohsem Treats: Spend and Win diadakan bagi meraikan ulang tahun ke-10 kerjasama antara petron Malaysia dan Enrich, program perjalanan dan gaya hidup Malaysia Airlines.

Kempen yang berlangsung selama lima bulan hingga November 2022 itu menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada 500 pemenang bertuah, termasyk 10 pemenang utama yang akan dipilih setiap bulan.

Setiap pemenang hadiah utama akan menerima 50,000 mata ganjaran Enrich yang boleh ditebus untuk tiket penerbangan dan penginapan hotel, serta hadiah wang tunai sebanyak RM500.

Selain itu, 90 pemenang juga akan dipilih setiap bulan untuk membawa pulang pakej penginapan, 22,000 mata ganjaran Enrich dan mata ganjaran Petron Miles bernilai RM500, pakej kecantikan kereta dari Trapo, beg bagasi Condotti dan minyak enjin Petron.

Shaliza Mohd Sidek

Ketua Perniagaan Runcit Petron, Shaliza Mohd Sidek berkata, “TENtu Happy ialah penghargaan kami kepada pelanggan kami yang setia dan sentiasa menyokong kami. Bersama Malaysia Airlines, kami ingin memberi pelanggan kami kemudahan perjalanan yang terbaik sambil mencipta kenangan manis bersama orang tersayang.”

Selain menjadi pembekal bahan api untuk pesawat Malaysia Airlines, Petrol telah bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan itu untuk menyokong pemulihan ekonomi, mempromosikan sektor pelancongan dan memberi nilai yang tinggi kepada pelanggan.

Diskaun 15 peratus untuk tiket penerbangan Malaysia Airlines guna campuran sisa minyak masak

MALAYSIA Airlines telah mengumumkan akan memulakan penerbangan penumpangnya menggunakan Sustainable Aviation Fuel (SAF) bersempena World Environment Day.

Penerbangan komersil pertama itu akan menggunakan pesawat Boeing 737-800 antara Kuala Lumpur dengan Singapura, dijadualkan pada Ahad, 5 Jun ini.

Foto oleh: Martijn Gijsbertsen.

Bahan api SAF yang digunakan itu terdiri dari bahan boleh diperbaharui iaitu campuran sisa lemak haiwan dan minyak masak.

Menurut Malaysia Airlines, penerbangan seumpama ini menunjukkan komitmen mereka untuk Sustainable Tomorrow (Hari Esok yang Mampan) iaitu ke arah penerbangan dengan sumber lebih bersih dan mesra alam menjelang 2025.

Malaysia Airlines mempelawa penumpang untuk terbang dengan penerbangan menggunakan SAF seperti berikut:

– MH603 Kuala Lumpur (KUL) ke Singapura (SIN) – Berlepas 12:25, tiba 13:30, dan
– MH606 Singapura (SIN) ke Kuala Lumpur (KUL) – Berlepas 14:40, tiba 15:40.

Menariknya, penumpang boleh menikmati diskaun 15 peratus dari penerbangan-penerbangan ini dengan menggunakan kod promo SAF2022.

Pada masa laporan ini ditulis, tambang terendah untuk MH603 pada 5 Jun ialah RM881 (Economy Lite), sementara itu tambang hala balik ialah (MH606) terendah ialah RM517.

Boeing 737-800. Imej oleh: Aviation International News

Pada Disember tahun lepas, Malaysia Airlines pernah melakukan penerbangan pertama dengan SAF pada pesawat Airbus A330-200 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. Penerbangan itu diisi dengan 77 tan (77,300kg) bahan api dengan campuran 38 peratus SAF.

Bahan api itu dibekalkan oleh Neste, iaitu pengeluar utama SAF dan diesel boleh diperbaharui di dunia, yang dikatakan bebas sulfur, oksigen dan aromatik.

Malaysia Airlines tawar tambang murah jika lengkap dua dos vaksin

MALAYSIA Airlines Bhd (MAB) menawarkan tambang murah untuk destinasi domestik kepada pasangan suami isteri serta ibu dan bapa yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19.

Tambang itu ditawarkan dalam kategori Economy Lite serendah RM89 untuk mereka bertemu orang tersayang.

Malaysia Airlines dalam satu kenyataan berkata, promosi itu tersedia untuk tempahan mulai 10 Ogos sehingga 30 September 2021 dan sah untuk perjalanan sehingga 30 Oktober 2021.

CEO Kumpulan Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail berkata, “Siri penerbangan terbaharu itu mencerminkan peranan penting syarikat penerbangan nasional dalam menyediakan kesalinghubungan perjalanan udara sepanjang tempoh penularan Covid-19.”

“Sebagai syarikat penerbangan yang prihatin, MAB kekal komited untuk memastikan perjalanan yang lebih selamat dan lancar untuk pelanggan kami dengan mengamalkan standard keselamatan dan kebersihan tertinggi.

Tanbahnya, “Kami percaya ia adalah sesuatu yang sangat penting untuk mengendalikan penerbangan dengan kru yang sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 ia juga termasuk petugas barisan hadapan kerana keyakinan pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan kami adalah penting.”

Setakat ini, lebih 93 peratus juruterbang dan kru kabin Malaysia Airlines sudah menerima suntikan vaksin.

Malaysia Airlines bersama anak syarikatnya di bawah Malaysia Aviation Group, menjangkakan 100 peratus kakitangannya akan melengkapkan dua dos suntikan menjelang Ogos berikutan penyertaan kumpulan itu dalam Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) yang bermula pada Julai 2021.

Untuk maklumat lebih lanjut, layari laman web http://www.malaysiaairlines.com.