fbpx

Malaysia Airlines perkenal perkhidmatan pemindahan terminal dengan BMW i7

BMW i7 Malaysia Airlines 01

MALAYSIA Airlines, dengan kerjasama BMW Group Malaysia menerusi wakil pengedarnya Ingress Auto Sdn Bhd, telah memperkenalkan perkhidmatan pemindahan terminal berciri peribadi dan eksklusif bagi memudahkan perjalanan penumpang antara Bangunan Terminal Utama dan Bangunan Satelit di KLIA Terminal 1.

Mulai 1 Februari 2024, penumpang Enrich Platinum, Business Suite, dan Business Class yang terbang bersama Malaysia Airlines akan dapat menikmati khidmat pemindahan menerusi jentera elektrik tulen BMW i7.

Perkhidmatan yang beroperasi 24 jam ini menawarkan satu pilihan yang lebih lestari dan premium buat penumpang Malaysia Airlines, di samping perkhidmatan Bas Premium yang disediakan oleh operator lapangan terbang ini susulan penggantungan sementara sistem aerotrain.

Semasa fasa permulaan ini, barisan i7 akan dikerahkan untuk mengambil penumpang yang akan berlepas di Pintu G1 Bangunan Terminal Utama.

Kelak, syarikat penerbangan ini juga akan mengerahkan beberapa unit kenderaan tambahan untuk mengambil penumpang yang tiba ke lapangan terbang tersebut, susulan penyempurnaan balai singgah ketibaan di Bangunan Satelit.

Ahmad Luqman Mohd Azmi, Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan dari Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) berkata pihaknya berharap dapat menaik taraf pengalaman penerbangan buat pelanggan segmen atasan dengan perkhidmatan eksklusif ini.

“Sebagai satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan perkhidmatan khas ini berlatarkan penggantungan sementara sistem aerotrain di KLIA Terminal 1, ia menekankan dedikasi kami untuk menaik taraf standard perkhidmatan demi pengalaman penerbangan yang lebih eksklusif, sementara kami juga memperkukuhkan komitmen kami dalam menerapkan amalan kelestarian, kali ini menerusi jentera elektrik tulen BMW i7 Series.

Kami berharap untuk memperkayakan lagi perkhidmatan ini buat para penumpang atas sebahagian daripada usaha berterusan kami dalam menjamin pengalaman yang lancar dan mengujakan, didukung oleh Hospitaliti Malaysia yang tiada bandingannya,” katanya.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved