Arkib Tag: lapangan terbang

Pos Aviation mulakan ujian traktor pesawat EV di KLIA 1 dan 2

Pos Aviation selaku pemain utama dalam perkhidmatan pengendalian darat lapangan terbang telah memulakan perjalanan ke arah elektrifikasi bagi jentera mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 & 2 (KLIA Terminal 1 & 2).

Inisiatif ini merupakan komitmen utama Pos Aviation untuk mengurangkan impak alam sekitar dan meningkatkan kecekapan operasi.

Traktor Hangcha Aviation Model QSD320-XD2-MI (HCSD320-MI), sebuah traktor elektrik akan diuji dalam persekitaran lapangan terbang yang sebenar.

Objektif utama adalah untuk menilai kebolehlaksanaan dan kelebihan peralihan daripada kenderaan sedia ada mereka yang melebihi 60 traktor berkuasakan diesel kepada EV yang mesra alam.

Inisiatif kelestarian Pos Aviation melibatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) untuk mengurangkan jejak karbon mereka dengan ketara dan meningkatkan kecekapan operasi lapangan terbang.

Dengan menggunakan EV, syarikat menjangkakan kos penyelenggaraan yang lebih rendah dan kecekapan tenaga yang lebih tinggi, membolehkan penjimatan operasi yang ketara.

Penjimatan ini akan disalurkan ke arah memajukan inisiatif kelestarian dan usaha pemuliharaan alam sekitar.

Tempoh percubaan adalah selama sebulan bermula pada 1 November 2023 dan berakhir pada 1 Disember depan.

Sepanjang tempoh ini, data komprehensif akan dikumpul dan dianalisis dengan teliti untuk menilai prestasi, kecekapan, dan manfaat alam sekitar traktor EV tersebut.

Sekiranya percubaan menghasilkan hasil yang positif, Pos Aviation bertekad untuk mengalih seluruh kenderaannya ke kenderaan elektrik.

Setelah tempoh percubaan ini tamat, Pos Aviation merancang peta jalan yang melibatkan penggunaan meluas kenderaan elektrik merentasi pelbagai aspek operasinya, merangkumi pengendalian bagasi dan kargo, serta perkhidmatan penyelenggaraan.

Pesawat kargo Airbus Beluga singgah di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi

PESAWAT kargo, Airbus Beluga A300-600ST mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) semalam kira-kira jam 3:49 petang.

Berdasarkan data diperoleh daripada aplikasi Flightradar24, Beluga siri ketiga itu singgah di LTAL setelah memulakan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, India pada pukul 9:49 pagi waktu tempatan.

Pesawat itu mendarat di Langkawi untuk mengisi minyak sebelum menyambung penerbangan ke destinasi seterusnya.

Orang ramai tidak melepaskan peluang melihat pesawat ‘gergasi’ tersebut dengan memenuhi sepanjang pagar di tepi landasan LTAL. Ia mempunyai rekabentuk unik dan rata-rata netizen menyamakannya dengan ikan flower horn.

Beluga A300-600ST mempunyai ukuran panjang 56.15 meter dan setinggi 17.24 meter itu dioperasikan oleh dua orang krew. Ia mempunyai berat kira-kira 86,500kg dan mampu membawa muatan sehingga 47,000kg.

Gambar oleh: Flight Global

Pesawat ini mampu membawa kapal terbang kecil atau helikopter selain sering membawa alat ganti pesawat ke seluruh dunia. Benjolan di atas ruang kokpitnya mempunyai pintu besar yang boleh dibuka untuk akses ke ruang kargonya.

Beluga yang dikendalikan oleh Airbus Transport International (ATI) berpengkalan di Toulouse, Perancis memulakan perjalanan dari Lapangan Terbang Francazal pada 20 Julai lalu ke Lapangan Terbang Marseille.

Gambar oleh: Muslim Mazlan

Perubahan drastik KLIA untuk jadi lapangan terbang terbaik dunia, perlu ke? – Suara Engear

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 akan diberikan perubahan drastik dengan pelaksanaan beberapa usaha termasuk menaik taraf sistem penggerak penumpang automasi atau aerotrain dan sistem pengendalian bagasi.

Menurut laporan oleh Free Malaysia Today, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata insiatif itu akan mengambil masa tiga tahun.

Gambar oleh: Malay Mail

Katanya, usaha itu dijangka mampu mengembalikan kedudukan KLIA Terminal 1 sebagai lapangan terbang terbaik di dunia, yang kini berada di tangga ke-67 berbanding ke-62 pada 2022.

Kedudukan terbaik yang pernah dicapai oleh KLIA Terminal 1 adalah di tangga kedua pada 2001. Ia kemudian merosot ke kedudukan ke-14 pada 2013 dan ke-44 pada 2018.

“Kita melihat kedudukan semakin merosot itu merupakan satu kebimbangan kerana hilang daya tarikan di KLIA Terminal 1,” kata Anthony.

“Kita perlu kembalikan kedudukan KLIA Terminal 1 kerana ia merupakan lapangan terbang penting untuk negara dan melambangkan imej negara,” tambahnya.

Loke berkata mutu perkhidmatan serta ekosistem termasuk mesra kepada sektor peruncitan untuk melabur dalam pelbagai kemudahan dan perkhidmatan, perlu bergerak seiring untuk menjadikan KLIA Terminal 1 hebat semula di dunia.

KLIA dapat anugerah lapangan terbang terbaik, pentingkah?

Gambar oleh: Wikipedia

Kami menghargai usaha memberikan perubahan mencantikkan KLIA, tetapi pentingkah semata-mata untuk menjadi lapangan terbang terbaik di dunia? Sekiranya KLIA berjaya menduduki tempat pertama sekalipun, apakah makna atau manfaat untuk rakyat?

Bagi penulis, sekiranya tiada keperluan mendesak, lebih baik dana serta belanjawan negara difokuskan untuk perkara-perkara yang lebih memberi impak terus kepada rakyat, sebagai contoh menaik taraf jalan raya sekitar Sepang, misalnya. Atau mana-mana jalan raya yang memerlukan.

Jika anda biasa memandu di sekitar KLIA dan KLIA 2, anda akan perasan walaupun jalan rayanya luas sehingga empat lorong, terdapat kawasan berlubang dan beralun. Ini pastinya boleh mempengaruhi keselamatan pengguna jalan raya.

Lampu dan pencahayaan mencukupi di sepanjang jalan raya juga boleh menjadi satu aspek untuk dilihat oleh pihak bertanggungjawab.

Satu lagi perkara yang penulis rasakan cukup penting adalah untuk menyediakan ruang parkir berdekatan KLIA yang luas dan mencukupi untuk pemandu menunggu.

Ini bagi mengelakkan kesesakan melampau di pintu ketibaan serta berlepas. Sudah habis buku saman dikeluarkan pun, pemandu seakan tiada pilihan tetapi masih selamba double parking atau menghalang laluan mereka yang mengejar masa.

Bagi penulis, penyelenggaraan dan naik taraf KLIA pastinya penting untuk keselesaan semua pengguna tetapi tidak perlulah sekadar menggunakan matlamat untuk menjadi mengejar tangga kedudukan lapangan terbang terbaik.

Anugerah yang boleh dipamer di peringkat antarabangsa bukanlah sesuatu yang akan dihargai rakyat, tetapi sebaliknya penambahbaikan kemudahan yang diguna setiap hari pasti lebih dihargai. Sebagai contoh, turapan jalan besar-besaran di Selangor yang dijalankan bulan lepas. Kami yakin ini lebih memberi impak positif kepada rakyat.

Atau adakah inisiatif ini lebih kepada untuk dijadikan peninggalan legasi bagi kerajaan sekarang?

Jika KLIA tidak berada di kedudukan 10 teratas sekalipun, ia masih akan menjadi persinggahan dan destinasi pilihan syarikat penerbangan kerana lokasinya yang strategik. Dan kami sebagai rakyat Malaysia akan sentiasa tahu bahawa KLIA merupakan lapangan terbang terbaik dan tercantik dalam negara ini.

Airbus A320 milik Cebu Pacific Air mendarat cemas di KKIA

SEBUAH pesawat Airbus A320 milik Cebu Pacific Air membuat pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) malam tadi.

Pesawat yang membawa 92 penumpang dan anak kapal itu dipercayai mengalami masalah enjin. Ia berlepas dari Cebu, Filipina pada jam 7:55 malam dan dijadualkan mendarat di Singapura tengah malam tadi.

Disebabkan masalah di enjin kiri, juruterbang membuat pendaratan di KKIA dengan selamat kira-kira jam 10:22 malam.

Gambar oleh: Better Aviation

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan dari Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) KKIA jam 9:49 malam.

Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi berkenaan.

“Keadaan terkawal dan pesawat mendarat dengan selamat dan semua penumpang dan anak kapal selamat.

“Siap siaga di lapangan terbang ditamatkan pada jam 10:29 malam,” katanya.

KLIA, LIA tercalon sebagai lapangan terbang terbaik oleh ASQ

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) telah tercalon sebagai antara lapangan terbang terbaik di dunia dalam kaji selidik Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) untuk suku kedua tahun ini.

Lapangan Terbang Langkawi (LIA) – Gambar oleh: Perspective of Langkawi

Kedua-dua lapangan terbang itu meraih skor sempurna 5.00 dalam tinjauan global oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) yang mengukur kepuasan penumpang secara keseluruhan daripada segi keselamatan, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan terminal.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Gambar oleh: klia.info

Pencapaian KLIA ini turut dikongsi dengan tujuh lapangan terbang lain dalam kategori lebih 40 juta penumpang setahun (mppa) dan LIA adalah satu-satunya lapangan terbang yang mendapat mata penuh dalam kategori 2.0 – 5.0 mppa.

“Memang agak mencabar untuk mengekalkan pengalaman penumpang yang hebat apabila kami terus mengalu-alukan ketibaan lebih ramai penumpang di lapangan terbang kami, tetapi kami tidak akan goyah dalam komitmen kami untuk berbuat demikian,” kata Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd, Datuk Iskandar Mizal Mahmood dalam satu kenyataan.

“Keputusan ASQ terbaharu ini adalah manifestasi komitmen kami, yang bukan sahaja daripada Malaysia Airports tetapi seluruh komuniti lapangan terbang.”

Beliau berkata bagi KLIA, tiga pujian yang diterima melalui tinjauan ASQ adalah proses yang lancar di titik sentuh, bantuan di lapangan yang sopan dan daftar masuk pantas di kaunter.

Pada Julai 2022, Malaysia Airports Group mencatatkan sejumlah 7.8 juta pergerakan penumpang – 4.8 juta pergerakan penumpang di rangkaian lapangan terbang tempatan dan 3.0 juta penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen, Turki.

Kumpulan itu merekodkan 3.1 juta pergerakan domestik serta 1.6 juta pergerakan antarabangsa di Malaysia pada bulan lepas, peningkatan 26 peratus yang menggalakkan berbanding bulan sebelumnya.

Setakat ini, kedua-dua segmen telah menunjukkan trend pemulihan yang agak positif, dengan trafik domestik serta antarabangsa masing-masing mencapai 66 peratus dan 18 peratus daripada jumlah sebelum Covid-19.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan mula dibina tahun depan, beroperasi pada 2026

PEMBINAAN Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan di Gebeng dijadual bermula tahun depan dan dijangka beroperasi pada 2026, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, pembinaan lapangan terbang dengan kos RM2 bilion itu dibuat dengan rancangan pembangunan bercampur bandar aeroangkasa membabitkan kawasan seluas 5,042 hektar, yang disifatkan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi Pahang.

Lapangan Terbang St. Maarten di Kepulauan Caribbean. Gambar sebagai hiasan.

“Projek ini akan dibangunkan secara usaha sama iaitu melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) yang berkonsepkan pembangunan secara bina-kendali-milik (BOO) iaitu pengoperasian lapangan terbang ini dikendalikan pihak syarikat sepenuhnya melalui pembentukan syarikat tujuan khusus (SPV) iaitu Pahang Airport Berhad,” katanya.

“Komponen projek ini membabitkan 70 peratus untuk MRO dan baki 30 peratus pula bagi pengoperasian lapangan terbang itu sendiri,” katanya dalam kenyataan media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pelaksanaan projek itu semalam.

Sementara itu, Ketua Perwakilan AVIC Intl ke Malaysia, Zhuo Yue menandatangani selaku rakan strategik bagi projek pembinaan lapangan terbang, manakala rakan strategik bagi pemajuan pembangunan bercampur bandar aeroangkasa ialah Syabas Seribumi Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya, Mohamad Nor Hamid.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut hadir di majlis itu.

Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan. Imej oleh: Wikipedia

Untuk rekod, lapangan terbang sedia ada iaitu Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah di sini adalah milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Wan Rosdy berkata, Gading Group Berhad mempunyai kepakaran perniagaan dalam bidang aeroangkasa sebagai penyedia kelengkapan dan perkhidmatan bagi pesawat udara serta mesin atau kelengkapan lain berkaitan perkhidmatan udara.

Beliau berkata, syarikat yang dilantik sebagai rakan strategik juga memiliki kepakaran, pengalaman yang kukuh serta rekod baik dalam bidang pembangunan infrastruktur lapangan terbang dan pembangunan bercampur.

Katanya, selain itu, pelaksanaan projek itu membuka 20,000 peluang pekerjaan dengan sasaran pekerjaan bagi pengoperasian lapangan terbang dan 30,000 pekerjaan lain menerusi pembangunan sektor perindustrian, perkhidmatan dan pelancongan.

“Pelaksanaan projek itu di Gebeng juga mengambil kira faktor hab ekonomi kerana terletak di kawasan perindustrian Gebeng dan berhampiran Pelabuhan Kuantan serta Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diharap menjadikan Pahang pilihan utama pelabur berdasarkan kemudahan itu,” katanya.

Lapangan terbang Afghanistan terima penerbangan awam selepas 20 tahun

BEBERAPA dekad berdepan konflik dan peperangan, lapangan terbang di Jalalabad dekat wilayah Nangarhar, Afghanistan kembali dibuka untuk penerbangan awam.

Memetik laporan Sputnik, perkara itu diumumkan pejabat gabenor pada Ahad.

Apa yang mengujakan penduduk Afghanistan, ia merupakan kali pertama lapangan terbang itu dibuka kepada penerbangan awam selepas lebih 20 tahun.

“Sebuah pesawat membawa bantuan kemanusiaan tiba dari Iran.

“Ia penerbangan awam pertama ke lapangan terbang Nangarhar selepas terhenti selama 20 tahun,” memetik kenyataan pejabat gabenor.

Sabtu lalu, pihak berkuasa memaklumkan lapangan terbang di Jalalabad bersedia menerima penerbangan domestik dan antarabangsa.

Pihak berkuasa telah menyelesaikan segala masalah teknikal dan keselamatan sebagai persiapan menerima penerbangan awam pertama itu.

Sebelum ini, Afghanistan berdepan konflik berpanjangan yang menyaksikan beberapa siri peperangan telah tercerus.

Pada pertengahan Ogos, Afghanistan kembali dikuasai Taliban yang sekaligus mengisytiharkan tamatnya perang selama beberapa dekad.

AirAsia sedia kembali terbang, harap lebih banyak negara buka sempadan

KETUA Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes memberi jaminan pihaknya sedia kembali terbang dengan mempraktikkan langkah keselamatan tertinggi.

Jelasnya, kini semua kakitangan barisan hadapan AirAsia telah lengkap menerima suntikan vaksin penuh.

Hal ini kerana AirAsia mewajibkan semua kakitangan termasuk juruterbang, kru kabin dan pasukan bahagian operasi menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Kami mewajibkan semua kakitangan barisan hadapan seperti juruterbang, kru kabin dan kakitangan lapangan terbang divaksin sepenuhnya,” katanya.

Fernandes percaya pihaknya kini bersedia memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang dengan memastikan tahap keselamatan berada di paras tertinggi. – Foto ihsan Malay Mail

AirAsia memberi jaminan keselamatan terhadap semua penumpangnya dengan melaksanakan protokol kesihatan dan kebersihan yang ketat.

Setakat ini, lebih daripada 50 negara seluruh dunia telah mula membuka pintu kepada para pelancong yang telah divaksin.

Justeru, Fernandes berharap lebih banyak negara memberi kelonggaran sekatan perjalanan kepada pelancong yang lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Kemelut pandemik ini semakin jelas menuju penghujungnya dan saya yakin kita akan dapat kembali terbang dalam beberapa minggu lagi.

“Apa yang paling penting, kami telah bersiap sedia sepenuhnya untuk berlepas,” katanya lagi.

AirAsia antara syarikat penerbangan pertama dunia menerima pengiktirafan tertinggi 7/7 berikutan langkah keselamatan Covid-19 yang dilaksanakan sejak pandemik bermula.

Pengiktirafan diperoleh daripada pakar penerbangan di Airlineratings.com.

Berikut merupakan antara prosedur penumpang dikeluarkan AirAsia:

  • Penumpang digalakkan mendaftar masuk secara kendiri menerusi platform dalam talian
  • Penumpang digalakkan melakukan pembayaran secara digital dan menggunakan pas masuk elektronik
  • Penumpang mengesahkan dokumen perubatan dan kesihatan secara automatik dalam talian sebelum menuju lapangan terbang
  • Penumpang perlu melalui proses pengecaman wajah biometrik di lapangan terbang dalam tempoh terdekat
  • Miliki tahap keselamatan tertinggi, KLIA dan LTAK terima akreditasi AHA

    LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) menerima Akreditasi Kesihatan Lapangan Terbang (AHA) daripada Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI).

    Akreditasi itu menjadi bukti komitmen berterusan pengendali lapangan terbang tersebut yang sentiasa memastikan tahap keselamatan berada pada tahap tertinggi.

    Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, akreditasi itu diharap terus memberi keyakinan kepada penumpang.

    “Antara ciri-ciri baharu yang akan diperkenalkan oleh KLIA tahun ini, sebagai contoh, adalah pelaksanaan inisiatif token tunggal yang menggunakan teknologi pengecaman wajah bagi pergerakan perjalanan penumpang tanpa sentuh.

    “Ini adalah sumbangan kami bagi mengembalikan keyakinan terhadap perjalanan udara dan mempercepatkan lagi pemulihan,” katanya.

    Terdapat empat lagi lagi lapangan terbang di Malaysia masih sedang dinilai untuk akreditasikan.

    Ia adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lapangan Terbang Subang.

    Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen Malaysia Airports juga telah menerima akreditasi sama awal tahun ini.

    ACI Asia-Pasifik berkata akreditasi itu akan berfungsi sebagai jaminan bahawa lapangan terbang terbabit melaksanakan langkah keselamatan diktiraf antarabangsa.

    Program AHA ditumpukan kepada prosedur dan langkah-langkah kesihatan yang dipraktiskan oleh lapangan terbang.

    Menerusi akreditasi, lapangan terbang dapat mempamerkan amalan keselamatan secara mantap dan dapat dinilai.