Arkib Tag: Kuala Lumpur

KLIA, LIA tercalon sebagai lapangan terbang terbaik oleh ASQ

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) telah tercalon sebagai antara lapangan terbang terbaik di dunia dalam kaji selidik Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) untuk suku kedua tahun ini.

Lapangan Terbang Langkawi (LIA) – Gambar oleh: Perspective of Langkawi

Kedua-dua lapangan terbang itu meraih skor sempurna 5.00 dalam tinjauan global oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) yang mengukur kepuasan penumpang secara keseluruhan daripada segi keselamatan, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan terminal.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Gambar oleh: klia.info

Pencapaian KLIA ini turut dikongsi dengan tujuh lapangan terbang lain dalam kategori lebih 40 juta penumpang setahun (mppa) dan LIA adalah satu-satunya lapangan terbang yang mendapat mata penuh dalam kategori 2.0 – 5.0 mppa.

“Memang agak mencabar untuk mengekalkan pengalaman penumpang yang hebat apabila kami terus mengalu-alukan ketibaan lebih ramai penumpang di lapangan terbang kami, tetapi kami tidak akan goyah dalam komitmen kami untuk berbuat demikian,” kata Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd, Datuk Iskandar Mizal Mahmood dalam satu kenyataan.

“Keputusan ASQ terbaharu ini adalah manifestasi komitmen kami, yang bukan sahaja daripada Malaysia Airports tetapi seluruh komuniti lapangan terbang.”

Beliau berkata bagi KLIA, tiga pujian yang diterima melalui tinjauan ASQ adalah proses yang lancar di titik sentuh, bantuan di lapangan yang sopan dan daftar masuk pantas di kaunter.

Pada Julai 2022, Malaysia Airports Group mencatatkan sejumlah 7.8 juta pergerakan penumpang – 4.8 juta pergerakan penumpang di rangkaian lapangan terbang tempatan dan 3.0 juta penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen, Turki.

Kumpulan itu merekodkan 3.1 juta pergerakan domestik serta 1.6 juta pergerakan antarabangsa di Malaysia pada bulan lepas, peningkatan 26 peratus yang menggalakkan berbanding bulan sebelumnya.

Setakat ini, kedua-dua segmen telah menunjukkan trend pemulihan yang agak positif, dengan trafik domestik serta antarabangsa masing-masing mencapai 66 peratus dan 18 peratus daripada jumlah sebelum Covid-19.

DBKL dan MIROS bakal perkenal had laju 30, 50km/j di sekitar KL

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sedang bekerjasama memperkenalkan had laju 30 dan 50km/j di kawasan terpilih di Kuala Lumpur.

Ini lanjutan dari kunjungan hormat Pengerusi MIROS Suret Singh dan Ketua Pengarahnya Khairil Anwar Abu Kassim ke atas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Mahadi Che Ngah.

Kerjasama dua badan itu melibatkan mengenal pasti jalan raya di mana had laju berkenaan boleh dilaksanakan sebagai langkah keselamatan.

Suret dalam satu ciapan di Twitter mengumumkan institusi berkenaan akan bekerjasama dengan DBKL untuk menjadikan perancangan itu satu realiti.

Ini termasuk rakaman kamera litar keselamatan tertutup (CCTV) bagi kesalahan trafik yang dilakukan di ibu negara.

MIROS kini dalam peringkat akhir merangka cadangan untuk had laju standard 30km/j bagi kawasan kediaman dan penduduk, bandar serta kampung sebagai sebahagian daripada pelan keselamatan jalan raya kebangsaan 2022-2023.

Malaysia antara negara yang meratifikasi Deklarasi Stockholm berhubung keselamatan jalan raya, dalam persidangan menteri global yang diadakan pada Feb 2020.

80 menteri yang menghadiri persidangan itu berikrar mengurangkan sehingga separuh bilangan kematian jalan raya menjelang 2030.

Turut dicadangkan, had laju 30km/j sebagai “norma baharu” di kawasan lazim digunakan bersama oleh penunggang motosikal, pemandu kereta, pejalan kaki dan penunggang basikal.

Terowong Lebuhraya SMART kembali beroperasi, selamat digunakan

PROSES pengepaman keluar air dan pencucian Terowong Lebuhraya SMART selesai sejak semalam.

Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) dalam satu kenyataan berkata, terowong tersebut kini dibuka semula kepada laluan trafik sejak jam 7 pagi tadi.

Pada masa sama, SMART turut melakukan pemeriksaan rapi melibatkan aspek mekanikal dan elektrikal bagi mengelak insiden tidak diingini.

“Proses pemeriksaan dan rektifikasi mekanikal dan elektrikal juga telah dijalankan bagi memastikan semua peralatan berada di dalam keadaan baik dan selamat,” menurut kenyataan tersebut.

Tanggal 22 November lalu, terowong tersebut ditutup berikutan hujan lebat di sekitar Kuala Lumpur.

Ia bagi mengaktifan sistem banjir disusuli pelepasan air ke dalam sistem takungan terowong Lebuhraya SMART.

Terdahulu, SMART memaklumkan telah menyediakan pasukan khas memantau laluan terowong terbabit terutama bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Terowong Lebuhraya SMART sipa dibina pada tahun 2007 dengan ketinggian maksimum dua meter.

Agensi berita Cable News Network (CNN) pernah menyenaraikan terowong itu sebagai antara 10 terbaik dunia.

Antara objektif utama Terowong Lebuhraya SMART adalah bagi mengatasi masalah banjir di Kuala Lumpur selain mengurangkan kesesakan trafik di ibu kota.

DBKL maklum Jalan Johar, Bangsar ditutup sehingga Mac 2022

PENGGUNA jalan raya perlu merancang perjalanan jika ingin ke lokasi yang terpaksa melalui Jalan Johar menggunakan Lebuhraya SPRINT dari arah Kuala Lumpur.

Ini kerana laluan trafik dari Kuala Lumpur menghala ke Jalan Johar akan ditutup sepenuhnya mulai 28 Ogos hingga Mac 2022.

Memetik kenyataan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), penutupan bagi membolehkan kerja-kerja membina jalan raya bertingkat.

Ia melibatkan persimpangan Lebuhraya SPRINT/Jalan Maarof ke persimpangan Lebuhraya Sprint/Jalan Semantan.

Susulan itu, laluan trafik lorong kanan dari Lebuhraya SPRINT KM 7.0 ke Jalan Johar juga ditutup sepenuhnya mulai tarikh tersebut.

Justeru, pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi isyarat papan tanda sebagai panduan dan langkah keselamatan bagi mengelak sebarang kesulitan.

DBKL: Lencongan di Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Tun Razak

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup jalan di persimpangan lampu isyarat dari Jalan Sultan Azlan Shah menghala ke Lebuhraya Sultan Iskandar.

Penutupan bermula mulai hari ini hingga 11 April 2022.

Susulan itu, DBKL mengadakan lencongan trafik di jalan terlibat bagi melancarkan aliran trafik.

Penutupan bagi melaksanakan kerja menaik taraf persimpangan bertingkat di Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Tun Razak, Jalan Tun Ismail dan Jalan Ipoh.

Kenderaan dari Jalan Sultan Azlan Shah menghala ke Lebuhraya Sultan Iskandar akan dilencongkan ke Jalan Rahmat.

Lencongan turut melibatkan Jalan Sentul-Jalan Sentul Manis-Jalan Tun Razak untuk ke Lebuhraya Sultan Iskandar.

Kenderaan dari Jalan Sultan Azlan Shah dilencongkan ke kiri Jalan Tun Razak dan membuat pusingan U sebelum Bulatan Pahang.

Pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi isyarat papan tanda sementara sebagai panduan dan langkah keselamatan bagi mengelakkan kekeliruan.

Parkir percuma di KL, rakyat ucap “terima kasih”

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak menghalang usaha murni Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengecualikan bayaran parkir sekitar ibu kota.

Perkara itu diumum Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, semalam.

Jelas Annuar, ia berkuatkuasa bermula hari ini sehingga 31 Ogos nanti.

“Saya bersetuju mulai esok sehingga 31 Ogos, semua tempat letak kereta bahu jalan dalam kawasan bandar raya Kuala Lumpur adalah percuma,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata usaha dijalankan pihaknya diharap dapat mengurangkan beban orang ramai.

Semalam, kerajaan mengumumkan beberapa lokaliti sekitar Kuala Lumpur akan dikenakan PKPD.

PKPD itu berkuatkuasa bermula 3 hingga 16 Julai 2021.

Orang ramai di kawasan terlibat tidak dibenarkan meninggalkan rumah jika tiada urusan mustahak.

Kerajaan menetapkan hanya seorang daripada isi rumah dibenarkan keluar bagi tujuan mendapatkan barangan keperluan.

Terdahulu di media sosial, pelbagai reaksi diberi orang ramai terhadap usaha kerajaan tidak mengenakan caj parkir di Kuala Lumpur.

Mohd Nizam misalnya mengucapkan terima kasih kepada Annuar yang peka terhadap masalah dihadapi rakyat.

“Terima kasih Tan Sri. Sampai mengenai parkir pun Tan Sri fikirkan.

“Itu masalah saya selalu hadapi bila ke Kuala Lumpur,” katanya.

Situasi semasa ketika ini menyaksikan ramai kalangan rakyat berdepan kesusahan.

Justeru, parkir percuma diberikan ini diharap dapat meringankan beban rakyat.

Bumbung kaca hotel pecah ditimpa batu, dua lorong Jalan Pudu terjejas

BUMBUNG kaca sebuah hotel di Jalan Pudu, Kuala Lumpur pecah hari ini sehingga menghalang laluan trafik.

Insiden kira-kira jam 2.30 petang itu dipercayai berlaku selepas bumbung kaca di perkarangan hadapan hotel ditimpa batu dari tingkat atas.

Menerusi ciapan Info Trafik KL DBKL di Twitter, kelihatan dua Lorong jalan dipenuhi serpihan batu dan kaca.

Ia menyebabkan dua lorong terbabit terpaksa ditutup bagi kerja pembersihan.

Tiada laporan kemalangan membabitkan petugas hotel atau orang ramai dilaporkan.

Setakat berita ini dilaporkan, kerja pembersihan telah selesai dan lorong ditutup telah dibuka semula untuk kegunaan orang ramai.

Polis beri amaran elak parkir sesuka hati di Pusat Pemberian Vaksin

ORANG ramai mendapatkan suntikan vaksin di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (PWTC) diminta untuk tidak meletak kenderaan sesuka hati sehingga menghalang trafik.

Amaran diberi pihak polis selepas terdapat individu berbuat demikian sehingga menyusahkan pengguna jalan raya lain.

Memetik kenyataan polis, mereka didapati bersalah akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk saman.

Selain itu, pihak polis juga tidak tergagak-agak mengenakan tindakan tunda kenderaan jika terdapat keperluan berbuat demikian.

“Orang ramai yang hadir di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) AztraZeneca di PWTC dinasihati tidak meletakkan kenderaan sewenang-wenangnya sehingga menghalang lalu lintas.

“Sekiranya peraturan dan undang-undang tidak dipatuhi, tindakan saman atau tunda akan dilaksanakan,” memetik kenyataan di laman Facebook, Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik PDRM.

Terdapat beberapa lokasi dijadikan sebagai PPV di sekitar lembah Kelang termasuk Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ideal Convention Centre Shah Alam.

Justeru, orang ramai dinasihati untuk mematuhi peraturan dengan tidak menghalang laluan trafik yang boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Bagaimanapun, jika anda kurang bernasib baik dan telah disaman, berikut antara kaedah pembayaran yang boleh dibuat:

Semak saman melalui MyEG

Antara perkhidmatan ditawarkan MyEG termasuk semak dan membayar saman. Anda Cuma perlu layari https://www.myeg.com.my/.

Terus ke kaunter bayaran trafik

Anda boleh terus ke kaunter bayaran trafik di lokasi berdekatan. Semakin cepat anda lunaskan bayaran saman, maka semakin ‘tenang’ hidup anda.

Gagal membayar saman bukan sahaja menambah ‘hutang’ anda dengan pihak berkuasa malah, boleh menjejaskan rekod sebagai pemandu.

Bayar saman melalui SSO-PDRM

Portal Sistem Semakan Online (SSO) disediakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Anda cuma perlu melayari portal SSO di http://sso.rmp.gov.my/.

Demikian antara kaedah pembayaran saman yang boleh anda lakukan.

Jadilah rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dengan tidak membebankan pengguna jalan raya lain atas sikap penting diri.

KL HOHO janjikan tour malam mempersona

WARGA Lembah Klang pasti tidak asing dengan kewujudan bas ‘double decker’ yang sering kelihatan ‘berkeliaran’ di tengah ibu kota Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, tidak dinafikan masih ramai juga belum merasai pengalaman menaiki bas dikenali dengan nama KL Hop-On-Hop-Off (HOHO) itu.

Persoalannya, apa yang menarik dengan KL HOHO ini?

KL HOHO ‘duta’ Kuala Lumpur

Tanpa disedari, KL HOHO telah beroperasi lebih 14 tahun.

Meniti usia perkhidmatan sepanjang itu, KL HOHO berjaya menjadi medium memperkenalkan ibu kota Kuala Lumpur kepada para pelancong dari dalam dan luar negara.

Orang ramai bukan sahaja boleh menikmati pemandangan sekitar Kuala Lumpur tetapi turut disajikan dengan fakta dan informasi mengenai bandaraya ini.

Untuk itu, KL HOHO sentiasa mencari kelainan dan memperbaiki mutu perkhidmatan kepada pengguna.

Terbaharu, KL HOHO memperkenalkan kembali lawatan atau tour waktu malam bagi memberi pengalaman berbeza kepada pelanggannya.

Selain cuaca lebih nyaman, tour di waktu malam juga memberi pemandangan berbeza dengan limpahan cahaya lampu warna-warni menara pencangkar langit.

Penumpang bakal dibawa mengelilingi bandaraya Kuala Lumpur dengan melalui beberapa lokasi tumpuan termasuk Saloma Link, Menara Kuala Lumpur, Sungai Kehidupan, Istana Negara, Dataran Merdeka, Little India, Petaling Street dan Pasar Seni.

Warga Malaysia boleh mencuba tour malam menaiki bas KL HOHO bagi merasai pengalaman luar biasa sebagai pelancong.

Rasai pengalaman menaiki KL HOHO

Terdapat pelbagai cara untuk orang ramai mendapatkan tiket bas KL HOHO.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan tiket secara dalam talian di beberapa platform termasuk www.myhoponhopoff.com dan www.klook.com.

Tiket juga turut dijual di kiosk KL HOHO yang terletak di Plaza Sungei Wang yang terletak di Bukit Bintang atau Malaysia Tourist Center, Kuala Lumpur.

Harga tiket bermula serendah RM24.00 (warganegara dewasa) dan RM15.00 (warganegara kanak-kanak).

Tour malam bermula pada jam 8.30 sehingga 10.30.

Jadi, sudah tahu apa aktiviti menarik untuk anda dan keluarga hujung minggu ini?

Rasai pengalaman tour malam di tengah ibu kota, Kuala Lumpur!