Arkib Tag: kesesakan jalan raya

Lebuhraya Karak akan dilebarkan, tiada lagi ‘jem’?

LEBUHRAYA Karak menjadi antara laluan paling sesak menjelang musim perayaan. Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, kira-kira dua juta kenderaan menggunakan laluan tersebut untuk pulang ke Kelantan atau Terengganu terutama pada musim perayaan.

Untuk itu, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM2.1 bilion untuk menaik taraf Lebuhraya Karak dengan melebarkan lorong dan membina terowong tambahan bagi mengatasi masalah kesesakan yang dialami pengguna.

Gambar oleh: Malay Mail

“Dengan pelebaran lorong dan pembinaan terowong baharu kita jangka masalah kesesakan yang sering dialami di lebuh raya itu akan diatasi,” katanya.

“Setakat ini Lembaga Lebuhraya Malaysia telah mengeluarkan tender untuk kerja-kerja pembinaan yang akan dilaksanakan di sepanjang lebuh raya itu.”

Dalam pada itu, beliau berkata, kerja-kerja penyelenggaraan laluan itu tidak digalakkan untuk dilaksanakan pada musim cuti perayaaan sebagai langkah mengurangkan masalah kesesakan jalan.

“Buat sementara waktu ini saya tidak galakkan LLM melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sepanjang musim cuti perayaan kerana ia akan mengganggu aliran trafik yang bergerak ke Pantai Timur,” ujarnya.

Kami yakin inisiatif ini akan membantu mengurangkan kesesakan kerana ianya pilihan utama untuk pulang ke Pantai Timur, tidak seperti penyelesaian seperti pengangkutan awam di dalam kawasan bandar.

Tetapi kami harap kerja-kerja menaik taraf dilakukan secara terancang agar tidak menyebabkan kesesakan lain. Keselamatan pengguna jalan raya harus diutamakan agar kemalangan seperti di lebuh raya NKVE yang melibatkan Toyota Veloz dan Innova disebabkan garisan jalan yang pudar dan mengelirukan tidak berulang.

Tol percuma tak selesaikan masalah kesesakan musim perayaan – TPM

PEMBERIAN tol percuma, terutama pada musim perayaan dilihat tidak mampu menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Gambar oleh: Malay Mail

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pemberian tol percuma tidak mampu menyelesaikan masalah kesesakan yang masih tetap berlaku.

“Ketika perayaan Aidilfitri baru-baru ini, kerajaan putuskan tol percuma diberikan kepada kenderaan dan ini tidak menyelesaikan masalah kesesakan, malah kita lihat ia berlaku.

Imej oleh: Sinar Harian

“Oleh itu, tentu ada beberapa kaedah penyelesaian kepada masalah itu,” katanya pada sidang media selepas mengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan Jalan Raya (JKMKJR) semalam.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan mengakui kesesakan lalu lintas bukan hanya berlaku di sekitar Lembah Klang, sebaliknya turut berlaku setiap musim perayaan.

Pada 18 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tol percuma Rahmah kepada semua kelas kenderaan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Tol percuma itu membabitkan 33 lebuh raya bagi semua kelas kenderaan bermula dari 19 hingga 21 April lalu termasuk 24 April.

Solat hormat waktu semasa kesesakan jalan raya: UAI beri penjelasan

ANDA yang beragama Islam pasti pernah dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dan terperangkap dalam kesesakan jalan raya, tetapi waktu hampir Maghrib dan anda belum sempat menunaikan solat Asar.

Gambar oleh: MalayMail

Kesesakan jalan raya merupakan suatu perkara yang biasa dihadapi oleh pemandu-pemandu di Malaysia, tidak kira sama ada ke tempat kerja setiap hari atau semasa musim perayaan.

Malah, ia juga sukar dijangka, kerana terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepadanya seperti bencana alam, kemalangan jalan raya, atau pembinaan.

Jadi, antara persoalan yang timbul adalah; bolehkah kita menunaikan solat hormat waktu dengan isyarat di dalam kereta?

Gambar oleh: Youtube

Baru-baru ini, penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus menjawab persoalan ini yang diajukan oleh hadirin. Menurutnya, jika kita terpaksa solat isyarat hormat waktu kerana tidak dapat keluar dari kereta dan kita mempunyai wuduk, ianya sah dan tidak wajib qada.

“Solat fardhu tidak dibenarkan menggunakan isyarat dalam kereta, melainkan tidak boleh turun,” katanya.

“Tetapi kalau boleh turun (keluar dari kereta), wajib berhenti sama ada di R&R atau tepi jalan. Hanya solat sunat dibolehkan dengan isyarat,” tambah beliau.

Dalam situasi terperangkap kesesakan jalan raya dan ada wuduk, ianya sah dan bukan solat hormat waktu.

“Solat hormat waktu ialah ketika tiada wuduk dan tidak boleh keluar dari kereta. Sebelum habis waktu tanpa menunaikan solat, dikerjakan juga solat dalam keadaan tidak cukup syarat, maka solat itu kerana menghormati waktu.

“Sampai di rumah, ambil wuduk, wajib ulang,” terangnya.

Diharapkan ini sedikit sebanyak dapat membantu memberi penjelasan memandangkan kita bakal pulang ke kampung menyambut lebaran dan jalan raya juga dijangka sesak.

Sesak: Ramai `malas’ naik pengangkutan awam – CEO KTMB

RAMAI warga Lembah Klang merungut apabila hampir semua lebuh raya dan laluan utama sesak tanpa mengira masa sejak negara memasuki fasa peralihan ke endemik Covid-19 pada 1 April lalu.

Kesesakan tersebut dikaitkan dengan sikap orang ramai yang tidak minat menggunakan pengangkutan awam yang didakwa susah dan lambat.

Menurut laporan Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata, “Pengangkutan awam seperti tren komuter antara pengangkutan yang jika digunakan secara maksimum mampu membantu mengurangkan kesesakan jalan-jalan di Lembah Klang.”

“Sikap pengguna yang enggan menggunakan pengangkutan awam itu turut memberi kesan kepada rangkaian tren komuter KTMB yang sehingga kini kapasiti setiap tren yang beroperasi tidak penuh.”

Tren KTMB. Gambar oleh KTMB

Menurut beliau, bagi sektor Lembah Klang, setiap hari komuter hanya membawa 21,000 penumpang sedangkan kemampuannya boleh mencapai kira-kira 40,000 penumpang.

“Angka itu menunjukkan ruang penumpang di dalam sesebuah komuter hampir separuh kosong,” ujarnya.

Kata Mohd. Rani, penduduk Lembah Klang dianggarkan berjumlah 2.5 juta orang tetapi mereka yang memilih khidmat komuter sekitar 0.6 juta sahaja dan KTMB kekurangan hampir 50 peratus penumpang setiap hari berbanding 21,000 yang menggunakan komuter.

“Kita sudah mengadakan pelbagai promosi bagi menarik perhatian orang awam untuk naik komuter bagi mengelak kesesakan jalan raya. Namun, orang ramai lebih suka memandu kenderaan sendiri.

“Jika ramai orang awam menggunakan perkhidmatan komuter, saya percaya ia dapat membantu mengurangkan kesesakan jalan raya yang sekarang menghantui mereka,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Rani berkata, rungutan mengenai ketibaan komuter di setiap stesen yang mengambil masa lama, ia hanya boleh diselesaikan dalam masa lima tahun akan datang mengikut fasa yang sudah dirancang.

“Kami masih dalam proses mendapatkan frekuensi seperti sebelum Covid-19, kenaikan penumpang akan membebankan dari segi frekuensi selain kami juga masih beroperasi menggunakan satu landasan.

“Frekuensi akan ditambah baik dan dijangka bakal mencapai tujuh minit setiap satu tren yang datang ke stesen berbanding sekarang sekitar 30 ke 45 minit untuk ketibaan sebuah tren,” katanya.

Mohd. Rani berkongsi, untuk perkhidmatan pengangkutan awam komuter yang menggunakan enam set koc di Lembah Klang, pengangkutan tesebut mampu memuatkan sejumlah 856 penumpang termasuk yang duduk dan berdiri.