Arkib Tag: Kerjasama

ACO Tech, MARii, dan Geno bekerjasama kaji penyelesaian blockchain untuk infrastruktur EV

PEMBEKAL mobiliti pintar, ACO Tech, telah bekerjasama dengan Geno dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) bagi mengkaji penggunaan penyelesaian rantaian blok (blockchain) bagi infrastruktur kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Memorandum Kerjasama (MoC) itu akan meneroka penyelesaian rantaian blok termasuk kontrak pintar, pengurusan jejak digital rantaian bekalan, penyelesaian tokenomik dan teknologi perlindungan privasi bagi melengkapkan penyelesaian ACO Tech untuk Platfom Perkhidmatan Mobiliti Elektrik (EMSP).

Usaha ini boleh memastikan privasi dan hak milik data, membolehkan pengewangan data, dan memanfaatkan pelabur strategik melalui pelaburan jangka panjang.

Kecekapan dan keupayaan bersama ACO Tech, Geno, dan MARii dijangka dapat menangani kebimbangan berkaitan pemilikan EV seperti kekurangan port pengecasan dan kadar pengecasan yang tidak konsisten.

Penggunaan penyelesaian teknologi rantaian blok memperkasakan pengeluar EV, penyedia perkhidmatan, dan pemilik/pengguna untuk berinteraksi secara lebih interaktif melalui sistem lejar tidak berpusat yang tidak boleh disunting.

Pendekatan ini bertujuan untuk mengurangkan kos, meningkatkan pengalaman dan keyakinan pengguna, serta membentuk rekod penjejakan dan penyelenggaraan yang lancar.

Selain itu, ia memudahkan perkongsian tenaga dan pengecas, memastikan ketelusan sepanjang kitaran hidup produk dan perkhidmatan.

Kolaborasi ini sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR).

Kerajaan mensasarkan untuk mencapai 20 peratus EV menjelang 2030, 50 peratus menjelang 2040 dan 80 peratus menjelang 2050.

Perjanjian ini membuka jalan bagi sektor automotif menjadi sektor pertama menggunakan teknologi rantaian blok secara meluas dalam industri di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif ACO Tech, Li Pu berkata, “Kami teruja dengan prospek pertumbuhan sektor mobiliti di Malaysia dengan adanya sokongan Kerajaan dan polisi yang progresif.

“Kami yakin kerjasama seperti ini adalah langkah ke hadapan dalam pemerkasaan ekosistem EV yang komprehensif dan kondusif untuk Malaysia, dengan penekanan pada keselamatan.”

Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz menegaskan komitmen mereka dan berkata, “Kerjasama kami dengan ACO Tech, sebuah syarikat usaha sama antara Proton, ECARX dan Altel Communications, dan Geno, merupakan langkah penting yang dapat mencorak masa depan ekosistem EV di Malaysia.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Geno, Zhang Yi Ian menyatakan kebanggaannya dengan sumbangan pasukan Geno kepada projek ini.

“Inisiatif ini merupakan aplikasi industri rantaian blok yang pertama. Matlamat utamanya adalah untuk memudahkan transformasi bagi perusahaan yang terlibat ke arah model yang berfokus pada perkhidmatan,” katanya.

“Langkah strategik ini bertujuan untuk meningkatkan penglibatan dengan pelanggan pengguna akhir, membolehkan interaksi yang lebih awal, mendalam, dan berkekalan,” tambahnya.

Perodua bekerjasama dengan Tourism Malaysia untuk promosi sektor pelancongan negara

TOURISM Malaysia dan Perodua telah memeterai memorandum kerjasama (MoC) selama tiga tahun dari 2024 hingga 2026, bertujuan mempromosikan sektor pelancongan di negara ini.

Ia dibuat berlandaskan komitmen bersama untuk memajukan sektor pelancongan di Malaysia, memudahkan kebolehcapaian, dan meningkatkan pengalaman pelancong secara keseluruhan.

MoC ini juga bertujuan mencapai beberapa objektif penting yang boleh memberi manfaat kepada industri pelancongan serta ekonomi negara.

Kebolehcapaian dipertingkatkan

Perodua selaku jenama automotif terkemuka di Malaysia akan memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan kebolehcapaian bagi pelancong domestik dan antarabangsa.

Pelancongan lestari

Kerjasama ini akan mempromosikan pilihan pelancongan mesra alam dan dalam masa yang sama mengurangkan impak pelancongan terhadap alam sekitar. Fokus Perodua terhadap kenderaan cekap tenaga juga adalah selari dengan visi ini.

Pertukaran budaya

Tourism Malaysia dan Perodua akan bersama-sama terbabit dalam program pertukaran budaya, yang akan membolehkan pelanocong menyelami kepelbagaian adat dan tradisi di negara ini.

Promosi dan pemasaran

Kerjasama ini akan menyaksikan dua organisasi ini akan berkongsi sumber mereka untuk memasarkan dan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terkemuka.

Usaha ini akan membabitkan kempen pengiklanan dan acara promosi selain memanfaatkan platform digital masing-masing untuk menarik khalayak global.

Pengalaman pelanggan

Daripada perkhidmatan pengangkutan kepada cadangan acara kebudayaan dan tempat menarik, pelancong dijangka merasai perjalanan yang lancar dan menyenangkan ke Malaysia.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dato’ Dr. Ammar Abd. Ghapar berkata: “Kerjasama kami ini menandakan komitmen bersepadu dalam menjadikan Malaysia negara yang menarik kepada pelancong.

“Dengan gabungan ini, kami boleh menyediakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh pelancong termasuklah merasai sendiri kecantikan, kepelbagaian dan kemesaraan negara kita,” tambahnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad pula berkata, “Bagi Perodua, kerjasama ini dan objektifnya adalah selari dengan inisiatif ‘mobiliti adalah gaya hidup’ kami.”

Menurut Zainal, menerusi MoC ini, Perodua boleh mengembangkan model perniagaan baharunya, khasnya langganan kenderaan, dan dalam masa yang sama mendapat maklum balas masa sebenar daripada pelancong asing mengenai pandangan mereka terhadap Perodua.

Public Bank dan smart bekerjasama untuk kemudahan pembiayaan digital

PUBLIC Bank menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) baru-baru ini bagi kemudahan pembiayaan produk dan perkhidmatan kewangan lengkap dengan smart Malaysia serta penjual sahnya.

Kerjasama ini akan membolehkan Public Bank memudahkan permohonan pembiayaan akhir sewa beli secara dalam talian dengan aplikasi pelanggan smart dan wakil pengedarnya.

Perjanjian strategik ini dijangka akan meningkatkan jualan EV inovatif baharu syarikat tersebut. Tawaran permulaan untuk pasaran Malaysia ialah smart #1, sebuah EV premium kompak dengan saiz segmen-B, seperti Honda HR-V dan Mercedes GLA.

Dari segi rekaan, smart #1 mendapat sentuhan pereka Mercedes-Benz memandangkan jenama smart kini dimiliki 50-50 oleh jenama Jerman itu dan Geely. Maka sebab itu anda dapat melihat lekuk-lekuk dan elemen rekaan seperti Mercedes GLA atau EQA.

smart #1 dilengkapi dengan lampu LED matriks, gril depan bercahaya, dan lampu LED belakang jenis bar melintang. Kesemua lampu luaran ini akan menyala dengan kesan grafik khas semasa anda membuka/mengunci kereta atau memainkan muzik.

EV ini juga mendapat rim Rotor 19-inci, bumbung panoramik halo yang terbesar dalam segmennya, dan lencana menyala di sisi tiang-C.

Di kabin, terdapat skrin besar 12.8-inci di tengah untuk infotainmen dan fungsi hiburan, manakala skrin 9.2-inci untuk paparan instrumen digital.

Teknologi merangkumi Apple Carplay dan Android Auto, pembesar suara 640W, dan sistem audio dari Beats.

smart #1 Premium dipacu oleh motor tunggal di belakang dengan output 272hp dan 343Nm tork, mampu memecut ke 100km/j dalam 6.7 saat.

Kuasa dibekalkan oleh bateri 66kWh dan membolehkan kereta ini dipandu sehingga 440km setiap cas. Untuk pengecasan pula, ia menyokong DC sehingga 150kW, jadi 10 hingga 80 peratus boleh dicapai dalam hanya 30 minit. Tetapi menggunakan AC 22kW akan memerlukan kira-kira tiga jam.

“Public Bank telah memperuntukkan lebih daripada RM30 bilion dalam pembiayaan NEV domestik pada akhir tahun 2022, yang mewakili kira-kira 52 peratus daripada jumlah keseluruhan portfolio pembiayaan sewa beli,” kata Tan Sri Dato’ Sri Dr. Tay Ah Lek, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank.

“Untuk membuktikan komitmen kami, sasaran pemberian pinjaman untuk NEV kini ditingkatkan kepada RM33 bilion menjelang 2025.”

Ahli Lembaga Pengarah PRO-NET, Roslan Abdullah pula berkata, “Melalui kerjasama dengan Public Bank, matlamat kami adalah untuk mempercepatkan proses pembelian, menyediakan kemudahan dan membentuk semula pengalaman digital pelanggan.

“Sebagai jenama EV pertama yang bekerjasama dengan Public Bank, smart merupakan perintis terawal dalam transformasi persekitaran digital industri perbankan,” katanya.

Proton, Aapico jalin kerjasama keluarkan komponen, alat ganti

PROTON baru-baru ini mengumumkan kerjasama dengan Aapico Hitech Public Company Limited (Aapico) menerusi anak syarikatnya, Advance Vehicle Engineering Global Sdn Bhd (AVEE Global) untuk pengeluaran komponen dan alat ganti.

Menerusi kerjasama ini, Aapico akan mengambil alih 60 peratus pegangan dalam AVEE Global daripada Proton, manakala baki 40 peratus pegangan yang dimiliki Proton dalam syarikat itu akan dinamakan semula sebagai Aapico Avee Sdn Bhd.

Perkongsian ini akan menyaksikan Aapico, salah sebuah syarikat alat ganti kenderaan terbesar di Thailand, melaksanakan pelaburan awal sebanyak RM40 juta ke atas kemudahan seluas 20 ekar AVEE Global.

Ini akan disusuli dengan pelaburan sebanyak RM100 juta untuk perluasan kilang dan pemerolehan jentera baharu pada 2024.

Aapico akan menguruskan operasi dan memperkenalkan penggunaan teknologi baharu untuk mengeluarkan alat ganti yang lebih berkualiti, menambah baik pengeluaran dan menjimatkan kos.

Syarikat itu juga merancang untuk melaksanakan pembangunan modal insan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk menarik pekerja berkemahiran tinggi ke negara ini.

Bagi Proton, kerjasama ini mengukuhkan lagi cita-citanya untuk menjadi pemain utama dalam pasaran automotif ASEAN.

Dengan skala ekonomi dan pelaburan Aapico, serta teknologi sedia ada Proton seperti hot press forming, syarikat berkenaan berharap untuk berada di barisan hadapan dalam rantau automotif yang paling pesat berkembang di dunia.

Kerjasama strategik Aapico-Proton merupakan usaha sama kedua Aapico dalam sektor alat ganti kenderaan di Malaysia. Awal tahun ini, syarikat dari Thailand itu menandatangani perjanjian usaha sama dengan Purem, salah satu pembekal sistem ekzos terbesar di dunia.

Sebelum ini, kehadiran Aapico di Malaysia adalah menerusi perniagaan pengedaran keretanya, yang mana ia memiliki dan menjalankan operasi enam syarikat pengedar kereta termasuk empat pengedar Proton.

JLG dan Gentari bekerjasama untuk ekosistem mesra alam, bakal perkenal langganan EV

JLAND Group Sdn. Bhd. (JLG) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Gentari Sdn Bhd (Gentari), sebagai usaha untuk menyepadukan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui dan mobiliti hijau di negara ini.

Pakatan strategik ini bertujuan membangunkan ekosistem mesra alam meliputi semua projek kediaman, komersial dan perindustrian JLG.

Di majlis tandatangan tersebut, JLG diwakili oleh Yang Berbahagia Datuk Sr Akmal Ahmad, Pengarah, Bahagian Hartanah & Infrastruktur, JCorp / Timbalan Pengerusi, JLG manakala Gentari diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sushil Purohit.

Berasaskan MoU yang ditandatangani, JLG dan Gentari akan melaksanakan kajian boleh laksana terhadap penyepaduan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui Gentari bagi aset dan taman perindustrian strategik di bawah JLG, manakala pelaksanaan ekosistem mobiliti hijau dalam projek yang dipilih JLG akan bermula pada suku ketiga 2023.

Datuk Sr Akmal berkata: “Kerjasama kami dengan Gentari menandakan satu mercu jaya penting dalam usaha kami melaksanakan inisiatif penyahkarbonan dan meningkatkan keupayaan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.

“Menerusi usaha sama dengan Gentari, kami kini bersedia memenuhi komitmen kami ke arah pertumbuhan lestari.”

Sebagai sebahagian daripada pakatan, JLG dan Gentari juga akan meneroka potensi pembinaan sebuah hab pengecasan (EV) di Ibrahim Technopolis (IBTEC) dan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui bagi taman-taman perindustrian JLG.

Datuk Sr Akmal menambah, “Usaha ke arah mencapai sasaran pengeluaran karbon bersih sifar di Malaysia memerlukan penglibatan seluruh masyarakat.

Sushil Purohit, Ketua Pegawai Eksekutif Gentari pula berkata, “Bersama JLand Group, kami dapat meneroka inisiatif secara serentak di bawah tunggak teras kami, iaitu Tenaga Boleh Diperbaharui, Hidrogen dan Mobiliti Hijau di seluruh rantaian nilai elektron dalam usaha mencapai matlamat karbon bersih sifar.”

Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, Gentari akan menyediakan kemudahan Kenderaan sebagai Perkhidmatan (VaaS) dalam bentuk perkhidmatan langganan pengangkutan hijau di pembangunan kediaman, komersial dan perindustrian JLG, demi menggalakkan penggunaan EV.

Dengan memperkenalkan khidmat langganan kenderaan EV menerusi Gentari, JLG bertekad menggiatkan peralihan kepada EV menerusi pelaburan kos rendah.