fbpx

Public Bank dan smart bekerjasama untuk kemudahan pembiayaan digital

smart #1 25

PUBLIC Bank menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) baru-baru ini bagi kemudahan pembiayaan produk dan perkhidmatan kewangan lengkap dengan smart Malaysia serta penjual sahnya.

Kerjasama ini akan membolehkan Public Bank memudahkan permohonan pembiayaan akhir sewa beli secara dalam talian dengan aplikasi pelanggan smart dan wakil pengedarnya.

Perjanjian strategik ini dijangka akan meningkatkan jualan EV inovatif baharu syarikat tersebut. Tawaran permulaan untuk pasaran Malaysia ialah smart #1, sebuah EV premium kompak dengan saiz segmen-B, seperti Honda HR-V dan Mercedes GLA.

Dari segi rekaan, smart #1 mendapat sentuhan pereka Mercedes-Benz memandangkan jenama smart kini dimiliki 50-50 oleh jenama Jerman itu dan Geely. Maka sebab itu anda dapat melihat lekuk-lekuk dan elemen rekaan seperti Mercedes GLA atau EQA.

smart #1 dilengkapi dengan lampu LED matriks, gril depan bercahaya, dan lampu LED belakang jenis bar melintang. Kesemua lampu luaran ini akan menyala dengan kesan grafik khas semasa anda membuka/mengunci kereta atau memainkan muzik.

EV ini juga mendapat rim Rotor 19-inci, bumbung panoramik halo yang terbesar dalam segmennya, dan lencana menyala di sisi tiang-C.

Di kabin, terdapat skrin besar 12.8-inci di tengah untuk infotainmen dan fungsi hiburan, manakala skrin 9.2-inci untuk paparan instrumen digital.

Teknologi merangkumi Apple Carplay dan Android Auto, pembesar suara 640W, dan sistem audio dari Beats.

smart #1 Premium dipacu oleh motor tunggal di belakang dengan output 272hp dan 343Nm tork, mampu memecut ke 100km/j dalam 6.7 saat.

Kuasa dibekalkan oleh bateri 66kWh dan membolehkan kereta ini dipandu sehingga 440km setiap cas. Untuk pengecasan pula, ia menyokong DC sehingga 150kW, jadi 10 hingga 80 peratus boleh dicapai dalam hanya 30 minit. Tetapi menggunakan AC 22kW akan memerlukan kira-kira tiga jam.

“Public Bank telah memperuntukkan lebih daripada RM30 bilion dalam pembiayaan NEV domestik pada akhir tahun 2022, yang mewakili kira-kira 52 peratus daripada jumlah keseluruhan portfolio pembiayaan sewa beli,” kata Tan Sri Dato’ Sri Dr. Tay Ah Lek, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank.

“Untuk membuktikan komitmen kami, sasaran pemberian pinjaman untuk NEV kini ditingkatkan kepada RM33 bilion menjelang 2025.”

Ahli Lembaga Pengarah PRO-NET, Roslan Abdullah pula berkata, “Melalui kerjasama dengan Public Bank, matlamat kami adalah untuk mempercepatkan proses pembelian, menyediakan kemudahan dan membentuk semula pengalaman digital pelanggan.

“Sebagai jenama EV pertama yang bekerjasama dengan Public Bank, smart merupakan perintis terawal dalam transformasi persekitaran digital industri perbankan,” katanya.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved