Arkib Tag: kereta konsep

Toyota Urban SUV Concept beri bayangan SUV kompak BEV untuk pasaran Eropah

TOYOTA baru-baru ini telah mendedahkan kereta konsep baharu mereka yang memberi bayangan kepada SUV elektrik bateri (BEV) bersaiz kompak yang akan dilancarkan di Eropah pada 2024.

Dikenali sebagai Urban SUV Concept, kereta itu dikatakan akan bersaing dalam segmen B-SUV dengan ukuran panjang 4,300 mm, lebar 1,820 mm dan tinggi 1,620 mm.

Ini secara tidak langsung meletakkan Urban SUV Concept di antara Yaris Cross dan C-HR dari segi saiz. Menurut Toyota, ia akan menjadi model paling kompak dalam rangkaian BEV yang terdiri daripada enam model yang dirancang untuk pasaran Eropah menjelang 2026.

Seperti yang boleh dilihat, kereta konsep ini tampil dengan bahagian hadapan mirip ikan yu tukul seperti yang digunakan oleh model-model terkini Toyota termasuk Prius, bZ3 dan bZ4X.

Untuk bahagian sisi, terdapat kemasan hitam pada bahagian bawah badan yang kelihatan seragam dengan tiang A dan bumbung yang dicat dalam warna yang sama. Pemegang pintu belakang pula disorokkan untuk penampilan yang kemas.

Bahagian belakang pula tampil sporty dengan spoiler bumbung berkembar dan bar lampu nipis yang merintangi pintu tailgate.

Gambar ruang kabin belum didedahkan namun menurut Toyota, Urban SUV Concept mempunyai kabin yang fleksibel yang boleh disesuaikan untuk mengutamakan penumpang atau barangan.

Perincian mengenai trenkuasa juga tidak diumumkan namun pengeluar kenderaan dari Jepun itu berkata versi produksi akan ditawarkan dalam versi pacuan roda hadapan atau semua roda, dengan dua pilihan kapasiti bateri.

Mitsubishi XRT Concept prebiu Triton generasi keenam

MITSUBISHI Motors Corporation telah mempertontonkan Mitsubishi XRT Concept di Bangkok International Motor Show 2023.

Menariknya, kereta konsep ini tidak akan kekal sebagai kereta konsep kerana ia merupakan prebiu kepada Triton generasi keenam yang bakal dilancarkan ke pasaran pada tahun ini.

Menurut Mitsubishi Motors, trak pikap saiz sederhana itu akan dilancarkan di Thailand terlebih dahulu memandangkan ia dipasang di kilang Mitsubishi di Laemchabang. Ia kemudian diikuti dengan negara-negara rantau ASEAN yang lain, Ocenia serta pasaran global.

Walaupun masih memakai pelekat penyamaran, jelas kelihatan bahawa Triton serba baharu yang akan datang ini mempunyai wajah yang lebih garang dan rugged berbanding model sedia ada.

Ia masih menggunakan lampu depan jenis terpisah, namun lampu nyalaan siang pada bahagian atas dilihat lebih langsing manakala lampu utama diberi bentuk baharu.

Turut direka semula adalah gril, di mana ia kini tampil lebih bersegi serta mempunyai dua palang mendatar dan tulisan ‘MITSUBISHI’ di atasnya.

Dari sisi, Triton baharu tampak gagah dengan adanya overfender dan tayar M/T, sementara bahagian belakang turut diberi sentuhan segar menerusi lampu baharu dan spoiler pada bahagian tailgate.

“Fiskal 2023 ialah tahun yang penting bagi Mitsubishi Motors untuk memacu perniagaan kami di rantau ASEAN, dengan pelancaran Triton yang diubah suai sepenuhnya dan SUV kompak serba baharu,” kata Takao Kato, presiden dan ketua pegawai eksekutif Mitsubishi Motors.

Tambah beliau lagi, Triton serba baharu telah menjalani ujian ketahanan di seluruh dunia dan kini sedang dalam fasa persiapan akhir sebagai persediaan untuk pelancarannya.

Hyundai N Vision 74 – kereta konsep sel bahan api hidrogen dengan 680 PS, 900 Nm

SEJAK diperkenalkan beberapa tahun yang lalu, Hyundai N telah memperkenalkan beberapa model produksi dan konsep yang amat mengujakan. Apa yang anda lihat ini adalah tambahan terbaharu kepada koleksi kereta konsep divisyen tersebut yang dikenali sebagai N Vision 74.

Diperkenalkan pada acara N Day 2022 pada Julai lalu, rekaannya diinspirasikan oleh kereta konsep Pony Coupe yang direka oleh Giorgetto Giugiaro pada 1974.

Kereta konsep rekaan pereka bertaraf lagenda itu tidak pernah menjadi realiti namun ia terus ‘hidup’ menerusi beberapa elemen reka bentuknya yang dibawa ke N Vision 74 seperti profil sisi dan tiang B. Rekaan lampu Parametric Pixel pula memberikan suntikan retro futuristik seperti IONIQ 5 dan IONIQ 6.

Kereta konsep ini mempunyai ukuran dimensi 4,952 mm panjang, 1995 mm lebar dan 1,331 mm tinggi, manakala ukuran tapak rodanya pula adalah 2,905 mm.

Seperti kereta konsep Hyundai N 2025 Vision Gran Turismo yang diperkenalkan pada 2015, N Vision 74 menampilkan trenkuasa hidrogen hibrid yang menggabungkan sistem pacuan bateri-elektrik dan sel bahan api hidrogen.

Menurut Hyundai, penggunaan trenkuasa ini membolehkan kereta ini memanfaatkan sistem penyejukan yang efisien, serta menggunakan dua sumber kuasa berbeza (sel bahan api hidrogen dan elektrik), bergantung kepada keadaan.

Dengan tangki hidrogen berkapasiti 4.2 kg yang boleh diisi semula dalam hanya lima minit dan pek bateri 62.4 kWj yang menyokong pengecasan pantas 800 V, N Vision 74 dikatakan boleh dipandu sejauh 600 km. Untuk angka prestasi pula, gabungan ini menjana 680 PS dan 900 Nm yang membolehkan ia mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Kemungkinan untuk N Vision 74 memasuki fasa produksi adalah sangat rendah, namun seperti kereta-kereta konsep “rolling labs” sebelum ini seperti RM14, RM15, RM16, RM19 serta RM20e yang diperkenalkan dua tahun lalu, Hyundai mungkin akan menggunakan teknologi yang ada untuk kereta produksinya pada masa depan.

9 kereta konsep yang patut jadi realiti – Sembang Engear

Kereta konsep kebiasaannya menarik perhatian pengunjung di pertunjukan auto namun atas faktor-faktor tertentu, selalunya ekonomi, tidak semua daripadanya dapat dijadikan model produksi. Ini sayang sekali kerana sudah banyak rekaan konsep yang memukau terpaksa dikuburkan begitu sahaja.

Berikut adalah sembilan kereta konsep yang kami rasa sepatutnya dibangunkan menjadi model produksi:

Audi Avus

Diinspirasikan oleh Auto Union Streamliner, kereta konsep Audi Avus diperkenalkan pada 1991 dengan struktur aluminium dan enjin W12. Bagaimanapun, supercar berenjin tengah ini ‘dibunuh’ oleh krisis ekonomi yang melanda dunia pada 1990-an.

Mercedes-Benz C112

Dibuai kemenangan dalam World Sportscar Championship dan 24 Hours of Le Mans, Mercedes-Benz memperkenalkan C112 pada 1991 sebagai versi jalanan kepada jentera lumba Sauber C11. Ia dilengkapi dengan enjin 6.0-liter V12, ciri aerodinamik aktif dan pelbagai lagi teknologi futuristik, namun individu di sebalik projek ini dikatakan sudah tiada ketika ia diperkenalkan dan ia menjadi terlalu mahal untuk dibangunkan.

Nissan IDx

Diperkenalkan pada 2013, IDx merupakan interpretasi moden Datsun 510 yang cukup popular pada era 70-an. Nissan pada awalnya berjanji untuk menjadikannya model produksi namun pada 2015, syarikat itu mengambil keputusan untuk membatalkannya. Ini kerana kos untuk membangunkan platform pacuan roda belakang untuk model yang terhad seperti ini dikatakan terlalu tinggi.

Yamaha OX99-11

Supercar konsep ini lahir dari penglibatan Yamaha dalam sukan Formula One sejak 1989. Dibangunkan dengan kerjasama antara Ypsilon, anak syarikat Yamaha yang berpangkalan di UK, dan IAD, sebuah syarikat sukan permotoran British, ia dikuasakan oleh enjin 3.5-liter V6 dan mempunyai badan yang diperbuat daripada aluminium. Akibat kekangan bajet dan kemerosotan ekonomi pada masa itu, ia tidak dapat dihasilkan.

Mitsubishi Concept-RA

Concept-RA diperkenalkan di North American International Auto Show (NAIAS) di New York pada 2008 dengan enjin turbodiesel yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar SST dan sistem pacuan empat roda S-AWC. Menariknya, panel badannya diperbuat daripada resin plastik yang boleh dikitar semula.

BMW Nazca C2

Diperkenalkan pada 1992, kereta konsep rekaan Italdesign ini hadir dengan enjin 5.0-liter V12 yang digunakan oleh 8 Series talaan Alpina. Ia sebenarnya dibangunkan sebagai pengganti kepada M1, namun selepas kegagalan model itu, BMW dikatakan teragak-agak untuk menghasilkan satu lagi kereta sport berenjin tengah. Sebanyak tiga unit berjaya dibina sebelum projek ini dihentikan.

Dome Zero

Kereta sport berbentuk baji (wedge) ini merupakan hasil rekaan DOME Co. Ltd yang membuat kemunculannya pada acara Geneva Motor Show 1978. Projek ini diilhamkan oleh Minoru Hayashi, yang merancang untuk menjualnya dalam bilangan yang terhad. Bagaimanapun, rekaannya tidak pernah diluluskan oleh badan-badan berkaitan untuk jualan di Jepun atau luar negara.

Volkswagen W12 Nardo

Dinamakan sempena litar ujian Nardo, Volkswagen W12 Nardo merupakan salah satu daripada tiga kereta konsep W12 yang dihasilkan dari 1997 hingga 2001. Ia berenjin tengah, dikuasakan oleh enjin W12 dan mempunyai sistem pacuan semua roda. Ia dibangunkan bagi membuktikan yang Volkswagen Group boleh menghasilkan supercar dan enjin berkapasiti tinggi yang tahan lasak.

Bugatti 16C Galibier

Pada tahun 2009, Bugatti memperkenalkan C16 Galibier, sebuah sedan empat pintu yang pada awalnya dijangka mengambil alih tempat Veyron. Bagaimanapun, empat tahun kemudian, syarikat itu mengumumkan yang ia akan menghentikan projek itu bagi menumpukan usaha dalam pembangunan Chiron.