fbpx

9 kereta konsep yang patut jadi realiti – Sembang Engear

sembang engear – 9 kereta konsep

Kereta konsep kebiasaannya menarik perhatian pengunjung di pertunjukan auto namun atas faktor-faktor tertentu, selalunya ekonomi, tidak semua daripadanya dapat dijadikan model produksi. Ini sayang sekali kerana sudah banyak rekaan konsep yang memukau terpaksa dikuburkan begitu sahaja.

Berikut adalah sembilan kereta konsep yang kami rasa sepatutnya dibangunkan menjadi model produksi:

Audi Avus

Diinspirasikan oleh Auto Union Streamliner, kereta konsep Audi Avus diperkenalkan pada 1991 dengan struktur aluminium dan enjin W12. Bagaimanapun, supercar berenjin tengah ini ‘dibunuh’ oleh krisis ekonomi yang melanda dunia pada 1990-an.

Mercedes-Benz C112

Dibuai kemenangan dalam World Sportscar Championship dan 24 Hours of Le Mans, Mercedes-Benz memperkenalkan C112 pada 1991 sebagai versi jalanan kepada jentera lumba Sauber C11. Ia dilengkapi dengan enjin 6.0-liter V12, ciri aerodinamik aktif dan pelbagai lagi teknologi futuristik, namun individu di sebalik projek ini dikatakan sudah tiada ketika ia diperkenalkan dan ia menjadi terlalu mahal untuk dibangunkan.

Nissan IDx

Diperkenalkan pada 2013, IDx merupakan interpretasi moden Datsun 510 yang cukup popular pada era 70-an. Nissan pada awalnya berjanji untuk menjadikannya model produksi namun pada 2015, syarikat itu mengambil keputusan untuk membatalkannya. Ini kerana kos untuk membangunkan platform pacuan roda belakang untuk model yang terhad seperti ini dikatakan terlalu tinggi.

Yamaha OX99-11

Supercar konsep ini lahir dari penglibatan Yamaha dalam sukan Formula One sejak 1989. Dibangunkan dengan kerjasama antara Ypsilon, anak syarikat Yamaha yang berpangkalan di UK, dan IAD, sebuah syarikat sukan permotoran British, ia dikuasakan oleh enjin 3.5-liter V6 dan mempunyai badan yang diperbuat daripada aluminium. Akibat kekangan bajet dan kemerosotan ekonomi pada masa itu, ia tidak dapat dihasilkan.

Mitsubishi Concept-RA

Concept-RA diperkenalkan di North American International Auto Show (NAIAS) di New York pada 2008 dengan enjin turbodiesel yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar SST dan sistem pacuan empat roda S-AWC. Menariknya, panel badannya diperbuat daripada resin plastik yang boleh dikitar semula.

BMW Nazca C2

Diperkenalkan pada 1992, kereta konsep rekaan Italdesign ini hadir dengan enjin 5.0-liter V12 yang digunakan oleh 8 Series talaan Alpina. Ia sebenarnya dibangunkan sebagai pengganti kepada M1, namun selepas kegagalan model itu, BMW dikatakan teragak-agak untuk menghasilkan satu lagi kereta sport berenjin tengah. Sebanyak tiga unit berjaya dibina sebelum projek ini dihentikan.

Dome Zero

Kereta sport berbentuk baji (wedge) ini merupakan hasil rekaan DOME Co. Ltd yang membuat kemunculannya pada acara Geneva Motor Show 1978. Projek ini diilhamkan oleh Minoru Hayashi, yang merancang untuk menjualnya dalam bilangan yang terhad. Bagaimanapun, rekaannya tidak pernah diluluskan oleh badan-badan berkaitan untuk jualan di Jepun atau luar negara.

Volkswagen W12 Nardo

Dinamakan sempena litar ujian Nardo, Volkswagen W12 Nardo merupakan salah satu daripada tiga kereta konsep W12 yang dihasilkan dari 1997 hingga 2001. Ia berenjin tengah, dikuasakan oleh enjin W12 dan mempunyai sistem pacuan semua roda. Ia dibangunkan bagi membuktikan yang Volkswagen Group boleh menghasilkan supercar dan enjin berkapasiti tinggi yang tahan lasak.

Bugatti 16C Galibier

Pada tahun 2009, Bugatti memperkenalkan C16 Galibier, sebuah sedan empat pintu yang pada awalnya dijangka mengambil alih tempat Veyron. Bagaimanapun, empat tahun kemudian, syarikat itu mengumumkan yang ia akan menghentikan projek itu bagi menumpukan usaha dalam pembangunan Chiron.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved