fbpx

Hyundai N Vision 74 – kereta konsep sel bahan api hidrogen dengan 680 PS, 900 Nm

Hyundai N Vision 74 01

SEJAK diperkenalkan beberapa tahun yang lalu, Hyundai N telah memperkenalkan beberapa model produksi dan konsep yang amat mengujakan. Apa yang anda lihat ini adalah tambahan terbaharu kepada koleksi kereta konsep divisyen tersebut yang dikenali sebagai N Vision 74.

Diperkenalkan pada acara N Day 2022 pada Julai lalu, rekaannya diinspirasikan oleh kereta konsep Pony Coupe yang direka oleh Giorgetto Giugiaro pada 1974.

Kereta konsep rekaan pereka bertaraf lagenda itu tidak pernah menjadi realiti namun ia terus ‘hidup’ menerusi beberapa elemen reka bentuknya yang dibawa ke N Vision 74 seperti profil sisi dan tiang B. Rekaan lampu Parametric Pixel pula memberikan suntikan retro futuristik seperti IONIQ 5 dan IONIQ 6.

Kereta konsep ini mempunyai ukuran dimensi 4,952 mm panjang, 1995 mm lebar dan 1,331 mm tinggi, manakala ukuran tapak rodanya pula adalah 2,905 mm.

Seperti kereta konsep Hyundai N 2025 Vision Gran Turismo yang diperkenalkan pada 2015, N Vision 74 menampilkan trenkuasa hidrogen hibrid yang menggabungkan sistem pacuan bateri-elektrik dan sel bahan api hidrogen.

Menurut Hyundai, penggunaan trenkuasa ini membolehkan kereta ini memanfaatkan sistem penyejukan yang efisien, serta menggunakan dua sumber kuasa berbeza (sel bahan api hidrogen dan elektrik), bergantung kepada keadaan.

Dengan tangki hidrogen berkapasiti 4.2 kg yang boleh diisi semula dalam hanya lima minit dan pek bateri 62.4 kWj yang menyokong pengecasan pantas 800 V, N Vision 74 dikatakan boleh dipandu sejauh 600 km. Untuk angka prestasi pula, gabungan ini menjana 680 PS dan 900 Nm yang membolehkan ia mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Kemungkinan untuk N Vision 74 memasuki fasa produksi adalah sangat rendah, namun seperti kereta-kereta konsep “rolling labs” sebelum ini seperti RM14, RM15, RM16, RM19 serta RM20e yang diperkenalkan dua tahun lalu, Hyundai mungkin akan menggunakan teknologi yang ada untuk kereta produksinya pada masa depan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved