Litar Sepang yang biasanya dipenuhi dengan deruman enjin dimeriahkan dengan kehadiran lebih 100 pemilik kenderaan elektrik (EV) dari Malaysia dan Singapura.
Dalam acara Dongfeng Track Day yang berlangsung baru-baru ini, para peserta diberikan peluang merasai sendiri pengalaman memandu di dalam litar ikonik itu.
Sambutan luar biasa
Sambutan yang diterima tahun ini cukup memberangsangkan berbanding hanya sekitar 30 peserta dicatatkan pada tahun lalu.
Amin Ashaari, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif SoyaCincau berkata, sambutan luar biasa ini membuktikan minat terhadap EV yang semakin berkembang.
“Acara ini bukan tentang berlumba, tapi memberi peluang kepada pemilik EV merasai litar dan menguji kemampuan kereta masing-masing. Kami mahu buktikan EV tiada batasan.
Acara tersebut dimulakan dengan sesi parade lap supaya para peserta membiasakan diri dengan litar tersebut, sebelum diteruskan dengan empat sesi pemanduan, setiap satu berdurasi satu jam.
Antara jenama EV yang turut mengambil bahagian termasuklah BMW, BYD, Dongfeng, Proton, Porsche dan Tesla.
Dongfeng pamer kereta baharu
Soh Ming, Ketua Pegawai Eksekutif Volt Auto Singapura dan Malaysia menyifatkan penyertaan mereka sebagai pengalaman pertama yang sangat berharga.
“Ia peluang terbaik untuk kami menguji kereta di litar dan mengumpul data untuk penambahbaikan,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk menganjurkan lebih banyak acara litar pada masa depan, selari dengan penglibatan jenama itu dalam sukan seperti bola sepak dan pickleball di Singapura.
Dongfeng turut mempamerkan tiga model, iaitu 007, Vigo dan Box E2 selain menawarkan pengalaman taxi ride dalam model 007 yang dipandu oleh pemandu profesional.
Peserta lahir rasa teruja
Kim Chan, 39, yang pertama kali menyertai menyifatkan pengalaman itu sesuatu yang baharu.
“Seronok dan saya memang menikmatinya, Saya pernah datang menonton perlumbaan, tetapi ini pertama kali berada di atas litar. Rasa pelik juga sebab sunyi.”
Beliau menambah, peningkatan infrastruktur pengecasan membuatkannya mempertimbangkan EV sebagai kereta seterusnya.
Turut kembali untuk kali kedua ialah Ee Sheeden, pemilik Tesla Model 3 Performance yang mencatatkan masa 2:27.90 dalam sesi time attack.
Sebagai pengasas pusat modifikasi Tesla Exotic Mods, Ee mengakui beliau memang peminat tegar EV dan mengubah suai keretanya untuk kegunaan litar.
“Saya buang tempat duduk belakang dan tukar pintu belakang kepada pintu gentian kaca untuk kurangkan berat 60 kg.”
Antara pemenang lain bagi cabaran time attack ialah:
- Firhat Mokhzani – Tesla Model 3 Performance (2:32.42)
- Ryan Woon Tian Chong – Tesla Model 3 Performance (2:38.20)
