Arkib Tag: Isuzu D-Max

Isuzu D-Max BEV Concept bakal muncul di Bangkok hujung bulan ini

Isuzu bakal memeriahkan acara pameran tahunan Bangkok International Motor Show yang ke-45 tahun ini dengan kehadiran model konsep berkuasa elektrik, iaitu D-Max BEV Concept.

Sama seperti model trak pikap satu tan berkuasa diesel, D-Max BEV ini juga telah dibangun untuk memenuhi keperluan yang lebih meluas dalam segmen kenderaan penumpang dan juga komersial.

Menurut Isuzu, D-Max BEV Concept ini menampilkan sistem pacuan empat roda sepenuh masa yang terdiri daripada dua e-Axle.

 

 

Sistem gandar elektronik itu dikatakan mampu menawarkan prestasi yang cemerlang di atas laluan kasar, pecutan linear tipikal sebuah EV, dan dalam masa yang sama mampu meminimumkan gegaran dan bunyi bising.

Menggerakkan trak pikap ini ialah gandingan dua motor elektrik berkuasa 174 hp dan 325 Nm, terdiri daripada motor elektrik 53.6 hp/108 Nm untuk gandar depan, diikuti motor elektrik 121 hp/217 Nm untuk gandar belakang.

Kedua-dua motor elektrik itu memperoleh kuasa daripada pek bateri lithium-ion 66.9 kWh, dan dikatakan mampu mencapai kelajuan tertinggi ‘melebihi 130 km/j’.

 

 

Sama seperti trak D-Max diesel, D-Max BEV mempunyai keupayaan membawa muatan sekitar 1,000 kg, dan kapasiti menunda muatan maksimum seberat 3,500 kg.

Dari segi luaran, D-Max BEV Concept ini membawakan rekaan yang hampir sama dengan model facelift yang dilancarkan tahun lepas, namun dengan sedikit perbezaan seperti jeriji tertutup yang dikemaskan dengan aksen warna biru, serta bampar depan yang telah direka semula.

Menurut Isuzu, trak pikap D-Max BEV ini akan dilancarkan buat kali pertama di Eropah pada tahun 2025, diikuti pasaran Australia, Thailand dan beberapa pasaran utama dunia.

 

Isuzu D-Max 2024 (facelift)

Jualan Isuzu D-Max cemerlang untuk 2023 – 9,650 unit terjual

ISUZU D-Max terus mencatatkan jualan memberangsangkan untuk 2023 dengan 9,650 unit yang merupakan rekod baharu. Ini juga merupakan pertambahan 439 unit berbanding 9,211 yang terjual pada 2022.

Dengan rekod jualan dua tahun berturut-turut di Malaysia, Isuzu D-Max generasi ketiga berjaya membuka jalan tersendiri dan menjadi trak pikap pilihan pengguna.

“Sejak D-Max generasi ketiga diperkenalkan di Malaysia pada 2021, minat terhadap model ini sangat konsisten tinggi disebabkan oleh cirinya yang canggih, karektor pemanduan cemerlang, operasi versatil dan nilai yang menguntungkan,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe.

“Model baru ini juga telah memperluaskan lingkungan pelanggan kami dan mencatatkan perluasan jualan sebanyak 185 peratus, dan dalam masa yang sama mengekalkan kelompok pelanggan sedia ada.”

Dengan barisan lapan varian komprehensif untuk Isuzu D-Max, anda boleh memilih model mana yang bersesuaian dengan kegunaan mereka, bermula dari versi Single Cab hinggalah kepada yang paling canggih dan model flagship, X-Terrain.

Menjadi pilihan utama sekali lagi adalah varian 1.9L Standard yang menyumbang sebanyak 28 peratus jualan.

Permintaan terhadap varian X-Terrain juga terus meningkat sepanjang 2023. Jualannya meningkat sebanyak 24.5 peratus sejak pelancarannya.

Ciri menariknya termasuklah Advanced Driving Assistance Systems (ADAS) dan juga jaminan tujuh-tahun tanpa had perbatuan.

Permintaan kukuh yang berterusan untuk Isuzu D-Max membolehkan jenama ini untuk berada di kedudukan No. 2 di Sabah, Kedah dan Pahang bagi segmen trak pikap.

Sementara untuk kedudukan peringkat nasional pula, ia berada di kedudukan ketiga dengan kadar perkongsian pasaran sebanyak 16.6 peratus.

Isuzu D-Max terpilih jadi kenderaan JPN masuk ke kawasan pedalaman

ISUZU D-Max terpilih menjadi kenderaan baharu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam usaha mereka untuk masuk ke kampung Orang Asli yang berada di kawasan pedalaman di seluruh negara bagi aktiviti pendaftaran kewarganegaraan.

Tiga unit Isuzu D-Max yang diserahkan itu akan digunakan untuk berkhidmat di pejabat JPN di Kuala Mu, Perak; Gua Musang, Kelantan; dan Kuala Rompin, Pahang.

Peranan utamanya adalah untuk bergerak bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan memasuk ke perkampungan Orang Asli untuk mendaftarkan penduduk, terutamanya bayi yang baru lahir di kawasan berkenaan.

Bagi memastikan perjalanan selamat untuk kenderaan dan semua penumpang, semua Isuzu D-Max tersebut telah dilengkapi dengan winch, palang pelindung, kanopi serta tayar untuk kegunaan di permukaan berlumpur.

Selain enjin 3.0-liter diesel dengan 187hp dan 450Nm tork, D-Max turut dipadankan dengan sistem pacuan empat-roda, differential lock dan kemampuan untuk meredah air sedalam 800mm.

Ini akan membolehkannya menyeberang saliran, sungai atau jalan banjir dengan yakin, serta akan memudahkan pasukan untuk pergi ke destinasi dan pulang dengan selamat.

Ketua Pengarah JPN, Zamri bin Misman menerima tiga unit Isuzu D-Max 3.0-liter daripada Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo dalam satu majlis ringkas di Rompin baru-baru ini.

Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo memaklumkan bahawa reputasi Isuzu D-Max yang telah terbukti sebagai sebuah kenderaan yang boleh diharap pastinya akan mempermudahkan lagi urusan jabatan kerajaan itu.

“Trak pikap Isuzu telah menerima pengiktirafan dan meraih reputasi sebagai sebuah kenderaan yang boleh mengharungi apa juga keadaan dan permukaan jalan.

“Kami sangat yakin bahawa D-Max baru ini akan mampu berkhidmat dengan sangat baik untuk JPN dalam menjalankan tugas mereka,” tambahnya.

Lebih 600 pemilik Isuzu D-Max berkumpul rai semangat Merdeka di 29 lokasi berbeza

KIRA-KIRA 600 pemilik Isuzu D-Max dan kenderaan mereka di seluruh negara telah berhimpun bagi menyambut Hari Merdeka menerusi acara Konvoi Merdeka 66.

Menariknya, program anjuran Isuzu Malaysia ini menyaksikan himpunan pemilik di 29 lokasi berbeza secara serentak pada jam 9:15 pagi, 31 Ogos lepas.

Konvoi Merdeka 66 menjadi perhimpunan terbesar di negara ini yang berlangsung pada masa yang sama melibatkan Isuzu D-Max, bagi meraikan sambutan Hari Merdeka ke-66 Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo yang merasmikan acara ini di cawangan Isuzu Jinjang di Kuala Lumpur berkata, acara Konvoi Merdeka 66 telah memberi peluang kepada pengedar untuk berinteraksi dengan pemilik D-Max dan meraikan kesepakatan serta keharmonian yang telah dikecapi atas semangat perpaduan di negara ini.

“Dengan matlamat kami untuk menjadikan sambutan Hari Merdeka kali ini lebih bermakna bersama pengedar dan pemilik D-Max, kami juga ingin meraikan semangat perpaduan dan sehati sejiwa yang unik, yang sudah terjalin antara rakyat Malaysia melalui sebuah acara yang melangkau sempadan seperti ini,” ujar Sogo.

Peserta acara Konvoi Merdeka 66 menikmati aktiviti bersama dengan pemilik Isuzu D-Max yang lain di seluruh negara dan dihidangkan dengan beberapa program istimewa yang telah dianjurkan oleh pengedar masing-masing.

Kenderaan peserta juga dihiasi dengan pelekat peringatan dan bendera, serta setiap peserta turut diberikan kemeja-T eksklusif.

Bagi kami, himpunan sebesar ini sangat baik malah bijak dilakukan di lokasi berbeza. Pertama, ia mengurangkan kesesakan trafik disebabkan konvoi. Keduanya, lebih ramai orang awam di lokasi berbeza dapat melihat dengan lebih dekat. Syabas geng-geng Isuzu D-Max semua!

Antara aktiviti berasingan yang dianjurkan oleh pengedar yang terlibat ialah lawatan ke ladang durian, kursus off-road ringkas, sepetang di pantai, destinasi resort terpencil dan kunjungan ke pusat beli-belah.

Maklum balas daripada pemilik sangat positif dengan ramai daripada mereka menyatakan keinginan untuk menyertai aktiviti berkumpulan bersama pemilik D-Max lain lagi pada masa akan datang untuk menjalin hubungan mesra dan membina rangkaian persahabatan.

Isuzu D-Max jadi kenderaan rasmi KL Fashion Week 2022, akan dipamer di Pavilion 15 hingga 21 Ogos

ISUZU Malaysia kini mempamerkan trak pikap mereka yang telah memenangi pelbagai anugerah, iaitu D-Max sebagai kenderaan rasmi KL Fashion Week (KLFW) 2022.

Tema KLFW 2022 tahun ini, “The Bigger, The Better” dilihat bersesuaian dengan imej dan intipati yang dibawakan oleh Isuzu D-Max generasi ketiga ini.

“Dengan rekaan canggih, kelengkapan penuh serta kemampuan untuk melakukan apa jua di mana saja, Isuzu D-Max mencabar norma kebiasaan dan membolehkan anda untuk mengukir memori tersendiri dengannya,” ujar Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo.

“Bersama KLFW, kami ingin membawakan rekaan imaginatif yang mengilhami ini selangkah lagi ke hadapan dan untuk dikongsi bersama khalayak.”

Unit yang dipamerkan merupakan varian Isuzu D-Max X-Terrain sebagai penaja Kenderaan Gaya Hidup Terulung untuk acara berkenaan.

D-Max dilengkapi pelbagai ciri praktikal seperti kamera 360-darjah, pengecas telefon tanpa wayar, sambungan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar serta ciri Advanced Driving Assist System (ADAS).

Isuzu D-Max X-Terrain akan ditampilkan dalam acara KLFW tahun ini yang akan bermula pada 15 hingga 21 Ogos 2022 di Pavilion Kuala Lumpur.

Tiga unit Isuzu D-Max X-Terrain akan dipamerkan di pusat ibu kota dengan warna berbeza. Valencia Orange membawakan tema kembara, Onyx Black untuk tema premium, manakala Silky Pearl White mencerminkan kompleksiti dan kepintaran.

Anda boleh lihat kesemua Isuzu D-Max ini dengan lebih dekat di laluan pejalan kaki utama di tiga lokasi berbeza iaitu di ruang legar air pancut Pavilion, satu di laluan penghubung ke Quivio dan satu lagi di seberang jalan di hadapan Fahrenheit.

Isuzu D-Max – 4,237 unit terjual dari Januari hingga Jun 2022

Isuzu Malaysia mencatat rekod jualan baharu dengan sebanyak 4,237 unit Isuzu D-Max didaftarkan sejak Januari hingga Jun tahun ini, menunjukkan peningkatan sebanyak 143% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Bukan itu sahaja, angka jualan bagi tempoh separuh pertama 2022 itu juga sudah setanding dengan pencapaian keseluruhan tahun 2021 iaitu 4,601 unit. Ini telah melonjakkan Isuzu Malaysia ke kedudukan ketiga dalam segmen trak pikap.

Shunsuke Okazoe – Foto ihsan: Isuzu Malaysia

“Sejak pengenalan Isuzu D-Max serba baru, kami melihat pertambahan minat dalam penggunaan trak pikap, terutamanya daripada pembeli kali pertama dan mereka yang menaik taraf kenderaan yang sangat terpesona dengan cara bagaimana D-Max mengadunkan keseimbangan antara trak pikap yang gagah dengan keselesaan dan kecanggihan kereta sedan keluarga,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe.

Menurut Isuzu Malaysia, varian 1.9-liter terbukti menjadi pilihan utama dalam kalangan pembeli di Malaysia, dengan sumbangan hampir 80% daripada jumlah keseluruhan jualan D-Max. Antara faktor yang membuatkan varian ini begitu popular adalah penggunaan bahan api yang cekap dan kadar cukai jalan yang terendah dalam kelasnya.

Sementara itu, varian flagship X-Terrain juga semakin mendapat sambutan, menyumbang 10% daripada jumlah keseluruhan jualan trak pikap itu. Ini merupakan pencapaian membanggakan bagi Isuzu memandangkan syarikat tidak pernah mempunyai penawaran yang kukuh dalam segmen kenderaan gaya hidup sebelum ini.

Isuzu D-Max X-Terrain

“X-Terrain menerima sambutan hangat dalam kalangan pengguna urban. Ramai yang menjadikan model terbabit sebagai kenderaan aktiviti gaya hidup mereka, dengan adanya keseimbangan yang sangat baik antara ruang, kebolehan, keselesaan dan keselamatan,” kata Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo.

Barisan Isuzu D-Max terdiri daripada lapan varian, dengan hampir semua daripadanya hadir dengan 4X4 dan hanya satu varian 4X2 automatik disediakan sebagai pilihan kos rendah kepada pengembara jarak jauh mahpun pengguna urban.

Pengalaman pandu uji Isuzu D-Max baharu, memang menyesal kalau…

SEBUT tentang trak pikap di Malaysia, ramai yang sering lupa mengenai kewujudan model D-max keluaran Isuzu.

Memetik kata pepatah “tidak kenal maka tidak cinta”, saya mengambil keputusan untuk memandu uji model tersebut baru-baru ini.

Ternyata benar Isuzu D-max ada kelebihan tersendiri yang ramai masih belum mengetahuinya…

Isuzu D-max pikap menjimatkan!

Nama Isuzu D-max tidak kurang popular di negeri Sabah dan Sarawak.

Faktor bentuk muka bumi di sana memaksa kebanyakan penduduk memilih menggunakan trak pikap sebagai kenderaan mereka.

Hal ini kerana pikap amat sesuai digunakan sebagai kenderaan mengangkut barang atau sebarang aktiviti mencabar seperti mendaki bukit dan sebagainya.

Persoalannya, mengapa D-max menjadi pilihan utama?

Pertama Isuzu sangat terkenal dengan pembuatan enjin diesel yang tahan lasak.

Selain tahan lasak, Isuzu juga dikatakan berjaya mencipta enjin yang menjimatkan penggunaan bahan bakar sekaligus sangat efisyen bagi pengguna.

D-max generasi baharu

Isuzu D-max terbaru tidak disangkal mempunyai reka bentuk yang amat menarik.

Selain itu, hasil pandu uji terhadap varian D-max X-terrain V-cross 3.0 4×4, saya dapati enjin yang digunakan sangat tahan lasak.

Apa yang saya suka adalah pihak Isuzu berjaya mengawal kuasa yang dihasilkan oleh enjin ini.

Ia bermaksud kuasa yang dihasilkan tidak keluar serentak sehingga mampu menghasilkan “wheel spin”.

Sebagai pengguna trak pikap, saya fikir Isuzu D-max antara yang paling lasak.

Selain itu, D-max juga didatangkan dengan pelbagai ciri keselamatan tinggi seperti ADAS, AEB, Turn Assist, Lane Departure Warning dan pelbagai lagi.

Kawalan memuaskan!

Pengalaman mengendalikan Isuzu D-max baharu memberikan rasa luar biasa sehingga hampir terlupa saya memandu sebuah trak pikap.

Perkara paling penting adalah D-max mampu mengambil selekoh dengan sangat baik sekaligus mengurangkan risiko untuk terbabas.

Justeru, kepada anda ingin mendapatkan sebuah trak pikap saya sarankan belilah Isuzu D-max untuk kepuasan berganda.

Harga Isuzu Dmax sekitar RM141,938.40 untuk varian X-terrain yang mana akan dapat segala kemewahan diidamkan pada sebuah trak pikap.

Jika anda inginkan yang lebih murah, anda boleh memilih varian paling asas pada harga RM89,549.20.

Maka, jangan menyesal kalau tak beli ya…chiow!

Isuzu D-Max generasi ketiga bakal berada dalam pasaran hujung April ini?

BERITA baik untuk penggemar kenderaan pacuan empat roda (4×4) yang ternanti-nanti kemunculan Isuzu D-Max generasi ketiga!

Terbaharu, Isuzu Malaysia mengumumkan model terbaharunya itu akan memasuki pasaran tempatan bulan ini, jauh lebih awal seperti yang dijadual.

Ketua Pegawai Operasi Bahagian Kenderaan Dagang Ringan Isuzu Malaysia Masayuki Suzuki berkata, pengenalan lebih awal ini dilakukan hasil kerjasama Isuzu Motors Ltd yang melihat Malaysia sebagai pasaran strategik.

“Kami sangat gembira Isuzu D-Max serba baharu ini dapat diperkenalkan lebih awal daripada jangkaan untuk pasaran Malaysia.

“Sebagai negara kelima di dunia yang melancarkan model ini selepas pengenalan sulungnya di Thailand, ia menjadi bukti komitmen oleh Isuzu Motors untuk memastikan pasaran Malaysia menerima pilihan kenderaan Isuzu yang terkini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Isuzu D-Max generasi ketiga dibangunkan dengan rekaan lebih sporty selain menampilkan imej jalanan lebih kental.

Didatangkan dengan dengan ukuran dimensi keseluruhan lebih besar, ia juga memiliki ruang kabin dan kargo lebih luas.

Selain itu, Isuzu D-Max generasi ketiga juga mempunyai single cab atau double cab serta dua pilihan enjin — RZ-4E 1.9 liter dan 4JJ-3TCX 3 liter.

Memperolehi penarafan maksimum lima bintang bagi Asean NCAP 2020, Isuzu D-Max generasi ketiga menawarkan tahap keselamatan baharu untuk perlindungan lebih baik.

Ia termasuk ciri-ciri Advanced Driver Assist Systems (ADAS) yang ditawarkan bagi varian terpilih.

Memasuki pasaran tempatan pada hujung April, Isuzu D-Max serba baharu dianggarkan dijual pada harga RM89,000 hingga RM145,000 bergantung kepada model selain tertakluk kepada kelulusan kerajaan.