Arkib Tag: India

Tresa Motors lancar trak elektrik bersegi VO.2, jarak gerak 600 km, kuasa sehingga 24,000 Nm!

Usah betulkan atau ‘refresh’ skrin PC/peranti pintar anda.

Ini kerana gambar trak yang dipaparkan dalam artikel ini bukanlah imej janaan komputer sebuah Tesla Cybertruck yang telah diubah menjadi sebuah trak komersial.

Tresa Motors, syarikat OEM yang berasal dari India baru-baru ini memperlihatkan model trak elektrik terbaharu VO.2 yang merupakan versi naik taraf daripada VO.1 yang telah muncul pada tahun lepas.

 

 

Model trak VO.2 ini – biarpun dengan rekaan yang agak bersegi – menampilkan beberapa teknologi canggih seperti Unit Perkomputeran Berpusat yang dikuasakan oleh NVIDIA, serta Sistem Telemetri Termaju yang akan memantau lebih 500 poin penting untuk analisis prestasi, kecekapan dan keselamatan.

Selain daripada itu, trak VO.2 ini menampilkan tetapan stereng posisi tengah, tempat duduk yang lebih selesa, serta pelbagai pilihan panel badan yang boleh disesuaikan.

 

 

Dari segi kuasa, Tresa VO.2 ini menggunakan platform motor elektrik Axial Flux Motor Platform Flux 350 yang mempunyai julat kuasa antara 201 hp-469 hp, dan daya kilas setinggi 24,000 Nm di mana ia mempunyai had laju setinggi 120 km/j.

Motor elektrik itu memperoleh kuasa daripada pek bateri modular 800V 50 kWh yang dikenali sebagai Meg50, dengan sistem penyejukan aktif dan penarafan kalis air IP69.

Sistem bateri modular itu boleh disesuaikan bergantung kepada keperluan pengguna, di mana dalam versi 300 kWh (6x Meg50) ia menyokong pengecasan sepantas 20 minit dari 10-80 peratus SoC dan mampu mencapai jarak gerak sejauh 600 km untuk sekali cas penuh.

 

Yamaha YZF-R15 dapat warna baharu di India 

Yamaha YZF-R15 telah dikemas kini dengan pilihan warna lebih menonjol bagi tahun 2024 untuk pasaran India. 

Menurut laporan media antarabangsa, R15 V4 itu kini hadir dengan warna “Vivid Magenta Metallic” yang mengetengahkan gabungan warna yang lebih segar dan sporty sesuai dengan peringkat umur pengguna motosikal berkenaan yang rata-rata berusia muda. 

Sementara itu, warna ikonik seperti Racing Blue dan Metallic Red akan terus dijual. 

Selain R15 V4 itu, turut mendapat sentuhan warna baharu adalah model FZ, FZ-S dan FZ-X yang hanya dipasarkan di negara itu ketika ini. 

FZ-S Fi kini hadir dengan warna Racing Blue dan Matte Black sementara warna Majesty Red dikekalkan. 

Bagaimanapun, naik taraf kali ini hanya melibatkan warna sahaja dengan tiada perubahan dilaksanakan di ruangan enjin mahupun komponen penting lain. 

Motosikal KTM akan dihasilkan di China dan India sahaja selepas ini 

KTM dalam satu perkembangan terbaru membuat kejutan apabila mengumumkan perancangan untuk memindahkan kilang pembuatan utama dari Austria ke China dan India. 

Keputusan itu dibuat bagi memastikan jenama motosikal dari Austria itu dapat memenuhi permintaan semasa di samping meningkatkan jumlah pengeluaran sedia ada. 

Menurut Pierer Mobility Group (PMG), yang merupakan pemilik kepada KTM, Husqvarna, GasGas dan terbaru MV Agusta, perpindahan kilang pembuatan dan pemasangan itu akan dibantu CFMOTO di China dan Bajaj Auto di India. 

Untuk rekod, CFMOTO telah pun bertanggungjawab menghasilkan model 790 Duke dan 790 Adventure untuk pasaran global ketika ini sementara Bajaj pula mengendalikan model bawah 390cc. 

Buat masa ini, kilang utama di Austria bertanggungjawab menghasilkan model 890 Duke, 1290 Duke dan 1290 Super Adventure. Namun, perkembangan terbaru ini hampir pasti menyaksikan tanggungjawab itu akan digalas CFMOTO selepas ini. 

Triumph Speed 400 dan Scrambler 400X beri pilihan lebih mesra poket untuk peminat

TRIUMPH barisan klasik moden sebelum ini terdiri dari model seperti Speed Twin 900 dan 1200 serta Scrambler 900 dan 1200. Kini siri itu ditawarkan dalam kapasiti lebih kecil, perkenalkan Triump Speed 400 dan Scrambler 400X.

Dibangunkan di Hinckley dan dikeluarkan di India oleh Bajaj, kedua-dua motosikal ini dikuasakan oleh enjin 398cc silinder tunggal baharu dengan penarafan Euro 5. Ia mampu menjana 39.5hp pada 8,000rpm dan 37.5Nm tork pada 6,500rpm, manakala output disalurkan melalui kotak gear 6-kelajuan.

Enjin sejukan udara ini juga menampilkan aci sesondol diimbang untuk mengurangkan inertia dan meningkatkan keselesaan semasa kelajuan rendah.

Antara perbezaan antara kedua-dua model adalah tinggi tempat duduk, dimana Speed 400 pada 790mm dan Scrambler 400 lebih tinggi, iaitu 835mm. Scrambler juga mempunyai berat 9kg lebih, iaitu 179kg berbanding 170kg untuk Speed 400.

Dari segi suspensi pula, Triumph Speed 400 datang dengan unit 43mm lebar dan travel 140mm untuk depan, dan 130mm travel untuk belakang dengan pelarasan preload. Bagi Scrambler 400X, ia mendapat suspense 150mm untuk depan dan belakang, dengan pemegang preload boleh laras untuk belakang.

Sistem brek adalah serupa untuk kedua-dua motosikal, terdiri dari cakera 300mm di depan dan 230mm di belakang. ABS dwi-saluran juga standard.

Saiz rim adalah 17-inci depan dan belakang untuk Speed 400, dibaluti tayar bersaiz 110/70 dan 150/60. Sementara itu rim bagi Scrambler 400X adalah 19-inci di depan tetapi 17-inci di belakang, dengan tayar 100/90 dan 140/80.

Spesifikasi lain pada kedua-dua motosikal merangkumi paparan analog dengan panel LCD untuk maklumat tunggangan, berserta lampu LED keseluruhan, dan tangki bahan api bersaiz 13 liter.

Speed 400 dan Scrambler 400X juga dilengkapi sistem traction control boleh laras, tetapi khas untuk Scrambler ialah suis pemadam ABS untuk kegunaan off-road.

Triumph Speed 400 dan Scrambler 400X akan dilancarkan di India bulan ini, tetapi pasaran lain termasuk Malaysia hanya akan menerimanya awal tahun depan. Masih sempat untuk kumpul duit! Dikatakan juga motosikal-motosikal ini bakal mendapat jaminan dua tahun tanpa had perbatuan.

Honda Elevate dilancar di India: SUV kompak dengan 1.5 i-VTEC, pilihan 6MT

PASARAN SUV dan crossover segmen-B di India kini begitu hangat. Baru-baru ini Hyundai Exter dilancarkan, bersaing dengan model-model lain seperti Kia Seltos, Volkswagen Taigun, dan Maruti Suzuki Grand Vitara.

Kini pemain terbaharu pula dilancarkan iaitu Honda Elevate, dan India merupakan negara pertama di dunia mendapat model itu. Honda Elevate ini mempunyai saiz mirip Perodua Ativa di negara kita.

Ia ditawarkan dengan enjin petrol buat masa ini, tetapi dikhabarkan varian EV akan menyusul dalam masa tiga tahun. Dari segi dimensi, ia berukuran 4,312mm panjang, 1,790mm lebar, dan 1,650mm tinggi dengan jarak roda 2,650mm.

Honda berkata rekaan Elevate menggunakan tema “bold and masculine” atau lantang dan maskulin. Oh ya, walaupun bersaiz kompak, kapasiti kargonya tidak mengecewakan, sekitar 458 liter.

Elevate dipacu oleh enjin 1.5-liter i-VTEC dengan 119hp dan 145Nm tork, dihantar ke roda depan. Pelanggan di India boleh memilih sama ada menggunakan kotak gear manual 6-kelajuan atau automatik CVT.

Walaupun merupakan model bajet dan kompak, spesifikasinya cukup tinggi. Ia dilengkapi bumbung suria berkuasa, pengecas telefon tanpa-wayar, skrin infotainmen 10.25-inci, dan pendingin hawa belakang.

Terdapat juga soket kuasa 12V di depan dan belakang, kamera undur, serta pelbagai ciri keselamatan terkini di bawah Honda Sensing. Tempahan Elevate akan dibuka pada Julai, dan harga juga kan diumumkan kemudian.

Berminat? Untuk pasaran Malaysia, Honda akan menawarkan model kompak WR-V dan pelancarannya tidak lama lagi. Nantikan laporan kami bila kami mendapat info lanjut.

Hyundai Exter dengan saiz Ativa dilancar untuk India, RM32k sahaja

CROSSOVER paling kecil Hyundai yang ada di pasaran Malaysia ialah Kona yang hadir dengan enjin 2.0 naturally-aspirated, 1.6 turbo, dan EV. Tetapi di India, terdapat model SUV yang lebih kecil iaitu Exter.

Ia menampilkan rekaan kompak dan berkotak berserta imej rugged dengan cladding plastik di sekeliling badan dan skid plate depan. Warna utamanya ialah Ranger Khaki yang disulami dengan kemasan hitam di atas termasuklah rel bumbung.

Crossover terbaharu Hyundai ini mempunyai panjang kurang empat meter, dan diposisikan di bawah Venue yang juga dijual di India.

Dari beberapa imej yang tersiar, dapat dilihat Hyundai Exter dilengkapi dengan lampu DRL LED berbentuk-H, dan lampu utama petak yang mengapit gril di tengah. Yang agak janggal ialah, namanya dieja di bampar depan, di bawah kemasan hitam yang menghubungkan dua DRL.

Kita belum dapat melihat rupa belakang Exter buat masa ini, tetapi yang jelas ia mempunyai tiang belakang bertekstur. Crossover segmen-A ini juga mendapat ruang tingkap yang besar dan rim aloi dwi-tona.

Untuk enjin, Hyundai India berkata Exter 2023 akan didatangkan dengan unit 1.2-liter petrol yang digandingkan dengan kotak gear manual 5-kelajuan atau AMT. Terdapat juga 1.2-liter yang boleh diisi dengan CNG (gas asli termampat), juga dengan manual 5-kelajuan.

Jualan dijangka bermula pertengahan tahun ini, dengan pilihan varian EX, S, SX, SX(O) , dan SX(O) Connect. Harga pula sekitar 600,000 Rupee (RM32,523), menjadikannya kira-kira 20 peratus dari harga Kona dan Creta di sini.

Suzuki Jimny 5 pintu bakal diperkenalkan 13 Januari 2023

DESAS desus mengenai Suzuki Jimny versi lima pintu telah bukanlah baharu – ia kedengaran sejak model itu dilancarkan ke pasaran pada 2018 lagi.

Sebelum ini dilaporkan bahawa model itu akan hadir pada penghujung 2022 namun dengan beberapa hari lagi tinggal sebelum tahun baru menjelma, nampaknya ia tidak benar.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terkini, Best Car Web mendakwa Jimny lima pintu akan dilancarkan secara rasmi di acara Auto Expo di India pada 13 Januari 2023.

Sumber gambar: Motor1

Menurut laman web automotif Jepun itu lagi, SUV kompak itu mempunyai badan yang lebih panjang berbanding versi tiga pintu dengan perbezaan sebanyak 300 mm dari segi ukuran tapak roda dan panjang keseluruhan.

Ini secara tidak langsung memberikan Jimny lima pintu pintu belakang yang lebih panjang dan tingkap kecil baharu. Sementara itu, rekaan bahagian-bahagian lain seperti tailgate dengan tayar ganti dan bampar dijangka sama seperti versi tiga pintu.

Untuk trenkuasa, Best Car Web melaporkan model itu akan hadir dengan enjin hibrid yang merangkumi enjin petrol K15B 1.5-liter dan sebuah motor elektrik dengan 33 hp dan 60 Nm. Ia dijangka hadir dengan pilihan transmisi automatik empat kelajuan dan manual lima kelajuan, serta sistem pacuan AllGrip Pro 4WD dengan transfer case belakang.

EV dari India, Tata Motors perkenal model Curvv!

TERKENAL sebagai jenama pembuat kenderaan terkemuka dari India, Tata Motors terus berkembang dengan pelan perniagaan baharu mereka.

Memetik laporan Evo India, Tata Motors telah merancang untuk menghasilkan kenderaan elektrik (EV) dalam tempoh lima tahun mendatang.

Setakat ini, terdapat lebih sepuluh jenis EV yang akan diperkenalkan dan antara bakal menjengah pasaran termasuk model dikenali sebagai Curvv.

Foto ihsan Tata Motors

Curvv akan dihasilkan menggunakan platform Generation 2 Tata yang boleh menerima penggerak elektrik.

Walaupun Tata Motors belum mendedahkan perincian teknikal serta spesifikasi lengkap namun, syarikat itu telah mendedahkan rekaan luar dan dalamnya.

Menerusi foto disiarkan, jelas kelihatan Curvv mempunyai rekaan luaran yang sangat ‘seksi’ dengan sentuhan garis tajam berlekuk dan bumbung menjunam.

Model ini juga mempunyai lampu memanjang di bahagian belakang yang menyerlahkan ciri premium sebuah kenderaan EV.

Foto ihsan Tata Motors

Sementara itu, bahagian dalam pula menggunakan rekaan minimalis sesuai dengan cita rasa majoriti pengguna masa kini.

Hal ini terbukti yang mana Tata Motors membina corong pendingin hawa kelihatan seakan tersembunyi.

Selain itu, terdapat juga dua skrin atas papan pemuka rata, butang kawalan jenis sesentuh dan penukar gear unit tombol boleh dipusing.

Foto ihsan Tata Motors

Bagaimanapun, untuk perincian lain Tata Motors masih membiarkan ia sebagai rahsia termasuk harga bakal dijual kepada pengguna.

Jom kita tunggu…

Tampil enjin lebih besar, Bajaj perkenal F250 dan NS250

MOTOSIKAL terbaharu keluaran Bajaj dikenali sebagai F250 dan NS250 telah diperkenalkan kepada umum.

F250 merupakan varian sport sementara, NS250 pula berada dalam keluarga naked bike.

Kedua-dua model ini masih menggunakan enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api.

Kapasiti enjin turut ditingkatkan kepada 249.07 cc yang menghasilkan kuasa sehingga 24.5 PS pada 8,750 rpm dan 21.5 Nm tork pada 6,500 rpm.

Foto ihsan Bajaj

Sementara itu, kotak gear didatangkan dengan lima kelajuan serta dipadankan bersama klac jenis slip & assist.

Bajaj tidak lupa memberi tumpuan pada sistem brek dengan menggunakan cakera lebih besar (300 mm) di hadapan dan belakang (230 mm).

Pada masa sama, ia juga dilengkapi dengan ABS one-channel secara standard.

Berikut antara ciri lain ada pada F250 dan NS250 baharu ini:

  • Rim 17 inci

  • Tayar saiz 100/80 (hadapan) dan 130/70 (belakang)

  • Fork teleskopik 37 mm

  • Monoshock pelarasan pra beban

  • Tangki bahan api 14 liter

  • Meter kombinasi LCD dan analog

  • Soket USB

  • Setakat ini, F250 ditawarkan dalam warna merah dan kelabu sementara, NS250 didatangkan dengan hanya warna kelabu.

    Foto ihsan Bajaj

    Bagaimanapun, kedua-dua model ini ditawarkan di pasaran India sahaja dan masih belum pasti sama ada akan dipasarkan di pasaran global dalam waktu terdekat.

    Harga F250 adalah 1.4 juta rupee (RM7,758) dan NS250 pula 1.38 juta rupee (RM7,647).

    Tak laku, Toyota henti jual Yaris di India

    TOYOTA menerima ‘tamparan’ hebat selepas gagal meningkatkan jualan kenderaan model Yaris di pasaran India.

    Situasi ini menyaksikan syarikat asal Jepun itu mengambil keputusan menghentikan pengeluaran model Yaris di negara tersebut.

    Memetik laporan media, jualan bagi model Yaris tidak begitu memberansangkan berbanding model keluaran Toyota yang lain.

    Kisah Yaris di India

    Foto ihsan Toyota

    Yaris mula diperkenalkan di pasaran India pada tahun 2018.

    Ia hadir dengan varian eksklusif sedan dan  enjin 1.5 dengan dipadankan transmisi lima kelajuan manual ataupun CVT.

    The Economic Times melaporkan jualan Yaris telah dihentikan sejak 27 September lalu.

    Untuk rekod, Toyota telah menjual lebih 19,784 unit Yaris di India.

    Bagaimanapun, angka itu belum cukup untuk menyaingi jenama lain antaranya seperti Maruti Suzuki Ciaz, Honda City dan Hyundai Verna.

    Rusia mahu tawar MiG-35 untuk tender jet pejuang TUDM

    SELEPAS India, Pakistan dan Korea Selatan, Rusia pula mahu menyertai perlumbaan untuk kontrak jet pejuang Malaysia.

    Dmirty Shugaev, pengarah Russian Federal Service For Military-Technical Cooperation berkata Moscow akan membentangkan sebuah jet pejuang pelbagai fungsi untuk menyertai tender Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akhir bulan ini.

    “Pihak Rusia sedang mempertimbangkan kemungkinan penyertaan Rosoboronexport dengan MiG-35 untuk tender pembekalan pesawat pejuang ringan dan latihan TUDM,” kata Shugaev.

    “Cadangan kami akan meletakkan Rusia dalam persaingan terus dengan Tejas India yang dibangunkan Hindustan Aeronautics Limited (HAL).”

    Pesawat pejuang ringan baharu untuk Malaysia

    Pada Jun lepas, Malaysia membuka tender untuk pesawat pejuang termaju dan LCA (Light Combat Aircraft).

    Kementerian Pertahanan bercadang memperoleh 18 buah Fighter Lead-In Trainer-Light Combat Aircraft (FLIT-LCA) untuk menggantikan armada 18 unit BAE Hawk 108 dan 208 (latihan dan pejuang ringan) serta 7 unit Aermacchi MB-339CM (pesawat latihan).

    HAL Tejas. Sumber: Eurasian Times

    Salah satu faktor utama yang mendorong Malaysia membuka tender ini adalah selepas pencerobohan ruang udara oleh China membabitkan 16 pesawat tentera di Laut China Selatan pada Jun lepas.

    Pada Disember 2018, Kuala Lumpur telah membuat permintaan maklumat untuk program FLIT-LCA ini. Ia telah mendapat respon dari lapan negara membabitkan Boeing T-7 Red Hawk (AS), HAL Tejas (India), PAC JF-17 Thunder (China dan Pakistan), Hongdu L-15 (China) dan Yak-130 (Rusia).

    HAL Tejas dari India berkata akan memberi respon kepada RFP (Request For Proposal) dari TUDM pada minggu ketiga September. Sementara itu, satu pencabar baharu hadir dari Rusia iaitu MiG-35.

    Tejas vs MiG-35

    Tejas direka untuk keperluan pertempuran moden, dengan penekanan kepada kelajuan, pecutan, maneuverabiliti dan kelincahan. Pesawat ini juga berkemampuan untuk berlepas dan mendarat di landasan pendek.

    Ia turut dilengkapi sistem kawalan penerbangan fly-by-wire, radar pelbagai mod dan sistem utiliti mikroprosesor.

    MiG-35. Sumber: Eurasian Times

    MiG-35 pula merupakan versi eksport MiG-29M OVT (Fulcrum F), pesawat penguasaan ruang udara satu tempat duduk yang sangat lincah dan dilengkapi enjin berkuasa. Ia dikategorikan sebagai pesawat ‘peralihan generasi ke-4++’.

    Pesawat sebegini juga biasanya mempunyai jangka hayat lebih panjang, dan mampu dinaiktaraf seperti pesawat generasi ke-5.

    Berkenaan harga, MiG-35 bernilai USD30 juta (RM124.35 juta) seunit berbanding HAL Tejas iaitu USD43 juta (RM178.23 juta) seunit.

    Malaysia dan TUDM khususnya pernah menggunakan MiG-29 sebelum ini yang telah dilucut tauliah perkhidmatan pada 2017. Jadi mungkinkan MiG-35 mempunyai kelebihan atas faktor keserasian?

    Ola S1, S1 Pro skuter elektrik paling canggih?

    OLA Electric memperkenalkan model skuter elektrik terbaharu iaitu S1 dan S1 Pro yang kini boleh didapati di pasaran.

    Ola S1 dan Ola S1 Pro dihasilkan dengan teknologi terkini yang dikatakan mampu memberi kepuasan menyeluruh kepada rata-rata peminat skuter.

    Menerusi perincian dikeluarkan Ola Electric, model Ola S1 menggunakan motor elektrik 8.5 kW yang mampu memberikan tork maksimum 58 Nm.

    Model ini pada masa sama didakwa mampu bergerak sehingga jarak 121 kilometer dengan sekali pengecasan penuh selain capaian laju maksimum 90 km/j.

    Bagi model S1 Pro pula, ia boleh mencapai jarak 181 kilometer dengan kelajuan maksimum 115 km/j.

    Foto ihsan Ola Electric

    Dua model ini dapat diandaikan sebagai antara skuter elektrik tercanggih buat masa ini.

    Ia didatangkan dengan skrin sesentuh tujuh inci dikuasakan oleh pemproses 1.8 GHz Quadcore dan RAM 3 GB.

    Selain itu, kedua-dua skuter ini mempunyai sistem sambungan Bluetooth serta GPS build-in dengan fungsi kawalan sentuh.

    Foto ihsan Ola Electric

    Tambah menarik, penunggang boleh menggunakan arahan suara bagi mengawal sistem pada model S1 dan S1 Pro ini!

    Berikut antara spesifikasi lain terdapat pada model S1 dan S1 Pro:-
    • Cruise control untuk varian Ola S1 Pro
    • Hill Hold Control,
    • Sistem amaran jika jentera keluar daripada radius atau jarak ditetapkan pemilik

    Setakat ini, Ola Electric masih belum mendedahkan harga sebenar bagi kedua-dua model ini.

    Foto ihsan Ola Electric

    Bagaimanapun, difahamkan harga akan bermula dari serendah 79,999 rupee atau bersamaan RM4,562 sahaja!

    Tempahan telah dibuka melalui laman web rasmi Ola Electric dan penghantaran awal dijangka bermula pada Oktober.

    Gaya retro moden Yamaha FZ-X yang ‘mencairkan’

    YAMAHA India terus mengembangkan perniagaan mereka di pasaran negara itu dengan pengenalan model terbaharu FZ-X.

    Berada dalam ‘keluarga’ naked bike, FZ-X memiliki gaya retro sama seperti model XSR 155.

    FZ-X didatangkan dengan enjin satu silinder SOHC penyejukan udara berkapasiti 149 cc.

    Sama seperti model FZS-FI, ia juga dikatakan dapat menghasilkan kuasa 12.4 PS pada 7,250 rpm dan 13.3 Nm tork pada 5,500 rpm.

    Bagaimanapun, FZ-X hanya mempunyai transmisi lima kelajuan dan tidak didatangkan dengan sistem Variable Valve Actuation (VVA).

    Memiliki look and feel retro, FZ-X masih mempunyai beberapa sentuhan moden.

    Ia termasuk penggunaan lampu diod pemancar cahaya (LED) dengan DRL, brek ABS serta panel meter LCD yang mempunyai sistem Y-Connect.

    Secara tidak langsung, ia dapat disambungkan kepada telefon pintar dan memaparkan fungsi seperti penggunaan bahan api, waktu servis serta notifikasi mesej atau panggilan.

    Model Yamaha FZ-X mempunyai rekaan retro yang ‘disulami’ teknologi moden. – Foto ihsan Facebook/Maxabout.com

    Berikut antara ciri-ciri menarik lain terdapat pada FZ-X:

    • Tangki bahan api 10 liter
    • Fork teleskopik 41 mm
    • Monoshock di belakang
    • Tempat dengan ketinggian 810 mm bagi penunggang utama
    • Berat keseluruhan 139 kilogram
    • Brek cakera depan dan belakang
    • Rim 17 inci

    Setakat ini, harga model FZ-X di pasaran India sekitar Rs1,19,800 atau bersamaan RM6,702.

    Namun, persoalan paling penting yang perlu dijawab adalah, “adakah model ini akan memasuki pasaran Malaysia?”

    Itu kita kena tunggu dan lihat ya!