Arkib Tag: global

QJMotor lancar MTX150 untuk pasaran global 

QJMotor memperkembangkan tawaran motosikal di pasaran global menerusi skuter kompak, MTX 150.

Untuk rekod, MTX 150 merupakan skuter terbaru dari QJMotor yang bakal menembusi pasaran global setelah versi 125cc berjaya menempah nama di Eropah. 

Mengekalkan reka bentuk yang sama seperti varian 125cc, MTX150 ini dikuasakan enjin 150cc satu silinder yang berupaya menjana 15.8hp dan 13.7Nm. 

Selain itu, antara kelengkapan lain turut ditawarkan termasuk cakera brek tunggal depan dan belakang, pencahayaan LED penuh, panel meter digital, penyerap hentak berkembar di belakang serta tangki bahan api berkapsiti 8L. 

Menariknya, daya tarikan utama MTX150 adalah penggunaan sistem hibrid yang menyumbang kepada tahap pembakaran yang lebih efisien dan mampun mencapai 2.2L/100km atau 45km/liter. 

Buat masa ini belum ada desas-desus sama ada model ini akan turut dilancarkan di Malaysia. 

Permintaan EV makin perlahan di AS, pengeluar mula tambah penawaran hibrid

JUALAN kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) di Amerika Syarikat (AS) kian perlahan manakala permintaan hibrid meningkat, kini pengeluar dan pembekal akan meningkatkan pengeluaran kenderaan hibrid.

Jualan hibrid di AS meningkat lima kali lebih pantas berbanding EV pada Februari, kata Morgan Stanley. Versi plug-in hybrid (PHEV) untuk Jeep Wrangler SUV mewakili separuh jualan Wrangler di AS pada separuh kedua 2023, meningkat dari 37 peratus pada enam bulan sebelumnya.

Ford juga mencatatkan trend sama, dimana jualan hibrid meningkat hampir 37 peratus untuk dua bulan pertama tahun ini – dibantu oleh permintaan terhadap trak Maverick yang bermula pada USD25,315.

Maverick hibrid mewakili separuh dari keseluruhan jualan model itu, malah pengedar berkata mereka boleh menjual lebih jika Ford mampu mengeluarkan lebih banyak model itu.

Peralihan ke arah hibrid ini berlawanan dengan polisi pro-EV yang dibawa oleh pentadbiran Biden serta kumpulan-kumpulan alam sekitar yang mahu pengeluar menghentikan jualan kenderaan ICE (enjin pembakaran dalaman).

White House pula dijangkan mengeluarkan standard pelepasan CO2 baharu pada bulan ini bagi memaksa pengeluar menawarkan kenderaan EV sehingga 60 peratus menjelang 2030.

Menurut para penganalisis, kebanyakan pengeluar legasi (lama) mencatatkan kerugian dengan EV, menjadikan hibrid suatu penyelesaian lebih menguntungkan dalam misi mengurangkan pelepasan karbon.

Prototaip Porsche Panamera 2024 giat jalani ujian, bakal dilancar 24 November ini

PORSCHE telah melancarkan Cayenne baharu pada April lepas, dan kini mereka sibuk pula dengan satu lagi pengenalan penting sebelum hujung tahun. Panamera generasi ketiga bakal didedahkan pada 24 November depan di acara Icons of Porsche Festival.

Pengeluar Jerman itu melabelkan Panemera sebagai generasi baharu, dan bukannya facelift. Buat masa ini, sedan prestasi tinggi itu sedang menjalani ujian-ujian dan penilaian di Amerika Syarikat, Scandinavia, Afrika Selatan, Asia, dan Sepanyol.

Kereta sports empat pintu itu bakal ditawarkan dengan lebih dari empat versi powertrain plug-in hybrid (PHEV). Generasi sebelum ini sudah pun mempunyai tiga versi PHEV, tetapi generasi baharu akan ditambah dengan varian PHEV keempat, dengan talaan prestasi tinggi.

Dalam ujian yang dijalankan setakat ini, Porsche membuat perkiraan dan prototaip Panamera telah menggunakan lebih 70 peratus pemanduan dengan kuasa elektrik berbanding sebelumnya.

Kesemua model E-Hybrid akan mendapat motor elektrik lebih berkuasa, diintegrasikan sepenuhnya dalam perumah kotak gear 8-kelajuan dwi-klac PDK baharu. Motor itu dibekalkan kuasa dari pek bateri 25.9kWh yang boleh dicas melalui pengecas dalaman 11kW.

Beberapa pilihan enjin pada Panamera akan ditawarkan, termasuklah 3.0-liter V6 twin-turbo dan 4.0-liter V8 twin-turbo. Kesemua enjin juga telah direka untuk menepati piawaian Euro 7 yang akan berkuat kuasa pada 2025.

Panamera baharu juga akan mendapat suspensi udara dengan penyerap hentak dwi-injap baharu yang membolehkan compression dan rebound secara berasingan. Sebagai opsyen tambahan, anda juga boleh pilih untuk mendapatkan kawalan penyerap hentak aktif untuk kawalan dinamik dan keselesaan lebih mantap.

Selepas pelancaran pada November nanti, Porsche Panamera 2024 ini bakal memasuki pasaran awal tahun depan.

Toyota RAV4 kereta paling laris di dunia, lebih 1 juta unit terjual

JATO Dynamics telah menyiarkan laporan jualan global bagi tahun lepas, dengan 79.4 juta kenderaan baharu telah terjual di seluruh dunia.

Angka itu mewakili penurunan dua peratus berbanding 2021 untuk pasaran-pasaran besar seperti Amerika Utara, Eropah, dan China. Sementara itu, pasaran seperti India, Timur Tengah, Asia Tenggara, dan Afrika pula mencatatkan peningkatan.

Tetapi ini bukanlah maklumat paling menarik dari laporan itu. Menurut data oleh JATO, model paling laris seluruh dunia ialah Toyota RAV4, dengan lebih satu juta unit diserahkan kepada pelanggan. 43 peratus dari itu adalah di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.

Ini diikuti oleh Toyota Corolla dengan kira-kira 992,000 unit terjual tahun lepas, manakala Tesla Model Y di tempat ketiga dengan 747,000 unit jualan.

Secara keseluruhan dari 10 model terlaris dunia, lima daripadanya adalah Toyota. Ford, Nissan dan Honda pula masing-masing satu model, manakala Tesla mewakili dua model.

Dilihat dari angka di atas, bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan Toyota merupakan pengeluar terbesar tahun lepas jika diukur dari angka jualan. Kenderaan Toyota mewakili 13 dari 100 unit kereta penumpang yang dibeli seluruh dunia.

Pengeluar Jepun itu juga mencatatkan peningkatan 0.3 peratus jualan hasil dari permintaan tinggi dari China, yang kini merupakan pasaran terbesar di depan AS dan Jepun.

Volkswagen Group pula merupakan konglomerat automotif kedua terbesar di dunia, walaupun jualannya menurun 10 peratus. Hyundai-Kia di tempat ketiga, diikuti Stellantis dan General Motors.

Laporan JATO itu turut menunjukkan pengeluar automotif paling pesat berkembang iaitu BYD. Firma China itu merangkumi 1.5 peratus jualan global dan kini meningkat kepada 2.42 peratus.

Jenama itu kini pengeluar kereta elektrik (EV) kedua terbesar dunia selepas Tesla.

Ducati catat rekod penghantaran tertinggi untuk suku pertama 2023

BERIKUTAN tahun 2022 yang sangat berjaya dari segi penghantaran, keuntungan dan profit, pengeluar dari Bologna itu memulakan tahun 2023 dengan pencapaian positif.

Suku pertama 2023 mencatatkan penghantaran tertinggi dalam rekod Ducati dengan 14,725 motosikal diserahkan kepada pelanggan. Ini bersamaan peningkatan sembilan peratus berbanding tempoh sama pada 2022.

CEO Ducati, Claudio Domenicali berkata: “Selepas mengakhiri tahun 2022 yang penuh berjaya, kami memulakan 2023 dengan pencapaian kukuh yang bermakna strategi syarikat membuahkan hasil.

“Berdasarkan angka-angka positif ini, kami terus berusaha untuk mencapai pencapaian positif, dengan matlamat utama memberi kepuasan kepada komuniti Ducatisti.”

Kejayaan ini dicapai melalui pasaran-pasaran utama Ducati; Itali di tempat pertama dengan 2,717 motosikal dengan pertambahan tujuh peratus berbanding tahun lepas.

Amerika Syarikat di tempat kedua, dengan 1,677 unit penghantaran dan peningkatan 21 peratus, diikuti Jerman dengan 1,666 motosikal dan pertambahan 21 peratus.

Ducati Multistrada V4 masih menjadi model paling laris, bersamaan 2,688 unit diserahkan seluruh dunia untuk tiga bulan pertama tahun ini. Di tempat kedua terlaris ialah Monster, dengan 2,005 unit terjual. Sementara itu model ketiga terlaris ialah DesertX dengan 1,442 unit.

Ducati kini dijual di lebih 90 negara dan disokong oleh rangkaian selepas jualan merangkumi lebih 800 pengedar, dan jumlah ini sedang bertambah. Malah untuk 2023, Ducati merancang membuka 55 pengedar baharu.