Arkib Tag: genesis

Genesis G80 EV Magma Concept buat kemunculan di Beijing

SELEPAS memperkenalkan GV60 Magma Concept pada Mac lalu, sub-jenama prestasi dari Genesis iaitu Magma kini kembali dengan model konsep keduanya iaitu G80 EV Magma Concept.

Diperkenalkan di Auto China 2024, ia tampil berbeza dengan model-model konsep dengan warna Acme Blue yang diinspirasikan oleh api biru yang membakar pada julat suhu tertinggi.

Jika dibandingkan dengan model asas Electrified G80, jentera yang mendapat sentuhan Magma ini tampil lebih agresif dengan rekaan bampar lebih sporty, fender lebih lebar, spoiler ekor itik, diffuser dan rim 21 inci.

Gambar ruang dalaman tidak disediakan namun menurut Magma, ruang kabin kereta konsep ini dihiasi dengan elemen-elemen mewah seperti Alcantara, upholsteri kulit dan kemasan gentian karbon dengan anyaman berwarna biru.

Dari segi prestasi, G80 EV Magma Concept mendapat beberapa naik taraf yang terdiri daripada ukuran track yang lebih lebar, sistem suspensi canggih, serta sistem brek berventilasi di bahagian hadapan dan belakang.

Tidak cukup dengan itu, rim tersebut didatangkan dengan rekaan khas yang bukan sahaja mengurangkan berat malah membantu menyejukkan cakera brek.

Magma bagaimanapun tidak mendedahkan sebarang perincian mengenai trenkuasa. Ia mungkin didatangkan dengan konfigurasi motor elektrik berkembar yang sama seperti Electrified G80 namun dengan kuasa yang lebih tinggi daripada 365 hp.

Magma: Inilah sub-jenama sports dari Genesis dengan warna oren khas

GENESIS menyertai New York Auto Show 2024 dengan satu berita panas. Mereka memperkenalkan satu sub-jenama di bawahnya yang diberi nama Magma. Lihat GV60 berwarna oren ini, menarik?

Sebenarnya warna oren yang sama ini pernah digunakan pada Genesis GV80 beberapa tahun lepas di acara yang sama. GV80 Magma Special ini sudahpun mula dikeluarkan, cuma ia dalam jumlah terhad dan untuk pelanggan di Timur Tengah sahaja.

Berbalik kepada GV60 Magma Concept, ia baru didedahkan secara rasmi dan akan dikeluarkan tidak lama lagi. Model ini tidak terhad kepada mana-mana pasaran sahaja, walaupun Genesis belum mengumumkan secara rasmi.

Spesifikasi lanjut SUV elektrik ini juga belum didedahkan, tetapi ura-ura mengatakan ia mendapat bateri yang ditambah baik untuk membekalkan kuasa kepada dua motor yang lebih berkuasa.

GV60 Magma Concept ini juga lebih rendah dan lebar. Ia dilengkapi ‘muka’ depan yang direka semula dengan ruang udara lebih besar. Sudah tentu bukan untuk enjin, tetapi untuk menyejukkan bateri, brek, dan motor.

Terdapat juga tiga lagi lubang tambahan di bampar depan untuk meningkatkan aerodinamik GV60 semasa dipandu laju.

Perkara lain yang dapat dilihat adalah rim 21-inci dengan rekaan aero disc untuk menyejukkan brek dan pada masa yang sama meningkatkan kecekapan.

Sirip di bumbung pula membantu mengalirkan udara ke spoiler belakang untuk downforce. Di bahagian dalam, kemasan kulit diberikan lebih ‘magma’ dengan jahitan kontras berwarna oren.

“Jenama ini akan terus mendedahkan konsep-konsep eksperimental dengan mengambil kira elemen teknologi dan astetik,” kata Ketua Pegawai Kreatif Genesis, Luc Donckerwolke.

“Walaupun kelajuan dan prestasi itu penting, program Genesis Magma akan melihat lebih jauh, mengutamakan pengalaman pemanduan untuk keseronokan dan keselesaan.”

Genesis GV70 Overland Project SUV mewah untuk taukeh durian

JIKA anda seorang taukeh ladang durian atau kontraktor besar dan mahu mencari kenderaan harian yang sesuai, tapi berbeza dari orang lain, mungkin boleh lihat Genesis GV70 Overland Project ini.

Sejak pelancarannya, Genesis GV70 menjadi antara model paling mewah dalam barisan Hyundai Motor Group. Ia bakal diberikan facelift tidak lama lagi, tetapi sebelum itu, GV70 nampaknya akan menerima versi off-road, hasil kerjasama dengan Delta.

Buat masa ini, ianya masih konsep, dan GV70 Overland Project ini direka sebagai meraikan sambutan ulang tahun ke-40 Delta. Konsep ini telah mengubah SUV serba mewah ini menjadi jentera yang mampu meredah laluan off-road.

Suspensi telah ditinggikan sebanyak dua inci, manakala rim 18-inci Classic B Rugged berwarna hitam adalah lebih lebar, terkeluar dari badan kenderaan. Dengan tayar Continental ATR yang besar, maka tidak hairanlah gerbang rodanya juga dikembangkan lagi.

Lebih menampakkan rupa off-road adalah lampu PIAA di bumbung, selain lampu Baja Style yang dipasang dalam gril. Untuk mereka yang akan membawa muatan lebih, terdapat juga rak bumbung khas dengan tempat mengikat.

Genesis GV70 Project Overland ini akan membuat penampilan sulung di Essen Motor Show, Jerman pada 10-11 Disember depan. Menariknya, ia akan dipamerkan di ruang pameran Continental.

Berkenaan GV70 facelift yang kami sebut tadi, SUV ini bakal menerima rupa depan yang diperbaharui, lampu seperti G90, dan gril rekaan baharu. Untuk kabin, dilaporkan GV70 facelift akan dilengkapi dengan skrin melengkung OLED bersaiz 27-inci.

Apa pendapat anda dengan GV70 Overland Project ini, sesuai dengan taukeh ladang durian dan para kontraktor?

Genesis G80 Sport dengan pengedalian lebih mantap, sistem RWS

GENESIS, jenama mewah yang bernaung di bawah Hyundai Motor Group, baru-baru ini mendedahkan lebih banyak perincian mengenai G80 Sport sempena pelancarannya di Korea Selatan.

Ditayangkan kepada umum buat pertama kali pada bulan lalu, G80 Sport secara asasnya adalah sedan G80 yang telah diberikan suntikan elemen sporty pada penampilan serta pengendaliannya.

Penampilan luaran G80 Sport boleh dibezakan menerusi rekaan bampar hadapan dan belakang yang lebih agresif, berserta kemasan krom hitam di sekeliling gril radiator dan bezel hitam di dalam perumah lampu hadapan.

Selain itu, warna Cavendish Red yang ditampilkan ini ditawarkan secara eksklusif untuk model ini sahaja, begitu juga dengan rim aloi 20-inci dengan corak G-Matrix. Angkup brek pula boleh didapati dalam warna merah atau hitam.

Di dalam, ciri-ciri unik G80 Sport yang tidak ditawarkan pada versi standard adalah stereng tiga jejari dan tiga pilihan trim untuk papan pemuka iaitu aluminium, karbon atau tenunan hibrid bercorakkan permata.

Pelanggan juga boleh memilih corak jahitan pada tempat duduk, sama ada bermotifkan bentuk permata atau corak V.

Sesuai dengan nama ‘Sport’ yang digunakan, model ini hadir dengan penambahbaikan mekanikal yang pastinya boleh menjadikan ia lebih cekap di jalan raya. Yang pertama adalah sistem stereng roda belakang atau Rear Wheel Steering (RWS).

Pada kelajuan sehingga 60 km/j, sistem berkenaan akan membelokkan roda belakang mengikut arah bertentangan dengan tayar hadapan bagi mengurangkan radius putaran, sekaligus menjadikan kereta lebih lincah.

Sebaliknya pada kelajuan yang lebih tinggi, roda belakang akan dibelokkan mengikut arah yang sama dengan roda hadapan bagi mendapatkan lebih kestabilan.

Bukan itu sahaja, sistem suspensi G80 Sport turut ditala semula dengan kadar redaman yang berbeza mengikut mod pemanduan yang dipilih. Bercakap tentang mod pemanduan, Genesis telah menambah mod Sport+ yang dapat memaksimumkan prestasi pecutan dan pengendalian.

Sayangnya, tiada sebarang modifikasi yang dilakukan pada enjin dan transmisi. Ini bermakna, seperti G80, model Sport ini ditawarkan dengan pilihan enjin petrol 2.5-liter empat silinder turbo dengan 300hp/422Nm dan 3.5-liter V6 dwi-turbo dengan 375hp/530Nm.

Ia juga boleh didapati dengan enjin turbodiesel berkapasiti 2.2-liter yang menghasilkan 207 hp dan 441 Nm. Ketiga-tiganya didatangkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan, dengan pilihan pacuan roda belakang atau pacuan semua roda.

Sultan Johor hadir dengan Genesis G90 Limousine, ada ‘taste’!

RATA-rata mengetahui bahawa DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar merupakan peminat dan pengumpul kereta sejati.

Baginda Sultan Ibrahim semalam menjadi tumpuan apabila hadir dengan Genesis G90 Limousine baharu. Bagi peminat kereta, pemilihan G90 Limousine ini menggambarkan citarasa tinggi sebagai kenderaan rasmi.

Genesis ialah jenama mewah dari Hyundai, sama seperti Lexus dari Toyota. Model G90 Limousine mula dilancarkan di peringkat global pada 2019 dan mempunyai panjang 5,945mm dan jarak roda 3,450mm.

Sebagai perbandingan, Mercedes Maybach S600 mempunyai panjang 5,453mm dan jarak roda 3,365mm, manakala BMW 7-Series mempunyai ukuran 5,260mm dan 3,210mm untuk panjang dan jarak rodanya.

Sesuai dengan saiznya, limo G90 ini dikuasakan oleh enjin 5.0-liter V8 yang menjana 420hp. Kuasa dihantar ke semua roda melalui kota gear automatik 8-kelajuan.

Kemewahan G90 Limousine lebih terserlah di bahagian dalam, dimana ia mendapat kemasan kulit semi-aniline, skrin TV, dan tempat duduk VIP dengan pelarasan 18-arah dan perehat kaki.

Harga untuk Genesis G90 Limousine bermula pada USD138,000 (RM585k) sebelum sebarang aksesori kustom dan tambahan. Sudah tentu unit milik Sultan Johor ini berharga jauh lebih mahal.

Gambar oleh: HRH Crown Prince of Johor

G90 Limousine ini dilihat semasa baginda hadir ke majlis perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Ke-4 Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor.