Arkib Tag: Everest

SDAC-Ford jual 8,858 unit Ranger dan Everest pada 2023

SIME Darby Auto Connexion-Ford (SDAC-Ford) telah mengumumkan prestasi jualannya bagi tahun 2023 di mana ia berjaya memecahkan rekod dengan 8,858 unit Ford Ranger dan Everest terjual sepanjang tahun lalu.

Menurut SDAC-Ford, pencapaian itu membuktikan prestasi kukuh jenama Ford pada 2023 dan sekali gus memantapkan kedudukannya dalam industri automotif negara.

Satu faktor penyumbang penting kepada kejayaan syarikat ialah perkembangan rangkaian pengedar SDAC-Ford untuk menambah baik pengalaman servis Ford.

Pada tahun lepas, syarikat telah menyempurnakan upacara pecah tanah bagi premis pengedar Ford Signature bernilai RM12 juta yang terletak di Jalan Baru, Seberang Prai.

Kemudahan bertaraf 3S serba canggih ini mempunyai kawasan seluas 46,000 kaki persegi, menampilkan identiti korporat Ford Signature dan menyediakan 16 ruang servis dan empat ruang pameran kenderaan. Ia akan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir suku kedua tahun ini.

Selain itu, SDAC-Ford turut memperluaskan kehadirannya di Malaysia Timur. Di Sabah, syarikat itu telah melancarkan dua pusat pengedar utama iaitu Ford Kota Kinabalu (Inanam) dan Ford Kota Kinabalu (Penampang).

Di Sarawak pula, SDAC-Ford membuka Ford Kota Samarahan pada Oktober 2023 bagi terus mengukuhkan kedudukannya di negeri itu.

SDAC-Ford kini mempunyai 38 cawangan pengedar di seluruh negara, dengan sembilan daripadanya terletak di Malaysia Timur.

“Kami amat berbangga dengan kemajuan yang kami capai tahun lepas, yang sesungguhnya merupakan kejayaan hebat bagi SDAC-Ford. Ini jelas membuktikan daya tarikan kenderaan Ford yang memenangi anugerah, disokong oleh kesungguhan dan kegigihan pasukan kami dan sokongan tidak berbelah bagi para pelanggan,” kata Turse Zuhair, Pengarah Urusan, SDAC-Ford.

“Sambil kami bersiap sedia menempuh satu lagi tahun cemerlang, kami yakin bahawa Ford akan terus mempelopori pasaran, sambil kami memenuhi komitmen terhadap kecemerlangan dan memberikan tahap kepuasan yang lebih tinggi kepada pelanggan,” tambahnya.

Ford Everest Wildtrak dilancar – Kemasan lebih rugged, 2.0 diesel biturbo, RM338,888

SERENTAK dengan pelancaran Ford Ranger Platinum, Sime Darby Auto Connexion juga memperkenalkan Everest Wildtrak. Varian terbaharu ini berharga RM338,888 dan diposisikan di atas Everest Platinum yang berharga RM308,888.

Seperti pada namanya, Everest Wildtrak mendapat kemasan yang sama seperti kembar trak pikapnya, dengan pengenalan warna Luxe Yellow, disulami dengan lencana-lencana Wildtrak berwarna Boulder Grey.

Selain Luxe Yellow, SUV tujuh tempat duduk ini juga ditawarkan dengan warna Meteor Grey dan Absolute Black. Rim pula bersaiz 20-inci dibaluti tayar 255/55.

Di dalam pula, terdapat jahitan ‘Wildtrak’ berwarna oren pada tempat duduk kulit, selain kemasan-kemasan oren dan jahitan warna sama di beberapa kawasan.

Enjin adalah sama dengan varian Everest lain, iaitu 2.0-liter diesel turbo dengan output 210hp dan 500Nm tork. Kuasa disalurkan ke sistem pacuan semua-roda kawalan elektronik dengan kotak gear automatik 10-kelajuan. Ia juga dilengkapi dengan pengunci differential belakang elektronik.

Ciri lain termasuklah paparan instrumen digital 12.4-inci, paparan infotainmen potret 12-inci, Apple Carplay dan Android Auto, sistem audio lapan pembesar suara, dan pengecas tanpa-wayar Qi.

Dari segi keselamatan pula, Ford Everest Wildtrak dilengkapi Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning dan Assist, Blind Spot Information System, Active Park Assist 2.0, dan Autonomous Emergency Braking.

Untuk pasaran Malaysia, Everest Wildtrak hadir dengan jaminan tiga tahun atau 100,00km, dengan pilihan tambahan dua tahun atau 60,000km.

Diskaun 20 peratus untuk alat ganti Ford sempena Tahun Baharu Cina

ANDA pengguna kenderaan Ford dan akan memandu jauh untuk musim cuti akan datang? Berita baik, kerana Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) kini mengadakan promosi hujung tahun dan Tahun Baharu Cina bermula 1 Disember 2022 hingga 21 Januari 2023 depan.

Jika anda membuat temu janji servis sepanjang tempoh promosi ini, anda layak mendapat diskaun 20 peratus untuk komponen seperti penyerap hentak, pelapik brek, cecair brek, bateri, bilah penggilap cermin, hos radiator, dan cecair radiator.

Promosi ini sah untuk model-model terpilih sahaja. Ianya tidak merangkumi model Ranger, Raptor, dan Everest terkini.

Sebagai tambahan, semua pemilik Ford boleh mendapatkan pemeriksaan kenderaan 27-poin secara percuma bagi memastikan kereta anda berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

Ford juga berkata setiap alat ganti yang dibekalkan adalah asli dan datang dengan jaminan 12 bulan atau 20,000km (yang mana dahulu).

“Percutian dalam negara telah meningkat pasca pandemik ini. Dengan Krismas, Tahun Baharu dan Tahun Baharu Cina yang akan datang, lebih ramai yang akan bercuti. Diharapkan promosi ini dapat memastikan pelanggan kami sentiasa selamat di samping mendapat lebih penjimatan,” kata Turse Zuhair, Pengarah Urusan SDAC-Ford.

Anda boleh membuat temu janji servis dan penyelenggaraan di mana-mana pusat servis sah Ford seluruh negara iaitu Ara Damansara, Petaling Jaya, Juru, Butterworth, dan Kuching.

Tempahan temu janji juga boleh dibuat secara online dengan melawat laman web www.sdacford.com.my.

Ford Everest serba baharu tiba di Malaysia, 2.0 single-turbo dan bi-turbo, sehingga 210hp/500Nm, dari RM264k

SELEPAS pelancaran Ford Ranger beberapa bulan lepas, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) kini membawakan pulak Everest serbah baharu untuk pasaran Malaysia.

SUV tujuh tempat duduk premium ini hadir dengan tiga varian dan harga seperti berikut:

Everest Sport: RM263,888
Everest Trend: RM281,888
Everest Titanium: RM308,888

Seperti kembar trak pikapnya, Ford Everest tampil dengan badan yang tegap, dan rekaan global Ford dengan DRL LED berbentuk C yang bersepadu dengan palang gril.

Lampu LED diberikan standard untuk Sport dan Trend, sementara varian Titanium mendapat lampu LED Matrix dengan fungsi Auto High Beam dan belokan dinamik dan pelarasan bergantung kepada kelajuan kenderaan.

Badan luaran juga dilengkapi dengan rel bumbung, rim 18- atau 20-inci, pintu kargo berkuasa, dan bumbung panoramik panel berkembar. Everest baharu ini mempunyai jarak kelegaan tanah 200mm dan mampu meredah air sedalam 800mm.

Terdapat dua pilihan enjin iaitu 2.0-liter single-turbo untuk Sport, dan 2.0-liter bi-turbo untuk Trend dan Titanium.

Unit 2.0-liter single-turbo menjana 170PS pada 3,500rpm dan 405Nm dari 1,750 hingga 2,500rpm. Enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik 6-kelajuan dengan SelectShift.

Enjin 2.0-liter bi-turbo pula menghasilkan output lebih tinggi, iaitu 210PS pada 3,750rpm dan 500Nm dari 1,750 hingga 2,000rpm. Kotak gear untuk enjin ini ialah automatik 10-kelajuan dengan SelectShift dan fungsi Electronic Shift on the Fly (ESOF).

Bergantung kepada varian dan jenis enjin, terdapat sehingga enam mod pemanduan boleh dipilih iaitu Normal, Eco, Tow/Haul, Slippery, Mud/Ruts dan Sands.

Dari segi suspensi, Ford Everest baharu hadir dengan double-wishbone di depan, dan spring gegelung dengan Watt’s Linkage di belakang.

Di bahagian dalam pula, Ford Everest menampilkan binaan papan pemuka lebar, 10 pemegang cawan, tempat duduk dengan konfigurasi fleksibel dan balutan kulit hitam, dan soket-soket kuasa seperti AC 230V dengan kapasiti 400W.

Di depan pemandu terdapat panel instrumen digital sepenuhnya bersaiz 12-inci yang menggantikan paparan analog.

Sementara itu di konsol tengah terletaknya skrin infotainmen menegak bersaiz 12-inci untuk Titanium (10.1-inci untuk Trend dan Sport) yang menggunakan perisian Ford SYNC 4A dan menyokong sambungan Android Auto dan Apple Carplay.

Ciri teknologi lain termasuklah lapan pembesar suara, kamera 360-darjah, kamera undur, empat slot pengecaj USB dan pengecaj tanpa-wayar Qi.

Kesemua varian Ford Everest 2022 datang dengan kelengkapan keselamatan agak lengkap seperti tujuh beg udara, ISOFIX, ABS, EBD, Electronic Stability Control, Adaptive Load Control, Hill Launch Assist dan Rollover Mitigation.

Sementara itu varian tertinggi Titanium mendapat tambahan Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning, Blind Spot Information System, dan Autonomous Emergency Braking dengan Pedestrian Detection.

Ford Everest 2022 hadir dengan pilihan warna seperti berikut: Absolute Black, Aluminium Metallic, Artic White, Equinox Bronze, Lightning Blue, Meteor Grey dan Sedona Orange.

SUV ini datang dengan jaminan pengeluar selama tiga-tahun, atau hingga 100,000 km, yang mana dulu. Lanjutan jaminan selama dua-tahun atau 60,000 km, yang mana dulu, turut ditawarkan.

Ford Everest 2022 bakal tiba di Malaysia, tarikan baharu peminat 4X4!

FORD bukan satu nama yang perlu diperkenalkan lagi di Malaysia.

Mempunyai pelbagai model daripada sedan sehingga pacuan empat roda, jenama ini semakin mendapat tempat di hati pengguna.

Terbaharu, Ford tampil memperkenalkan model Everest 2022 yang memiliki pelbagai teknologi canggih dengan kuasa memukau!

Walaupun model tersebut belum tiba di Malaysia namun, Engear sempat menghadiri sesi soal jawab Ford bersama media baru-baru ini.

Nak tahu lebih lanjut keistimewaan Ford Everest 2022?

Let’s check it out

Ford Everest 2022

Foto ihsan Ford Malaysia

Model Everest 2022 menggunakan platform Ranger Raptor dengan tiga pilihan enjin serta varian iaitu Sport, Titanium dan Platinum.

Enjin yang digunakan adalah 3.0L V6 turbodiesel, 2.0L turbodiesel dan 2.3L turbo petrol serta transmisi manual (SelectShift automatik).

Foto ihsan Ford Malaysia

Selain itu, pemandu juga disajikan dengan beberapa mod pemanduan iaitu Normal, Eco, Tow Haul dan Slippery.

Jika memandu di permukaan offroad, pemandu boleh menggunakan mod Mud & Ruts dan Sand.

Rekaan dan teknologi Ford Everest 2022

Foto ihsan Ford Malaysia

Ford Everest 2022 didatangkan dengan lampu hadapan diod pemancar cahaya (LED) Matrix yang tidak memberi kesan silau kepada pemandu lain.

Ia juga mempunyai lampu yang dapat menerangkan kawasan sekeliling kenderaan yang mana dikawal melalui sistem SYNC 4A atau FordPass.

Mood ‘garang’ jelas kelihatan terutama lampu hadapan LED berbentuk ‘C’ yang disulami juga bahagian gril hadapan yang agresif.

Foto ihsan Ford Malaysia

Model ini mempunyai sistem parkir ActivePark Assist 2.0 yang membantu pemandu memakir kenderaan secara automatik.

Sistem ActivePark Assist 2.0 bertindak mengawal stereng, transmisi, pecutan dan brek untuk masuk ke ruang parkir.

Tidakkah ini suatu yang ‘baharu’ bagi sebuah kenderaan seperti Ford Everest bukan?

Foto ihsan Ford Malaysia

Sementara itu, Ford Everest 2022 juga mempunyai sistem ADAS dengan kawalan jelajah adaptif dan stereng membantu pemandu mengelak objek.

Pada masa sama, ia juga mempunyai sistem kawalan jelajah bijak yang boleh menyesuaikan kelajuan kenderaan mengikut kelajuan dibenarkan.

Kelebihan lain Ford Everest 2022

  • Berikut antara kelebihan lain terdapat pada Ford Everest 2022:-
  • Sembilan beg udara
  • Panel meter digital sebesar 8 atau 12.4 inci
  • Tombol gear E-Shifter dan brek parkir elektrik
  • Skrin off-road
  • Apple CarPlay dan Android Auto
  • Sistem operasi SYNC 4A yang dihubungkan dengan aplikasi FordPass
Foto ihsan Ford Malaysia

Setakat ini, masih menjadi tanda tanya bila model Ford Everest 2022 akan dibawa masuk ke negara ini.

Paling penting, berapakah harga seunit yang bakal didagangkan oleh Ford Malaysia ya?

P.S: Harga Ford Everest model sekarang dijual pada sekitar RM270,000