Arkib Tag: dron

Kongres Amerika Syarikat mahu haramkan DJI

Awal tahun ini, Amerika Syarikat telah pun meluluskan rang undang-undang untuk mengharamkan aplikasi media sosial TikTok di negara itu susulan mendakwa aplikasi tersebut berkait dengan kerajaan China. 

Terbaru, Amerika Syarikat bercadang untuk turut mengharamkan pengeluar dron dan ‘action camera’ DJI. 

Menurut laporan Digital Trends, kongres Amerika Syarikat mendakwa terdapat isu sekuriti pada perisian DJI yang membolehkan data pengguna diakses dan dimasukkan ‘malware’ sekaligus mengancam keselamatan rakyat negara itu. 

Kongres menuduh DJI sebagai kontraktor tentera bagi kerajaan China dan berisiko menggunakan kelengkapan DJI sebagai medium intipan. 

DJI menyelar dakwaan AS dan berkata, “pengamal undang-undang yang membawa perundangan ini terus menerus membuat rujukan yang tidak tepat dan tidak berasas berkenaan dengan operasi DJI di samping mengamalkan xenofobia demi menyokong pengeluar dron tempatan dan menghapuskan pesaingan.” 

Produk DJI sememangnya sinonim dengan dunia automotif yang bergantung pada kelengkapan seperti dron dan ‘action camera’ untuk membuat rakaman.

Tonton video dron kamera terpantas di dunia kejar Max Verstappen di litar Silverstone

RED Bull baru-baru ini menyiarkan video di platform-platform media sosial menunjukkan sebuah dron memaparkan rakaman kereta Formula Satu (F1) di litar Silverstone.

Jentera F1 itu dipandu oleh juara dunia, Max Verstappen dan rakaman dari dron itu cukup menarik, seperti mengejar dari atas. Suatu rakaman F1 yang tidak pernah dibuat sebelum ini.

Ia hasil kerjasama antara Red Bull dan Dutch Drone Gods. Mereka telah menghabiskan masa kira-kira setahun membangunkan Red Bull Drone 1.

Dron yang dibangunkan khas ini diterbangkan secara manual melalui first-person view (FPV). Ia mampu memecut ke 300km/j dalam masa 4 saat sahaja.

Untuk menunjukkan kebolehannya, pasukan Red Bull menjalankan ujian pecutan dron itu berlumba dengan RB8 yang dipandu David Coulthard.

Walaupun jentera F1 ini telah berusia 10 tahun, ia masih mempunyai prestasi tinggi. Enjin 2.4-liter V8 dengan 850hp hanya perlu membawa beban seberat 635kg.

Dan walaupun mencuba sebaik mungkin, Coulthard tetap kalah terhadap drop ini. Baik, ia mampu ‘tapau’ F1 di jalan lurus. Tetapi bagaimana dengan litar penuh yang mempunyai selekoh?

Inilah cabaran sebenar Red Bull Drone 1. Ia perlu melalui kesemua 18 selekoh di litar Silverstone, mengejar Verstappen yang memandu jentera terbaharu, RB20 yang akan berlumba untuk musim 2024.

Sayangnya, hari hujan di Silverstone. Hujan juga membantutkan sedikit kelajuan F1 ini kerana ia menggunakan set tayar basah. Tetapi ia masih laju dan memberi cabaran untuk dron itu mengejar.

Terbukti dron itu tiada masalah kekal mengekori RB20 untuk satu pusingan penuh. Dengan percikan air hujan di tayar kereta, memberikan perspektif baharu akan kelajuan sebenar F1.

Tonton video di bawah yang memaparkan bagaimana pembangunan dan di sebalik tabir Red Bull Drone 1 menjayakan misinya.

Nilai tahap risiko guna dron keupayaan terkini bomba berdepan banjir

KESUKARAN pemantauan kawasan terjejas akibat banjir diselesaikan dengan penggunaan dron oleh Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Penggunaan dron bukan sahaja memantau kawasan dinaiki banjir malah, memudahkan kerja menilai sebarang tahap risiko.

Pengarah Unit Udara JBPM Nazili Mahmood berkata, penggunaan teknologi robotik itu sekali gus menjadi pelengkap tinjauan menerusi pengoperasian udara.

“Kita lihat keperluan dron ini adalah sangat diperlukan khususnya untuk melakukan jangkauan dan menilai tahap risiko yang ada di kawasan yang terjejas banjir.

“Dron yang kita gunakan juga dapat berkomunikasi menerusi pesanan suara untuk meminta penduduk berpindah sekiranya perlu sekaligus memudahkan operasi menyelamat,” katanya.

Beberapa lokasi di Shah Alam, Selangor terjejas teruk kerana dinaiki air. – Foto ihsan Malay Mail

Kini, setiap negeri mempunyai unit dron JBPM yang dianggotai seramai enam pegawai dan anggota.

Kesemua mereka diberikan latihan khusus dan turut dibantu 10 pegawai dan anggota dari ibu pejabat JBPM.

Sementara itu, JBPM turut menyediakan tujuh helikopter untuk digerakkan ke seluruh negara bagi membantu pengoperasian ketika musim banjir.

Daripada jumlah itu lima digunakan di Semenanjung Malaysia sementara baki dua helikopter ditempatkan di Sabah dan Sarawak.

“Kita juga telah bersiap sedia khusus untuk logistik dan penyelamatan unit udara dengan adanya tujuh helikopter.

“Apa yang berlaku di Lembah Klang dan Pahang pada minggu lepas, kita menggunakan logistik udara untuk membawa mangsa-mangsa ke tempat selamat,” katanya lagi.

Dron Kawasaki dengan enjin H2R supercharged jalani ujian bawa kargo

KAWASAKI telah menyumbat enjin supercharged 1,000cc dari hyperbike H2R ke dalam sebuah helikopter kawalan jauh untuk tujuan mengangkat kargo.

Mereka baru-baru ini membuat demonstrasi sistem robotic memuat naik dan menurunkan muatan kargo tanpa perlu merisikokan manusia kepada bilah kipas yang sedang berpusing.

Dinamakan K-Racer X1, ianyasebuah dron yang agak besar, bersaiz seperti sebuah kereta. Ia terbang menegak ke atas seperti helikopter, tetapi tidak mempunyai rotor di ekor untuk melawan tork. Sebaliknya, ia menggunakan sepasang rotor menghadap ke depan, di sayap kiri dan kanan.

Kawasaki tidak mendedahkan berapa laju ia boleh terbang, tetapi ia mungkin tidak begitu laju. Dengan rotor di atas yang tetap berpusing, kelajuan maksima akan dihadkan oleh stall dari retreating blade yang akan menyebabkan ketidak-samaan daya angkat (perkara sama yang mengehadkan kelajuan helikopter biasa).

Dalam satu video yang disiarkan awal bulan ini, Kawasaki menunjukkan prototaip K-Racer yang sedang terbang dan menguji robot penghantaran yang akan memasukkan dan menurunkan barang.

Ia tidaklah begitu besar dan boleh dimuatkan di dalam sangkar di bawah dron itu. Kawasaki sedang membangunkan modul yang lebih besar yang boleh diintegrasi dengan sistem sedia ada di kilang dan pusat-pusat penghantaran agak kesemua operasi ini dapat dijalankan secara automasi (tanpa manusia).

Automasi agak penting di Jepun dengan populasi kini secara umum lebih berumur dari mana-mana tempat di dunia ini.

Kira-kira 38 peratus penduduk negara itu berusia lebih 60 tahun (pada 2014) dan peratusan ini dijangka meningkat pada dekad akan datang.

Robot dikatakan perlu dalam banyak tugas-tugas logistik jarak dekat dan sederhana. Jadi, rekaan seperti K-Racer ini mempunyai masa depan yang cerah.

Hantar ubat guna dron, Pharmaniaga Bhd akui jimat masa

TIDAK mustahil penghantaran ubat dapat dilakukan secara meluas di negara ini dengan menggunakan pesawat tanpa pemandu atau dron.

Perkara itu diakui syarikat Pharmaniaga Bhd yang bercadang menggunakan dron bagi penghantaran ubat gred farmaseutikal.

Menurut syarikat itu, penggunaan dron dapat meningkatkan keupayaan logistik dan menjadikan perkhidmatan penjagaan kesihatan lebih mudah diakses.

Pada masa sama, penggunaan dron juga mengurangkan masa dan kos penghantaran selain meningkatkan kecekapan rantaian bekalan.

Setakat ini, percubaan telah dilakukan bagi penghantaran bekalan ubat dari jeti Manjung ke Klinik Kesihatan Pulau Pangkor, Perak.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Bhd Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, tiga kilogram ubatan dibawa menggunakan dron ke pulau itu.

“Penghantaran normal menggunakan feri dari jeti di Manjung ke klinik di Pulau Pangkor mengambil masa kira-kira 30 minit.

“Hanya 3.5 minit apabila menggunakan dron seperti didemonstrasi oleh kami…dengan jarak penglihatan lemah akibat 100 peratus litupan awan,” katanya.

Penghantaran ubatan ke Pulau Pangkor itu dikenali sebagai Project Eagle.

Jarak penghantaran dari jeti Manjung ke Pulau Pangkor sekitar 4.2 kilometer dan diketuai juruterbang wanita.

Projek itu mendapat sokongan oleh Kementerian Kesihatan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia.

Selain itu, Taman Teknologi Malaysia, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Boustead Holdings Bhd dan Meraque Services Sdn Bhd turut menyokong projek tersebut.

DHL, Pen Aviation jalin kerjasama guna dron bawa barangan di pelabuhan

PERKHIDMATAN penghantaran barang menerusi pesawat tanpa pemandu (UAV) bakal direalisasikan tidak lama lagi.

Ia merupakan hasil kerjasama syarikat kurier DHL Express (Malaysia) Sdn Bhd dengan Pen Aviation Sdn Bhd.

Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei Julian Neo berkata, penggunaan UAV penting terutama bagi penghantaran barangan ketika waktu kritikal.

“Kami berusaha menyelesaikan tiga masalah dalam perkhidmatan penghantaran.

“Ini termasuk kos tinggi untuk mengambil dan menghantar bekalan kargo kecil ke kapal, meningkatkan kecekapan dalam pengendalian kargo serta menambah baik keselamatan dan jaminan perkhidmatan,” katanya.

Jelas Julian lagi, matlamat jangka panjang adalah mewujudkan kumpulan gabungan pesawat terdiri daripada dron kargo bersaiz sederhana dan dron kargo bersaiz besar.

Dron PEN55V direka dan dibina secara perkongsian dengan Cavok-UAS iaitu syarikat dari Perancis yang mahir dalam bidang pertahanan serta keselamatan.

PEN55V merupakan UAV dengan berat pelepasan maksimum 55 kilogram yang mempunyai daya tahan selama 2.5 jam.

Selain itu, ia juga berupaya membawa maksimum beban bayar 15 kilogram bagi setiap penerbangan.

Berdasarkan perjanjian DHL dan Pen Aviation, UAV PEN55V digunakan untuk penghantaran barangan kepada pelabuhan laut jarak jauh.

Antara tugasan dilakukan termasuk mengambil dan menurunkan bungkusan yang mempunyai berat sehingga 15 kilogram dari dek kapal kargo ke pelabuhan.

Jana hasil pertanian lebih efisyen, Kelantan beli tiga dron RM200,000

PENGGUNAAN teknologi dron terus diperluaskan di negara ini meliputi pelbagai sektor penting.

Terbaharu, industri pertanian di Kelantan dijangka bakal mendapat ‘sentuhan’ teknologi dron sebagai usaha meningkatkan hasil petani.

Memetik laporan Bernama, Kerajaan Negeri Kelantan telah memperuntukan lebih RM200,000 bagi membeli tiga buah dron pertanian dalam masa terdekat.

Ia akan digunakan untuk membantu pesawah melakukan tugas menyembur racun dan baja cecair membabitkan kawasan lebih 30,000 hektar.

“Pada peringkat permulaan kerajaan negeri akan membeli tiga buah dron tahun ini dan akan ditambah mengikut peruntukan yang ada pada tahun depan.

“Pengunaan dron jelas dapat menjimatkan kos, meningkatkan hasil padi dan mengurangkan masa serta tenaga kerja,” kata exco kerajaan negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Sementara itu, kerajaan negeri juga berharap penggunaan dron dapat menggalakkan orang muda menceburkan diri dalam bidang pertanian moden.

Pada Selasa, satu program pengendalian dron telah diadakan di Kampung Jelor, Pasir Puteh.

Pada program tersebut seramai 30 pelajar Politeknik Kota Bharu dan Kolej Komuniti Jeli dilatih kaedah pengendalian dron yang betul.

Pacu ekonomi, Malaysia potensi jadi kuasa besar industri dron global

MALAYSIA berpotensi menjadi kuasa besar atau pemain utama bagi industri dron di peringkat global.

Pengasas Aerodyne Group Kamarul A. Mohamed berkata, perkara itu tidak mustahil seiring dengan kewujudan Penyelidikan dan Pembangunan Area 57 (Area 57).

Katanya, Area 57 adalah platform terbaik dalam usaha memacu ekonomi baharu melalui industri dron.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba kita majlis pelancaran Area 57. – Foto ihsan Malay Mail

Area 57 adalah sebuah pusat kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan serta pemerkasaan bakat yang dibangunkan oleh Taman Teknologi Malaysia (TPM).

Ia bagi memajukan perkembangan industri berfokus inovasi Unmanned Aerial Vehicle (UAV) dan Unmanned Aircraft Systems (UAS).

Selain itu, Area 57 merupakan simbolik kepada kawasan seluas 2.03 hektar yang dijadikan infrastruktur bersepadu dan ‘sandbox’ dengan penyediaan tujuh nilai cadangan.

Tujuh nilai cadangan terbabit adalah menyelidik, membangun, menguji, memperakui mengilang, mengkomersial serta menyelenggara penyelesaian dan teknologi dron.

Terdahulu, Pengasas Poladrone Cheong Jin Xi berkata, Area 57 merupakan inisiatif baik dan mampu membuka lebih banyak peluang bagi individu meminati dron.

Jelasnya, dron perlu dikomersialkan khususnya bagi tujuan khidmat penghantaran bagi mengurangkan kontak.

Dron thermal mampu kesan perubahan suhu, rakam imej lebih terperinci

PENGGUNAAN dron thermal mampu mengesan pembakaran secara terbuka sekaligus mengelak berlaku pencemaran udara dan alam sekitar.

Drone thermal menggunakan teknologi kamera yang mampu ‘menangkap’ atau mengesan sebarang imej dalam persekitaran gelap.

Kamera imaginer thermal pada asasnya didatangkan dengan sensor yang dapat mengesan sebarang perbezaan suhu walau bersaiz kecil.

Pada masa sama, ia juga boleh mengesan aktiviti pencemaran lain termasuk kegiatan pelepasan asap kenderaan atau industri di waktu malam.

Drone merupakan antara teknologi yang kian digunakan oleh kebanyakan industri masa kini. – Foto ihsan Wikipedia

Ketika ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dilaporkan telah mula menggunakan teknologi dron thermal bagi mengesan pencemaran udara termasuk aktiviti pembakaran pertanian dan industri berat.

Inisiatif ini turut dilakukan dengan kerjasama kerajaan negeri Selangor.

Minggu lalu, Exco Kerajaan Negeri Selangor Hee Loy Sian berkata, penggunaan drone thermal telah diputuskan sebagai salah satu kaedah terbaharu menangani pencemaran alam.

“Kebanyakan kawasan dalam negara mengalami cuaca panas dan kering disebabkan bilangan taburan hujan yang rendah susulan musim monsun barat daya.

“Beberapa insiden kebakaran belukar di kawasan Revolusi Hijau, Johan Setia telah menyebabkan berlakunya kemerosotan kualiti udara dan jerebu,” katanya seperti dilapor Bernama.

Objek dalam keadaan gelap dapat ditangkap dengan mengesan perubahan suhu. – Foto ihsan Wikipedia

Orang ramai diminta tidak melakukan pembakaran terbuka memandangkan ia mampu menjejaskan kualiti udara.

Mereka yang terlibat boleh didakwa mengikut Seksyen 29 (A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda hingga RM500,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.