Arkib Tag: brek

Pemilik Omoda 5 dakwa brek gagal berfungsi, Chery Malaysia beri penjelasan

BARU-baru ini tular sebuah video di media sosial yang dirakam oleh seorang pemilik Chery Omoda 5 yang mendakwa brek keretanya tiba-tiba gagal berfungsi ketika sedang memandu di lebuh raya.

Dalam video berdurasi hampir dua minit itu, wanita bernama Jc Jess mendakwa isu berkenaan telah dibangkitkan kepada pusat servis namun ia tidak dapat diselesaikan.

Lebih malang lagi, pengadu memberitahu bahawa kereta miliknya itu baru berusia dua bulan.

Berikutan isu tersebut, Naib Presiden Chery Malaysia, Lee Wen Hsiang dalam satu kenyataan rasmi berkata pihaknya mengambil perkara itu dengan sangat serius.

“Keselamatan pelanggan adalah keutamaan kami. Kami telah berhubung dengan pelanggan yang terlibat sejak Sabtu (6 April 2024) untuk menangani kebimbangannya dan seterusnya sebuah kereta guna sementara telah ditawarkan kepadanya.

“Kami ingin menekankan bahawa Chery Malaysia komited untuk menyediakan penyelesaian pengangkutan yang selamat dan diyakini, dan kami berazam untuk memastikan bahawa semua kenderaan kami memenuhi standard keselamatan yang tertinggi,” katanya.

Pelanggan Chery yang menghadapi sebarang masalah dengan kenderaan mereka digesa untuk menghubungi Chery Malaysia di talian +603 2771 7070 atau melalui emel di cherycareline@chery.my.

Bugatti Bolide menggunakan sistem brek karbon terbesar Brembo

DIKUASAKAN oleh enjin 8.0-liter quad turbo W16 yang menghamburkan 1,850 PS dan 1,850 Nm, Bugatti Bolide adalah sebuah kereta litar yang sangat pantas dan menakutkan.

Namun di litar lumba, kuasa semata-mata tidak mencukupi kerana untuk membuat catatan masa yang pantas, sebuah kereta juga memerlukan brek yang kuat dan tahan lama. Dan siapa lagi yang boleh menghasilkan brek terbaik di dunia kalau bukan Brembo.

Untuk projek Bolide, jurutera lumba Brembo bekerja rapat dengan Bugatti untuk membangunkan sistem brek unik yang dapat menandingi kuasa kuda dan tork kereta itu.

Selepas dua tahun menjalankan ujian dan pembangunan, akhirnya mereka berjaya menghasilkan sistem brek karbon-karbon yang dikatakan setanding dengan teknologi yang digunakan pada kereta Le Mans dan Formula 1.

Di hadapan, terdapat cakera karbon berukuran 390 x 37.5 mm yang diapit oleh dua kaliper monobloc lapan piston, masing-masing dengan empat pad prestasi tinggi setebal 25 mm. Menurut Bugatti, ini merupakan sistem brek yang terbesar pernah dihasilkan Brembo.

Di belakang pula, Buggati menggunakan dua angkup monobloc enam piston yang digandingkan dengan cakera karbon 390 x 34 mm. Angkup berkenaan juga mempunyai empat pad namun lebih nipis iaitu 24.5 mm. Walaupun tidak sebesar brek hadapan, ia mempunyai spesifikasi yang sama dengan kelas LMDh (Le Mans Daytona hybrid).

Kehadiran sistem brek karbon-karbon ini bukan sahaja memberikan Bolide kuasa membrek yang secukupnya, malah ia juga membantu mengurangkan berat keseluruhannya, dengan setiap cakera hanya seberat 3.175 kg.

Apa yang menarik, jurutera Brembo turut mereka bentuk saluran udara pada Bolide untuk membantu penyejukan sistem brek berkenaan. Hasilnya, 85% hingga 90% udara dihalakan ke arah cakera dan pad, manakala selebihnya ke arah angkup.

Porsche kata one-pedal driving dalam EV tidak begitu bagus

KEBANYAKAN kereta elektrik (EV) hari ini menawarkan fungsi yang dikenali sebagai one-pedal driving. Ia bermakna motor elektrik bertindak sebagai generator sebaik sahaja anda melepaskan pedal ‘minyak’, mmeperlahankan kereta dan menambah semula tenaga kepada bateri, lantas memberikan jarak tambahan tanpa perlu memasang kabel pengecaj.

Tetapi Porsche – yang mengeluarkan EV Taycan dan banyak model emisi sifar lain – mendakwa ianya tidak begitu cekap untuk jangka masa panjang. Mereka berkata ada cara lain untuk pergi lebih jauh dengan EV, iaitu dengan coasting sebanyak mungkin.

Semasa coasting, motor elektrik dipisahkan untuk mengurangkan seretan, membolehkan kereta terus bergerak dengan menggunakan tenaga minima. Porsche berkata ini “proses lebih semula jadi untuk membolehkan kereta terus bergerak tanpa sebarang kuasa”.

“Ini ialah cara lebih cekap untuk memandu, kerana ia mengekalkan tenaga kinetik dalam kenderaan,” kata Martin Reichenecker, Senior Manager Chassis Testing di Porsche Engineering, dalam satu kenyataan media.

Pengeluar Jerman itu menekankan one-pedal driving mengambil tenaga dahulu dan kemudian mengubahnya kepada tenaga gerak, menjurus kepada “dua kali kerugian”, kata Reichenecker.

Pendekatan ini agak jelas dalam barisan model Porsche, dimana Taycan atau Macan EV yang akan datang kedua-duanya tidak menampilkan ciri one-pedal driving. Mereka juga berpendapat cara pemanduan ini (coasting) memberikan karakter lebih mirip dengan kereta pembakaran dalaman (ICE).

Tetapi, brek regenerative masih menjadi sebahagian besar untuk Taycan. Malah, Porsche berkata sehingga 90 peratus dari brek harian boleh dibuat oleh motor elektrik sahaja, tanpa perlu mengaktifkan sistem brek hidraulik.

Brek geseran digunakan kebanyakannya pada kelajuan bawah 5km/j dimana motor elektrik tidak mempunyai kuasa nyahpecutan yang cukup.

Pada kelajuan tinggi, Porsche Taycan Turbo S menjana sehingga 290kW kuasa elektrik semasa membrek, cukup untuk mengisi semula bateri untuk tambahan 0.7km dalam hanya nyahpecutan selama dua saat.

Satu lagi kebaikan brek elektrik ialah kurangnya haus pada sistem brek hidraulik, jadi servis berkala cakera dan pelapik brek boleh dianjakkan, tidak sekerap kereta ICE.

Apa pendapat anda mengenai dakwaan Porsche ini?

Denda hingga RM2,000 atau penjara hingga enam bulan jika lampu brek ketiga rosak

ANDA mungkin rasakan lampu brek ketiga suatu yang remeh, tetapi tahukah anda, jika ia tidak berfungsi, ia boleh membahayakan pengguna jalan raya di belakang kereta anda.

Gambar oleh: Zerotohundred.com

Lampu brek ketiga ialah lampu merah yang terletak di bahagian tengah sama ada atas atau bawah cermin belakang kereta, berasingan dengan lampu belakang. Ia berfungsi memaklumkan bahawa kereta tersebut sedang memperlahankan kenderaannya.

Ia penting dalam semua keadaan lebih-lebih lagi semasa cuaca buruk atau hujan lebat. Tahukah anda, kegagalan memastikan lampu ini berfungsi membolehkan anda dikenakan saman atau penjara?

Perkara ini diumumkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), dimana mereka telah memberikan pengingatan agar pemilik kenderaan mengambil berat tentang kepentingan lampu brek ketiga.

“Pemilik kenderaan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 119(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kesalahan am dan penalti. Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak lebih daripada enam bulan,” kata polis menerusi kenyataan yang dikeluarkan itu.

“Ketiadaan lampu brek ketiga sering diambil mudah oleh pemilik kenderaan. Sikap tidak bertanggungjawab ini boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya di belakang terutamanya pada waktu malam dan keadaan hujan lebat.”

Untuk memeriksa sama ada lampu brek ketiga anda berfungsi atau tidak, minta rakan atau ahli keluarga berdiri di belakang kereta anda untuk memerhatikan keadaan lampu berkenaan.

Jika anda berseorangan, anda boleh letakkan telefon bimbit di belakang kereta dan membuat rakaman video. Pastikan anda mmebuat semua ujian ini dalam persekitaran yang selamat.

Sekiranya lampu brek tersebut tidak berfungsi, pergi ke bengkel atau pusat servis secepat mungkin untuk menukarnya. Jika anda kaki DIY, boleh beli sahaja lampu itu dan tukar sendiri di rumah.

Ini bukan kerana mengelakkan disaman, tetapi untuk keselamatan semua. Mentaliti harus betul.

Brek belakang disc lebih baik dari drum – fakta atau auta?

SERING kali kita mendengar kata-kata yang menyatakan brek belakang jenis disc (cakera) lebih baik dari drum (dram). Pernyataan ini digunakan tidak kira untuk kereta atau motosikal.

Namun, benarkah pernyataan ini? Adakah ia fakta atau auta semata-mata?

Jawapan paling ringkas ialah, tidak semestinya.

Isu brek belakang disc vs drum

Sumber: AutoGuru

Baik, kenapa timbul isu ini? Untuk kenderaan empat roda, boleh dikatakan semua kereta moden sekarang dilengkapi brek cakera di depan, tetapi bukan semua model mendapat brek jenis sama di belakang.

Untuk motosikal pula, bukan sesuatu yang pelik untuk melihat brek dram di depan. Tetapi hari ini, mari kita fokuskan pada kereta dahulu.

Proton Wira 1.5 SE

Masihkah anda ingat dahulu Proton Wira didatangkan dengan dua jenis brek berbeza untuk belakang? Varian dengan enjin 1.3 dan 1.5 dilengkapi brek belakang dram, manakala varian 1.6 dan 1.8 mendapat brek belakang cakera.

Untuk contoh di atas, dapat kita lihat pemilihan jenis brek ditentukan dari saiz enjin, harga kereta, dan kelajuan yang mampu dicapai.

Sebenarnya terdapat banyak lagi faktor lain yang diambil kira sebelum jurutera menentukan jenis brek dan spesifikasi yang akan digunakan.

Fungsi dan faktor penggunaan jenis brek

Semua sedia maklum fungsi brek dalam bahasa mudah ialah untuk memperlahankan dan memberhentikan kereta.

Sumber: Pops Auto Electric & AC

Apabila pedal brek ditekan, daya dipindahkan menggunakan bendalir hidraulik melalui beberapa silinder dan pam sebelum sampai ke angkup (calliper), yang akan ‘mengepit’ cakera dan memperlahankannya.

Sumber: Autofuture Design

Antara faktor utama yang menentukan keberkesanan sistem brek adalah spesifikasi angkup, pelapik brek (brake pad), jenis cakera, berat pada gandar, dan tidak lupa juga tahap cengkaman tayar. Pakailah brek Brembo atau AP Racing harga puluhan ribu sekalipun, jika tayar cap ayam, pasti ke longkang juga.

Sudah semakin jelas?

Penggunaan jenis brek sebenarnya perlu seimbang dengan dimensi, berat dan kemampuan sesebuah kenderaan.

Jadi, brek dram sudah cukup? Atau brek cakera masih lebih baik?

Tiada satu jawapan mutlak kerana sesuatu komponen kenderaan itu tidak bekerja bersendirian, sebaliknya ia ibarat satu ‘kerjasama’ dengan beberapa bahagian lain.

Persona 2007 (kiri) dan Persona baharu.

Sebagai contoh lain, Proton Persona 2007 generasi pertama CM6 menggunakan brek cakera di belakang, tetapi penggantinya iaitu Persona 2016 dilengkapi brek dram. Adakah ini satu downgrade?

Tidak juga.

Sumber: Facebook Proton

Penulis masih ingat bertanyakan kepada pihak Proton semasa pandu uji Persona BH6 2016 ini di litar mereka di Shah Alam.

Menurut Proton, walaupun menggunakan dram di belakang, Persona baharu mampu berhenti dari kelajuan 100km/j dalam jarak 41.4 meter, iaitu 3.2 meter lebih pendek dari Persona sebelumnya yang mendapat brek cakera depan dan belakang.

Mengejutkan? Rahsia kepada hasil ini adalah sistem brek yang dipertingkat secara keseluruhan serta berat kenderaan yang lebih ringan untuk model baharu. Jadi jika brek dram mampu mendapat hasil sebegitu baik, kenapa perlu melabur kos lebih tinggi untuk brek cakera, bukan?

Mungkin jika Persona baharu menggunakan brek belakang cakera, tayar belakang akan terlalu senang terkunci lalu sistem ABS terpaksa bekerja lebih, mengganggu kestabilan kereta.

Kesimpulannya di sini, brek (seperti komponen lain) juga menggunakan teknologi lebih maju seiring peredaran masa. Brek dram hari ini jauh lebih baik dari 10 tahun lepas, malah mungkin sama efektif dengan brek cakera.

Begitu juga suspensi belakang jenis torsion beam, tidak bermakna ia kurang mantap berbanding jenis multilink atau independent. Sedangkan Renault Megane RS dan Mazda3 baharu juga menggunakan suspensi belakang torsion beam dan dua kereta ini terkenal dengan pengendalian mantap.

Aksesori kereta yang HARAM dibeli – part 2!

DISEBABKAN ramai yang menambah aksesori dari senarai kami sebelum ini, dan ada yang meminta sambungan, ini kami beri Part 2. Aksesori kereta yang HARAM dibeli. Bukan kami jatuhkan hukum, tapi benda yang tida baik, memudaratkan, membahayakan, buat apa beli, kan?

1. Lampu brek kelip-kelip

Yang pertama ialah lampu brek jenis berkelip. Jurutera dah kira untuk semua keadaan, ambil kira pelbagai faktor termasuk psikologi, bahawa lampu brek yang menyala macam biasa itulah paling berkesan untuk beri amaran pada pemandu di belakang.

Mengapa perlu kita semakkan pemandangan orang belakang dengan lampu berkelip? Cerah pula tu.

Ya betul, kereta-kereta moden sekarang yang canggih sikit ada fungsi Emergency Stop Signal yang akan berkelip begantung kepada kadar brek. Tapi kemudian komputer akan ubah supaya lampu dia menyala kekal selepas itu.

Yang ubahsuai lampu brek berkelip ni mungkin dia tak puas beraya kot?

2. Penutup/alas papan pemuka

Mungkin penutup atau alas papan pemuka (dashboard) ini cantik di mata anda. Boleh diletakkan hiasan, susun model kereta mainan, dengan pelbagai jenis bahan. Siap ada jenis macam rumput lagi.

Tapi masalahnya, pada papan pemuka dan beberapa lagi bahagian lain dalam kereta, ada bahan letupan. Tak percaya? Beg udara kereta anda tu, rasa-rasa macam mana dia boleh dikembangkan sekelip mata semasa kemalangan?

Ya, ada bahan letupan yang melancarkan atau mengembangkannya.

Jadi, sudah tentu bukan idea yang baik untuk meletakkan sesuatu yang akan menghalang pengeluaran/letupan beg udara ini. Sama ada ia tidak akan keluar dengan sempurna atau boleh mencederakan anda.

Simpan sahaja hiasan tu di rumah.

3. Menukar warna lampu asal

Masih lagi bab lampu. Kali ni yang jenis tukar-tukar warna mentol. Ini pun penyakit tak habis nak beraya ni.

Engineer dah elok-elok buat lampu brek merah, lampu signal amber/oren/kuning, sesuai untuk semua keadaan cuaca, dia pandai-pandai tukar.

Lampu brek biru ada, signal putih pun ada. Kemudian bila brek nak masuk simpang, orang langgar sebab tak nampak. Lebih-lebih lagi waktu siang, signal putih memang tak nampak.

Yang tint lampu pun sama dalam kategori ni, mengubah warna.

Sesetengah manufacturer memang ada versi lampu smoked, contohnya Porsche varian GTS, lampu lebih gelap, tapi itu lens dia gelapkan. Bukan tint. Yang datang dari kilang dah tentu selamat buat ikut piawaian, bukan suka-suka macam kita.

4. Brek tiruan

Dalam banyak-banyak aksesori hari ini, yang ini rasanya paling bahaya; brek berjenama tiruan.

Pakai big brake kit fuh tayang Brembo, AP Racing, warna menyerlah. Amboi sedap tayang, rupanya tiruan.

Risikonya ialah cakera brek boleh retak. Ini kerana pembuat brek tiruan tidak menggunakan acuan atau ramuan yang sama dengan pembuat asli. Pembuat brek yang asli sudah tentu menjalankan kajian dan ujian untuk produk mereka.

Bayangkan turun dari Genting Highlands dan cakera rosak atau retak, faham-faham sendiri lah ya.

Kalau anda nak naik-taraf brek tapi bajet terhad, lebih baik guna sistem (hardware) brek asal, tapi dengan pelapik (brake pad) lebih berkualiti dan lebih tinggi prestasi. Ini lebih baik dari brek tiruan.

Janganlah kita abaikan komponen-komponen kritikal seperti brek kerana ia berkaitan nyawa kita, penumpang dan pemandu lain.

5. Child seat tanpa sijil ECE R44/04

Yang ini mungkin sensitif sedikit, iaitu tempat duduk kanak-kanak tanpa sijil. Kalau kita beli tempat duduk untuk anak kita, pastikan yang betul-betul selamat dengan sijil ECE R44/04.

Jika sesuatu produk itu mempunyai sijil, bermakna ia telah diuji untuk mencapai tahap keselamatan tertentu. Mungkin dengan membeli produk bersijil ini, ikhtiar kita akan memberikan perlindungan sewajarnya untuk anak kita.

Mahal? Sebenarnya bukan semua yang ada ECE tu mahal. Kalau pandai cari, bawah RM200 pun ada.

6. Mentol HID atau LED pada lampu reflector

Ya betul, mentol HID dan LED banyak kebaikan berbanding halogen. Ia lebih terang, pencahayaan lebih jauh, jimat tenaga, dan kurang panas.

Tapi, perlu tengok jenis lampu juga. HID dan LED hanya berfungsi dengan mentol jenis projektor. LED pun ada jenis reflektor, tapi jenis lain, memang direka untuk LED.

Jika lampu anda jenis halogen reflektor dan anda tukar mentol HID atau LED, cahayanya akan bersepah dan menyilaukan orang depan. Ini kerana HID atau LED mempunyai corak nyalaan berbeza dari mentol halogen.

Cara terbaik untuk nyalaan lebih baik bagi lampu halogen reflektor ialah menukar kepada mentol halogen lebih berkuasa tinggi dan lebih baik.

7. Tilam udara

Akhir sekali, tilam udara. Kenapa haram, bahaya kah?

Tilam udara sebenarnya tidak merbahaya dan kami rasa sesuai digunakan semasa berkelah atau berkhemah, semasa kereta tidak bergerak. Atau anda ada sebarang ‘urusan peribadi’, terpulanglah.

Tapi yang jadi bahaya jika benarkan anak-anak atau penumpang tidur dan berbaring semasa kereta sedang bergerak. Ini kerana sekiranya berlaku sebarang kecemasan, tiada mereka yang sedang berbaring ini tidak ‘diikat’ sebaiknya, senang berguling atau tercampak.

Tidak seperti pemandu dan penumpang depan yang duduk memakai tali pinggang keledar, lebih selamat dan mempunyai perlindungan optima.

Ya betul, kejadian buruk seperti kemalangan jarang berlaku, tapi jika sudah berlaku, minta maaf atau menangis air mata darah pun tiada guna.

Jadi, macam mana dengan senarai aksesori haram kali ini? Anda setuju?

“Helmet selamatkan nyawa saya” – ketahui tips penting tunggang motosikal

STATISTIK Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan terdapat lebih 50 juta individu mengalami kecederaan akibat kemalangan jalan raya saban tahun.

Di Malaysia, kemalangan jalan raya menjadi isu amat membimbangkan terutama membabitkan penunggang motosikal.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebelum ini berkata, lebih 2,576 kemalangan membabitkan motosikal sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tahun lalu.

Situasi ini sudah pasti amat membimbangkan dan satu penyelesaian tuntas perlu dilaksanakan segera.

Namun, wujud persoalan adakah kemalangan motosikal boleh dielak sepenuhnya? Apakah solusi terbaik menangani masalah ini?

Tidak dinafikan, penunggang motosikal berdepan risiko paling besar berbanding pengguna jalan raya yang lain.

Salah atau tidak, kesan diterima penunggang motosikal akibat kemalangan adalah tinggi.

Justeru, apa yang perlu dilakukan adalah penunggang motosikal perlu bersedia selain melakukan persiapan rapi menghadapi sebarang kemungkinan di jalan raya.

Tiga tips penting menunggang motosikal

Terdapat beberapa tips perlu diamalkan oleh penunggang motosikal dalam mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Pertama, sentiasa menambah ilmu pengetahuan tentang tunggang motosikal. Antara perkara penting yang perlu dilakukan juga adalah sentiasa memeriksa kondisi brek.

Penunggang motosikal perlu memeriksa keadaan brek motosikal secara berkala agar ia berfungsi dengan baik.

Selain itu, penunggang motosikal juga perlu mengetahui kaedah betul untuk memberhentikan motosikal dalam apa jua keadaan.

Kedua, pastikan keadaan tayar motosikal dalam keadaan ‘tip top’. Ini kerana tayar merupakan antara komponen penting bagi sesebuah kenderaan.

Pastikan anda ‘study’ terlebih dahulu sebelum membeli tayar memandangkan terdapat banyak jenis penipuan atau fake item dijual kepada pelanggan.

Selain itu, anda juga perlu memastikan tekanan angin tayar mencukupi atau tidak melebihi jumlah sepatutnya.

Ketiga, gunakan topi keledar yang sesuai dan pastikan ia menerima kelulusan syarat piawaian keselamatan.

Topi keledar yang berkualiti bukan sahaja cantik dan bergaya tetapi paling penting mampu menyelamatkan nyawa!

Demikan antara tips penting keselamatan menunggang motosikal.

Untuk info lebih lanjut mengenai tips keselamatan dan pengalaman mangsa kemalangan motosikal, saksikan video di bawah.

Terus utamakan keselamatan di jalan raya dan ingatlah orang tersayang!

Chiow!!!

Mengapa sistem VSC penting untuk kenderaan anda?

SISTEM Vehicle Stability Control (VSC) merupakan antara teknologi keselamatan penting bagi kebanyakan kenderaan masa kini.

Turut dikenali sebagai Vehicle Stability Assist (VSA), ia merupakan sistem bertindak menstabilkan kenderaan yang hilang kawalan.

Sebagai contoh, VSC mampu mengesan dan menstabilkan kenderaan walau berada pada kelajuan tinggi.

VSC bertindak memberhentikan kenderaan secara automatik sekaligus menghalang situasi ‘oversteer’ selain melakukan brek pada roda belakang bagi mengelak ‘understeer’.

Dalam keadaan tertentu, VSC juga mengurangkan kadar putaran roda sehingga kenderaan kembali terkawal.

Justeru, tidak dinafikan VSC merupakan teknologi penting bagi kebanyakan kenderaan ketika ini.

Selain beg udara dan sistem anti-lock braking system (ABS), EnGear berpendapat tidak keterlaluan VSC perlu dijadikan sebagai perkara wajib perlu ada bagi semua kenderaan negara ini.

Semoga penerangan ringkas ini membantu anda untuk terus mementingkan sistem keselamatan kenderaan.

Pada masa sama, ia diharap menjadi panduan check list anda ketika survey membeli kenderaan baharu.