fbpx

Bugatti Bolide menggunakan sistem brek karbon terbesar Brembo

01 BUGATTI_BOLIDE-testing

DIKUASAKAN oleh enjin 8.0-liter quad turbo W16 yang menghamburkan 1,850 PS dan 1,850 Nm, Bugatti Bolide adalah sebuah kereta litar yang sangat pantas dan menakutkan.

Namun di litar lumba, kuasa semata-mata tidak mencukupi kerana untuk membuat catatan masa yang pantas, sebuah kereta juga memerlukan brek yang kuat dan tahan lama. Dan siapa lagi yang boleh menghasilkan brek terbaik di dunia kalau bukan Brembo.

Untuk projek Bolide, jurutera lumba Brembo bekerja rapat dengan Bugatti untuk membangunkan sistem brek unik yang dapat menandingi kuasa kuda dan tork kereta itu.

Selepas dua tahun menjalankan ujian dan pembangunan, akhirnya mereka berjaya menghasilkan sistem brek karbon-karbon yang dikatakan setanding dengan teknologi yang digunakan pada kereta Le Mans dan Formula 1.

Di hadapan, terdapat cakera karbon berukuran 390 x 37.5 mm yang diapit oleh dua kaliper monobloc lapan piston, masing-masing dengan empat pad prestasi tinggi setebal 25 mm. Menurut Bugatti, ini merupakan sistem brek yang terbesar pernah dihasilkan Brembo.

Di belakang pula, Buggati menggunakan dua angkup monobloc enam piston yang digandingkan dengan cakera karbon 390 x 34 mm. Angkup berkenaan juga mempunyai empat pad namun lebih nipis iaitu 24.5 mm. Walaupun tidak sebesar brek hadapan, ia mempunyai spesifikasi yang sama dengan kelas LMDh (Le Mans Daytona hybrid).

Kehadiran sistem brek karbon-karbon ini bukan sahaja memberikan Bolide kuasa membrek yang secukupnya, malah ia juga membantu mengurangkan berat keseluruhannya, dengan setiap cakera hanya seberat 3.175 kg.

Apa yang menarik, jurutera Brembo turut mereka bentuk saluran udara pada Bolide untuk membantu penyejukan sistem brek berkenaan. Hasilnya, 85% hingga 90% udara dihalakan ke arah cakera dan pad, manakala selebihnya ke arah angkup.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved