Brek belakang disc lebih baik dari drum – fakta atau auta?
SERING kali kita mendengar kata-kata yang menyatakan brek belakang jenis disc (cakera) lebih baik dari drum (dram). Pernyataan ini digunakan tidak kira untuk kereta atau motosikal.
Namun, benarkah pernyataan ini? Adakah ia fakta atau auta semata-mata?
Jawapan paling ringkas ialah, tidak semestinya.
Isu brek belakang disc vs drum
Baik, kenapa timbul isu ini? Untuk kenderaan empat roda, boleh dikatakan semua kereta moden sekarang dilengkapi brek cakera di depan, tetapi bukan semua model mendapat brek jenis sama di belakang.
Untuk motosikal pula, bukan sesuatu yang pelik untuk melihat brek dram di depan. Tetapi hari ini, mari kita fokuskan pada kereta dahulu.
Masihkah anda ingat dahulu Proton Wira didatangkan dengan dua jenis brek berbeza untuk belakang? Varian dengan enjin 1.3 dan 1.5 dilengkapi brek belakang dram, manakala varian 1.6 dan 1.8 mendapat brek belakang cakera.
Untuk contoh di atas, dapat kita lihat pemilihan jenis brek ditentukan dari saiz enjin, harga kereta, dan kelajuan yang mampu dicapai.
Sebenarnya terdapat banyak lagi faktor lain yang diambil kira sebelum jurutera menentukan jenis brek dan spesifikasi yang akan digunakan.
Fungsi dan faktor penggunaan jenis brek
Semua sedia maklum fungsi brek dalam bahasa mudah ialah untuk memperlahankan dan memberhentikan kereta.
Apabila pedal brek ditekan, daya dipindahkan menggunakan bendalir hidraulik melalui beberapa silinder dan pam sebelum sampai ke angkup (calliper), yang akan ‘mengepit’ cakera dan memperlahankannya.
Antara faktor utama yang menentukan keberkesanan sistem brek adalah spesifikasi angkup, pelapik brek (brake pad), jenis cakera, berat pada gandar, dan tidak lupa juga tahap cengkaman tayar. Pakailah brek Brembo atau AP Racing harga puluhan ribu sekalipun, jika tayar cap ayam, pasti ke longkang juga.
Sudah semakin jelas?
Penggunaan jenis brek sebenarnya perlu seimbang dengan dimensi, berat dan kemampuan sesebuah kenderaan.
Jadi, brek dram sudah cukup? Atau brek cakera masih lebih baik?
Tiada satu jawapan mutlak kerana sesuatu komponen kenderaan itu tidak bekerja bersendirian, sebaliknya ia ibarat satu ‘kerjasama’ dengan beberapa bahagian lain.
Sebagai contoh lain, Proton Persona 2007 generasi pertama CM6 menggunakan brek cakera di belakang, tetapi penggantinya iaitu Persona 2016 dilengkapi brek dram. Adakah ini satu downgrade?
Tidak juga.
Penulis masih ingat bertanyakan kepada pihak Proton semasa pandu uji Persona BH6 2016 ini di litar mereka di Shah Alam.
Menurut Proton, walaupun menggunakan dram di belakang, Persona baharu mampu berhenti dari kelajuan 100km/j dalam jarak 41.4 meter, iaitu 3.2 meter lebih pendek dari Persona sebelumnya yang mendapat brek cakera depan dan belakang.
Mengejutkan? Rahsia kepada hasil ini adalah sistem brek yang dipertingkat secara keseluruhan serta berat kenderaan yang lebih ringan untuk model baharu. Jadi jika brek dram mampu mendapat hasil sebegitu baik, kenapa perlu melabur kos lebih tinggi untuk brek cakera, bukan?
Mungkin jika Persona baharu menggunakan brek belakang cakera, tayar belakang akan terlalu senang terkunci lalu sistem ABS terpaksa bekerja lebih, mengganggu kestabilan kereta.
Kesimpulannya di sini, brek (seperti komponen lain) juga menggunakan teknologi lebih maju seiring peredaran masa. Brek dram hari ini jauh lebih baik dari 10 tahun lepas, malah mungkin sama efektif dengan brek cakera.
Begitu juga suspensi belakang jenis torsion beam, tidak bermakna ia kurang mantap berbanding jenis multilink atau independent. Sedangkan Renault Megane RS dan Mazda3 baharu juga menggunakan suspensi belakang torsion beam dan dua kereta ini terkenal dengan pengendalian mantap.
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.
115032 627311My brother suggested I would possibly like this blog. He was once entirely right. This submit truly created my day. You cant believe just how so considerably time I had spent for this information! Thank you! 120984