Arkib Tag: ambulans

Pemandu Perodua Kembara halang ambulans dikenakan tindakan

Baru-baru ini tular satu video berdurasi 53 saat yang memaparkan seorang pemandu Perodua Kembara sedang menghalang laluan sebuah ambulans di Sri Aman, Sarawak.

Menerusi kenyataan dalam video berkenaan, seorang pesakit meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital gara-gara sikap pentingkan diri pemandu tersebut.

Polis Daerah Sri Aman, Sarawak dalam satu kenyataan berkata, tindakan telah diambil terhadap pemandu Kembara itu kerana menghalang sebuah ambulans di Kilometer 6, Jalan Kuching-Sri Aman dekat Jalan Kampung Entulang Bungkang.

Menurut Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Suprintendan Mathew Manggie, pemandu itu dikenakan tindakan mengikut Kaedah 9 Kaedah-Kaedah Lalulintas 166/59 iaitu Kesalahan Tidak Beri Laluan kepada ambulans.

“Pada Jumaat lalu sekitar jam 3 petang, tular sebuah kenderaan di media sosial yang tidak memberi laluan kepada sebuah ambulans yang membawa pesakit ke Hospital Sri Aman.

“Sehari selepas kejadian itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman mengambil tindakan mengesan kenderaan itu dan pemandunya,” katanya.

APM pertimbang jadikan mat rempit sebagai ambulans dua-roda di Melaka

SELAMA ini golongan ‘mat rempit’ sering dipandang serong masyarakat kerana terlibat dengan gejala sosial kurang berfaedah seperti melepak dan lumba haram.

Tetapi selepas ini mungkin mereka boleh memperbaiki imej dan tanggapan masyarakat terhadap mereka. Ini kerana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka sedang mempertimbang untuk melantik ‘mat rempit’ sebagai ambulans motosikal agar kumpulan itu boleh membawa manfaat kepada masyarakat.

Perkara itu disampaikan Pegawai Korporat Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (CDF) Melaka, Kol (PA) Mike Thein. Jelasnya, kertas kerja untuk merekrut kumpulan tersebut telah pun berjalan dan akan menjalani peringkat kajian.

Tambah Mike Thein, selain daripada kumpulan tersebut boleh berada di lokasi kejadian lebih cepat, mereka juga akan membawa peralatan menyelamatkan nyawa.

Contoh paramedik bermotosikal di negara maju. Gambar oleh: The Advertiser

Thein yang telah menjadi sukarelawan CDF selama dua dekad berkata, dia juga akan mendedahkan khidmat kenderaan kecemasan dua-roda di lokasi-lokasi pelancongan yang susah dicapai sekitar bandar raya itu.

Menurutnya pasukan paramedik dua roda akan membawa alatan kecemasan dan ubat-ubatan serta mampu pergi ke lokasi kecemasan lebih cepat dari kereta atau van semasa trafik sesak.

“Mat rempit ini akan menjadi penyokong kepada paramedik dua-roda. Saya merancang memberi peluang kepada golongan ini untuk menjadi sukarelawan bagi tujuan mulia dan mencadangkannya dalam kertas kerja,” katanya.

Dia berkata, pasukan kecemasan dua-roda akan terdiri dari gabungan motosikal dan basikal dengan anggota enam orang setiap pasukan.

Pemandu kereta plat Singapura halang laluan ambulans di Johor Bahru

BARU-baru ini tular rakaman kamera papan pemuka yang menunjukkan sebuah Mercedes-Benz A-Class dengan nombor pendaftaran Singapura menghalang laluan sebuah ambulans yang dipercayai berlaku di Johor Bahru.

Berikutan kejadian itu, polis meminta pihak yang mempunyai maklumat berhubung insiden berkenaan untuk tampil menyalurkan maklumat.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian itu.

“Belum ada individu yang membuat laporan polis lagi. Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh tampil supaya siasatan dapat dijalankan,” katanya dihubungi hari ini.

Video berdurasi 34 saat itu menunjukkan sebuah ambulans pusat perubatan swasta cuba untuk masuk ke lorong di sebelah kanan namun dihalang oleh sebuah Mercedes-Benz A180.

Menurut Harian Metro, kejadian dipercayai berlaku pada jam 4.37 petang kelmarin di laluan menuju ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

Ambulans tersebut dilihat menyalakan lampu siren dan lampu isyarat namun tetap dihalang pemandu hatchback berwarna hitam itu. Malah, pemandu tersebut dilihat menekan brek dan tidak berganjak walaupun pemandu ambulans sudah mengangkat tangan bagi meminta laluan.

Raub menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan termasuk memberi laluan kepada pihak berkuasa yang menjalankan tugas kecemasan seperti ambulans, bomba atau polis.

Tambah beliau lagi, perbuatan tidak memberi laluan kepada ambulans boleh menyebabkan siasatan dibuat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Petron sumbang bantuan petrol untuk ambulans NGO Covid-19

PETRON Malaysia menyokong beberapa badan kebajikan dalam misi mereka memberikan bantuan perubatan dan makanan kepada komuniti.

Tiga badan kebajikan bukan kerajaan (NGO) iaitu Community Policing Malaysia, MERCY Malaysia dan My Food Directory & Delivery Covid-19 telah menerima tajaan minyak dari Petron Malaysia bernilai RM60,000.

Puan Faridah Ali, Pengurus Besar Petron Malaysia berkata, “Kami berasa gembira dapat menyokong organisasi-organisasi ini yang telah banyak membantu golongan barisan hadapan, komuniti yang memerlukan dan keluarga yang terkesan semasa pandemik ini.

“Kami berharap tajaan minyak ini dapat meringankan sedikit bebanan mereka untuk memenuhi misi-misi di waktu yang sukar ini.”

 

Aktivis, Uncle Kuan daripada Community Policing Malaysia berkata, “Sepanjang tahun, kami telah berjaya membantu ramai orang melalui inisiatif Ambulans RM1 dan Teksi RM0.10, di mana sesiapa yang memerlukan bantuan boleh membayar servis dengan harga RM1 dan RM0.10 sahaja.

“Kami amat berterima kasih kepada Petron kerana inisiatif ini tidak dapat dijayakan tanpa tajaan minyak oleh syarikat tersebut.”

Menurut Uncle Kuan, melalui tajaan bahan api tersebut ianya membolehkan mereka membantu lebih ramai lagi keluarga B40 yang memerlukan perkhidmatan pengangkutan ke hospital dan pusat pemberian vaksin.

Semenjak PKP tahun lepas, Petron kekal komited dalam memberi sokongan kepada misi-misi kemanusiaan di bawah MERCY Malaysia, yang menyasarkan kepada komuniti dan hospital. MERCY merupakan sebuah NGO yang memberi bantuan dan sokongan perubatan dan kesihatan kepada masyarakat di Malaysia dan juga di luar negara.

Satu organisasi yang bermula dari gerakan kumpulan warga prihatin di Facebook yang memberi perkhidmatan penghantaran makanan kepada komuniti B40 juga turut mendapat tajaan minyak Petron.

My Food Directory & Delivery Covid-19 (MFDDC19) mempunyai lebih dari 90 penghantar sukarelawan yang bertugas di 70 kawasan di Lembah Klang.

“My Food Directory and Delivery C19 memulakan operasi mereka pada April 2021, mengumpulkan 42,000 rakan komuniti untuk membantu satu sama lain dengan menyokong perniagaan tempatan,” kata Sara Low, pentadbir MFDDC19.

“Dengan kehadiran Petron dalam misi kami, kami boleh menyediakan lebih sokongan kepada 90 lebih orang pemandu kami yang bertugas sebagai penghantar makanan kepada komuniti di Lembah Klang,” kata Sara Low, pentadbir MFDDC19.

“Kami ingin membantu kesemua organisasi ini dalam mengurangkan kos mereka, lantas membantu lebih ramai komuniti. Kami akan terus menyokong pemulihan negara dan terus membantu meringankan bebanan mereka yang terjejas dengan pelbagai cara,” tambah Faridah.

Senarai rakyat Malaysia pemurah, sedia khidmat kenderaan percuma

SIKAP saling membantu sesama insan tidak dinafikan merupakan amalan murni dan amat dituntut dalam kehidupan bermasyarakat.

Amat bertuah, Malaysia tidak ketandusan memiliki insan mulia yang sanggup berkorban demi membantu individu dalam kesusahan.

Baru-baru ini misalnya, tular di media sosial usaha seorang individu di Sabah menyediakan perkhidmatan kereta percuma untuk membawa pesakit mendapatkan rawatan di hospital.

Perkhidmatan percuma itu bukan sahaja mendapat pujian masyarakat, malah turut memberi inspirasi kepada ramai insan lain.

Sebagai penghormatan, artikel kali ini EnGear senaraikan beberapa usaha orang ramai yang memberi perkhidmatan kenderaan percuma kepada insan memerlukan.

Perkhidmatan van jenazah percuma disediakan oleh Noorkhiriah dan suami.

Perkhidmatan van jenazah percuma

Pelakon Noorkhiriah dan suami menyediakan perkhidmatan van jenazah percuma kepada umat Islam yang memerlukan.

Mengakui ia sebagai sebahagian ‘bekalan’ akhirat, Noorkhiriah dan suami berharap usaha itu dapat membantu mereka dalam kesusahan.

Mewakafkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai tahun lalu, pelakon itu tekad untuk terus berbakti kepada masyarakat.

Uncle Kentang terkenal dengan sifatnya suka mebantu insan kesusahan.

Perkhidmatan ambulans percuma

Siapa tidak kenal aktivis masyarakat Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang?

Tahun lalu, Uncle Kentang dan pasukannya berjaya mengumpul dana RM150,000 bagi membeli sebuah van yang dijadikan sebagai ambulans.

Ambulans berkenaan digunakan bagi menghantar pesakit ke hospital secara percuma di sekitar Lembah Klang.

Perkhidmatan kereta ke hospital

Pada 2017, seorang pemuda bernama Wan Muhiddin Asyrafi Wan Baharunddin tampil menawarkan perkhidmatan kereta percuma bagi golongan rentan untuk ke hospital.

Perkhidmatan kereta percuma itu beroperasi merangkumi kawasan Kota Bharu, Kubang Kerian dan Pasir Mas.

Paling menakjubkan, ia adalah kerja amal pertama di Kelantan yang menawarkan perkhidmatan penghantaran ulang alik ke hospital secara percuma!

Kesimpulannya, ada ramai rakyat Malaysia yang berbaik hati untuk melakukan kerja amal.

Namun, ia tidak bererti kita harus berpeluk tubuh dan membiarkan golongan memerlukan terus dihimpit kesusahan.

Maka, mulai saat ini ayuh kita sama-sama tampil melakukan kerja amal demi kesejahteraan bersama!

Selamat beramal!!!

Ditahan polis kerana ikut ambulans terlalu rapat, warga maya puas hati

TINDAKAN seorang pemandu yang sengaja mengikuti sebuah ambulans bagi memotong barisan mengundang padah selepas ditahan pihak polis.

Menerusi sebuah video tular di media sosial, kelihatan kenderaan itu mengikuti rapat sebuah ambulans di satu lokasi tidak diketahui.

Berang dengan tindakan terbabit, pemandu ambulans kemudian bertindak memaklumkan kepada kenderaan peronda polis yang kebetulan berada di situ menggunakan alat pembesar suara.

Sebaik mendengar aduan pemandu ambulans, kelihatan polis berkenaan mendekati kenderaan terbabit sebelum dipercayai menahannya untuk diambil tindakan undang-undang.

Rata-rata pengguna media sosial berang dengan sikap tidak bertanggungjawab pemandu yang mengambil kesempatan memotong barisan dengan mengikuti rapat ambulans berkenaan.

Jelas mereka tindakan itu bukan sahaja tidak menghormati pengguna jalan raya lain malah, menganggu aliran trafik.

Pada masa sama, pengguna media sosial turut berpuas hati dengan tindakan pantas polis walau hanya menerima aduan melalui pembesar suara.